Tuesday, February 08, 2011

‘Allahu Ghayaatunaa‘


Ikhlas adalah satu kata yang sangat mudah diucapkan oleh setiap orang, termasuk orang munafik dan kafir sekalipun. Namun hakikatnya kata inilah yang paling berat dan paling sukar untuk direalisasikan. Terkadang jurudakwah (da’i) mampu menjaga keikhlasan di awal perjalanan, tetapi di tengah perjalanan pelbagai bentuk ujian dan cubaan menghadangnya sehingga dia menjadi mundur, luntur dan jatuh ke lembah sumur riya’ dan ujub. Na’udzubillahi min dzaalik.

Keikhlasan merupakan mutiara teramat mahal yang harus dimiliki setiap mukmin dan para da’i. Mutiara yang harus senantiasa dibersihkan dari pelbagai macam kotoran dan debu. Apatah lagi bagi kepimpinan organisasi dakwah. Jundiyah muthi’ah (ketenteraan yang taat) dan qiyadah mukhlishoh (kepemimpinan yang ikhlas) itulah kedua faktor utama gerakan Islam. Keduanya harus berjalan secara sepadu dan seimbang untuk meraih kejayaan organisasi dakwah di medan kehidupan.


Makna Ikhlas
Menurut Imam Hasan Al Banna dalam menjelaskan ciri ikhlas:

“Yang saya maksud dengan ikhlas adalah seorang al-akh hendaknya mengorientasikan perkataan, perbuatan dan jihadnya kepada Allah; mengharap keredhaan-Nya dan memperoleh pahala-Nya, tanpa memperhatikan keuntungan kebendaan, prestij, pangkat, gelaran, kemajuan atau kemunduran. Dengan itulah ia menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera kepentingan dan yang hanya mencari manfaat dunia.

“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. (Al-An’am:162).

Dengan begitu, seorang Al-akh telah memahami makna slogan abadinya: “Allah tujuan kami”. Sungguh Allah Maha Besar dan bagi-Nya segala puji.

Ikhlas adalah menginginkan keredhaan Allah dengan melakukan amal dan membersihkan amal dari pelbagai palutan duniawi. Maka seseorang tidak mencemari amalnya dengan keinginan-keinginan jiwa yang bersifat sementara, seperti menginginkan keuntungan, kedudukan, harta, populariti, tempat di hati manusia, pujian dari mereka, menghindari cercaan dari mereka, menghindari bisikan nafsu, atau penyakit-penyakit dan palutan-palutan lainnya yang dapat dipadukan dalam satu kalimat, iaitu melakukan amal untuk selain Allah, apapun bentuknya.

Ikhlas dengan pengertian seperti itu merupakan salah satu buah dari kesempurnaan tauhid, iaitu mengesakan Allah dalam beribadah. Oleh kerana itu, riya’ yang merupakan lawan dari ikhlas dianggap kesyirikan.

Syaddad bin Aus berkata: “Di masa Rasulullah SAW, kami menganggap riya’ sebagai syirik kecil”. Majmu az-zawaid, kitab Az-Zuhdi, bab “Majaahurriya, jilid 10 hal. 225

Rukun Amal
Setiap amal soleh tidak diterima oleh Allah SWT kecuali jika terpenuhi dua rukun iaitu; keikhlasan dan lurusnya niat, dan yang kedua sejalan dengan sunnah dan syariat.

Dengan rukun pertama akan tercapai kesolehan batin, sedangkan rukun kedua merupakan kesolehan lahir.

Tentang rukun yang pertama, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya amal-amal itu (dinilai) dengan niatnya”. (Fathul bari: 1/5. No. 1) hadits ini merupakan kayu ukur suasana batin manusia.

Sedang tentang rukun kedua, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan bukan atas perintahku, maka ia tertolak”. (Muslim: 3/1343, no. 1718). Ertinya, amalnya dikembalikan kepada pelakunya (tidak diterima). Dan, ini merupakan kayu ukur batin.

Allah SWT menggabungkan dua rukun tersebut dalam beberapa ayat-Nya di dalam Al-Qur’an. Antara lain, Allah SWT berfirman:

“Dan Barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang Dia orang yang berbuat kebaikan, Maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh. dan hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan”. (Luqman:22)


Ikhlas dan Syara’
Fudhail bin Iyadh berkata tentang firman Allah: “Supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”. (Al-Mulk:2) yang dimaksud dengan lafazh ahsanu amalan adalah yang paling ikhlas dan paling tepat. Ditanyakan kepadanya apa yang dimaksud paling ikhlas dan paling tepat wahai Abu Ali (nama panggilan Fudhail), ? ia menjawab:

“Sesungguhnya, suatu amal itu bila dilakukan dengan ikhlas tetap tidak tepat, maka tidak diterima oleh Allah, dan bila dilakukan secara tepat tetapi tidak ikhlas, maka tidak diterima (oleh Allah). Amal tidak diterima sehingga dilakukan dengan ikhlas dan tepat. Yang dimaksud ikhlas adalah menjadikan amal untuk Allah, sedangkan tepat adalah sesuai dengan sunnah (Rasulullah SAW).” Kemudian Fudhail membaca firman Allah SWT:

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, Maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya”. (Al-Kahfi:110)

‘Allahu Ghayaatunaa‘
Justeru, marilah kita meluruskan hati kita dengan sentiasa memelihara keikhlasan dala setiap amal dan tindakan kita. Marilah kita mengarahkan seluruh perkataan, perbuatan, dan jihad kita hanya untuk Allah, mengharap redha-Nya, dan kebaikan pahala-Nya tanpa melihat pada kekayaan dunia, tampilan, kedudukan, sebutan, pujian, kemajuan atau kemunduran. Dengan demikian, insyaAllah kita akan menjadi amilin (pekerja islam) fikrah dan akidah, bukan amilin dunia dan kepentingan.

Katakanlah: “Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku.”

Hanya yang memiliki karakter seperti itulah yang layak membawa semboyan ‘Allahu Ghayaatunaa‘, Allah tujuan kami, dalam setiap amal, tindakan, perbuatan dan usaha dakwahnya.

No comments:

Post a Comment