Saturday, October 08, 2011
Motivasi: Islam Memerlukan Cerdik Pandai
Ketika saya berada di semester pertama di UiTM Arau, saya mencari-cari formula untuk menjadi mahasiswa muslim cemerlang yang sebenar-benarnya. Saya memerlukan jawapan yang paling konkrit kenapa saya perlu cemerlang dan untuk apa saya perlu cemerlang. Buat seketika saya meletakkan asbab saya perlu cemerlang kerana saya dari keluarga miskin dan anak harapan mak ayah. Tetapi hujah ini tidak memuaskan hati saya. Rasa seperti tidak lengkap dan tidak kuat.
Suatu ketika saya menghadiri satu tamrin (kursus) di surau Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI) di Perlis. (Semoga Allah berkati pengasas MATRI, almarhum Syeikh Ustaz Dato’ Dahlan Mohd Zain). Pada sesi sebelah malam, pembentang kertas kerjanya adalah seorang mahasiswa tahun akhir dari UKM. Melihat beliau kali pertama memang tidak menonjolkan sebarang ciri luarbiasa pada dirinya. Namun setelah bertaaruf (berkenalan) sedikit sebanyak, ternyata beliau seorang yang hebat dan mahasiswa yang cemerlang. Hampir 3 jam kami duduk bersimpuh mendengar penyampaian beliau yang penuh bersemangat dan dedikasi. Beliau seolah-olah sedang menyampaikan ceramah kepada ribuan manusia, sedangkan kami hanyalah beberapa orang sahaja. Ternyata aura beliau telah mempengaruhi saya untuk menjadi sepertinya.
Di sepanjang ceramah beliau, ada satu ungkapannya yang telah menjawab persoalan yang saya cari. Katanya;
“Islam memerlukan cerdik pandai untuk menjaga setiap penjuru-penjuru umat agar tidak dibolosi oleh musuh-musuh Islam!”
Setelah pulang dari program tersebut, kata-kata itu terus terngiang-ngiang dalam fikiran. Saya memasuki asrama Pulai di kampus dengan satu perasaan baru. Masuk ke bilik langsung merebahkan tubuh ke tempat tidur. Ingin istirehat tetapi mata tidak mahu terpejam. Hanya menerawang memikirkan sesuatu. Saya tarik nafas panjang-panjang, kemudian dalam hati saya bertekad “Saya harus menjadi salah seorang yang menjaga salah satu dari penjuru Islam itu. Saya harus cemerlang untuk Islam”.
Dan, perjuangan itu dimulai...
Kata-kata sahabat saya itu seolah menjadi sumber penyemangat dalam belajar. Saya semakin bersemangat, belajar saya bukan sekadar untuk melaksanakan harapan mak dan ayah, bukan sekadar mahu keluar dari garis kemiskinan, namun yang terpenting berjaya untuk memenangkan Islam dan meraih pahala dan redha Allah SWT. Dorongan ini menjadi aspirasi dalam kehidupan saya bertempur dengan cabaran pelajaran di kampus.Terkadang sering putus asa juga ketika tidak upaya menyelesaikan persoalan dan cabaran di hadapan saya, terutamanya masalah kewangan yang terbatas. Bagaimanapun semua itu harus saya hadapi, berjuang terus. Untuk berhadapan dengan masalah kewangan, saya bekerja sambilan sebagai kerani sambilan di pejabat HEA pada saya tiada kuliah. Sebelah malam pula saya mengambil upah sebagai pencuci pinggan mangkuk. Dengan duit bekerja inilah saya membiayai pelajaran saya dan Alhamdulillah masih ada baki untuk diberikan kepada keluarga di kampung.
Untuk menjadikan saya cemerlang dalam belajar, saya biasakan diri belajar seawal 4 pagi dengan latih tubi menjawab soalan demi soalan. Saya sentiasa berjumpa pensyarah berbincang soalan-soalan yang sukar saya menjawabnya.
Untuk memperbaiki diri saya agar terbangun peribadi muslim mukmin, saya sabar dalam menjalani dan mengikuti program-program tarbiyah yang disusun oleh murabbi saya. Tarbiyah imaniyah hanya akan berjaya apabila kita memberi dengan jujur hati kita untuk diproses. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana hingga saat ini Allah masih memilih saya untuk berada di jalan tarbiyah dan dakwah. Semoga saya istiqamah.
Serah Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi bahan bacaan wajib pada diri saya. Saya mengambil ibrah dan semangat jihad dari serah ini. Saya juga berusaha mentadabbur Al Quran dari para ustaz di kampus. Kesemua ini adalah sumber kekuatan kita untuk menjadi hamba Allah yang Allah redha dan kehendaki.
Kata-kata Yang Membangkitkan Jiwa
Berawal dari kata-kata yang membangkitkan jiwa dari sahabat saya itu, saya bangkit dan berjuang. Saya percaya bahawa ketika berusaha semaksima mungkin, hasil yang akan diperoleh pasti akan sebanding dengan usaha tadi. Dan, benar juga, pada akhirnya saya dapat menzahirkan cita-cita saya. Yang penting, dari semangat perlu dizahirkan dengan tindakan dan perancangan yang rapid an bersungguh.
Kata-kata memang ajaib. Ianya mampu melemahkan dan juga mampu menguatkan, tergantung dari cara kita mensikapinya. Andai saja saya mensikapi kata-kata sahabat saya dengan pandangan biasa, tentu saja kata-kata itu tidak memberi apa-apa nilai pada diri saya. Tetapi ketika saya dapat merenungi dan mengubahnya menjadi energi positif, alhamdulillah, ternyata ia mencetuskan semangat baru dan semangat itu masih bertahan sehingga saat ini, penggugah dan penyemangat belajar sehingga saya dengan izin Allah dapat menamatkan setiap pengajian saya dengan keputusan 1st Class. Namun saya tidaklah secemerlang sahabat saya yang telah mencetuskan semangat saya untuk belajar dalam kerangka yang Allah kehendaki. Ternyata sahabat saya tadi telah dinobatkan sebagai Mahasiswa Muslim Sains Cemerlang Malaysia dan menjadi pelajar terbaik UKM. Bahkan beliau menamatkan pengajian PhDnya hanya dalam tempoh 2 tahun setengah. Dan sehingga saat ini beliau masih cemerlang dan masih bersemangat dalam menyampaikan dakwahnya. Saya sentiasa mencemburui keistiqamahannya dan kesibukan sebagai profesional mukmin dan sang da’ie yang dinamik. Beliau ialah Dr. Hj. Azizan Ahmad. Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau juga adalah dari keluarga susah dan miskin seperti saya. Kisah perjuangan beliau dalam menempuh keperitan hidup sejak kecil lagi turut menjadi teladan kepada saya.
Ya, untuk berjaya kita perlu memiliki cita-cita dan matlamat hidup yang jelas. Inilah faktor terpenting penentu samada belajar kita akan menjadi ibadah atau tidak. Jika sekadar matlamat belajar kita adalah untuk berjaya mendapatkan karier yang baik dan pendapatan gaji yang tinggi, ya kita mungkin akan mendapatnya. Namun cukupkah sekadar itu sahaja? Seruan saya kepada adik-adik di luar sana yang masih belajar, perkemaskan matlamat belajar anda. Letakkan matlamat yang tertinggi, belajarlah kerana Allah, untuk memenangkan Islam. InsyaAllah, diri kita akan menang jua. Bercita-citalah untuk menjadi profesional mukmin dan sang da’ie yang dinamik. InsyaAllah kejayaan kita akan di pandang oleh Allah SWT. Pesanan saya sesungguhnya dunia ini hanya digerakkan oleh gagasan beberapa orang saja dan saya berharap, saya dan anda adalah salah satunya!
salam..
ReplyDeletesaya sekarang masih belajar, juga mempunyai misi dan matlamat yang sama tapi malangnya saya rasa lemah dan mungkin, futur sedang membaluti diri ini..
sewaktu saudara penulis masih menjadi pelajar, tidakkah pernah saudara merasa futur atau lemah? bagaimana mahu bangkit daripada 'ketiduran' ini?