Thursday, October 20, 2011

Tarbiyah: Realisasi Cerminan Mukmin



Saya kongsikan tazkirah ringkas yang saya sampaikan kepada sekelompok mahasiswa di Pengkalan Chepa, Kelantan...

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain"(HR At-Thabbrani dari Anas RA).

Dari sabda Rasulullah SAW itu dapat disimpulakan beberapa hikmah darinya:

1.Seorang mukmin hendaknya menjadi teladan kebaikan bagi mukmin yang lain. Orang lain akan melihat dan memperhatikannya serta meniru sifat, perkataan dan perbuatannya. Oleh kerana itu dia hendaklah senantiasa menjaga setiap perkataan dan perbuatannya dan memperbaiki sifat-sifat keperibadiannya. Jangan sampai dia menjadi teladan keburukan bagi orang lain kerana keburukan sifat dan perilakunya serta kecelaan sikap dan tutur katanya.

2. Seorang mukmin memiliki tanggungjawab dan amanah dakwah untuk memperbaiki masyarakatnya. Dia hendaklah selalu mendatangkan perubahan yang baik bagi mereka. Bertekad menyebarkan semua kebaikan dirinya agar menjadi sifat dan karakter masyarakatnya. Sehingga menjadi masyarakat yang bermartabat dan penuh wibawa serta dihormati oleh masyarakat lain, persis seperti cermin yang selalu membawa perubahan, siapa pun yang berdiri di hadapannya, mendorongnya untuk merapikan apa yang masih tidak kemas, membersihkan kekotoran yang melekat di badan dan pakaiannya, dan menyedarkan bahawa dirinya memiliki kelebihan yang mungkin tidak terlihat oleh orang lain sehingga tetap percaya diri dengan segenap kelebihan dan kekurangan yang dimilikinya.

3. Menyedari bahawa dia boleh mempengaruhi dan dipengaruhi oleh orang lain. Dia selalu waspada untuk menjaga tutur kata dan perilakunya agar tidak memberikan pengaruh yang buruk kepada orang lain. Senantiasa menjaga pergaulan dan berhati-hati terhadap orang yang akan dijadikan sebagai kawan yang dekat sahabat karibnya, kerana keburukan kawan dan sahabat akan memberikan pengaruh buruk bagi dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

" Seseorang akan mengikuti sahabat akrabnya, maka hendaknya salah seorang di antara kamu senantiasa memperhatikan siapakah orang yang akan dijadikan sebagai sahabat akrabnya".(HR:Abu Daud)

Rahsia disebalik perkataan cermin

Kualiti yang terbaik
1.Kaca termasuk barang yang dibuat dari pasir dari jenis yang terbaik apabila dibandingkan dengan barang-barang lain yang diperbuat dari pasir seperti ceramic dan perkakas lainnya. Terutama untuk membuat kaca cermin diperlukan pasir yang terbaik dari yang terbaik. Apabila kualiti kurang baik, kaca yang dihasilkan tidak boleh digunakan untuk bercermin kerana tidak boleh menghasilkan pantulan yang sempurna sehingga gambar yang ditampilan tidak terlihat sebagaimana wajah aslinya.

Seorang mukmin hendaknya menyedari bahawa dia adalah makhluk yang mulia dan termasuk manusia pilihan kerana Allah telah memilihnya di antara jutaan manusia untuk menerima anugerah terbesar dari Allah iaitu anugerah iman dan Islam. Kesedaran ini akan malahirkan sikap izzah/bangga, sebagai seorang mukmin, sikap waspada dan berhati-hati untuk menjaga tutur kata dan perilakunya agar tidak sampai menurunkannya dari kemuliaan yang telah dianugerahkan kepadanya. Kesedaran ini juga akan akan melahirkan tindakan-tindakan konkrit untuk terus menerus melakukan perbaikan diri sehingga boleh mempertahankan kedudukannya bahkan semakin meningkatkan darjatnya di sisi Allah mahupun di sisi manusia.

Dari Abu Hurairah RA, bersabda Rasulullah, :

“Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa malas.." (HR Muslim)



Bermanfaat untuk semua orang
2. Kebiasaannya cermin boleh didapati di setiap rumah, bilik, hotel, kedai dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan cermin termasuk barang keperluan untuk memperbaiki penampilan seseorang samada dia orang kaya atau sebaliknya. Begitulah hendaknya seorang mukmin hendaklah menjadi orang yang diperlukan oleh semua orang dan memberikan kemanfaatan kepada semua orang tanpa membezakan status kedudukan mereka kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang yang paling banyak memberi kemanfaatan kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"“Barangsiapa yang boleh memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya." (HR Muslim)


Menasihati dengan bijak
3.Setiap orang yang bercermin pasti akan mengikuti apa yang menjadi nasihat sang cermin dan dengan segera melakukan apa yang dinasihati oleh cermin dan melakukan dengan segera apa yang menjadi arahannya. Apabila dia melihat dirinya dicermin kurang rapi atau ada kotoran di badan dan pakaiannya atau rambutnya dia akan segera merapikan, membersihkan kotoran dan menyisir rambutnya dengan segera dan sama sekali tidak tersinggung serta marah kepada cermin yang menunjukkan kekurang-kekurangannya. Oleh kerana itu, setiap mukmin hendaknya meneladani sang cermin dalam memberikan nasihat dan arahan-arahan kepada orang lain. Dia hendaklah memperhatikan adab-adab dalam memberi nasihat, jangan memberi dengan kata-kata kasar dan dengan niat memburuk-buruk orang yang dinasihati kerana dia akan tersinggung dan menyebabkan dia akan menolak nasihat tersebut bahkan akan berlaku kasar terhadapnya kerana dia telah menganggap harga dirinya telah dinodai.

Menjaga rahsia.
4. Cermin tidak pernah membuka rahsia siapa pun orang yang pernah berdiri di depannya. Dia tidak pernah mengatakan kepada orang yang bercermin, " Apakah engkau kenal dengan si fulan bin si fulan tadi dan sesungguhnya saya merasa muak dengan penampilannya, saya mahu muntah mencium bau badannya". Begitu jugalah hendaknya seorang mukmin, dia hendaklah menjaga rahsia saudaranya dan menutup aibnya kerana dia menyedari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat". (HR Muslim)

Kejujuran
5. Cermin tidak pernah berbohong kepada orang yang berdiri di hadapannya, kalau orang yang berdiri dihadapannya itu berketerampilan rapi maka ia akan memunculkan bayangan yang rapi. Demikian juga sebaliknya. Demikian jugalah hendaknya seorang mukmin akan senantiasa berkata jujur kepada siapa pun dan berada di mana pun, kecuali ketika berada di medan perang saat bersengketa dengan musuh. Seorang yang jujur akan mudah disukai oleh mukmin yang lain. Peribadi jujur adalah sahsiah utama yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, sifat jujur baginda telah menarik perhatian masyarakat Quraish. Baginda sentiasa berkata benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jikalau mereka jujur kepada Allah, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (QS Muhammad: 21)

“Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur” (QS At-Taubah: 119)


Memerlukan orang lain untuk menjaga dan membersihkannya.
6. Betapapun cermin memiliki pelbagai- bagai sifat kebaikan, namun ia juga memiliki kekurangan. Ia akan pecah kalau tidak dijaga dan dilindungi. Ia akan kotor berdebu kalau tidak dibersihkan secara rutin oleh orang yang memakainya. Jadi sehebat mana sekalipun seorang mukmin masih memerlukan nasihat dan sumbangan pemikiran dari orang lain. Dia memerlukan perlindungan diri dari godaan syaitan dan manusia dengan hidup di tengah lingkungan yang baik dan di antara orang-orang solihin.

Kisah seorang ahli ibadah yang akhirnya mengalami su'ul khatimah dengan bersujud kepada syaitan untuk mendapat perlindungan darinya setelah melakukan perzinaan dan pembunuhan terhadap seorang gadis seharusnya menjadi pelajaran yang penting bagi seorang mukmin untuk hidup berjemaah kerana salah satu faktor yang menyebabkan dia tergelincir jauh adalah apabila dia hidup menyendiri dan tidak berada bersama-sama dengan orang-orang solehin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud

“Hendaknya kamu senantiasa komitmen terhadap jemaah kerana syaitan akan bersama orang-orang yang bersendirian dan di dua orang dia akan lebih jauh." (HR.Ahmad)

Justeru, apa yang penting pada saat ini kita memerlukan suasana tarbiyah Islamiyah. Untuk apa? Agar kita di tarbiyah dengan tarbiyah Islam. Tarbiyah islamiyah adalah proses penyiapan manusia yang soleh, yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, tujuan, ucapan, dan tindakannya secara keseluruhan. Tarbiyah adalah proses yang panjang, lama dan berterusan. Sehingga ia benar-benar mengubah kita menjadi khalifah dan a'bid yang sebenarnya.

Suasana hari ini cukup pekat dengan suasana yang merosakkan, sehingga potensi kita untuk menjadi cerminan mukmin pudar dan tiada kesan. Maka kita perlu kepada tarbiyah. Kata Hasan Al-Banna:

"Jalan penyelesaiannya hanya melalui tiga cara; mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan dan wujudnya seorang doktor pakar (pendidik/murabbi) yang menjalankan rawatan ini hingga Allah mengizinkan dia menyembuhkan dan mencapai kejayaan.”


Rujukan dan suntingan dari Syarah al-hadis al-arbain at-tarbawiah oleh Fakhuddin Nursyam.

1 comment:

  1. “ Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain"

    seorang suami adalah cermin bagi isterinya..
    seorang ayah adalah cermin bagi anak-anaknya..
    seorang guru adalah cermin bagi muridnya..
    seorang pemimpin adalah cermin bagi masyarakatnya..

    ReplyDelete