Friday, November 25, 2011

Impak Ikhlas Dalam Kehidupan

Bicara tajuk ikhlas bukanlah satu yang mudah bagi saya, suatu saat saya ditanya dengan persoalan bagaimana kita dapat mengetahui samada seseorang itu ikhlas atau tidak? Sambil memandang wajah yang bertanya saya sekadar tersenyum dan menyeru agar beliau terus beramal dan menjaga keikhlasan beramal. Kemudian saya teringat akan satu dialog yang berlaku di zaman Rasulullah SAW yang bertanyakan persoalan keikhlasan. Suatu saat ada seorang lelaki menghadap Rasulullah SAW dan bertanya “Wahai Rasulullah, bagaimana menurut anda jika seseorang berperang dan berjihad di jalan Allah dengan niat untuk mencari upah dan kelebihan pujian dan nama, agar diingati dan disebut-sebut sebagai seorang patriot yang pemberani, apa yang akan diperolehinya?”

Baginda menjawab; “Beliau tidak mendapat apa-apa.”

Yang bertanya mengulangi pertanyaannya lagi sehingga tiga kali. Dan Baginda SAW tetap menjawab; “Tidak ada.” Terakhir nabi bersabda;

“Sesungguhnya Allah tidak akan menerima suatu amalan kecuali yang dikerjakan dengan penuh keikhlasan semata kerana-Nya dan didedikasikan untuk mencari keredhaan-Nya.” (HR An-Nasa’i).

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“…Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorangpun dalam beribadah kepada Tuhan-nya.” (Al-Kahfi: 110)

Tuntutan ikhlas adalah merupakan asas kepada penerimaan amal kita disisi Allah SWT dan melayakkan kita untuk menerima pertolongan-Nya. Sungguh tidak ada yang dapat menyelamatkan kita dari musibah hidup kecuali keikhlasan. Dalam satu hadith dari Nafi’ diriwayatkan dari Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Ada tiga orang dari umat sebelum kalian yang sedang mengadakan perjalanan. Tiba-tiba mereka ditimpa oleh hujan, maka mereka berteduh di dalam sebuah gua. (Tanpa disangka), pintu gua tersebut tertutup, (kerana pintunya tertutup oleh sebuah batu besar). Maka ada sebahagian dari mereka yang berkata kepada yang lain: “Demi Allah, tidak akan ada yang dapat menyelamatkan kalian kecuali sifat jujur (keikhlasan), oleh kerananya, saya harap agar masing-masing kalian berdoa (kepada Allah SWT) dengan perantara (wasilah) suatu amal yang dia yakin dikerjakan dengan penuh kejujuran (keikhlasan).

Seorang dari mereka berdoa: “Ya Allah, Engkau tahu bahawa dulu aku punya seorang pekerja yang bekerja padaku dengan imbalan 3 gantang padi. Tapi, tiba-tiba dia pergi dan tidak mengambil upahnya. Kemudian aku ambil padi tersebut lalu aku tanam dan dari hasilnya aku belikan seekor sapi. Suatu saat, dia datang kepadaku untuk menagih upahnya. Aku katakan padanya, ‘Pergilah ke sapi-sapi itu dan bawalah dia’. Orang itu berkata kembali, ‘Upahku yang ada padamu hanyalah 3 gantang padi’. Maka aku jawab, ‘Ambillah sapi-sapi itu, sebab sapi-sapi itu hasil dari padi yang tiga gantang dulu’. Akhirnya dia ambil juga. (Ya Allah), bila Engkau tahu bahawa apa yang aku perbuat itu hanya kerana aku takut kepadaMu, maka keluarkanlah kami (dari gua ini).” Tiba-tiba batu besar (yang menutupi gua itu) bergeser.

Seorang lagi berdoa: “Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku mempunyai ibu dan bapa yang sudah tua. Setiap malam aku membawakan untuk keduanya susu dari kambingku. Suatu malam aku datang terlambat pada mereka. Aku datang kala mereka sudah tidur lelap. Saat itu, isteri dan anak-anakku berteriak kelaparan. Biasanya aku tidak memberi minum buat mereka sehingga kedua orang tuaku terlebih dahulu minum. Aku enggan membangunkan mereka, aku juga enggan meninggalkan mereka sementara mereka perlu minum susu tersebut. Maka, aku tunggu mereka (bangun) sampai fajar menyingsing. (Ya Allah), bila Engkau tahu bahawa hal tersebut aku kerjakan hanya kerana takut padaMu, maka keluarkanlah kami (dari gua ini). Tiba-tiba batu besar itu bergeser lagi.

Yang lain lagi juga berdoa: “Ya Allah, Engkau tahu aku mempunyai saudari sepupu (anak perempuan bapa saudara), dia adalah wanita yang paling aku cintai. Aku selalu menggoda dan memujuknya (berbuat dosa) tapi dia menolak. Hingga akhirnya aku memberinya (pinjaman) 100 dinar. (Jelasnya), dia memohon wang pinjaman dariku (kerana dia sangat memerlukan dan terpaksa), maka (aku jadikan hal itu sebagai helah untuk mendapatkan kehormatannya). Maka aku datang kepadanya membawa wang tersebut lalu aku berikan kepadanya, akhirnya dia pun memberiku kesempatan untuk menjamah dirinya. Ketika aku duduk di antara kedua kakinya, dia berkata, ‘Bertakwalah engkau kepada Allah, janganlah engkau merosak cincin kecuali dengan haknya’. Maka dengan segera aku berdiri dan keluar meninggalkan wang 100 dinar itu (untuknya). Ya Allah, bila Engkau tahu bahawa apa yang aku kerjakan itu hanya kerana aku takut kepadaMu, maka keluarkanlah kami (dari gua ini)”. Tiba-tiba bergeserlah batu itu sekali lagi, dan Allah pun mengeluarkan mereka . (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Tidakkah kisah di atas mengugah jiwa kita untuk bertanya pada diri kita sendiri, apakah kita memiliki satu amalan mulia yang pernah kita kerjakan dan itu menjadi rahsia tersendiri antara kita dengan Allah SWT sehingga kelak dapat kita jadikan sebagai wasilah ditengah situasi genting. Tidak perlu kita bimbangkan samada urusan dan amalan orang lain itu ikhlas atau tidak, sebaliknya kita harus bimbangkan sejauh mana kejujuran kita dalam beramal.

Al-Junaid menuturkan; “Keikhlasan adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya yang tidak diketahui oleh malaikat (sekalipun) hingga ia tidak tercatat, juga tidak diketahui oleh syaitan sehingga ia tidak dapat merosakkan.”

Ikhlas adalah rahsia antara kita dengan Allah. Namun kita akan dapat merasakan desiran keikhlasan saat ia memenuhi hati. Kita akan merasakan keikhlasan saat air mata kita mengalir, hati kita tergerak dan terdorong kuat untuk melakukan amal ketaatan. Semoga kita sentiasa menjaga keikhlasan amal kita hanya sanya kerana Allah SWT semata.

No comments:

Post a Comment