Thursday, December 01, 2011

LangitIlahi.Com: Hijrah, Mensyurgakan Perubahan

Setiap kali muncul bulan Muharam, kita pasti akan diperingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul SAW dan para sahabat. Kita juga akan diseru untuk melakukan hijrah, berhijrah kepada yang lebih baik.

Pada saat ini, bagaimana perkembangan hijrah kita dari tahun ke tahun? Apakah proses hijrahnya masih berjalan? Turun naik prestasinya? Tidak menentu? Terbengkalai? Makin teruk? Merudum? Masih belum temui kunci untuk berubah menjadi lebih baik? Semoga perkembangan hijrah kita semakin baik, insyaAllah.

Buat anak muda di luar sana, janganlah pernah merasa lelah dan berhenti dari proses hijrah kepada yang lebih baik. Selagi mana anda meminjam oksigen yang pemiliknya Allah SWT maka selagi itu, bernafaslah dengan nafas sang penghijrah yang tidak pernah putus asa mengharap redha Allah dan keselamatannya di akhirat kelak!

Sudah menjadi lumrah, hati kita mudah berbolak balik kerana itu adalah sifatnya hati. Maka begitu jugalah dengan keazaman hijrah kita untuk menjadi baik, prestasinya turun naik juga. Tetapi wahai anak muda, berbicara berkenaan hijrah bukan sekadar menanam azam baru dan kemudian bersarang dengan sarang lelabah. Sebaliknya kita harus mencari asbab yang penting mengapa kita harus sentiasa berhijrah kepada yang lebih baik agar semangat hijrah dan mahu berubah tadi membentuk kehidupan kita menjadi hamba Ilahi yang terbaik. Andai kata kita masih lalai dan alpa, maka kita harus halusi, mencari sebab yang kukuh dan kuat untuk segera berhijrah agar dengan sebab yang kuat itu akan membantu melajukan momentum kita untuk berubah menjadi baik.

Arakiannya, kenapa kita harus berubah menjadi lebih baik? Apakah kerana mahu kita dipandang baik oleh sisi masyarakat? Apakah kerana kita mahu memenangi hati si pulan yang kita cintai? Atau kerana kita ini adalah orang Melayu yang terkenal dengan budaya adab dan sopan? Jangan lupa ya, statistik masalah sosial meletakan bangsa kita, khasnya golongan belia sebagai peneraju segala penyakit masyarakat.

Hari ini berubah dan berhijrah itu semakin rumit, akibatnya ada yang berubah dari baik kepada kurang baik dan dari kurang baik kepada kebobrokan jiwa dan akhlak. Bahkan mereka ini berbangga pula dengan perubahan sebegini. Mengapa ini terjadi?

Mereka Luarbiasa!

Mengapa Bilal bin Rabah, masih mampu menahan batu besar yang diletakkan di atas dadanya di tengah padang pasir yang panas walaupun beliau boleh terlepas dari siksaan itu dengan hanya mengistiharkan dirinya keluar dari agama Muhammad?

Mengapa begitu setianya keluarga Yasir tatkala setiap hari Yasir, Sumayyah dan ‘Ammar dibawa ke padang pasir Mekah yang amat panas, lalu didera dengan pelbagai azab dan siksa hingga mencapai puncaknya. Namun keluarga ini menunjukkan sikap dan pendirian yang tetap terhadap Islam.

Apa makna hijrah bagi Suhaib ar Rumi apabila hijrahnya berubah dari seorang yang kaya kepada yang miskin? Ibnu Hisyam meriwayatkan bahawa ketika Suhaib RA berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib RA menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya. Suhaib RA menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah SAW berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.”

Apa makna perubahan bagi Mus’ab bin Umair RA , seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya.

Apa yang cuba diajarkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar kepada kita. Peristiwa Hijrah menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma’ yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan ayahandanya Abu Bakar di saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma’ mengambil peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah SAW dan ayahnya turut sama terancam.

Kenapa Hanzalah sanggup meninggalkan “malam pertama” bersama isteri tercinta semata-mata menyahut seruan jihad! Akhirnya beliau syahid dan jenazahnya dimandikan oleh para malaikat.

Apa yang berlaku kepada Abu Sufian, lebih dari 20 tahun menentang dakwah Rasulullah dan mengetuai peperangan memerangi Rasulullah SAW kemudian beliau tampil melakukan hijrah kubra dengan menyertai pasukan Rasulullah dan menjadi benteng Rasulullah SAW dalam perang Hunain. Sejak keislamannya, Abu Sufian menghabiskan waktunya dengan beribadah dan berjihad, untuk menghapus bekas-bekas masa lalu dan mengejar ketertinggalannya.

Apa yang mereka (para sahabat Rasulullah) belajar dari Rasulullah SAW sehingga mereka berhijrah dan berubah menjadi manusia luarbiasa? Mereka mulakan langkah hijrah dengan berani, yakin, semangat dan konsisten sehingga keakhirnya,

Momentum Iman, Mendambakan Syurga!

Ya! Inilah jawapannya. Mereka memiliki keimanan yang tulen, kemudian iman itu menjadi penggerak kepada perubahan mereka. Untuk berubah dan berhijrah, sudah pastilah kita perlukan pendorong yang betul dan kuat. Pendorong yang berbeza daripada pendorong-pendorong manusia biasa. Kita perlukan pendorong yang betul, hakiki dan abadi. Sesungguhnya dorongan iman adalah pendorong sebenar, yang datang dari lubuk hati yang yakin kepada Allah SWT. Sesungguhnya pendorong ini lebih kuat, gagah, istiqamah dan menjamin keiltizaman. Pendorong ini lebih bersih, suci dan dirasai nikmatnya oleh orang-orang mukmin. Hakikat imanlah yang mendorong orang mukmin melakukan perintah-perintah Allah SWT. Adapun pendorong lain boleh membawa kepada syirik dan sia-sia. Syirik telah banyak berlaku dalam masyarakat disebabkan manusia tidak memahami tauhid dan hakikat ‘ubudiyah kepada Allah SWT. Kita sentiasa disuruh menyemak akan objektif dan niat kita supaya semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT.

Sesungguhnya buat para sahabat RA, Iman menjadi mendorong mereka untuk berhijrah meninggalkan kebobrokan dan keterpurukan jiwa kepada kemulian hati, ketinggian cita-cita untuk meraih redha dan syurga Allah. Ada lagikah matlamat terbesar selain beroleh redha Allah dan dimasukan kedalam syurga-Nya? Maka dengan momentum iman itulah mereka berjihad besar melawan hawa nafsu menyertai kafilah syurga! Allah SWT berfirman;

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar darjatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)

Buat para pemuda pemudi Islam, mulakan perubahanmu dengan memperbaiki keimananmu kepada Allah. Untuk meraih perubahan yang benar dan “longlife”, maka berubahlah dengan asbab iman dan taqwa kita kepada Allah. Mari kita mensyurgakan perubahan diri kita.

Berlabuh di Taman syurga

Untuk memaknai dan memulai proses mensyurgakan perubahan kita, maka ayuh kita berlabuh di taman syurga Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda;

“Apabila engkau melewati taman-taman syurga, berlabuhlah di sana.” Ada sahabat bertanya, “Apakah taman-taman syurga itu.” Baginda menjawab, “Majlis-majlis ilmu.” (HR Thabrani)

Jangan pernah lekang hati kita dari menghadiri majlis-majlis ilmu, apatah lagi majlis tarbiyah ruhiyah. Justeru itu, saat umat Islam bercelaru dan melemah selepas kejatuhan khilafah Islam di Turki, Imam Hasan Al Banna memperkenalkan siri program-program di taman syurga dengan pelbagai nama dengan sistematik dan menarik seperti usrah, halaqah, ijtima’, tamrin, rehlah, mukayyam, muktamar dan sebagainya. Dalam pertemuan-pertemuan di taman syurga itu dipenuhi dengan tadabur Quran, membangun jiwa dan menguatkan keimanan bermula dari keteguhan aqidah, ketekunan ibadah, kemuliaan peribadi, kuat tubuh badan, melawan hawa nafsu, pengurusan sistematik sehinggalah lahirnya manusia yang bermanfaat. Taman-taman syurga ini hidup dengan proses menyirami hati-hati para sahabatnya dengan acuan iman dan dengan acuan itu bangkitlah generasi baru abad 21 yang mengulang kembali perjuangan risalah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Begitu juga buat kami anak-anak muda di langitIlahi.com. Keberadaan dalam majlis-majlis halaqah adalah satu kewajiban buat kami semua, samada penulis, photographer, kartunis, editor, web master atau apa saja peranannya. Mensyurgakan perubahan bermula dengan berlabuh di taman-taman syurga. Itulah kewajipan kami dan anda semua juga.

Anak muda, jangan pernah meninggalkan majlis ilmu demi meraih syurga hakiki. Jangan bermalasan dan memberi alasan dengan kesibukanmu maka dikau tidak ada masa berlabuh di taman syurga. Nasihat Ibnu Taimiyah;

“Di dunia ini ada taman-taman syurga, barangsiapa tidak memasuki taman syurga di dunia, maka dia tidak akan dapat memasuki syurga itu di akhirat kelak.”

Sentiasalah melakukan “jump start” untuk berhijrah, berubah secara total dengan iman sebagai penggerak tujuan. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa set minda (mind set) untuk menjadi baik dan lebih baik di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik. Salam hijrah!

Petikan dari artikel penulis di http://langitilahi.com/5858#more-5858

No comments:

Post a Comment