Dari Ibnu Umar RA beliau berkata: Rasulullah SAW pernah
memegang kedua pundakku seraya bersabda, “Jadilah engkau di dunia seperti orang
asing atau musafir”. Ibnu Umar berkata: “Jika engkau berada di petang hari
jangan menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada waktu pagi hari
jangan menunggu datangnya malam. Pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan
masa hidupmu sebelum mati.” (HR. Bukhari)
Hadits ini adalah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar berisi nasihat Nabi
SAW kepada beliau. Hadits ini dapat menghidupkan hati kerana di dalamnya
terdapat peringatan untuk menjauhkan diri dari tipuan dunia, masa muda, masa
sihat, umur dan sebagainya. Al-Hafidz Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Hadits ini merupakan asas yang menekankan
kepada seorang hamba untuk mengosongkan hatinya terhadap dunia, zuhud
terhadapnya, menghinakannya, merendahkannya, dan qana`ah (merasa cukup) dari
dunia dengan bekal yang sekadarnya dalam menjalani hidupnya.” (Fathul Bari,
11/238)
Jika manusia mahu memahami hadits ini maka di dalamnya terkandung wasiat
penting yang sesuai dengan realiti hari ini. Sesungguhnya manusia memulai
kehidupannya di syurga kemudian diturunkan ke bumi ini sebagai cubaan, maka
manusia adalah seperti orang asing atau musafir dalam kehidupannya.
Kedatangan
manusia di dunia adalah seperti datangnya orang asing. Sedangkan sebenarnya
tempat tinggal Adam dan orang yang mengikutinya dalam masalah keimanan,
ketakwaan, tauhid dan keikhlasan pada Allah adalah syurga. Sesungguhnya Adam
diusir dari syurga adalah sebagai cubaan dan balasan atas perbuatan apa yang
dilakukannya. Jika kita mahu merenungkan hal ini, maka kita akan berkesimpulan
bahawa seorang muslim yang hakiki akan senantiasa mengingatkan nafsunya dan
mendidiknya dengan prinsip bahawa sesungguhnya tempat tinggalnya adalah di
syurga, bukan di dunia ini. Dia berada pada tempat yang penuh cubaan di dunia
ini, dia hanya seorang asing atau musafir sebagaimana yang disabdakan oleh
Rasulullah SAW.
Betapa indah perkataan Ibnu Qayyim rahimahullah ketika menyebutkan bahawa
kerinduan, kecintaan dan harapan seorang muslim kepada syurga adalah kerana
syurga merupakan tempat tinggalnya semula. Seorang muslim sekarang adalah
tawanan musuh-musuhnya dan diusir dari negeri asalnya kerana iblis telah
menawan bapak kita, Adam ‘alaihissalam dan dia melihat, apakah dia akan
dikembalikan ke tempat asalnya atau tidak. Oleh kerana itu, alangkah bagusnya
perkataan seorang penyair:
Palingkan hatimu pada apa saja yang kau
cintai
Tidaklah kecintaan itu kecuali pada cinta pertamamu
Iaitu Allah.
Berapa banyak tempat tinggal di bumi yang ditempati seseorang
Dan selamanya kerinduannya hanya pada tempat tinggalnya yang semula...
Iaitu syurga
Demikianlah,
hal ini menjadikan hati senantiasa bertaubat dan tawadhu’ kepada Allah. Iaitu
orang yang hati mereka senantiasa bergantung pada Allah, baik dalam kecintaan,
harapan, rasa cemas, dan ketaatan. Hati mereka pun selalu terkait dengan negeri
yang penuh dengan kemuliaan iaitu syurga.
Mereka
mengetahui syurga tersebut seakan-akan berada di depan mata mereka. Mereka
berada di dunia seperti orang asing atau musafir. Orang yang berada pada
situasi ini seakan-akan mereka adalah orang asing atau musafir tidak akan
merasa senang dengan keadaannya sekarang. Kerana orang asing tidak akan merasa
senang kecuali setelah berada di tengah-tengah keluarganya. Sedangkan musafir
akan senantiasa mempercepat perjalanannya agar urusannya segera selesai.
Demikianlah hakikat dunia. Nabi Adam telah menjalani masa hidupnya. Kemudian
disusul oleh Nabi Nuh yang hidup selama 1000 tahun dan berdakwah pada kaumnya
selama 950 tahun,
“Maka ia tinggal di antara mereka seribu
tahun kurang lima puluh tahun.” (Al Ankabut: 14)
Kemudian zaman baginda selesai dan telah berlalu. Kemudian ada lagi sebuah kaum
yang hidup selama beberapa ratus tahun kemudian zaman mereka berlalu. Kemudian
setelah mereka, ada lagi kaum yang hidup selama 100 tahun, 80 tahun, 40 tahun
50 tahun dan seterusnya. Hakikat mereka adalah seperti orang asing atau
musafir. Mereka datang ke dunia kemudian mereka pergi meninggalkannya. Kematian
akan menimpa setiap orang. Oleh kerana itu setiap orang wajib untuk memberikan
perhatian pada dirinya. Musibah terbesar yang menimpa seseorang adalah
kelalaian tentang hakikat ini, kelalaian tentang hakikat dunia yang sebenarnya.
Jika Allah memberi nikmat padamu sehingga engkau dapat memahami hakikat dunia
ini, bahawa dunia adalah negeri yang asing, negeri yang penuh ujian, negeri
tempat berusaha, negeri yang sementara dan tidak kekal, niscaya hatimu akan
menjadi sihat. Adapun jika engkau lalai tentang hakikat ini maka kematian dapat
menimpa hatimu. Semoga Allah menyedarkan kita semua dari segala bentuk
kelalaian.
Allah
SWT dalam banyak ayat dari kitab-Nya yang mulia menyebutkan permisalan dunia
yang semuanya menunjukkan bahawa dunia itu nilainya sangat rendah dan hina,
sementara kehidupan dan kesenangannya hanya bersifat fana. Allah Yang Maha Suci
berfirman:
“Ketahuilah oleh kalian, kehidupan dunia
itu hanyalah permainan dan sesuatu yang melalaikan, perhiasan dan tempat kalian
bermegah-megah dan berbangga-bangga akan banyaknya harta dan anak.
Permisalannya seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani,
kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya menguning kemudian
hancur. Dan di akhirat kelak ada adzab yang pedih dan ampunan dari Allah serta
keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang
menipu.” (Al-Hadid: 20)
Dalam ayat lain, Allah berfirman:
“Dan berikanlah kepada mereka permisalan
tentang kehidupan dunia, iaitu seperti air yang Kami turunkan dari langit. Maka
kerananya menjadi subur tumbuhan-tumbuhan di muka bumi. Kemudian
tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah
Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al Kahfi: 45)
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya janji Allah itu benar. Maka sekali-kali
janganlah kehidupan dunia itu memperdaya kalian dan janganlah sekali-kali orang
yang pandai menipu memperdayakan kalian tentang Allah.” (Fathir: 5)
Ibnu Katsir berkata: “Dunia adalah
perhiasan yang akan binasa dan merupakan tipuan bagi orang yang cenderung
padanya. Dia tertipu dengan dunia dan menjadi terlena kerananya, sehingga
meyakini bahawa dunia adalah negeri yang tidak ada negeri selainnya dan
kehidupan yang tidak ada lagi kehidupan setelahnya. Padahal dunia ini sangat
rendah dan hina, teramat kecil bila dibandingkan dengan kehidupan akhirat.”
(Tafsir Ibnu Katsir, 4/335)
Demikianlah hakikat dunia, ia adalah permainan, sesuatu yang melalaikan diri
dan hati. Ini terlihat pada orang-orang yang menghamba dunia yang cenderung
menghabiskan umurnya dengan segala hal yang melalaikan hati dan melupakan dari
berzikir kepada Allah, lalai akan janji dan ancaman-Nya. Malah, mereka
menjadikan agama sebagai barang olok-olokan dan gurauan. Berbeza keadaannya
dengan orang-orang yang hidup hatinya dengan zikir kepada Allah, mengenal dan
mencintai-Nya, sehingga mereka pun memburu akhirat sebagai negeri yang kekal
nan abadi.
Sahabat yang mulia, Jabir RA mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW pernah
melewati di sebuah pasar sedangkan manusia mengelilingi baginda. Lalu baginda
melewati bangkai anak kambing yang cacat telinganya. Beliau mengambilnya dan
memegang telinga bangkai kambing itu, seraya bersabda: “Siapa di antara kalian yang mahu memiliki anak kambing ini dengan
harga satu dirham?” Para sahabat menjawab: “Kami tidak mahu anak kambing itu
menjadi milik kami walau dengan harga sedikit, bahkan apa yang dapat kami
perbuat dengan bangkai ini?” Kemudian baginda berkata lagi: “Apakah kalian suka
anak kambing ini menjadi milik kalian?”. Mereka menjawab: “Demi Allah,
seandainya pun anak kambing ini hidup malahan cacat telinganya, apatah lagi dia
dalam keadaan mati?” Mendengar pernyataan mereka, Rasulullah SAW bersabda:
“Demi Allah, sungguh
dunia ini lebih rendah dan hina bagi Allah daripada bangkai anak kambing ini
bagi kalian (dalam penilaian kalian).” (HR. Muslim)
Kembali kita kepada hadith di atas, kemudian Ibnu Umar RA melanjutkan dengan
berwasiat,
“Jika engkau berada di petang hari jangan
menunggu datangnya pagi dan jika engkau berada pada pagi hari jangan menunggu
datangnya petang”.
Pelajarannya, hendaklah Anda senantiasa waspada dengan kematian yang datang
secara tiba-tiba. Hendaklah Anda senantiasa siap dengan datangnya kematian.
Disebutkan dari para ulama salaf dan ulama hadits bahawa jika seseorang
diberitahu bahawa kematian akan datang kepadanya malam ini, maka belum tentu
dia dapat menambah amal kebaikannya. Hal ini dapat terjadi dengan senantiasa
mengingat hak Allah. Jika dia beribadah, maka dia telah menunaikan hak Allah
dan ikhlas dalam beribadah hanya untuk Rabbnya. Jika dia memberi nafkah pada
keluarganya, maka dia melakukannya dengan ikhlas dan sesuai dengan syariat.
Jika dia berjual beli, maka dia akan melakukan dengan ikhlas dan senantiasa berharap
untuk mendapatkan rezeki yang halal.
Demikianlah,
setiap kegiatan yang dia lakukan, senantiasa dilandasi oleh ilmu. Ini adalah
keutamaan orang yang memiliki ilmu, jika mereka bertindak dan berbuat sesuatu
maka dia akan senantiasa melandasinya dengan hukum syariat. Jika mereka berbuat
dosa dan kesalahan, maka dengan segera mereka akan memohon ampunan. Maka dia
akan seperti orang yang tidak berdosa setelah beristigfar. Ini adalah kedudukan
mereka. Oleh kerana itu Ibnu Umar RA mengatakan:
“Pergunakanlah masa sihatmu sebelum sakit dan masa hidupmu sebelum mati.” (HR.
Bukhari)
Kesihatan ini merupakan nikmat dari Allah SWT yang banyak dilupakan oleh
manusia sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:
“Ada dua kenikmatan yang manusia banyak
tertipu padanya iaitu kesihatan dan waktu lapang.” (HR Al-Bukhari)
Bersegeralah pula beramal ketika masih hidup, mengumpulkan bekal
sebanyak-banyaknya sebelum kematian menjemput.
“Hendaklah setiap jiwa memperhatikan apa
yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat).” (Al-Hasyr: 18)
Rumusan
Teladan
kita yang mulia, Rasulullah SAW sangat mengutamakan kehidupan akhirat sehingga
bersahaja kehidupannya di dunia, sementara baginda adalah kekasih Allah,
makhluk-Nya yang paling mulia dan pemimpin anak Adam. Satu saat sahabat yang
mulia Umar RA pernah mengatakan:
“Aku pernah masuk ke
rumah Nabi SAW, aku dapati baginda sedang berbaring di atas tikar tipis yang
dianyam tanpa beralaskan sesuatu, hingga tampak berbekas pada punggung baginda
yang mulia. Baginda bertelekan pada bantal kulit yang diisi dengan sabut.
Melihat hal itu, aku pun menangis. Nabi SAW bertanya: ‘Apa yangmembuatmu
menangis, wahai ‘Umar?’. ‘Umar menjawab: “Demi Allah, wahai Rasulullah, tidak
ada yang membuatku menangis, melainkan kerana aku mengetahui bahawa engkau
lebih mulia di sisi Allah daripada raja Kisra (penguasa Parsi) dan Qaisar
(penguasa Romawi). Keduanya hidup bergelimang dengan kemewahan dan gemerlapnya
dunia, sementara engkau wahai Rasulullah berada pada tempat yang seperti aku
lihat saat ini!’
Rasulullah SAW
menjawab:
‘Tidakkah engkau
redha wahai Umar, mereka mendapatkan dunia sementara kita mendapatkan negeri
akhirat?’. Aku menjawab: ‘Tentu, wahai Rasulullah.’ Baginda mengatakan:
‘Demikianlah keadaannya wahai ‘Umar’.” (HR. Al-Bukhari).
Ibnu
Rajab RA berkata: “Apabila demikian
halnya, maka menjadi jelaslah bagi seorang mukmin untuk menggunakan sisa
umurnya bagi mengumpulkan amalan kebajikan. Benarlah orang yang berkata: ‘Sisa
umur seorang mukmin tidaklah ternilai harganya’.” (Jami’ul Ulum, 2/391)
Beringatlah
kita bahawa dunia sejatinya adalah sebuah terminal persinggahan untuk menuju
terminal terakhir, kehidupan akhirat yang kekal. Saat ini kita berkelana di
atasnya sebagai seorang pengembara atau musafir menempuh perjalanan yang sangat
jauh menuju terminal terakhir. Di sanalah kelak orang akan menuai kebahagiaan
yang sejati, sebagaimana juga akan menuai penderitaan yang abadi. Allah
berfirman:
Tetapi
kamu orang-orang kafir memilih kehidupan dunia. Sedangkan kehidupan akhirat adalah
lebih baik dan lebih kekal. (QS al-A’la: 16-17)