Monday, August 30, 2010

Ramadhan, Al Quran Dan Graduan Bertaqwa


Ramadhan adalah universiti tarbiyah yang luarbiasa. Pelbagai ganjaran berganda dihidangkan buat kita semua. Dalam kesibukan kita mengutip pahala yang melimpah ruah pada setiap amal ibadah yang kita laksanakan, di dalamnya sarat dengan muatan tarbiah ruhiyah, membangkitkan kembali jiwa yang penuh sesak dengan rawasib-rawasib (karat) dosa sejak pasca ramadhan tahun yang lalu. Kini Allah yang Maha Pengasih memberi peluang buat sekian kalinya kepada kita untuk memberikan jiwa kita ditarbiyah kembali melalui universiti tarbiyah ini, agar saat graduasi kelak, kita akan beroleh keputusan yang cemerlang, lulus sebagai mukmin muttaqin, yang bertaqwa.

Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. Justeru, sepanjang ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk meraih pahala berganda, khususnya buat para duah, tetapi ditadabur untuk menggapai formula membina muslim yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa.

Ramadhan adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyahan kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa.

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Anfal:29)

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)

Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)

Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati?

Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).

Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah swt. sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur
tersebut.

Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:

“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi
kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta
mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”

Lantaran itu apabila ternyata (kepada kita) betapa pentingnya ketakwaan, maka apakah kita tidak serius melalui madrasah ramadhan buat sekian kalinya ini. Bagi generasi Al-Quran yang telah dibina oleh Rasulullah saw. mereka sentiasa menantikan kembalinya ramadhan bagi memperbaharui jiwa dan memperkasakan iman mereka, lantas mereka graduan buat sekian kalinya sebagai generasi bertaqwa, kemudian mereka bersikap dan berprestasi luarbiasa sehingga memungkinkan dunia jahiliah tunduk kepada kebenaran Al-Quran dan Islam yang dibawa.

Penjelasan Allah swt terhadap kemuncak puasa di sepanjang Ramadhan amat jelas. Firman Allah swt:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (QS Al-Baqarah:183)

Ternyata Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketakwaan, bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al -Quran
ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah “attakwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.

Para sahabat dan salafus salih begitu mengmbil berat tentang ketakwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.

Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh baginda Umar, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:

Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan
menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.

Cukuplah “takwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya.

Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyahan sesebuah peribadi dan pembentukan sesebuah jamaah. Wahai generasi kemudian, bersungguhlah di sepanjang 30 hari menuntutu di Universiti Ramadhan. Raihlah pahala tanpa batas dan keampunan dari Allah swt serta pembebasan dari api neraka. Suburkan ketaqwaan dalam diri agar menjadi tunjang kekuatan untuk memperjuangkan Deen Allah swt. terus bertapak. Lantas dengan nilai taqwa inilah kita thabat di jalan dakwah dan tarbiah yang perjalanannya masih panjang.

Friday, August 27, 2010

Mutiara Ramadhan: Membina Generasi Bersabar


Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam. Rasulullah saw ada bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

“Puasa itu sebahagian daripada sabar”

Sabda Nabi saw. lagi:

“Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran adalah masuk syurga.”
Sabar juga adalah sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis

“Sabar itu sebahagian daripada iman”

Sabar adalah inti ajaran Islam dan iman. Bersabar ertinya mengendalikan dan memaksa nafsu untuk melaksanakan ketentuan syariat. Sabar adalah saudara dari syukur, kerana syukur tidak akan sempurna tanpa kesabaran. Barangsiapa yang bersabar, maka ia telah bersyukur atas nikmat Allah swt. yang dikurniakan kepadanya.
Kesabaran memiliki pelbagai keutamaan dan manfaat. Allah swt. berfirman dalam surat Az-Zumar:10

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dibalas dengan pahala tanpa batas.”
Dalam Surat An-Nahl: 96, Allah swt. berfirman:

وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan kami pasti akan memberikan balasan kepada mereka yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”

Rasulullah SAW bersabda:

الإيمان هوَ الصَّبْرُ وَ السَّمَاحَةُ

“Iman adalah kesabaran dan suka memaafkan.”

Firman Allah swt. lagi:

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas”. (Al-Kahfi: 28)

Ramadhan adalah waktu paling tepat untuk melatih kesabaran kerana di bulan ini kita diwajibkan berpuasa dan ibadah puasa adalah separuh dari pada kesabaran. Sabar menahan makan dan minum, sabar untuk menahan nafsu syahwat (hubungan suami isteri di siang hari), sabar untuk menahan amarah dan angkara murka, sabar untuk menahan jiwa dan raga dari melakukan tindakan yang dapat mengurangi nilai-nilai dan pahala puasa, bersabar untuk bangun malam, untuk qiyamulail, untuk bersahur dan lain-lainnya.

Rasulullah SAW bersabda:

اَلصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ وَ لِكُلِّ شَيْئٍ زَكَاةٌ , وَ زَكَاةٌ اْلجَسَدِ الصَّوْمُ

“Puasa itu setengah dari kesabaran. Bagi tiap-tiap perkara ada zakatnya dan zakatnya badan ialah puasa.”

Dari Abu Hurairah ra beliau berkata: Rasulullah saw pernah bersabda, “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Semua amal anak Adam adalah baginya kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu bagi-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Puasa adalah perisai, apabila kamu sedang puasa janganlah berkata keji(memaki), janganlah berteriak-teriak dan janganlah berbuat perkara yang bodoh. Apabila ada seseorang yang mencacinya atau memeranginya maka katakanlah ‘Sesungguhnya aku sedang puasa… .” [Bukhari dan Muslim]

Puasa Ramadhan merupakan media yang sangat efektif untuk melatih kesabaran. Betapa manusia beriman selama satu bulan penuh dilatih untuk sabar serta mampu menahan diri, tidak melakukan hal-hal yang menjejaskan pahala puasanya. Justeru kemuncak pasca ramadhan adalah dibebaskan dari api neraka dan terbinanya muslim yang lebih kuat dan bersih, generasi bertaqwa.
Oleh itu disepanjang Ramadhan ini mari kita tumbuh mekarkan sabar dalam jiwa kita, kita pupuk kesabaran agar kita mampu menghadapi cabaran kehidupan hari ini dan hari esok dengan jiwa mukmin yang penuh dengan kesabaran agar kita mampu melaksanakan perintah Allah swt. baik dalam suka mahupun duka, dimana saja kita berada, serta mampu menjauhi maksiat atau larangan-Nya sehingga kita menjadi muslim muttaqin

Melahirkan Kembali Ulama Yang Wibawa dan Berani


Hasan al-Basri menjadi imam di kota Basrah merupakan benteng Islam yang terbesar dalam bidang ilmu pengetahuan. Masjidnya yang agung dipenuhi oleh para Shahabat dan Tabi’in yang hijrah ke kota itu. Halaqah-halaqah keilmuan dengan beraneka ragam yang memakmurkan masjid-masjid. Hasan al-Basri
menekuni halaqah Abdullah bin Abbas. Dia mengambil pelajaran tafsir, hadith, qira’ah, fiqh, adab dan bahasa.

Ketika Hasan al-Basri sudah menjadi ulama, ramai umat Islam yang menggali ilmu darinya, mendatangi majlisnya serta mendengarkan ceramahnya, yang mampu melunakkan jiwa-jiwa yang keras, dan sampai mencucurkan air mata bagi orang-orang yang berbuat dosa. Ramai yang hadir terpikat dengan hikmahnya yang mempesona.

Ketika Hajjaj bin Yusuf At-Tsaqafi berkuasa di Iraq, dan bertindak sewenang-wenang dan kejam, Hasan al-Basri adalah termasuk dalam bilangan sedikit orang yang berani menentang dan mengecam keras akan kezaliman penguasa itu secara terang-terangan. Saat itu, sebahagian besar para ulama takut dengan Hajjaj, yang sangat kejam dan bertindak dengan keras, terhadap siapa sahaja yang berani mengkritiknya.

Suatu ketika, Hajjaj membina istana yang megah untuk dirinya di kota Wasit. Ketika pembangunan selesai, maka diundangnya orang ramai termasuk para ulama untuk melihat dan mendo’akannya.

Hasan al-Basri tidak mahu menyia-nyiakannya kesempatan yang ada, di mana pasti saat itu ramai orang yang datang dan berkumpul di istana Hajjaj. Maka, Hasan al-Basri tampil dan memberikan ceramah, mengingatkan mereka agar bersikap zuhud di dunia dan menganjurkan manusia untuk mengejar kemuliaan di sisi Allah. Bukanlah kenikmatan dunia yang tidak seberapa dibandingkan dengan kenikmatan yang akan diberikan oleh Allah di akhirat nanti.

Saat tiba di istana, Hasan al-Basri, melihat begitu ramai manusia mengelilngi istana yang megah dan indah dengan halamannya yang sangat luas. Beliau berdiri dan berkhutbah. Diantara isi khutbahnya itu, Hasan al-Basri menyatakan :
“Kita mengetahui apa yang dibangunkan oleh oleh manusia yang paling kejam dan kita dapati Fir’aun yang membangun istana yagn lebih besar dan lebih megah daripada bangunan ini. Namun, Allah membinasakan Fir’aun berserta apa yang dibangunnya. Andai saja Hajjaj sedar bahawa penghuni langit
telah membecinya dan penduduk bumi telah memperdayakannya …”

Hasan al-Basri terus melanjutkannya ceramahnya:
“Wahai saudaraku, Allah Ta’ala telah mengambil sumpah dari ulama agar menyampaikan kebenaran kepada manusia, dan tidak boleh menyembunyikannya”, tambahnya.

Keesokannya harinya, Hajjaj dengan penuh amarah, menghadiri pertemuan bersama para pegawainya, dan berkata keras : “Celakalah kalian! Seorang dari budak-budak Basrah itu memaki-maki kita dengan seenaknya dan tidak seorangpun dari kalian berani mencegah dan menjawabnya. Demi Allah, akan kuminumkan darahnya kepada kalian wahai para pengecut”, ungkapnya.

Lalu, Hajjaj memerintah para pengawalnya untuk menyiapkan pedang beserta algojonya dan menyuruh penguatkuasanya untuk menangkap Hasan al-Basri. Saat Hasan al-Basri sudah dibawa, semua mata memandang kepadanya, dan mulai hati berdebar. Menunggu nasib yang akan dialami oleh Hasan al-Basri. Saat Hasan al-Basri melihat algojo yang sudah menghunus pedangnya berhampiran tempat hukuman mati, beliau menggerakkan bibirnya membaca sesuatu. Kemudian beliau berjalan mendekati Hajjaj dengan ketabahan seorang mukmin, kewibawaan sesorang muslim dan kehormatan seorang da’i di jalan Allah.

Demi melihat ketegaran yang demikian hebat, mental Hajjaj runtuh. Padahal, sudah masyhur di seluruh Iraq tentang kekejaman Hajjaj. Terpengaruh dengan kewibawaan dan sikap Hasan al-Basri, lantas Hajjaj berkata begitu ramah dengan ulama itu,
“Silakan duduk di sini wahai Abu Sa’id, silakan ..”, ucap Hajjaj.

Seluruh yang hadir menjadi terbelalak matanya. Melihat perilaku Amirnya (Hajjaj) mempersilakan Hasan al-Basri duduk di kerusinya dengan penuh wibawa. Hajjaj menoleh kearah al-Basri dan menanyakan pelbagai masalah agama, dan dijawab oleh Hasan al-Basri dengan jawaban-jawaban yang menarik.

Saat merasa pertemuan itu sudah cukup, dan Hajjaj sudah merasa cukup pertanyaan-pertanyaan agama sudah dijawab oleh Hasan al-Basri, lalu Hajjaj menghantarkan Hasan al-Basri sampai ke depan pintu istana, seraya berkata :
“Wahai Abu Sa’id, Anda benar-benar tokoh ulama yang hebat”, kata Hajjaj.
Kemudian, Hajjaj mengenakan minyak wangi ke janggut al-Basri sambil memeluknya.

Pengawal yang menghantarkan Hasan al-Basri sampai ke pintu gerbang itu, bertanyakan mengapa Hajjaj tidak jadi membunuhya, padahal dia sudah mempersiapkan algojonya?
“Lantas apa yang anda baca, wahai Sheikh?”, tanya sang pengawal itu.
Beliau menjawab,
“Ketika itu aku berdo’a, “Wahai Yang Maha Melindungi dan tempatku dalam kesulitan, jadikanlah amarahnya menjadi dingin dan menjadi keselamatan bagiku sebagaimana Engkau jadikan api menjadi dingin dan member kesalamatan bagi Ibrahim”, kata Hasan al-Basri dengan penuh keyakinan.

Begitulah Hasan al-Basri yang berani menasihati penguasa yang sombong, kejam, dan melakukan sewenang-wenangnya, saat penguasa itu hidup bergelumang dengan kemewahan, Hasan al-Basri berani tampil ke hadapan tanpa rasa takut sedikitpun atas keselamatan jiwanya.

Sumber rujukan: eramuslim.com

Thursday, August 26, 2010

Ramadhan Bulan Kebangkitan Amali Dakwah


Bulan Ramadhan harus dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh para da’i untuk
meningkatkan lagi kerja dakwahnya. Usaha melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar dan menebar kasih sayang antara sesama manusia harus dipertingkatkan. Meningkatkan kepekaan untuk menolak kezaliman dan kemaksiatan. Menyebarkan syiar Islam dan mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti keagamaan, kajian kitab suci Al-Qur’an, diskusi, ceramah, ziarah, mengadakan majlis berbuka puasa, sedekah dan lain-lainnya. Sehingga yang terbina adalah perubahan-perubahan yang nyata dan positif dalam pelbagai bidang kehidupan.

Di bulan Ramadhan ini mari kita persiapkan diri kita untuk menjadi peribadi yang total dalam berdakwah dengan mengerahkan seluruh potensi yang ada.


Semoga Syakhshiyah (figur) da’i seperti yang tersurat dalam ayat 207 Al-Baqarah dan ayat 111 At-Taubah lah yang diinginkan Allah swt. terbentuk pada diri kita.

”Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (Al-Baqarah: 207)

”Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil, dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar”. (At-Taubah: 111)

Ramadhan bukan bulan istirehat yang menyebabkan anasir-anasir dakwah dan kebaikan berhenti bekerja, sebaliknya Ramadhan adalah momentum untuk segala jenis dakwah dan kebaikan yang dilakukan menjadi dominan atas segala keburukan. Apakah Yahudi Israel di bumi Palestin berhenti berehat dari membunuh dan mendustakan kemuliaan Islam? Tidak!..Kegiatan mereka tidak pernah berhenti, dakyah dan tipudaya mereka tidak pernah menyepi, pengganas ini tidak pernah berehat!

Apabila kita mengimbau sejarah Ramadhan di zaman Rasulullah saw. ternyata ianya sarat dengan kegiatan dan aktiviti dakwah. Bahkan kegiatan dakwah terbesar dan terberat terjadi di bulan Ramadhan.

Perang Badar yang merupakan perang perdana untuk menunjukkan eksistensi dakwah Islam terjadi di bulan puasa. (lihat surah Al-Anfal: 41). Sedangkan pada saat itu, Rasulullah dan para sahabat hanya mempersiapkan perlengkapan untuk menghadang kafilah dagang Abu Sufyan. Bukan untuk menghadapi pasukan Quraisy yang bersenjata lengkap. Namun jalan dakwah yang sudah diyakininya tidak mengenal kamus “mundur kembali ke garis mula”. Justru dengan modal keyakinan akan janji Allah dan pembuktian akan satu komitmen yang total terhadap dakwah Islam, baginda dan para sahabat maju menghadapi pelbagai rintangan, tribulasi dan setiap ujian yang menghadang di jalur dakwah. Saat pertempuran semakin sengit, Rasulullah bermunajat, “Ya Allah, jika pasukan ini hancur pada hari ini, tentu Engkau tidak akan disembah lagi ya Allah, kecuali jika memang Engkau menghendaki agar Engkau tidak disembah selamanya setelah hari ini”.

Pembukaan atau Fathu Makkah yang merupakan perjalanan dakwah terakhir Rasulullah juga terjadi dan memilih Ramadhan sebagai bulan kemenangan dakwah yang gilang gemilang. Ternyata Ramadhan merupakan pilihan yang tepat dan terbaik untuk meraih kemenangan dakwah.

Menjelang Ramadhan tiba, Rasulullah selaku pemimpin para da’i, menyampaikan satu pidato kenegaraan yang bernuansa dakwah, mengajak seluruh umat memanfaatkan bulan Ramadhan sebaik-baiknya, meraih sebanyak-banyaknya keberkahan bulan ini. Berkah dalam arti katsratul khair wal manafi’ banyak kebaikan dan manfaat yang boleh diraih darinya. Dan nantinya, kebaikan dan manfaat itu akan bertambah jika disampaikan kepada orang lain dalam bentuk dakwah yang berkesinambungan. Inilah peri pentingnya dakwah yang harus dirasakan selama mengikuti aktiviti disepanjang Ramadhan.

Ayuh, raih pahala berganda di sepanjang ramadhan dengan gerakerja dakwah Ilallah.

Thursday, August 12, 2010

"Saya Tinggal Dengan Sahabat.."


Semasa penulis belajar di UiTM Shah Alam, ada satu memori yang membuatkan penulis tersenyum sendirian apabila teringatkannya. Saat itu penulis berada dalam kelas statistik, pensyarah memanggil penulis ke hadapan untuk menjawab satu soalan setelah 4 orang pelajar lainnya gagal menjawab dengan tepat. Alhamdulillah penulis dapat menjawab soalan tersebut dengan tepat. Kemudian pensyarah bertanya, kamu di sini tinggal dengan siapa? Lantas dengan penuh yakin penulis menjawab,

“Dengan sahabat-sahabat…”

“Sahabat-sahabat..? Bukan kawan-kawan ke? ” Tanya pensyarah tersebut sambit ketawa kecil kerana mungkin beliau merasa janggal dengan istilah sahabat-sahabat. Kawan-kawan di dalam kelas turut ketawa kecil.

“Ya”, jawab penulis dengan tenang sambil di benak fikiran penulis membayangkan wajah-wajah sahabat penulis saat tinggal bersama di rumah sewa dan markas tarbiah kami, antaranya akhi Halim (sekarang pensyarah di UiTM Segamat), Dr. Kamarudin (sekarang pensyarah UiTM S Alam), Akhi Zaini (sekarang peguam di Perlis), akhi Surail (sekarang pensyarah UiTM Melaka), akhi Anas (sekarang Mudir Rumah HALUAN Penyayang S Alam), akhi Hamdan (pensyarah di sebuah IPTA di Johor).

Kami membahasakan teman-teman yang sama-sama mengikuti halaqah tarbawiyah dengan panggilan “sahabat”, jelas dengan panggilan sebegini mengakrabkan lagi ukhwah di antara kami. Tiada yang pelik, sebaliknya yang pelik adalah apabila kita tiada “sahabat” yang sebenar.

Setiap kita memerlukan kawan dalam kehidupan. Apatah lagi seorang sahabat yang boleh menjadi qudwah dan teman untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati dan saling membimbing kearah ketaatan kepada Allah swt.

Nabi saw. ada bersabda:

“Seandainya manusia mengetahui bahaya yang terdapat pada orang yang bersendirian, sebagaimana apa yang saya ketahui, nescaya tidak ada seorang pengendara yang berani berjalan malam sendirian.”

Dalam realiti hari ini, kita harus memiliki sahabat yang dapat memberikan kasih saying kepadanya, membantunya membawa sebahagian beban perjalanan dan meringankan kesulitannya.
Apatah lagi kita sebagai da’i ilallah. Bekerja dalam dakwah dan tarbiyah amat menuntut kita untuk memiliki sahabat-sahabat yang soleh dan musleh. Hatta Nabi Musa as. memohon kepada Allah agar diberikan pendamping dalam mengembang tugas kerasulan.

“Jadikanlah untukku penolong dari keluargaku. iaitu Harun saudaraku. Kukuhkanlah dengannya kekuatanku. Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku. Supaya kami banyak bertasbih kepadaMu, serta banyak mengingatMu.” (Thaha: 29-34)

Sahabat dalam perjalanan kehidupan ini bagaikan garam dalam masakan. Tanpanya hidup akan terasa hambar. Tanpa cinta dan persahabatan ini hidup tentu tidak ada dinamika dan akan terasa gersang. ‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat hakikat kematian...’ demikian petikan ucapan murabbi penulis suatu ketika dulu saat penulis mula mengikuti halaqah tarbawiyah.

Jalinan ukhwah atas jalan tarbiah dan dakwah yang dibina akan kian bermakna lagi apabila berada dalam satu mozaik indah beridentiti Islam. Ini kerana sahabat yang telah sama-sama diproses dengan jalan tarbiah dan dakwah, insyaAllah akan akan mengesampingkan segala perbezaan kelas sosial, ragam suku, bahasa, budaya, negara, politik hingga nuansa pemikiran sehingga menjadi satu pelangi yang indah dan tidak terpisahkan. Sepertimana pinta Nabi Musa as untuk memiliki seorang sahabat yang akan menjadi peneguh kekuatan dan teman dalam memuji dan mengingat-Nya. Subhanallah, begitulah indahnya bersaudara dalam Islam.

Imam Ghazali menasihati seorang musafir:

“Ia harus memilih seorang sahabat dan tidak keluar bersendirian. Sahabat sebelum jalan. Sahabat tersebut harus dapat membantu urusan agamanya, mengingatkannya jika lupa dan membantunya jika sudah ingat. Sebab seseorang itu mengikuti agama sahabat karibnya dan seseorang itu tidak diketahui kecuali melalui sahabatnya..” (Ihya’ Ulumuddin)

Saat ini penulis tersenyum bahagia, kerana penulis dikelilingi sahabat-sahabat yang ikhlas bersama mendukung cita mulia, meraih syurga yang pasti atas jalan dakwah dan tarbiyah.

Saturday, August 07, 2010

Bila Ku Rindu Ku Ingat Kebaikanmu, Ku Sebut Kelebihanmu


Rasulullah saw. sering menyebut-nyebut keutamaan Ramadhan dengan segala amalan utama di dalamnya sejak ketibaan Rejab dan Syaaban. Ketika tiba minggu terakhir bulan Syaaban, baginda naik ke mimbar dan menyampaikan khabar gembira, seraya menyebut faedah dan anugerah bulan yang dirindukan itu. Salman Al Farisi berkata, Rasulullah saw berkhutbah kepada kami di akhir bulan Syaaban:

Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia disisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yang paling utama.

Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.

Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu di hari kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. Muliakanlah orang tuamu, sayangilah yang muda, sambungkanlah tali persaudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. Kasihilah anak-anak yatim, niscaya dikasihi manusia anak-anak yatimmu. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; Dia menjawab mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyambut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.

Wahai manusia! Sesungguhnya diri-dirimu tergadai kerana amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat kerana beban (dosa) mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu.
Ketahuilah! Allah ta’ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabb al-alamin.

Wahai manusia! Barang siapa di antaramu memberi buka kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan dia diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu. (Sahabat-sahabat lain bertanya: “Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian.”

Rasulullah meneruskan: “Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.”
Wahai manusia! Siapa yang membaguskan akhlaknya di bulan ini ia akan berhasil melewati sirathol mustaqim pada hari ketika kai-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari kiamat.

Barangsiapa menahan kejelekannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memuliakan anak yatim di bulan ini, Allah akan memuliakanya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa menyambungkan tali persaudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barang siapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.

Barangsiapa melakukan solat sunat di bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. Barangsiapa melakukan solat fardu baginya ganjaran seperti melakukan 70 solat fardu di bulan lain. Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa di bulan ini membaca satu ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.

Wahai manusia! Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Setan-setan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu. Amirul mukminin k.w. berkata: “Aku berdiri dan berkata: “Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama di bulan ini?” Jawab Nabi: “Ya Abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah”.

Wahai manusia! sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkahan, yaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu fardhu, dan qiyam di malam harinya suatu tathawwu’.”

“Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan yang lain.”

“Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan ( syahrul muwasah ) dan bulan Allah memberikan rizqi kepada mukmin di dalamnya.”

“Barangsiapa memberikan makanan berbuka seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang.”

Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, tidaklah semua kami memiliki makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Maka bersabdalah Rasulullah saw, “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu.”

“Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Barangsiapa meringankan beban dari budak sahaya (termasuk di sini para pembantu rumah) niscaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka.”

“Oleh kerana itu banyakkanlah yang empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keridhaan Tuhanmu, dan dua perkara lagi kamu sangat menghajatinya.”

“Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampun kepada-Nya . Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah mohon syurga dan perlindungan dari neraka.”

“Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, niscaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga.” (HR. Ibnu Huzaimah).

Menanti Kekasih Yang Bakal Tiba...


“Marhaban ya syahral Ramadhan. Bulan yang penuh berkah. Mari kita siapkan fizikal dan hati untuk menyambut kedatangannya.”

Nabi Muhammad saw. bersabda dalam hadith yang diriwayatkan Nasa’i dan Baihaki.

“Telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah telah mewajibkan di dalamnya puasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu langit, menutup pintu neraka, dan membelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya Allah memiliki satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barang siapa yang diharamkan kebaikan malam itu, maka ia sungguh telah diharamkan (dari kebaikan).”

Menurut Ibnu Rajab al-Hanbali dalam menjelaskan maksud hadith tersebut, beliau mengatakan hadith itu adalah landasan bagi umat Islam untuk saling bertahniah (saling mengucapkan selamat) ketika bulan Ramadhan semakin hamper. Bagaimana mungkin orang soleh tidak berbahagia dengan dibukanya pintu-pintu syurga seluasnya.

Rasulullah saw. telah menghembuskan kebahagiaan itu kepada para sahabatnya. Ramadhan adalah bulan yang kedatangannya telah lama dinanti dan dirindui. Sungguh, kedatangan sang kekasih yang telah lama pergi adalah sebuah kebahagiaan yang tidak ada tandingnya. InsyaAllah kekasih (Ramadhan) itu akan datang menghampiri…

Sahabat yang dirahmati Allah, mari kita sambut Ramadhan dengan penuh sukacita. Sebagaimana sabda Rasulullah saw. dalam salah satu khutbah baginda menyambut Ramadhan:

“Wahai manusia, sungguh telah datang pada kalian bulan Allah dengan membawa berkah rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari yang paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. Jam demi jamnya adalah jam-jam yg paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu ibadah, amal-amalmu diterima dan doa-doamu diijabah. Bermohonlah kepada Allah Rabbmu dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan shiyam dan membaca Kitab-Nya.”


Ayuh, bergabunglah dengan kegembiraan kaum muslimin dalam menyambut bulan istimewa ini

Sunday, August 01, 2010

Mengharapkan Al-Manzilah Al ‘Ulya Di Sisi Allah


“Hai orang beriman ruku’, sujud dan sembahlah Rabbmu, dan sebarkanlah kebaikan agar kalian menjadi orang yang menang” (Qs. Al Hajj [22]: 77)

Ayuh kita abdikan diri dengan kerja-kerja besar, laksanakan dakwah sebagai cita-cita besar kita, memang itulah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW, salafus soleh, serta seluruh pengikutnya dari seluruh generasi untuk selalu mengingati akan keutamaan dan keindahan perjuangan dakwah Islam.

Dakwah tidak boleh ditinggalkan dan dilupakan oleh individu muslim jika ingin mengharapkan al-manzilah al ‘ulya (kedudukan tinggi) di sisi Allah SWT. Dakwah ini merupakan jalan yang ditempuh oleh para rasul dan seluruh orang beriman. Adakah jalan yang lebih mulia dibanding jalan dakwah yang telah membawa kita mengenal dan mencintai Allah melalui agama ini?

“Apakah (orang-orang) yang memberi minuman kepada orang orang yang mengerjakan haji dan mengurus masjidil haram, kalian samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama disisi Allah. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang zalim. Orang orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang orang yang mendapatkan kemenangan” (At-Taubah [9]: 19-20)

Dakwah menjadikan orang yang menyebarkan dan menerima dengan keikhlasan hati mendapatkan redha dari Allah SWT. Dakwah ini pula menjadi alasan berkumpulnya manusia pembaharu yang ingin memperjuangkan kebenaran dan perubahan keadaan bangsanya agar terkeluar dari keruntuhan akhlak, peribadi, harga diri, cita-cita, maruah dan kesejahteraan masyarakat.

Dengan realiti umat Islam yang semakin leka, lalai, lesu dan berpecah belah maka tidak ada kata lain untuk kita bersatu melawan penyakit yang menyerang bangsa dan umat dengan mengoptimakan peranan dakwah kita semua. Perjuangan melalui dakwah tidak hanya dalam bentuk di mimbar-mimbar masjid, majlis taklim serta pengajian umum sahaja tetapi lebih kepada cara yang lebih massif dan professional untuk mengenengahkan Islam sebagai solusi bagi semua.

Perjuangan dakwah dapat dilakukan dengan lisan, tulisan, dan perbuatan atau keteladanan. Maka ajaklah saudara-saudara kita untuk lebih mengenal Islam dengan segenap potensi yang kita miliki. Tentunya, keteladanan dalam perbuatan lebih dipilih masyarakat berbanding hanya ucapan belaka, justeru ayuh kita bersatu dengan berakhlak, mendidik dan berbakti!

Mari seluruh pemuda Islam, khususnya aktivis HALUAN, sambutlah dan gelorakan dakwah Islam di setiap waktu, peringkat dan tempat kita berada agar maruah bangsa dan umat ini tidak terseret lebih dahsyat lagi menuju kehancuran.

Dan akhirnya, kitalah yang akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT kelak. Apa yang akan kita jawab bila kita hanya berdiam diri dan berpangku tangan seperti layaknya penonton bolasepak, hanya mampu melihat dan mengkritik tetapi tidak upaya berbuat apa-apa.

Abu Ridhwan Husaini, Bandar Baru Bangi, Selangor.