Ramadhan adalah universiti tarbiyah yang luarbiasa. Pelbagai ganjaran berganda dihidangkan buat kita semua. Dalam kesibukan kita mengutip pahala yang melimpah ruah pada setiap amal ibadah yang kita laksanakan, di dalamnya sarat dengan muatan tarbiah ruhiyah, membangkitkan kembali jiwa yang penuh sesak dengan rawasib-rawasib (karat) dosa sejak pasca ramadhan tahun yang lalu. Kini Allah yang Maha Pengasih memberi peluang buat sekian kalinya kepada kita untuk memberikan jiwa kita ditarbiyah kembali melalui universiti tarbiyah ini, agar saat graduasi kelak, kita akan beroleh keputusan yang cemerlang, lulus sebagai mukmin muttaqin, yang bertaqwa.
Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. Justeru, sepanjang ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk meraih pahala berganda, khususnya buat para duah, tetapi ditadabur untuk menggapai formula membina muslim yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa.
Ramadhan adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyahan kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Al-Anfal:29)
Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)
Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)
Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati?
Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).
Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah swt. sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur
tersebut.
Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi
kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta
mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”
Lantaran itu apabila ternyata (kepada kita) betapa pentingnya ketakwaan, maka apakah kita tidak serius melalui madrasah ramadhan buat sekian kalinya ini. Bagi generasi Al-Quran yang telah dibina oleh Rasulullah saw. mereka sentiasa menantikan kembalinya ramadhan bagi memperbaharui jiwa dan memperkasakan iman mereka, lantas mereka graduan buat sekian kalinya sebagai generasi bertaqwa, kemudian mereka bersikap dan berprestasi luarbiasa sehingga memungkinkan dunia jahiliah tunduk kepada kebenaran Al-Quran dan Islam yang dibawa.
Penjelasan Allah swt terhadap kemuncak puasa di sepanjang Ramadhan amat jelas. Firman Allah swt:
Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa. (QS Al-Baqarah:183)
Ternyata Al-Quran begitu mengambil berat tentang fadilat (kelebihan) ketakwaan, bahkan dalam pada itu ia menyeru manusia kepada ketakwaan dan menempatkan serta memberikan keistimewaan kepadanya. Sebilangan besar dari ayat-ayatnya yang jelas sehinggalah para pembacanya, hampir-hampir tidak tertinggal satupun muka surat ayat-ayat suci Al -Quran
ataupun sebahagiannya melainkan mereka akan mendapati kalimah “attakwa” di sana sini yang dinyatakan oleh yang Maha Pengingat dan Maha Bijaksana.
Para sahabat dan salafus salih begitu mengmbil berat tentang ketakwaan di mana mereka memastikan, bermujahadah untuk mencapainya dan sering bertanya mengenainya. Umar bin Al-Khattab pernah bertanyakan Ubai bin Kaab tentang takwa. Ubai bertanya: “Pernahkah engkau berjalan di jalan yang berduri? Umar menjawab, “Bahkan!” Ubai bertanya: “Apa yang engkau lakukan apabila berjalan di jalan tersebut? Jawab Umar: “Aku berhati-hati dan berusaha (melepasi nya).” Lalu Ubai berkata: “Maka yang demikian itulah ketakwaan”.
Berasaskan kepada pengertian ketakwaan seperti yang dinyatakan oleh Ubai bin Kaab dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan oleh baginda Umar, Sayyid Qutb Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya, “Fi Zilalil Quran”:
Yang demikian itulah ketakwaan, kehalusan rasa dalam tindakan, keheningan pada perasaan, ketakutan yang berterusan, kesentiasaan di dalam kewaspadaan dan pemeliharaan (diri) dan ranjau-ranjau di jalan. Jalan kehidupan. Jalan yang sentiasa dirintangi oleh ranjau-ranjau keinginan hawa nafsu, ranjau-ranjau kehalobaan, kebanggaan serta yang menakutkan dan
menggetarkan hati, ranjau-ranjau tipuan pengharapan bagi mereka yang tidak mempunyai pengharapan. Tiupan ketakutan dari mereka yang tidak memberikan kemanfaatan serta kemudaratan dan puluhan macam ranjau-ranjau yang lain.
Cukuplah “takwa” dengan segala kelebihan dan keberkesanannya. Sesungguhnya ia merupakan pemancar kelebihan (fadilah) kepada masyarakat seluruhnya. Satu-satunya jalan untuk mengawal kerosakan, kejahatan dan dosa. Bahkan ia merupakan rukun yang paling asasi dalam pembentukan sesebuah keperibadian di segi kejiwaan dan akhlaknya.
Itulah hakikat ketakwaan yang kesannya begitu terasa dalam pentarbiyahan sesebuah peribadi dan pembentukan sesebuah jamaah. Wahai generasi kemudian, bersungguhlah di sepanjang 30 hari menuntutu di Universiti Ramadhan. Raihlah pahala tanpa batas dan keampunan dari Allah swt serta pembebasan dari api neraka. Suburkan ketaqwaan dalam diri agar menjadi tunjang kekuatan untuk memperjuangkan Deen Allah swt. terus bertapak. Lantas dengan nilai taqwa inilah kita thabat di jalan dakwah dan tarbiah yang perjalanannya masih panjang.