Monday, January 31, 2011
Ya Allah! Teguhkanlah Hati Kami
Kehidupan hari ini sangat mencabar keimanan kita. Kita hampir dikelilingi dengan perkara-perkara syubhat dan membangkitkan nafsu syahwat. Ditambah lagi dengan kemungkaran fitnah, tersebar luasnya kemungkaran, beraneka ragamnya penyimpangan-penyimpangan dalam memahami kehidupan, semakin mencengkamnya musuh dan semakin beratnya ujian dan cubaan ke atas umat Islam.
Permasalahan dan cabaran di atas benar-benar akan menguji kedinamikan iman kita. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya iman itu benar-benar mengalami kelesuan di dalam rongga (dada) salah seorang dari kamu seperti lusuhnya baju. Mintalah kepada Allah SWT agar Allah memperbaharui iman yang ada di dalam hatimu”. (HR Thabrani)
Rajulun Tsabtun
Justeru kita perlu melayakkan diri kita menjadi rajulun tsabtun, lelaki (termasuk juga wanita) yang thabat (tetap), teguh dan stabil keimanannya menghadapi persoalan-persoalan di atas. Tsabat menurut Dr. Muhammad bin Hasan adalah istiqamah atas petunjuk, memegang teguh ketaqwaan, mengendalikan diri untuk menyusuri jalan kebenaran dan kebaikan, tidak berpaling ke kanan atau ke kiri mengikuti hawa nafsu dan kehendak syaitan, serta segera kembali bertaubat di saat dosa menyelaputi hati dan jiwa mula beransur dikuasai dunia yang melekakan.
Nabi Ibrahim AS pernah berpesan kepada putera puterinya:
“ Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. (Al-Baqarah:132)
Benar sekali! Kita perlu mempertahankan keaslian keislaman kita, jangan sampai Islam kita dikotori dan bercampur aduk dengan perisa-perisa Islam palsu yang kini melambak dipasaran. Akibatnya pemuda pemudi kita hanya islam pada namanya sahaja sedangkan jalan kehidupannya berkiblatkan cara hidup taghut dan logika pemikiran.
Berpegang teguh kepada Islam apabila menghadapi ujian dan mehnah merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan yang berterusan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Ia perlu melalui pendidikan (tarbiyah) hari demi hari tanpa rasa jemu. Pendidikan bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar.
Iman & Taqwa Kunci Tsabat
Ayuh kita thabat dengan Al Quran dan as-Sunnah, insyaAllah kita akan diberikan kekuatan dan petunjuk oleh Allah SWT untuk tetap istiqamah dengan Islam. Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan dua bahagian daripada rahmat-Nya kepadamu, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (al-Hadid:28)
Firman Allah SWT lagi:
“Hai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan kepadamu ‘furqan’* dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahan kamu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar.” (al-Anfal:29)
Firman Allah SWT lagi:
“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (ath-Talaq:2-3)
Dari tiga ayat di atas, ternyata kunci thabat adalah ketinggian taqwa kita kepada Allah SWT.
Orang yang bertaqwa akan selalu mendapatkan jalan keluar yang mententeramkan batinnya walau bagaimana besar dan rumitnya permasalahan dan cabaran yang sedang dihadapi.
Ketika menafsirkan firman Allah Subha Nahu Wa Ta’ala ini, Sayyid Qutb berkata;
“Inilah bekal tersebut dan persiapan perjalanan… bekal ketaqwaan yang sentiasa menggugah hati dan membuatnya selalu peka, waspada, hati-hati serta selalu di dalam konsentrasi penuh… bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang bertaqwa tidak akan tertipu oleh bayangan yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar… itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekal yang membawa harapan atas kurnia Allah SWT; di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tidak lagi berguna…
Kata Sayyid Qutb lagi;
“Taqwa adalah kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus kepada Allah, selalu waspada dan hati-hati agar tidak sampai kena duri jalanan… Jalan kehidupan yang bertaburan duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, harapan atas segala sesuatu yang tidak dapat diperolehi. Ketakutan palsu daripada sesuatu yang tidak layak ditakuti.. dan banyak duri-duri lainnya.”
Tsabat Pakaian Iman
Thabat adalah pakaian Rasulullah dan para sahabat. Perjuangan mereka benar-benar menguji ketaatan dan konsistensi mereka dengan jalan aqidah yang mereka yakini. Suatu saat, kaum kafir Quraish menawarkan perdamaian kepada Rasulullah agar baginda menghentikan seruan dakwahnya. Dengan penuh keyakinan dan keteguhan baginda menjawab:
“Demi Allah! Andaikata mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan persoalan ini (dakwah), saya tidak akan meninggalkannya hingga Allah memenangkan agama-NYA atau aku binasa kerananya.” (As-sirah Nabawiyyah karya Ibnu Hisham)
Baginda tidak pernah berpaling dari kerjaya besarnya. Baginda tetap tegar dan tidak lemah walau ditimpa pelbagai ujian berat dan halangan ke atas jalan dakwahnya, sejak hari pertama lagi. Sebut sahaja apa jenis ujian yang tidak ditempuh oleh baginda, disekat, dihalang, cubaan rasuah, cubaan pangkat, cubaan kedudukan dan pengaruh, diejek, dibaling batu, diancam bunuh, diembargo, di pulau, diserbu, diserang dan sebagainya, namun baginda tidak pernah tunduk. Semua itu tetap tidak mampu menghentikan baginda dari menyampaikan dakwah dan menyebarluaskan Islam di muka bumi.
Wahai pemuda pemudi Islam, pakaikanlah diri kita dengan pakaian thabat, mari sertai pasukan rajulun tsabtun, kerana ini adalah pakaian rasmi amilin Islam dan pendokong dakwah Rasulullah SAW dan para nabi yang sebelumnya.
Dari Ibnu Abbas RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Telah diberitakan kepadaku tentang umat (nabi-nabi terdahulu).Ada Nabi yang berjaya dakwahnya disertai umatnya, ada Nabi yang disertai sekelompok pengikut, ada Nabi yang disertai sepeluh pengikut, ada Nabi yang hanya disertai lima pengikut dan ada Nabi yang hanya diserta dirinya sahaja.” (HR Bukhari)
Para Nabi terdahulu juga mencontohkan kepada kita sikap thabat dan istiqamah mereka mendepani dakwah dalam kehidupan, meskipun tiada seorang yang mahu mengikuti jejak kebenaran yang mereka bawa.
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa-dosa Kami dan perbuatan Kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian Kami (dalam perjuangan); dan tolonglah Kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (‘Ali Imran: 146-147)
Teguhkanlah Hati Kami!
Semoga kita beroleh sikap thabat dengan Islam dalam kehidupan kita seterusnya membolehkan kita istiqamah untuk melaksanakan segala tuntutan-tuntutannya. Dari Syahr bin Haushab, beliau berkata bahawa saya pernah bertanya kepada Ummu Salamah, “Wahai Ummul Mukminin! Doa apakah yang sering dibaca oleh Rasulullah SAW ketika baginda berada di sisimu?” Dia menjawab, “Baginda sering membaca:
“Ya Tuhan yang membolak balikkan hati! Teguhkanlah hatiku atas agama-Mu.”
Lalu Ummu Salah bertanya kepada Rasulullah SAW mengapa doa itu yang sering dibacakan. Baginda menjawab:
“Wahai Ummu Salamah, tidak ada seorang manusiapun melainkan hatinya berada di antara dua jari Allah. Siapa sahaja yang dikehendaki, Dia akan meluruskannya. Siapa sajaha yang dikehendaki, Dia akan memalingkannya (dari kebenaran.) (HR Tirmidzi)
Firman Allah SWT dan semoga doa ini menjadi bekalan dalam setiap hari dalam kehidupan kita:
“(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberianNya. (‘Ali Imran:8)
Artikel ini adalah petikan tulisan penulis di langitIlahi.com>
No comments:
Post a Comment