Monday, October 24, 2011

Motivasi Kehidupan: Cinta Luar Tabiat & Cinta Hakikat

“Berdosa tak ustaz kalau saya tidak mahu ada perasaan cinta dengan sesiapapun?”. Itulah salah satu persoalan yang saya terima ketika sesi soal jawab dalam forum bicara cinta di sebuah sekolah anjuran Majalah HALUAN. Soalan tersebut tidak sempat saya dan ahli panel lain menjawab kerana terlalu banyak soalan ketika forum tersebut. Ternyata bicara cinta bersama remaja memang menarik dan “enjoy”.

Saya faham kenapa pelajar ini bertanya? Dia rasa takut dengan cinta kerana dia melihat kawan-kawannya yang terjebak dengan cinta terlarang sering bermasalah dan prestasi akademik mereka merosot. Dia terperangkap dengan istilah cinta yang hari ini dipotretkan sebagai hubungan intim antara lelaki dan perempuan semata.

Cinta Luar Tabiat?
Cinta itu luas, seluas langit dan bumi. Bahkan cinta itu juga mampu menjangkau dunia ini. Cinta ada impaknya. Kerana cinta begitu ramai yang menjadi hebat dan luarbiasa. Dan kerana cinta juga begitu ramai yang kecewa, derita dan mati.

Satu kisah di Jepun, sepasang remaja yang bercinta telah sama-sama membuat keputusan untuk membunuh diri. Mereka berpakat untuk berbaring di atas landasan keretapi dan mati serta merta akibat hentaman keretapi. Di tempat kejadian ditemui sekeping surat peninggalan pasangan berani mati ini. Alkisah mereka membunuh diri sebagai bukti kesucian cinta mereka dan tanda kecewa mereka terhadap sikap ibu bapa mereka yang menghalang cinta mereka.

Pada bulan September 2011 yang lalu, mayat seorang lelaki berusia 24 tahun ditemui mati di tempat letak kereta di sebuah kondiminium. Lelaki berkenaan, Mohd Ferdausz bin Pahruddin berasal dari Tawau dipercayai membunuh diri dengan melompat dari Tingkat 9 kondiminium tersebut. Mohd Ferdausz dikatakan mempunyai masalah dengan teman wanitanya yang berusia 25 tahun.

Di Ipoh, seorang wanita melayu mengaku telah 6 kali menggugurkan anaknya sendiri dalam tempoh 4 tahun. Menurutnya, seorang lelaki telah berjaya memikat hatinya dengan pelbagai janji manis untuk mengahwininya dalam tempoh terdekat. “Malangnya rasa cinta keterlaluan itu menyebabkan saya terlanjur melakukan hubungan seks berulang kali sehingga mengandung sebanyak enam kali.Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima." Menurutnya, walaupun pernah terlintas rasa berdosa namun dia tetap melakukan perkara terkutuk itu kerana termakan dengan janji kekasihnya untuk berkahwin.

Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah dicekup bersama kekasihnya ketika asyik memadu asmara dalam sebuah kereta di Gunung Keriang, Kedah oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah.

Dalam satu laporan, menurut Exco Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, YB Ahmad Razif Abd Rahman, seramai 197 orang pelajar Sekolah Menengah dan Institutsi Pengajian Tinggi di Terengganu telah ditangkap khalwat dalam tempoh tujuh bulan pada tahun 2009 yang lalu.

Laporan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Apakah kisah dan data di atas adalah lambang kepada makna fitrah cinta yang Allah SWT firmankan dalam Al Quran:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (ar-Ruum:21)

Ternyata cinta mereka bukan cinta tabi’ie, tetapi cinta luar tabiat. Maka cinta itu menjadi kotor, dikotori oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Firman Allah SWT:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (ar-Ruum:41)

Mencari Cinta Hakikat
Sekiranya inilah yang dibimbangkan oleh yang bertanya dalam forum tersebut, kebimbangannya ada asasnya. Alhamdulillah kerana dia cuba untuk selamatkan dirinya dari jerangkap cinta yang tidak berpaksikan wahyu. Namun saya perbetulkan kefahamannya tentang cinta kerana cinta itu adalah fitrah dan anugerah. Suatu saat, seorang ulama bernama Abu Naufal ditanya, “Apakah seseorang dapat menghindari cinta?” Abu Naufal menjawab “Boleh.” Kemudian sambungnya, “Iaitu orang yang keras dan jahil, yang tidak memiliki keutamaan dan kefahaman.”

Ali Bin Abdah berkata, “Tidak mungkin seseorang dapat menghindar dari cinta kecuali kasar peribadinya, kurang warasnya, atau tidak mempunyai perasaan.”

Adanya perasaan cinta dan menyayangi sesama manusia bukan sahaja sebahagian daripada fitrah manusia, tetapi juga ianya adalah bukti masih adanya kasih sayang dan rahmat dari Allah SWT.


Pada saat Allah SWT menciptakan manusia, maka Allah sudah membekalkan manusia dengan pelbagai kelengkapan kehidupan, organ tubuh yang sihat, kompenen akal dengan system kecanggihannya yang tidak ada mana-mana komputer dapat menyainginya, keperluan jasmani dan keperluan naluri. Dengan penciptaan yang sempurna maka manusia dapat hidup dengan bahagia, memanfaatkan pelbagai nikmat dan seribu satu penciptaan Allah SWT dan juga mampu berhubungan sesama manusia.

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (at-Tiin: 4)

Justeru, pasti perasaan cinta yang hadir dalam diri kita seharusnya memberi manfaat dan kebaikan kepada kita. Cinta yang jujur ini akan memberi kesan luarbiasa kepada sang pemilik cinta yang suci dan benar.

Kecintaan Kepada Ibu Bapa
Ketika kita berada jauh dari ibu bapa kita, kemudian kita jatuh sakit, lantas kita merasa rindu dan kasih kepada belaian mereka. Maka ternyata rasa cinta itu masih ada pada diri kita. Itulah perasaan cinta, cinta kepada kedua orang tua. Namun, berapa ramai yang menganggap ibu bapa yang telah tua sebagai satu liabiliti dalam kehidupan kita. Pada hal mereka sebenarnya adalah satu aset yang sangat berharga dalam kehidupan kita. Ingatkah lagi kita tentang satu hadis panjang yang menceritakan kepada kita bagaimana tiga orang lelaki terperangkap dalam sebuah gua? Masing-masing memohon pertolongan daripada Allah melalui perantaraan (tawassul) amalan mereka. Salah seorang lelaki tersebut telah memohon kepada Allah melalui perantaraan amalannya yang berbakti kepada orang tua… dan pintu gua itu tergeser, petanda bantuan Allah tiba kerana amalannya terhadap orang tua. Seminggu yang lalu saya telah menziarahi Datuk Hassan Harun, seorang bekas ahli politik, usahawan dan seorang pencinta kepada keilmuan. Kerana cintanya kepada ibu bapanya, beliau telah mengasaskan sebuah institusi pendidikan, dan mengabadikan nama ibunya Sofia sebagai tunjang kewujudan Wadi Sofia International College di Kelantan dan mengabadikan nama bapanya sebagai nama surau di kolej tersebut.

Firman Allah SWT;

"Dan Rabbmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah (beribadah) selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya telah sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah engkau mengatakan "Ah!" dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah "Wahai Rabbku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidikku pada waktu kecil" (al-Isra': 23-24)

Apabila Ilmu Dicintai
Sebagai seorang pelajar atau mahasiswa, sudah tentu misi dan visi perjuangannya adalah untuk cemerlang dan untuk cemerlang perlulah kita merasa cinta dengan dunia keilmuan. Ibnu Sina, seusia 9 tahun sudah menghafal Al Quran, seusia 18 tahun bergelar Doktor Di Raja. Ketika beliau berjaya merawat penyakit Raja Nuh bin Mansur, baginda memanggil beliau dan bertanyakan apakah ganjaran yang beliau mahu, baginda akan tunaikan.” Orang yang sudah jatuh cinta dengan ilmu seperti Ibnu Sina tidak memohon ganjaran-ganjaran dunia seperti harta, pangkat mahupun puteri baginda. Sebaliknya beliau mahukan kebenaran raja untuk menggunakan perpustakaan Negara. Luarbiasa penangan cinta bukan? Permintaannya menghairankan para pembesar bahkan kita juga. Buku karangannya al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) telah ditulis sehingga 14 jilid dan digunapakai oleh Barat dan Eropah. Inilah impak cinta kepada ilmu yang luarbiasa.

Sabda Nabi SAW “Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka Dia akan memahamkan baginya agama (Islam).” (HR. Bukhari & Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi berkata: “Hadith ini menunjukkan keutamaan ilmu (agama) dan keutamaan mempelajarinya, serta anjuran untuk menuntut ilmu.”

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Allah mengangkat orang-orang yang beriman diantara kalian dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat, dan Allah terhadap apa yang kalian kerjakan adalah Maha Mengetahui.”( Al Mujadilah : 11 )

Sudahkan kita bercinta dengan ilmu?

Kecintaan kepada Umat
“Bersatu Untuk Palestin!” Saya ingin bertanyakan kepada anda, ketika anda membaca kisah tentera regim Zionis Israel menembak dan membunuh bayi dan anak-anak Palestin yang tidak berdosa, apakah perasaan anda pada saat itu? Anda akan rasa marah dan kecewa dengan sikap kebinatangan Zionis Israel dan anda akan simpati, sedih bahkan ada yang akan menangis. Syukurlah kerana pada diri anda masih ada perasaan kasih dan sayang pada saudara-saudaramu. Itulah buah dari kecintaan kita kepada ummat ini.

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik, dari Nabi SAW, Baginda bersabda, “Tidaklah seseorang dari kalian sempurna imannya, sampai ia mencintai untuk saudaranya sesuatu yang ia cintai untuk dirinya”. (HR Bukhari & Muslim)

Sempurnakan Cintamu
Sabda Nabi SAW:
“Tidak sempurna iman seorang di antara kamu sebelum ia lebih mencintai aku daripada mencintai ibu-bapanya, anaknya, dan semua manusia” (HR Bukhari).

Ketika Rasulullah SAW bersama Abu Bakar ash-Shiddiq beristirehat di Gua Tsur dalam perjalanan hijrah dari Mekah ke Madinah secara sembunyi-sembunyi. Saat itu Rasulullah SAW tertidur berbantalkan peha Abu Bakar. Tiba-tiba Abu Bakar merasa kesakitan kerana kakinya digigit kala jengking. Namun dia berusaha sekuat tenaga menahan sakit, hingga mencucurkan airmata, agar jangan sampai pahanya bergerak, khuatir Rasulullah SAW terbangun. Subhanallah, luarbiasanya kuasa cinta.

Imam al-Qadhi ‘Iyadh ada berkata dalam kitab “Asy-Syifa Bita’riifi Huquuqil Mushthafa”, ketahuilah, bahawa barangsiapa yang mencintai sesuatu, maka dia akan mengutamakannya dan berusaha meneladaninya. Kalau tidak demikian, maka bererti dia tidak dianggap benar dalam kecintaanya dan hanya mengaku-aku (tanpa bukti nyata). Maka orang yang benar dalam (pengakuan) mencintai Rasulullah SAW akan terlihat tanda (bukti) kecintaan tersebut pada dirinya. Tanda (bukti) cinta kepada Rasulullah SAW yang utama adalah dengan meneladani Baginda, mengamalkan sunnahnya, mengikuti semua ucapan dan perbuatannya, melaksanakan segala perintah dan menjauhi larangannya, serta menghiasi diri dengan adab-adab (etika) yang Baginda contohkan, dalam keadaan susah mahupun senang dan dalam keadaan lapang mahupun sempit.”

Cinta Teragung
Inilah yang kita cari, cinta teragung. Apa itu cinta teragung? Saat Rasulullah SAW memasuki Madinah, selepas berhijrah dari Mekah, kalimat pertama yang Baginda SAW ucapkan adalah; “Wahai manusia, cintailah Allah dengan segenap hati kalian!” Maknanya jangan biarkan ada sebiji sawipun cinta untuk selain Allah di dalam hati, sehingga kita di suruh memilih, maka kita pun memilih cinta Allah sebagai prioriti yang utama dan tiada tandingan. Dan inilah bukti cinta. Sabda Nabi SAW dalam hadith yang lain:

“Wahai manusia, cintailah Allah atas apa yang telah Dia sediakan untuk kalian dari segala jenis nikmat.” (HR Thabrani)


Jangan hanya pula mengaku-ngaku mencintai Allah dengan sekadar ucapan kerana cinta menuntut pembuktian. Contohnya, seorang suami sering mengungkapkan “Aku cinta padamu” pada isterinya. Namun saban hari dia memukul dan menyakiti isterinya. Apakah isterinya akan mempercayai kata-kata suaminya? Tentu saja tidak!

Seseorang yang mula mencintai Allah, hatinya akan bersegera dan cenderung untuk melakukan segala kebaikan yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia akan mencintai kedua ibu bapanya kerana itulah yang dikehendaki oleh Allah. Dia akan mencintai ilmu dan belajar bersungguh-sungguh kerana itulah jua tuntutan dari Allah. Ia akan mencintai saudara-saudaranya kerana Allah. Ia akan menjauhi zina dan maksiat kerana dia takut akan azab dan api neraka Allah. Dia akan membaca Al Quran dan menunaikan solat sebagai bukti cintanya kepada Allah. Bahkan dia akan mencintai suami atau isterinya kerana Allah mengharap cinta Allah. Apa pun yang dilakukan di dunia ia dedikasikan sepenuhnya demi meraih redha dan cinta Allah. Ia menjalani kehidupan dengan melaksanakan seluruh perintah-perintah Allah dan amalan-amalan yang disukai Allah. Ia sudah tidak merasakan kenikmatan kegembiraan, kesedihan mahupun perbuatan kecuali demi meraih redhanya Allah. Ia bekerja, berkahwin, beranak pinak dan beraktiviti apa pun dengan niatan demi meraih keredhaan Allah.

Disebutkan dalam sebuah hadith; bahawasanya ada seorang lelaki yang tetap menyembah Allah di negerinya sedangkan semua penghuni yang lainnya adalah pemaksiat. Allah SWT bertitah pada Jibrail, “ Tenggelamkan negeri itu ke bumi!” Jibrail menjawab, “ Tuhan, di negeri itu ada hamba-Mu si fulan yang terus menerus rukuk dan sujud .” Allah berfirman; “Hai Jibrail, mulailah dengannya. Sesungguhnya wajahnya tidak akan berubah memandang-Ku sedetikpun.” (HR Al Baihaqi)

Cinta mana yang kita pilih? Cinta luar tabiat atau cinta hakikat?


Friday, October 21, 2011

LangitIlahi.Com: Menjadi Mahasiswa Luarbiasa!




Petikan tulisan penulis di LangitIlahi.Com

Mahasiswa, apakah perasaan anda sekiranya di fakulti anda pelajar yang terbaik dikuasai oleh pelajar bukan Islam? Anda ambil perubatan, kejuruteraan, peguam, IT, Matematik, Statistik, Arkitek, dan sebagainya, lalu pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan meninggalkan pelajar Melayu Muslim. Pelajar dari UiTM dan dari pengajian Islam mungkin tidak merasai apa-apa dengan situasi ini. Seorang sahabat saya yang bertugas sebagai Pendaftar di sebuah IPTA menceritakan bahawa di universitinya semakin ramai pelajar bukan Islam mendominasi kecemerlangan di fakulti walaupun bilangan mereka minoriti di kampus.

Singa Yang Ditikuskan?

Apakah sudah tidak ada lagi kualiti mahasiswa muslim yang hebat dan luarbiasa di kampus? Atau mereka sudah menjadi anak singa yang telah ditikuskan? Seorang sahabat saya saat belajar di kampus pada sekitar tahun 1996, belajar di Jabatan Kimia, Fakulti Sains Fizis Gunaan, UKM dalam bidang Sarjana Muda Sains, Kimia. Sepanjang semester pelajar bukan muslim dinobat sebagai pelajar cemerlang kimia. Lalu beliau bertekad untuk memecahkan tradisi itu. Hujahnya mudah…

“Al-Islamu ya’lu wa laa yu’la ‘alaihi”
Ertinya : “Islam itu tinggi dan tiada yang dapat menandingi ketinggiannya”


Lalu beliau memulakan aksi belajar yang luarbiasa, orientasi belajarnya jelas untuk Islam dan kerana Allah telah menjadi pemacu kerajinan dan kesungguhannya. Alhamdulillah, Allah izin beliau mendapat keputusan Kelas Pertama dan dinobatkan dengan Anugerah Mahasiswa Kimia Cemerlang Malaysia pada tahun 1996. Ya, ternyata masih ada “hero” ummat di persada menara gading, tetapi takkan beliau seorang sahaja? Soekarno ada berkata tentang orang muda, berikannya 10 orang pemuda, nescaya dunia dapat digegarkannya. Sudah adakah 10 pemuda “hero” ummat itu?

Ada pula yang merungut, saya bukan seorang yang genius seperti Albert Einstein, mana mungkin saya boleh menjadi saintis yang hebat. Saya bukan dari kalangan Imam Malik dan Imam Syafie, mana mungkin saya boleh menjejak langkah seperti mereka. Saya bukan seperti Ibnu Sina, seusia 9 tahun sudah menghafal Al Quran dan seusia 18 tahun sudah bergelar Doktor Di Raja. Apa lagi ya alasan-alasan yang kita ada..

Kita Punyai Kekuatan

Pemuda muslim, jangan gusar. Selagi mana dirimu bergelar mahasiswa, bererti Allah SWT telah memberimu kecerdasan dan keupayaan untuk mencipta kejayaan bagi umat ini. Maka belajarlah, berusahalah, doronglah jiwamu, asahlah potensimu, bersungguhlah sehingga titik peluh akhir dan bertempurlah dengan jiwamu untuk melawan kemalasan dan kerendahan matlamat.

Yakinlah, kita adalah para pemuda yang hebat dan luarbiasa! Tidakkah anda merasai kekuatan itu? Sungguh, kita pemuda yang kuat kerana 3 perkara:

1.Kita adalah ummat Nabi Muhammad SAW yang graduan dari “universiti” baginda SAW telah melahirkan para pemuda yang hebat dan luarbiasa. Ikuti jejak langkah para pemuda itu, hayati cara hidup dan peribadi mereka. Kita bukan kehilangan contoh tetapi para pemuda kita dipedaya dengan serangan pemikiran sehingga yang hebat itu ditampilkan kalangan bukan Islam. Sedangkan hakikatnya Islam tidak pernah kering dengan model kepemudaan yang luarbiasa! Sudahkah kita membaca kehidupan dan perjuangan mereka. Kehidupan mereka adalah merupakan jelmaan Al Quran yang berjalan kata Syed Qutb.

Pemuda dan mahasiswa islam, kita adalah orang-orang pilihan, masyarakat pilihan, intisari manusia, cream of the society dan yang terpenting kita adalah lambang kekuatan ummat dan amat diperlukan oleh umat untuk meneguhkan perjuangan Islam. Bagaimana mungkin kita menyamakan diri kita dengan pemuda atau mahasiswa biasa-biasa dan golongan yang suka bermain-main dan banyak tidur?

Mulai saat ini, mulalah merujuk kecerdasan, kepahlawanan, kecerdikan, keilmuan, kepimpinan dan kejatidirian para graduan ‘universiti” dari madrasah Rasulullah SAW. Mulailah mencontohi mereka, mencintai mereka, menirupakai gaya hidup mereka. Bumi ini sudah lama merindui pemuda luarbiasa ini memenuhi pelusuk bumi dengan jelmaan Al Quran yang berjalan.

2. Suasana kita di kampus amat kondunsif untuk kita cemerlang dalam pengajian. Segala prasarana, kewangan, tenaga pengajar, teknologi maklumat, peralatan bantuan mengajar, e-library dan segala macam kemudahan berada di hujung jari kita. Kesemua itu adalah alat untuk membantu kita berjaya. Malulah kita kepada adik-adik muslim di kem-kem pelarian di sempadan Kenya-Somalia. Sahabat saya yang bermisi mendidik berbakti di sana mengirimkan gambar mereka belajar dalam keadaan serba dhaif, menulis atas papan kayu beralaskan pasir tapi masih tetap semangat dan mereka berusaha menjelmakan Al Quran dalam kehidupan mereka. Sepatutnya peralatan dan kemudahan yang ada di sekeliling, kita kuasai untuk memenangkan Islam. Dan awas, jangan sampai dikuasai. Hari ini pemuda pemudi kita dikuasai oleh teknologi sehingga teknologi memandu jadual hidup mereka. Yang sedihnya teknologi sudah menjadi ideologi baru generasi Y hari ini. Ikuti tulisan http://langitilahi.com/4981/tm-beriman-dengan-internet-atau-berinternet-dengan-iman buat panduan kita menguasai teknologi berpaksikan Iman.

3. Islam memerlukan cerdik pandai untuk menjaga setiap penjuru Islam yang luas. Maka belajar dan kuasai walau apapun bidang anda. Islam tidak menyulitkan atau membebankan. Sebaliknya sebagai generasi kepimpinan masa depan, pilihlah bidang yang anda minati, hadapi, hayati dan nikmati. Banyak jalan untuk memasuki kota kaherah dan Shan’a. namun Nabi Yaaqub AS sentiasa berpesan kepada putera-puteranya, “Wahai anak-anakku, masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan.”

Demikianlah, kita adalah antara pejuang-pejuang umat yang dinantikan di sebuah lapangan yang luas dan pintu masuknya sangat banyak. Yang perlu pada diri kita adalah keyakinan, percaya diri, pengorbanan dan kesungguhan. Yang penting kita mulakan langkah untuk memasuki pintu itu, bukan sekadar memeluk tubuh dan berterusan memberi alasan.

Pintu penjuru Islam ini luas, perhatikan mereka ini…Ibnu Sina dinobatkan sebagai tokoh perubatan terhebat oleh barat, Ar Razi mengukuhkan Islam melalui kepakarannya dalam bidang farmaseutikal, Mimar Sinan (1538M) merupakan seorang arkitek yang merekacipta 360 struktur bangunan termasuklah 84 buah masjid, 51 buah masjid-masjid kecil, 57 buah sekolah, 7 buah madrasah untuk penghafal al-Quran yang dikenali sebagai darulkurra, 22 buah , 17 buah rumah api , 3 buah hospital, 7 buah jambatan , 48 buah rumah tumpangan, 35 tempat –tempat dan rumah penginapan yang besar, 8 buah bumbung melengkung dan 46 tempat takungan air / kolam mandi.

Sultan al Fateh terkenal dengan keluasan ilmu dan seni peperangan terhebat yang tidak pernah difikirkan oleh mana-mana komander perang. Al-Ibn al-Zarqiyali mahir dalam menentukan gerhana matahari dan telah mencipta sebuah kompas untuk menentukan jarak antara bulan dan bumi dan di antara bintang-bintang dan matahari, Mohammad Bin Musa Al-Khawarizmi (Meninggal 840 M), dikenali di Barat dengan nama Algorizm, terkenal dalam bidang ilmu matematik. Beliau adalah pengasas kepada ilmu algebra, malah nama algebra diambil bersempena dengan nama buku beliau Al-Jabr wal-Muqabilah.

Cat Steven @ Yusof Islam membenarkan dakwah ini melalui lagu dan muziknya, As Syahid Hasan Al Banna berjuang bersama angkatan ikhwan musliminnya sehingga terbina para pemuda yang komited dengan Islam, Jamaluddi al-Afghani dan Muhamad Abduh tokor pemikir gerakan Islam moden, M. Umer Chapra (1 Februari 1933, Bombay India) tokoh ekonomi kontemporer Muslim yang paling terkenal pada zaman moden ini di timur dan barat. Buku beliau, Islam and the Economic Challenge, di deklarasikan oleh pakar ekonomi Amerika, Profesor Kenneth Boulding, sebagai analisis terhebat dalam kajian kecacatan kapitalisme, sosialisme, dan negara maju serta merupakan sumbangan penting dalam pemahaman Islam bagi kaum Muslim mahupun non-Muslim terhadap ekonomi Islam. Pak HAMKA ulama yang warak lagi disegani dari bumi Indonesia. Sheikh Yusof al-Qhardhawi tokoh umat yang sentiasa proaktif mendepani permasalahan umat. SubhanAllah, ribuan lagi tokoh dan ilmuwan Islam mendidik dan berbakti dengan jujur menjaga penjuru-penjuru Islam. Kini giliran kita pula!

Bangkitlah Pemuda!

Pemuda Islam, kini harapan di tangan anda, apakah anda mahu bersama kapal penggerak umat ini? Kata Hilal Asfraf, anak muda kreatif dan luarbiasa ini dan pengasas LangiIlahi.Com, “Irkam Ma’ana” – marilah menaiki bahtera kekuatan. Mari kita bersama dalam bahtera ini. Setiap kita bertanggungjawab menjaga penjuru-penjuru Islam yang luas ini. Ayuh mari kita persiapkan diri. Barangsiapa yang tidak bersiap untuk menguasai mana-mana penjuru dan tidak mahu menguasai suatu bidang yang menjadikannya sebagai “pembuat kehidupan”, sebaliknya memilih untuk menjadi mahasiswa penggiat skrin, dengan menonton movie, video game, facebook (sehingga lara), atau syok bercinta di jalan yang keruh, maka bahtera kekuatan ini tidak akan menunggu anda, kerana kami yakin, di luar sana, masih ada ramai hati-hati yang serius dan bersungguh untuk menyertai bahtera ini.

Bangkitlah pemudaku, berusahalah menjadi pemuda dan mahasiswa yang gagah berani, siap untuk menempuh ujian dan beban, yang hidupnya semata-mata hanya bagi kejayaan dan kemuliaan Islam dan generasi seperti inilah yang sanggup memikul amanah membela umat dan Deen Islam, serta bersedia berkorban menghadapi tribulasi perjuangan dengan penuh kesabaran. InsyaAllah, cita-cita ini akan mendapat kebaikan, keampunan dari Allah dan syurga yang tidak terkira nikmatnya. Mereka itulah yang disebut sebagai orang-orang muflih (beruntung). Bangkitlah untuk menyertai bahtera kekuatan.

“Tetapi Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, mereka berjihad dengan harta dan diri mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang memperolehi bermacam-macam kebaikan dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” ( At-Taubah : 88).

Kata semangat dari Ruhul Jadid; Bangkitlah hai pemuda Islam, Kau tunas harapan penuh penantian. Wujudkanlah cita dan impian dengan kekuatan kita akan berjaya. Bergerak ke hadapan raih kemenangan, ya untuk meraih kemenangan..!

Ya, apakah anda tidak mahu menyertai bahtera kemenangan? Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa Deen dan umat ini akan terus terbela, dan marilah kita berharap bahawa kita tergolong dalam golongan yang menguatkan sendi dan penjuru Islam itu.

“Perkara ini (agama Islam) akan merebak ke segenap penjuru yang ditembusi malam dan siang. Allah tidak akan membiarkan satu rumah pun baik gedung mahupun gubuk melainkan Islam akan memasukinya sehingga dapat memuliakan agama yang mulia dan menghinakan agama yang hina. Yang dimuliakan adalah Islam dan yang dihinakan adalah kekufuran” (HR Ibnu Hibban)

Semoga ini tidak hanya menjadi retorik kosong umpama tin kosong, semangat mengatakan cinta kepada Islam, tetapi apabila dibuka, isinya kosong. Semangat tidak memadai, ianya perlu diiringi dengan tekad dan usaha jitu, sebagai mahasiswa mulakan pecutan anjakan paradigma menuju Alim Mujahid, menguasai ilmu dan menyiapkan diri menjadi “penjaga” penjuru Islam dan bekerja untuk meninggikan Islam. Mahasiswa yang belajarnya berorientasikan akhirat dan mereka berhempas pulas belajar dan cemerlang kerana kecintaan akhirat. Berusaha menjadi yang terbaik kalangan terbaik kerana kita adalah sebaik-baik ummat dan sebaik-baik ciptaan. Semoga kita semua mendapat petunjuk dan hidayah-Nya, dan diberikan kekuatan.

Selamat beraksi!

Thursday, October 20, 2011

Tarbiyah: Realisasi Cerminan Mukmin



Saya kongsikan tazkirah ringkas yang saya sampaikan kepada sekelompok mahasiswa di Pengkalan Chepa, Kelantan...

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Seorang mukmin adalah cermin bagi mukmin yang lain"(HR At-Thabbrani dari Anas RA).

Dari sabda Rasulullah SAW itu dapat disimpulakan beberapa hikmah darinya:

1.Seorang mukmin hendaknya menjadi teladan kebaikan bagi mukmin yang lain. Orang lain akan melihat dan memperhatikannya serta meniru sifat, perkataan dan perbuatannya. Oleh kerana itu dia hendaklah senantiasa menjaga setiap perkataan dan perbuatannya dan memperbaiki sifat-sifat keperibadiannya. Jangan sampai dia menjadi teladan keburukan bagi orang lain kerana keburukan sifat dan perilakunya serta kecelaan sikap dan tutur katanya.

2. Seorang mukmin memiliki tanggungjawab dan amanah dakwah untuk memperbaiki masyarakatnya. Dia hendaklah selalu mendatangkan perubahan yang baik bagi mereka. Bertekad menyebarkan semua kebaikan dirinya agar menjadi sifat dan karakter masyarakatnya. Sehingga menjadi masyarakat yang bermartabat dan penuh wibawa serta dihormati oleh masyarakat lain, persis seperti cermin yang selalu membawa perubahan, siapa pun yang berdiri di hadapannya, mendorongnya untuk merapikan apa yang masih tidak kemas, membersihkan kekotoran yang melekat di badan dan pakaiannya, dan menyedarkan bahawa dirinya memiliki kelebihan yang mungkin tidak terlihat oleh orang lain sehingga tetap percaya diri dengan segenap kelebihan dan kekurangan yang dimilikinya.

3. Menyedari bahawa dia boleh mempengaruhi dan dipengaruhi oleh orang lain. Dia selalu waspada untuk menjaga tutur kata dan perilakunya agar tidak memberikan pengaruh yang buruk kepada orang lain. Senantiasa menjaga pergaulan dan berhati-hati terhadap orang yang akan dijadikan sebagai kawan yang dekat sahabat karibnya, kerana keburukan kawan dan sahabat akan memberikan pengaruh buruk bagi dirinya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

" Seseorang akan mengikuti sahabat akrabnya, maka hendaknya salah seorang di antara kamu senantiasa memperhatikan siapakah orang yang akan dijadikan sebagai sahabat akrabnya".(HR:Abu Daud)

Rahsia disebalik perkataan cermin

Kualiti yang terbaik
1.Kaca termasuk barang yang dibuat dari pasir dari jenis yang terbaik apabila dibandingkan dengan barang-barang lain yang diperbuat dari pasir seperti ceramic dan perkakas lainnya. Terutama untuk membuat kaca cermin diperlukan pasir yang terbaik dari yang terbaik. Apabila kualiti kurang baik, kaca yang dihasilkan tidak boleh digunakan untuk bercermin kerana tidak boleh menghasilkan pantulan yang sempurna sehingga gambar yang ditampilan tidak terlihat sebagaimana wajah aslinya.

Seorang mukmin hendaknya menyedari bahawa dia adalah makhluk yang mulia dan termasuk manusia pilihan kerana Allah telah memilihnya di antara jutaan manusia untuk menerima anugerah terbesar dari Allah iaitu anugerah iman dan Islam. Kesedaran ini akan malahirkan sikap izzah/bangga, sebagai seorang mukmin, sikap waspada dan berhati-hati untuk menjaga tutur kata dan perilakunya agar tidak sampai menurunkannya dari kemuliaan yang telah dianugerahkan kepadanya. Kesedaran ini juga akan akan melahirkan tindakan-tindakan konkrit untuk terus menerus melakukan perbaikan diri sehingga boleh mempertahankan kedudukannya bahkan semakin meningkatkan darjatnya di sisi Allah mahupun di sisi manusia.

Dari Abu Hurairah RA, bersabda Rasulullah, :

“Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah dari mukmin yang lemah, dan masing-masing memiliki kebaikan. Bersemangatlah terhadap hal-hal yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa malas.." (HR Muslim)



Bermanfaat untuk semua orang
2. Kebiasaannya cermin boleh didapati di setiap rumah, bilik, hotel, kedai dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan cermin termasuk barang keperluan untuk memperbaiki penampilan seseorang samada dia orang kaya atau sebaliknya. Begitulah hendaknya seorang mukmin hendaklah menjadi orang yang diperlukan oleh semua orang dan memberikan kemanfaatan kepada semua orang tanpa membezakan status kedudukan mereka kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang yang paling banyak memberi kemanfaatan kepada orang lain.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"“Barangsiapa yang boleh memberi manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya." (HR Muslim)


Menasihati dengan bijak
3.Setiap orang yang bercermin pasti akan mengikuti apa yang menjadi nasihat sang cermin dan dengan segera melakukan apa yang dinasihati oleh cermin dan melakukan dengan segera apa yang menjadi arahannya. Apabila dia melihat dirinya dicermin kurang rapi atau ada kotoran di badan dan pakaiannya atau rambutnya dia akan segera merapikan, membersihkan kotoran dan menyisir rambutnya dengan segera dan sama sekali tidak tersinggung serta marah kepada cermin yang menunjukkan kekurang-kekurangannya. Oleh kerana itu, setiap mukmin hendaknya meneladani sang cermin dalam memberikan nasihat dan arahan-arahan kepada orang lain. Dia hendaklah memperhatikan adab-adab dalam memberi nasihat, jangan memberi dengan kata-kata kasar dan dengan niat memburuk-buruk orang yang dinasihati kerana dia akan tersinggung dan menyebabkan dia akan menolak nasihat tersebut bahkan akan berlaku kasar terhadapnya kerana dia telah menganggap harga dirinya telah dinodai.

Menjaga rahsia.
4. Cermin tidak pernah membuka rahsia siapa pun orang yang pernah berdiri di depannya. Dia tidak pernah mengatakan kepada orang yang bercermin, " Apakah engkau kenal dengan si fulan bin si fulan tadi dan sesungguhnya saya merasa muak dengan penampilannya, saya mahu muntah mencium bau badannya". Begitu jugalah hendaknya seorang mukmin, dia hendaklah menjaga rahsia saudaranya dan menutup aibnya kerana dia menyedari sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat". (HR Muslim)

Kejujuran
5. Cermin tidak pernah berbohong kepada orang yang berdiri di hadapannya, kalau orang yang berdiri dihadapannya itu berketerampilan rapi maka ia akan memunculkan bayangan yang rapi. Demikian juga sebaliknya. Demikian jugalah hendaknya seorang mukmin akan senantiasa berkata jujur kepada siapa pun dan berada di mana pun, kecuali ketika berada di medan perang saat bersengketa dengan musuh. Seorang yang jujur akan mudah disukai oleh mukmin yang lain. Peribadi jujur adalah sahsiah utama yang dimiliki oleh Rasulullah SAW, sifat jujur baginda telah menarik perhatian masyarakat Quraish. Baginda sentiasa berkata benar.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jikalau mereka jujur kepada Allah, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (QS Muhammad: 21)

“Hai orang-orang yang beriman,bertaqwalah kepada dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang jujur” (QS At-Taubah: 119)


Memerlukan orang lain untuk menjaga dan membersihkannya.
6. Betapapun cermin memiliki pelbagai- bagai sifat kebaikan, namun ia juga memiliki kekurangan. Ia akan pecah kalau tidak dijaga dan dilindungi. Ia akan kotor berdebu kalau tidak dibersihkan secara rutin oleh orang yang memakainya. Jadi sehebat mana sekalipun seorang mukmin masih memerlukan nasihat dan sumbangan pemikiran dari orang lain. Dia memerlukan perlindungan diri dari godaan syaitan dan manusia dengan hidup di tengah lingkungan yang baik dan di antara orang-orang solihin.

Kisah seorang ahli ibadah yang akhirnya mengalami su'ul khatimah dengan bersujud kepada syaitan untuk mendapat perlindungan darinya setelah melakukan perzinaan dan pembunuhan terhadap seorang gadis seharusnya menjadi pelajaran yang penting bagi seorang mukmin untuk hidup berjemaah kerana salah satu faktor yang menyebabkan dia tergelincir jauh adalah apabila dia hidup menyendiri dan tidak berada bersama-sama dengan orang-orang solehin. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud

“Hendaknya kamu senantiasa komitmen terhadap jemaah kerana syaitan akan bersama orang-orang yang bersendirian dan di dua orang dia akan lebih jauh." (HR.Ahmad)

Justeru, apa yang penting pada saat ini kita memerlukan suasana tarbiyah Islamiyah. Untuk apa? Agar kita di tarbiyah dengan tarbiyah Islam. Tarbiyah islamiyah adalah proses penyiapan manusia yang soleh, yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, tujuan, ucapan, dan tindakannya secara keseluruhan. Tarbiyah adalah proses yang panjang, lama dan berterusan. Sehingga ia benar-benar mengubah kita menjadi khalifah dan a'bid yang sebenarnya.

Suasana hari ini cukup pekat dengan suasana yang merosakkan, sehingga potensi kita untuk menjadi cerminan mukmin pudar dan tiada kesan. Maka kita perlu kepada tarbiyah. Kata Hasan Al-Banna:

"Jalan penyelesaiannya hanya melalui tiga cara; mengetahui punca penyakit, sabar menerima rawatan dan wujudnya seorang doktor pakar (pendidik/murabbi) yang menjalankan rawatan ini hingga Allah mengizinkan dia menyembuhkan dan mencapai kejayaan.”


Rujukan dan suntingan dari Syarah al-hadis al-arbain at-tarbawiah oleh Fakhuddin Nursyam.

Saturday, October 08, 2011

Motivasi: Islam Memerlukan Cerdik Pandai



Ketika saya berada di semester pertama di UiTM Arau, saya mencari-cari formula untuk menjadi mahasiswa muslim cemerlang yang sebenar-benarnya. Saya memerlukan jawapan yang paling konkrit kenapa saya perlu cemerlang dan untuk apa saya perlu cemerlang. Buat seketika saya meletakkan asbab saya perlu cemerlang kerana saya dari keluarga miskin dan anak harapan mak ayah. Tetapi hujah ini tidak memuaskan hati saya. Rasa seperti tidak lengkap dan tidak kuat.

Suatu ketika saya menghadiri satu tamrin (kursus) di surau Maahad Tarbiyah Islamiyah (MATRI) di Perlis. (Semoga Allah berkati pengasas MATRI, almarhum Syeikh Ustaz Dato’ Dahlan Mohd Zain). Pada sesi sebelah malam, pembentang kertas kerjanya adalah seorang mahasiswa tahun akhir dari UKM. Melihat beliau kali pertama memang tidak menonjolkan sebarang ciri luarbiasa pada dirinya. Namun setelah bertaaruf (berkenalan) sedikit sebanyak, ternyata beliau seorang yang hebat dan mahasiswa yang cemerlang. Hampir 3 jam kami duduk bersimpuh mendengar penyampaian beliau yang penuh bersemangat dan dedikasi. Beliau seolah-olah sedang menyampaikan ceramah kepada ribuan manusia, sedangkan kami hanyalah beberapa orang sahaja. Ternyata aura beliau telah mempengaruhi saya untuk menjadi sepertinya.

Di sepanjang ceramah beliau, ada satu ungkapannya yang telah menjawab persoalan yang saya cari. Katanya;

“Islam memerlukan cerdik pandai untuk menjaga setiap penjuru-penjuru umat agar tidak dibolosi oleh musuh-musuh Islam!”

Setelah pulang dari program tersebut, kata-kata itu terus terngiang-ngiang dalam fikiran. Saya memasuki asrama Pulai di kampus dengan satu perasaan baru. Masuk ke bilik langsung merebahkan tubuh ke tempat tidur. Ingin istirehat tetapi mata tidak mahu terpejam. Hanya menerawang memikirkan sesuatu. Saya tarik nafas panjang-panjang, kemudian dalam hati saya bertekad “Saya harus menjadi salah seorang yang menjaga salah satu dari penjuru Islam itu. Saya harus cemerlang untuk Islam”.

Dan, perjuangan itu dimulai...
Kata-kata sahabat saya itu seolah menjadi sumber penyemangat dalam belajar. Saya semakin bersemangat, belajar saya bukan sekadar untuk melaksanakan harapan mak dan ayah, bukan sekadar mahu keluar dari garis kemiskinan, namun yang terpenting berjaya untuk memenangkan Islam dan meraih pahala dan redha Allah SWT. Dorongan ini menjadi aspirasi dalam kehidupan saya bertempur dengan cabaran pelajaran di kampus.Terkadang sering putus asa juga ketika tidak upaya menyelesaikan persoalan dan cabaran di hadapan saya, terutamanya masalah kewangan yang terbatas. Bagaimanapun semua itu harus saya hadapi, berjuang terus. Untuk berhadapan dengan masalah kewangan, saya bekerja sambilan sebagai kerani sambilan di pejabat HEA pada saya tiada kuliah. Sebelah malam pula saya mengambil upah sebagai pencuci pinggan mangkuk. Dengan duit bekerja inilah saya membiayai pelajaran saya dan Alhamdulillah masih ada baki untuk diberikan kepada keluarga di kampung.

Untuk menjadikan saya cemerlang dalam belajar, saya biasakan diri belajar seawal 4 pagi dengan latih tubi menjawab soalan demi soalan. Saya sentiasa berjumpa pensyarah berbincang soalan-soalan yang sukar saya menjawabnya.

Untuk memperbaiki diri saya agar terbangun peribadi muslim mukmin, saya sabar dalam menjalani dan mengikuti program-program tarbiyah yang disusun oleh murabbi saya. Tarbiyah imaniyah hanya akan berjaya apabila kita memberi dengan jujur hati kita untuk diproses. Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana hingga saat ini Allah masih memilih saya untuk berada di jalan tarbiyah dan dakwah. Semoga saya istiqamah.

Serah Rasulullah SAW dan para sahabat menjadi bahan bacaan wajib pada diri saya. Saya mengambil ibrah dan semangat jihad dari serah ini. Saya juga berusaha mentadabbur Al Quran dari para ustaz di kampus. Kesemua ini adalah sumber kekuatan kita untuk menjadi hamba Allah yang Allah redha dan kehendaki.

Kata-kata Yang Membangkitkan Jiwa
Berawal dari kata-kata yang membangkitkan jiwa dari sahabat saya itu, saya bangkit dan berjuang. Saya percaya bahawa ketika berusaha semaksima mungkin, hasil yang akan diperoleh pasti akan sebanding dengan usaha tadi. Dan, benar juga, pada akhirnya saya dapat menzahirkan cita-cita saya. Yang penting, dari semangat perlu dizahirkan dengan tindakan dan perancangan yang rapid an bersungguh.

Kata-kata memang ajaib. Ianya mampu melemahkan dan juga mampu menguatkan, tergantung dari cara kita mensikapinya. Andai saja saya mensikapi kata-kata sahabat saya dengan pandangan biasa, tentu saja kata-kata itu tidak memberi apa-apa nilai pada diri saya. Tetapi ketika saya dapat merenungi dan mengubahnya menjadi energi positif, alhamdulillah, ternyata ia mencetuskan semangat baru dan semangat itu masih bertahan sehingga saat ini, penggugah dan penyemangat belajar sehingga saya dengan izin Allah dapat menamatkan setiap pengajian saya dengan keputusan 1st Class. Namun saya tidaklah secemerlang sahabat saya yang telah mencetuskan semangat saya untuk belajar dalam kerangka yang Allah kehendaki. Ternyata sahabat saya tadi telah dinobatkan sebagai Mahasiswa Muslim Sains Cemerlang Malaysia dan menjadi pelajar terbaik UKM. Bahkan beliau menamatkan pengajian PhDnya hanya dalam tempoh 2 tahun setengah. Dan sehingga saat ini beliau masih cemerlang dan masih bersemangat dalam menyampaikan dakwahnya. Saya sentiasa mencemburui keistiqamahannya dan kesibukan sebagai profesional mukmin dan sang da’ie yang dinamik. Beliau ialah Dr. Hj. Azizan Ahmad. Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau juga adalah dari keluarga susah dan miskin seperti saya. Kisah perjuangan beliau dalam menempuh keperitan hidup sejak kecil lagi turut menjadi teladan kepada saya.

Ya, untuk berjaya kita perlu memiliki cita-cita dan matlamat hidup yang jelas. Inilah faktor terpenting penentu samada belajar kita akan menjadi ibadah atau tidak. Jika sekadar matlamat belajar kita adalah untuk berjaya mendapatkan karier yang baik dan pendapatan gaji yang tinggi, ya kita mungkin akan mendapatnya. Namun cukupkah sekadar itu sahaja? Seruan saya kepada adik-adik di luar sana yang masih belajar, perkemaskan matlamat belajar anda. Letakkan matlamat yang tertinggi, belajarlah kerana Allah, untuk memenangkan Islam. InsyaAllah, diri kita akan menang jua. Bercita-citalah untuk menjadi profesional mukmin dan sang da’ie yang dinamik. InsyaAllah kejayaan kita akan di pandang oleh Allah SWT. Pesanan saya sesungguhnya dunia ini hanya digerakkan oleh gagasan beberapa orang saja dan saya berharap, saya dan anda adalah salah satunya!

Berkahwin Itu Ada Persiapannya (1)



Persoalan cinta dan kahwin merupakan tajuk perbincangan yang paling disukai oleh remaja dan belia. Mengapa manusia suka dengan cinta dan mahu berkahwin? Sudah tentu mahu mengecapi kebahagiaan. Ada yang bercinta hangat tapi tidak sampai ke jinjang perkahwinan. Ada yang mengenal cinta selepas perkahwinan dan tetap bahagia. Ada juga yang bercinta kemudian berkahwin dan kemudian berpisah (bercerai). Ada juga yang bercinta dan berkahwin dan terpaksa berusaha mempertahankan alam perkahwinan demi anak-anak yang semakin membesar.

Perkahwinan adalah Kemuliaan

Pernikahan adalah fitrah manusia, maka jalan yang sah untuk memenuhi keperluan ini adalah dengan aqad nikah. Bukan dengan cara yang amat kotor lagi menjijikan seperti cara-cara orang zaman sekarang seperti “couple” haram sana sini kononnya untuk menyuburkan perasaan cinta dan membina sifat saling faham memahami, akibatnya terlanjur sehingga berzina, ada juga yang terlibat dengan lesbian atau homoseksual kerana sayang sesama sejenis, semua jalan ini telah menyimpang jauh dan diharamkan oleh Islam.

Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun 2009. Bermakna 1442 orang sebulan, 48 orang sehari, 2 orang setiap jam. Apa yang mampu kita rumuskan dengan statistik ini? Fikir-fikirkan.

Sasaran utama dari disyariatkannya perkahwinan dalam Islam di antaranya ialah untuk membentengi martabat manusia dari perbuatan kotor dan keji yang telah menurunkan dan merendahkan martabat manusia yang luhur. Islam memandang perkahrwinan dan pembentukan keluarga sebagai jalan efektif untuk memelihara pemuda dan pemudi dari kerosakan serta melindungi masyarakat dari kekacauan.

Rasulullah SAW ada bersabda:

“Wahai para pemuda ! Barangsiapa diantara kalian berkemampuan untuk berkahwin, maka nikahlah, kerana nikah itu lebih menundukan pandangan, dan lebih membentengi farji (kemaluan). Dan barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia puasa (shaum), kerana shaum itu dapat membentengi dirinya”. (Hadith Sahih Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Nasa’i, Darimi, Ibnu Jarud dan Baihaqi)

Pernikahan adalah suatu keberanian untuk bertanggung jawab dan kesediaan untuk berjuang. Justeru dirikanlah rumahtangga kita di atas landasan ibadah dan mengharap redhanya Allah. Bukan sekadar faktor cinta dan suka sama suka lalu berkahwin. Kalau atas faktor ini maka asbab kita berkahwin tidak konkrit dan berkemungkinan akan mudah goyah. Mungkin juga atas faktor nafsu semata. Menurut statistik dari JAKIM, sejumlah 20,259 pasangan suami isteri telah bercerai pada tahun 2007. Bermakna 1488 pasangan bercerai dalam masa sebulan, 56 pasangan bercerai dalam sehari! Mungkinkah mereka ini terlupa bahawa di saat seseorang melaksanakan aqad pernikahannya, maka mereka akan mendapati banyak ucapan doa dari para undangan dengan doa keberkatan sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah SAW;

“Semoga Allah memberkahimu, dan menetapkan keberkahan atasmu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan.”

Doa ini sarat dengan makna yang mendalam, bahawa perkahwinan seharusnya akan mendatangkan banyak keberkahan bagi pasangan yang berkahwin. Namun malangnya keluarga bahagia yang diharapkan bertukar menjadi konflik rumahtangga.

Justeru amat penting buat para pemuda yang berkeinginan untuk berkahwin mempersiapkan diri anda dengan persiapan yang betul bagi membina sebuah rumahtangga yang islami dan tarbawi (terdidik).

Pertama, meluruskan niat....

*Artikel ini merupakan petikan tulisan penulis di http://langitilahi.com/5056/pemuda-sebelum-nak-kahwin-bersedialah/ Ikutilah sambungan artikel ini di web tersebut..selamat membaca..

Motivasi Kehidupan: Awas Belitan Dosa

(Picture:He__s_not_afraid_to_die_by_iScreamLav - deviantart.com)

Kita semua ada kelemahan dan pernah buat salah. Maka tidak salah kita mengakuinya dan sedar akan dosa-dosa yang kita himpun. Tidak ada orang yang sempurna. Orang yang mahu belajar dari kesalahan adalah orang yang bijaksana. Yang menyedihkan adalah orang yang berterusan melakukan dosa walaupun telah diperingatkan dan dinasihati. Peringatan dan nasihat baginya akan menyakitkan hatinya. Kerana dia merasakan dirinya tidak bersalah dan tidak berdosa. Dosa ibarat ular sawa, perlahan-lahan membelit diri kita. Begitulah yang berlaku pada diri yang ambil mudah dengan dosa.

Belitan Dosa
Ada seorang pemain sarkis sedang mencari anak ular untuk dilatih. Setelah memasuki sebuah hutan, ia berhasil menemukan seekor anak ular sawa yang masih kecil. Dia membawa anak ular itu ke rumahnya dan melatihnya. Dia melatih ular itumembelit tangannya, dan kakinya.

Ketika ular itu kian besar, dia melatih ular itu untuk membelit tubuhnya dan ketika dia menyuruh ular itu melepaskan belitannya, sang ular mematuhi perintahnya. Setelah melatih berkali-kali, pemain sarkis merasa sudah sampai waktunya membawa ular itu dalam pertunjukan sarkisnya.

Pertunjukan pertama berhasil. Aksi ularnya membuat para penonton kagum. Si pemain sarkis gembira kerana memperoleh banyak wang. Tetapi, suatu hari ketika pertunjukannya sedang berlangsung dan menuju kepada aksi yang paling mendebarkan, dia mengarahkan ularnya untuk membelit tubuhnya. Sang ular mentaati perintah tuannya, tetapi aneh, belitan itu semakin kuat. Ketika si pemain sarkis memerintahkan agar ularnya melepaskan belitannya, ular itu tidak menuruti. Sebaliknya, ular itu membelit kian kuat sehingga si pemain sarkis terjatuh dan mati kelemasan.

Kisah di atas adalah gambaran dari cara kerja dosa. Pada awalnya, dosa itu tampak tidak membahayakan. Tidak hairanlah, ramai manusia yang suka bermain-main dengan dosa kerana dosa itu memang mengujakan dan penuh kenikmatan. Ada orang yang begitu menikmati melihat gambar dan filem-filem porno tanpa merasa bersalah. Ada yang gemar sekali berbohong tanpa merasa takut. Ada pula yang hobinya menipu sana sini demi mendapatkan pengaruh. Ada juga yang bertopengkan di sebalik kealimannya sedangkan hakikatnya dia sering melakukan dosa seksual. Ada juga yang sengaja melalaikan solatnya. Mereka beranggapan perkara itu biasa.

Dosa seperti ular tadi. Perlahan tapi pasti, dosa pun mulai menggerogotinya. Jeratnya semakin kuat mengikat hidup orang tersebut, hingga akhirnya melahirkan maut. Maut dalam keadaan dosa mengelilingi kehidupannya.

Suka Dengan Dosa?
Adakalanya kesalahan itu kita perbuat tanpa kesedaran dan terkadang jauh dari akal sihat kita sedangkan kita harus dapat belajar dari kesalahan yang pernah kita perbuat. Janganlah meremehkan kesalahan yang kecil mahupun besar akan tetapi kesalahan yang besar berpunca dari meremehkan kesalahan yang kecil, bila dihimpunkan sehingga menjadi besar seperti bola salji.

Perasaan senang dan bermudah apabila melakukan kesalahan petanda hatinya sakit. Setiap kali seseorang itu merasa senang hati dengan dosa yang dilakukannya, maka kesan dosa itu akan makin besar dan menghitamkan hatinya. Contohnya merasa bangga dapat menyakiti, memalukan atau membohongi saudaranya yang lain. Dia merasakan tidak ada apa-apa kesan pada dirinya dengan kesalahan demi kesalahan yang telah dilakukanmya. Lalu ia menyangka bahawa kesalahan yang dilakukannya itu mendapat pertolongan dari Allah. Sedangkan Allah menangguhkan balasannya sebagai kemurkaanNya dan agar bertambah besarlah dosanya.

Apabila kita perhatikan ayat-ayat dalam al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kesalahan dan kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.

Menariknya kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata:

“Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.”

Mulakan Langkah Bijak
Tidak ada orang yang suka berbuat kesalahan selamanya. Namun jika anda ingin melewati hidup dengan baik, maka tidak ada jaminan bagi anda untuk tidak melakukan kesalahan. Jika anda dapat belajar dari kesalahan dengan tepat, maka anda akan mendapatkan bahan bakar baru untuk maju ke hadapan. Islam mengajar kita untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi. Langkah bijak buat diri kita yang sentiasa berbuat salah adalah dengan bersegera untuk bertaubat dan beristigfar kepada Allah SWT. Bagaimana tidak, Rasul pun yang telah diampuni dosanya bersabda:

“Wahai manusia bertaubatlah kepada Allah dan beristigfarlah, sesungguhnya aku bertaubat seratus kali dalam satu hari. (HR Muslim)

Nabi Ibrahim AS yang telah menjadi kekasih dan piliha Allah SWT, baginda tidak pernah merasa cukup dengan taubat dan selalu merendahkan dirinya kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

“…Dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (al-Baqarah: 128)

Merendah dirilah pada Allah SWT. Kita bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan, janganlah lagi kita sibuk meyalahkan orang lain semata-mata mahu menutup kesalahan dan dosa diri kita sendiri. Ingatlah setiap yang kita perbuat akan dibentangkan kelak di hari Akhirat. Firman Allah SWT:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.” (al-Hasyr: 18 – 19)

Maka bersegeralah kita kembali kepada Allah. Jangan berlengah lagi dan janganlah berputus asa kerana sesungguhnya Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah SWT:

“Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (az-Zumar: 53)