Tuesday, June 23, 2009

Iktibar Peperangan Khandaq/Ahzab


Peperangan ini dinamai juga dengan peperangan Al-Ahzab. Peperangan ini berlaku dalam bulan Syawal tahun kelima Hijrah. Ini menurut apa yang ditegaskan dengan kuat oleh Ibnu Ishaq, Urwah Bin Al-Zubair, Qatadah, Al-Baihaqi dan Jumhur Ulama Sirah dan dikatakan juga berlaku pada tahun keempat Hijrah. Tarikh ini ditegaskan oleh Musa bin Aqabah dan diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan diikuti oleh Malik.


Peperangan ini berpunca (sebagaimana yang diriwayatkan) daripada pengkhianatan kaum Yahudi dan tipu muslihat mereka. Mereka yang menyalakan api peperangan itu dan merekalah yang mengumpulkan barisan Musyirikin. Kerja jahat seperti ini tidak terbatas pada kaum Bani Nadhir yang telah diusir keluar dari Madinah sahaja malah kerja-kerja seperti ini turut dilakukan oleh Bani Quraizah sedangkan mereka masih terikat dengan perjanjian dengan kaum Muslimin dan tidak pula di dalam keadaan terancam sehingga mendesak mereka melanggar perjanjian dan ikatan mereka itu.


Di sini dapat kita mengambil sejumlah pengajaran dan pelajaran. Peristiwa ini merupakan persoalan yang paling jelas hingga ianya merupakan ungkapan sejarah yang terkenal di setiap masa dan tempat.



Pengajaran dan Pelajaran

Pertama: Peperangan Khandaq ini merupakan peperangan pertama di dalam sejarah peperangan Arab dan Islam di mana kubu-kubu digali. Taktik peperangan cara ini hanya terkenal di kalangan bangsa-bangsa asing sahaja iaitu Farsi secara khusus dan orang yang mengemukakan kaedah ini di dalam peperangan ini ialah Salman Al-Farisi, dimana Rasulullah Sallahu 'alaihi Wasallam kagum dan tertarik dengan kaedah ini. Tidak lama kemudian, Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam pun menyeru sahabatnya melaksanakan cadangan itu.

Ini adalah sebahagian daripada beberapa dalil yang banyak yang menunjukkan bahawa hikmah itu barang kehilangan orang Mukmin:

"Hikmah itu adalah barangan yang hilang daripada orang-orang Mukmin. Di mana sahaja ditemuinya, dialah yang lebih berhak memilikinya."

Sesungguhnya syariat Islam membenarkan kaum Muslimin mengambil sesuatu yang baik daripada orang lain dengan syarat mereka (orang Islam) tidak mengikuti pegangan atau kepercayaan asing. Mereka boleh mengambil serta mengumpul seberapa banyak yang mungkin nilai-nilai kebaikan dan konsep-konsep yang berfaedah untuk diri mereka, di mana sahaja kedapatan dan di mana sahaja ia dapat diperolehi. Sebagai kaedah umum Islam di dalam konteks ini ialah supaya setiap Muslim tidak membantutkan akal bebasnya dan pemikirannya yang waras di dalam perjalanan hidupnya dan seluruh urusan dan halnya. Sekiranya ini rupabentuk seorang Muslim, sudah pasti tanpa keraguan lagi ianya tidak mungkin dicucuk tali pada hidungnya lalu hujung tali diserahkan kepada orang lain untuk memimpin ke mana sahaja mereka kehendaki tanpa kesedaran dan pandangan mata hatinya.


Seorang Muslim tidak mungkin membelakangkan sebarang prinsip atau kerja atau disiplin yang diterima oleh akal yang waras dan fikiran yang bebas lagi secocok dengan prinsip-prinsip syariat Islam, apatah lagi untuk melanggarnya dan tidak pula mahu memenatkan jiwanya untuk mengambil manfaatnya darinya.


Cara hidup inilah yang digariskan oleh Allah Subha Nahu Wa Ta'ala kepada individu Muslim yang sebenarnya turun-temurun dari satu asal-usul iaitu kemuliaan. Kemuliaan yang diciptakannya kepada manusia supaya berlandaskan nilai ini kerana Allah Taala mengendaki agar manusia ini menjadi pemerintah sekalian makhluk Allah. Melaksanakan ubudiyyah (perhambaan) diri kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala serta beriltizam dengan hukum-hukum syariatnya demi untuk menjamin agar terpelihara kemuliaan dan pemerintahan ini.



Kedua: Di dalam babak di mana Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam dan para sahabat radiyaLlahu 'anhum bersama-sama menggali kubu parit "Khandaq" ternyata memberi suatu pengiktibaran yang paling agung sekali. Babak ini menyingkap sebahagian besar daripada hakikat persamaan yang diasaskan oleh masyarakat Islam di antara anggota-anggota masyarakatnya. Di samping itu ia juga mendedahkan bahawa keadilan dan persamaan sifat yang diasaskan itu bukanlah semata-mata slogan yang dihiaskan dari luar masyarakat itu lalu dipamerkan dalam satu bentuk yang menarik dan menawan, tetapi keadilan dan persamaan hak itu merupakan asas yang benar-benar terpancar darinya nilai dan prinsip Islamiyyah yang umum samada yang zahir maupun yang batin.


Saudara mendapati Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam tidak mengarahkan kaum Muslimin untuk menggali kubu, kemudian baginda pulang ke istananya memerhati dari atas menara kemajuan yang dijalankan dan seterusnya berehat sambil berenak-enakan sahaja dan tidak pula Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam datang untuk membuat perasmian dengan memegang ulu cangkul kemudian mencangkul sekali sebagai tanda memulakan kerja. Tetapi baginda Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam telah bersama-sama berhempas pulas memerah tenaga dengan seluruh kaum Muslimin sama seperti para sahabatnya. Mereka serentak bekerja dan bermadah dengan rajaz (seperti sajak) buat menambah semangat dan kecergasan. Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam pun turut bekerja bermadah, mereka termengah-mengah, kerana Allah mereka sanggup dahaga dan berlapar. Inilah dia hakikat menegakkan syariat Islam bagi melaksanakan prinsip persamaan di antara pemimpin dan yang dipimpin, antara kaya dan miskin, antara rakyat jelata dan amir. Malah saudara akan mendapati bahawa seluruh cabang syariat Islam ditegakkan di atas konsep ini.


Saya menasihatkan saudara agar tidak menyamakan konsep ini dengan sistem ciptaan manusia yang yang menyelewengkan cara hidup dan pemerintahan. Jauh sekali perbezaan di antara dua ini. Sumber keadilan dan persamaan dalam Islam ini berpunca daripada perhambaan dan penyerahan ubudiyyah kepada Allah Subha Nahu Wa Ta'ala. Ianya merupakan satu sifat yang menyeluruh bagi seluruh manusia, meletakkan mereka dalam satu saff (barisan) kedudukan dan pandangan sedangkan sistem ciptaan manusia merupakan keluhuran undang-undang dan pendapat majoriti atas segala yang lain tanpa memperhitung tabi'at dan kemunculan pendapat itu dan pencapaiannya.


Untuk yang demikian maka syariat Islam tidak sibuk dengan apa yang dinamakan pengkelasan (apartheid) untuk mana-mana akta, atau kelompok manusia tertentu. Demikian juga tidak ada motif dan sebab-sebab khusus kerana tabi'at dan sifat kehambaan dan ubudiyah itu melarutkan segala-galanya ini di samping menghapuskan segala keistimewaan itu sama sekali.


Imam Bukhari telah meriwayatkan dalam hadis sahihnya dari Jabir radiyaLlahu ‘anhu telah berkata di hari menggali kubu; “Kami telah direntangi oleh seketul batu pejal, sahabat-sahabat bertemu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu menceritakan: “Ada batu pejal, ya Rasulullah yang merintangi penggali kubu.” Jawab Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: “Nanti aku pecahkannya,” kemudian baginda terus bangun sedangkan perut baginda diikat dengan batu (menahan lapar). “Tiga hari berturut-turut kami tidak menjamah makanan.” Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengambil pemecah batu lalu dicangkulnya batu hingga menjadi hancur. Kemudian aku berkata: “Ya Rasulullah ‘alaihi Wasallam, izinkanlah kepadaku untuk pulang ke rumah," lepas itu aku berkata kepada isteriku: “Aku lihat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sudah tidak boleh sabar lagi. Apakah engkau ada sesuatu untuk dimasak?" Jawabnya: “Aku ada biji-biji barli dan seekor kambing betina.” Aku pun menyembelih kambing dan mengisar biji-biji barli kemudian aku masakkan kambing di dalam periuk. Setelah itu aku datang menemui Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sedangkan tepung yang diuli sudah merekah manakala periuk masih di atas tungku lagi tetapi hampir-hampir masak. Aku berkata kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: "Saya ada sedikit makanan, ayuh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dengan seorang dua lagi." Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya: “Banyak mana makanan itu?” Aku pun ceritakan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Kata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Itu banyak, lagi baik. Katakan kepada isterimu jangan angkat turun periuk dan juga roti, biarkan di atas dapur hingga aku tiba. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berseru kepada sekelian Muhajirin dan sekelian Ansar; “Ayuh bangun dari tempat kamu.” Di tengah jalan pula Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaung: “Wahai penggali-penggali kubu, ini dia Jabir telah menghidang makanan!” Ayuh kesemua kamu. Bila Jabir masuk ke dalam rumah lalu berkata: "Apa kata kamu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah datang bersama-sama Muhajirin dan Ansar dan orang-orang lain.” Bertanya isterinya: “Adakah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bertanyakan tentang makanan itu." Jawab Jabir, "Ya!" Lalu jawab isteri Jabir: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”


Kemudian datanglah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan baginda bersabda: “Ayuh masuk dan jangan teragak-agak.” Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mematah-matahkan roti dan meletakkan masakan daging di atasnya. Manakala periuk dan dapur memasak roti, masih bertambah apabila diambil sehingga sekelian yang datang kenyang dan masih banyak lagi bakinya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkata kepada isteri Jabir: “Engkau makanlah hidangan yang baki kerana manusia ditimpa kelaparan.” (dalam riwayat yang lain pula kata Jabir: “Aku bersumpah demi Allah mereka telah memakan masakanku hingga kesemua mereka beredar tetapi periuk kami masih penuh seperti asalnya dan tepung kami masih boleh dibuat roti lagi.” )



Pengajaran dan Pelajaran

Di dalam babak ini juga tersirat pengajaran dan pengiktibaran yang menyingkap satu gambaran kesetiaan yang teradun di dalam peribadi Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang membawa saudara melihat betapa kecintaan baginda terhadap sahabatnya dan berkasihan-belas ke atas mereka di samping memberi gambaran yang lain mengenai perkara-perkara luar biasa dan mukjizat yang dikurniakan Allah Subha Nahu Wa Ta’ala kepada Nabi-Nya.

Adapun gambaran kenabian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di dalam babak ini, kelaparan yang diakui oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam semasa bekerja bersama-sama para sahabatnya hingga baginda terpaksa menahan pedih perut kerana terlalu lapar. Perhatikanlah apakah tujuannya hingga membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sanggup menanggung kesusahan sebegitu rupa? Apakah ini kerana ingin menjadi pemimpin? Atau apakah ini keinginan mengumpul harta kekayaan dan kekuasaan atau satu impian inginkan para pengikut dan penyokong di sekelilingnya? Segala keinginan dan cita-cita demikian adalah amat bertentangan dengan segala yang dialami selama ini. Nyatalah jauh sekali seorang lelaki yang mencintai dan memburu pangkat, kuasa atau kekayaan mampu bersabar menanggung kesengsaraan seperti ini. Adapun yang membawa baginda bersabar menanggung dan mengalami segala-galanya ini tidak lain daripada rasa tanggungjawab terhadap risalah dan amanah yang ditaklifkan (diamanahkan) untuk disampaikan dan berjalan membawa tugas yang berat melalui jalan-jalan yang panjang yang memang tabiatnya sedemikian. Itulah dia peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang terpapar dalam kerja-kerja yang dilakukannya bersama para sahabatnya khusus semasa menggali kubu “khandak”.


Manakala gambaran kecintaannya yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata terlihat apabila baginda mengajak seluruh sahabatnya menikmati masakan Jabir yang dikhususkan kepada baginda dan beberapa orang sahabat.


Apa yang mendesak Jabir menjemput Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam ialah setelah didapati bahawa baginda mengalami kelaparan yang amat sangat sehingga terpaksa mengikat batu-batu pada perut baginda. Oleh kerana Jabir tidak mempunyai simpanan makanan kecuali cukup untuk beberapa orang sahaja, terpaksalah beliau membataskan jemputan ini kepada sebilangan orang sahaja sesuai dengan kadar makanan yang ada. Tetapi bagaimana mungkin Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam sampai hati meninggalkan para sahabatnya yang sama-sama bekerja keras sedangkan perut-perut mereka memulas kelaparan. Belas kasihan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam kepada sahabatnya mengatasi kasihan belas ibu ke atas anak-anaknya.


Apa yang dikatakan mukjizat luar biasa di dalam kisah ini ialah kambing kecil Jabir radiyallahu 'anhu tadi bertukar menjadi makanan yang berlimpahan, mengenyangkan beratus-ratus para sahabat dan masih berbaki. Sesungguhnya mukjizat yang luar biasa yang menakjubkan ini merupakan penghargaan Ilahi kepada baginda bagi menggambarkan kesayangan Rasulullah SallaLlahu 'alaihi Wasallam terhadap sahabat-sahabatnya.


Rujukan: Fiqh As-Sirah, Muhammad Sa’id Ramadan Al-Buti
This entry was posted in :

1 comments:


  1. Saya ingin menyampaikan kepada seluruh TKI yang bekerja di negeri orang saya ibu hermawati seorang TKI DI MALAYSIA pengen pulang ke indo tapi gak ada ongkos sempat saya putus asah apalagi dengan keadaan susah gaji suami itupun buat makan sedangkan hutang banyak kebetulan suami saya buka-buka internet mendapatkan nomor MBAH RONO katanya bisa bantu orang melunasi hutang melalui jalan TOGEL dengan keadaan susah jadi saya coba hubungi MBAH RONO dan minta angka bocoran MALAYSIA angka yang di berikan 4D TOTO ternyata betul-betul tembus 100% bagi saudarah-saudara di indo mau di luar negeri apabila punya masalah hutang sudah lama belum lunas jangan putus asah beliau bisa membantu meringankan masalah anda hubungi MBAH RONO di nomor (_085_340_489-469_) ini asli bukan rekayasa atau silahkan buktikan sendiri..

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah