KOTA BHARU 24 Mac – Di tengah persaingan dalam dunia pendidikan yang menitikberatkan soal mutu dan pencapaian, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) di sini berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi yang berwibawa.
Ia terus mendepani cabaran dan diberi nafas baru melalui perubahan pengurusan pada 2004, dengan diterajui oleh seorang tokoh akademik, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abd. Rahman selaku Ketua Eksekutif KTD.
KTD mula mengatur langkah dalam merencanakan perkembangan masa depannya, sekali gus bagi menjenamakannya sebagai salah satu institusi pilihan dengan pengiktirafan meluas.
Ia mula mendapat keyakinan beberapa institusi pengajian tinggi luar negara untuk mengadakan kolaborasi, satu lagi langkah ke arah mengangkat kualiti pendidikannya.
‘‘Pada masa sama ia memberi peluang pendedahan berkesan kepada penuntut dalam menangani tuntutan akademik dan kerjaya peringkat global,” kata Dr. Abdullah Sudin ketika ditemui baru-baru ini.
Kolej milik penuh bumiputera yang menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif itu bekerjasama dengan lima universiti di United Kingdom (UK) yang menerima penuntutnya di peringkat ijazah, sarjana dan kedoktoran.
KTD kini mempunyai hubungan kolaborasi dengan Teeside University, Dublin Business School, Universiti Of Winchester, Griffith College Dublin dan Southampton Solent University di samping beberapa institusi pengajian tinggi tempatan.
Program kolaborasi peringkat diploma diadakan dengan universiti tempatan antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan menawarkan pengajian Kejuruteraan Elektronik, Sains Komputer (multimedia), Sains Komputer (teknologi maklumat), Pengurusan Teknologi dan Pengurusan Teknologi (akaun).
Bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pula melibatkan pengajian dalam Perbankan Islam, E-Commerce, Komunikasi dan Pengajian Islam (syariah, al-Quran dan dakwah).
Menurut Dr. Abdullah Sudin, setiap penuntut yang menyambung pengajian ke KTD diwajibkan mengikuti modul Program Pembangunan Sahsiah Terpuji (PESAT) selama tiga tahun merangkumi pembelajaran asas al-Quran dan sembahyang serta kepimpinan.
Ia sesuai dengan falsafah yang menjadi amalan KTD iaitu ‘Ngaji biar pandai, perangai biar jurus, hidup biar boleh tumpang’.
‘‘Pengurusan KTD yakin bahawa pendidikan bersepadu adalah proses berterusan yang berteraskan tauhid bagi menghasilkan insan kamil yang dilengkapi dengan kepakaran dan kemahiran terkini, mampu menangani cabaran, memberi sumbangan serta membina ummah yang cemerlang.
Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my