Friday, February 13, 2009

Aspirasi Pemuda Pelopor Perubahan

“Sesungguhnya mereka adalah para pemuda yang beriman kepada Rabb-Nya dan kami tambahkan petunjuk kepada mereka….” (QS. Al-Kahfi:13).

Ketika berbicara mengenai pemuda kita akan mendapati banyak perkara yang menarik dan hal-hal kepemudaan khususnya dalam fasa pembinaan pemuda Islam yang iltizam dan intizam dengan gerakah dakwah dan tarbiyah. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa dalam sejarah Islam pemuda ditakdirkan mempunyai peranan yang strategik, di antaranya sebagai agent of change (Agen perubahan). Marilah kita menelusuri sejarah kebangkitan Islam pada masa Rasulullah SAW diperkukuhkan oleh tangan-tangan kesatria para pemudanya, serta pada era kejayaan dan keemasan di abad pertengahan pun demikian, para ilmuan itu adalah kelompok muda.

Mujahid Fathi Yakan berkata, matlamat utama persiapan pemuda-pemuda Islam hari ini ialah untuk melaksanakan matlamat tercapainya 'Qawamah' (penguasaan) Islam terhadap masyarakat dan dunia. Ini memerlukan tugas para pemuda Islam bagi memindahkan pimpinan umat dari tangan jahiliah ke tangan Islam. Dan juga pemikiran, perundangan dan akhlak jahiliah kepada pemikiran, perundangan dan akhlak Islam.

Ini bermakna bahawa tugas dan peranan pemuda Islam ialah melakukan "Perubahan" dan bukannya menempel atau memperbaiki, dan inilah yang sewajibnya berlaku.

Tugas ini pada hakikatnya adalah tugas yang berat dan sukar tetapi ianya adalah tugas yang dituntut; dan tugas selain dari ini tidak mempunyai nilai. Malah tugas yang lain ini akan membawa bencana yang akan menangguhkan kemahuan para pemuda kepada perubahan, malah akan membawa kepada perjalanan seiring dengan realiti jahiliah yang ada dan cuba hidup bersamanya.

Menurut Imam Syahid Hasan Al-Banna, perbaikan suatu umat tidak akan terwujud kecuali dengan perbaikan individu, yang dalam hal ini adalah pemuda. Perbaikan individu (pemuda) tidak akan berjaya kecuali dengan perbaikan jiwa. Perbaikan jiwa tidak akan berhasil kecuali dengan pendidikan (tarbiyah) dan pembinaan. Apa yang dimaksud dengan pembinaan adalah membangun dan mengisi akal dengan ilmu yang berguna, mengarahkan hati agar sentiasa muraqabatullah dan sentiasa berdo’a, serta komited dalam proses pertarbiahan jiwa dan sentiasa muhasabah diri.

Justeru, pemuda hari ini perlu mempersiapkan diri agar dilengkapi dengan pakej pemuda rabbaniyah. Ustaz Mustafa Masyhur berpesan :

Wahai para pemuda, kami mahukan kamu sekalian menjadi rijal aqidah yang sebenar-benarnya. Kami mahu kamu menjadi tiang seri yang kuat lagi teguh dan tak pernah bergoyang atau runtuh. Kami mahukan kamu sebagai rijal aqidah, bukan rijal kalam(percakapan) atau rijal jidal(pertengkaran). Rijal-rijal jihad dengan harta dan nyawa bukan jihad di atas lembaran-lembaran buku sahaja atau kamu setakat mengajarkan apa yang kamu pelajari sahaja atau kamu menghukum orang-orang yang selain daripada kamu dengan fasik, kufur atau syirik. Kami mahukan kamu menjadi para du'at bukan sebagai penghukum. Kami mahukan kamu sebagai orang-orang yang sentiasa beramal dengan penuh keikhlasan yang sanggup berkorban dan sentiasa tabah. Hendaklah kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kaya dan tak pernah berhajat sesuatu daripada jihad kita :

"Dan sesiapa Yang berjihad (menegakkan Islam) maka Sesungguhnya Dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; Sesungguhnya Allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk."
(Surah Al Ankabut : 6)

Cara yang paling baik meramalkan masa depan adalah dengan menciptakan masa depan dan tahukah anda siapakah masa depan itu? Masa depan itu adalah seorang pemuda.

Wahai pelopor perubahan! Marilah kita menciptakan masa depan itu dengan sebuah peradaban mulia ini dengan tinta emas rabbaniyah kerana disebalik setiap revolusi, pemuda adalah jentera utamanya.

Sejarah kemudian mengajarkan kita satu kaedah bahawa risalah yang agung haruslah dibawa oleh seorang rasul yang agung; bahawa sebuah misi besar haruslah dikembangkan oleh seorang pemikir yang besar; bahawa sebuah beban amanat yang berat haruslah dipikul oleh seseorang yang kuat; bahawa sebuah pedang yang tajam hanyalah akan berguna jika ia berada dalam genggaman tangan seorang pahlawan pemberani.

Sesungguhnya, sebuah kejayaan gerakan dakwah dan tarbiyah hanya akan berhasil diwujudkan apabila kuat rasa keyakinan kepada-Nya, ikhlas dalam berjuang dijalan-Nya, semakin bersemangat dalam merealisasikannya, dan kesiapan untuk beramal dan berkorban dalam mewujudkanya. Keempat karakter di atas yakni iman, ikhlas, semangat, dan amal merupakan karakter yang wajib dimiliki pada diri pemuda, kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertaqwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora, dan dasar amal adalah kemahuan yang kuat dan itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda.

Pemuda adalah muara peradaban dalam setiap fasa sejarah. Semoga Allah SWT senantiasa melimpahkan rahmat dan hidayah-Nya kepada para pemuda pembaharu. Ia adalah moral dan kekuatan, kasih sayang dan keadilan, pasukan dan pemikiran. Sebagaimana ia adalah aqidah yang murni dan akhlaq yang terpuji, tidak kurang tidak lebih. Beginilah seharusnya pemuda!.

This entry was posted in :

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah