Tuesday, December 21, 2010

Pada Diri Pemuda Ada Kekuatan

Dalam satu mesyuarat tergempar yang diadakan di Darun Nadwah, Mekah, sekumpulan manusia berkumpul dan berfikir apa yang patut mereka lakukan untuk menjatuhkan Muhammad. Pelbagai idea dan pandangan telah diutarakan, namun semuanya dirasakan tidak efektif, kecuali ada satu pandangan yang menarik perhatian mereka:

“Aku punya satu cadangan. Kita pilih tiga puluh pemuda yang kuat-kuat dari seluruh kabilah suku Quraisy. Kita berikan mereka setiap seorang sebilah pedang yang tajam. Kemudian suruh mereka menebas Muhammad serentak. Dengan begitu, darah Muhammad tumpah di tangan kabilah-kabilah ini.”

Itulah pandangan populis dari Abu Jahal, gengster besar yang menentang dakwah Rasulullah SAW.

Apa yang boleh kita belajar dari situasi ini?

Al Haq vs Al Bathil

Pertama, pakatan jahiliah dan penentang kebenaran, mereka bersekongkol dan bersatu hati untuk melemahkan kebenaran hatta sedia untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun, asalkan kemenangan berpihak kepada mereka. Ini yang kita perlu sedar. Sejarah ini akan terus beulang dan berulang. Menariknya mereka akan mengadakan ‘musyawarah’ dan bersungguh-sungguh memberikan buah fikiran untuk mencari jalan terbaik memenangkan kebatilan yang mereka yakini. Mereka serius terlibat untuk memberi dokongan dan sokongan. Dan mereka bersatu mencari jalan untuk melemahkan Islam.

Tahukah anda bahawa Yahudi Israel telah memulakan perancangan menubuhkan Negara haram mereka sejak tahun 1897 dalam Kongres Pertama Zionis di Switzerland . Pada tahun 1917, melalui Perisytiharan Balfour kerajaan Britain berjanji untuk menyokong penubuhan negara Yahudi di Palestin. Pada tahun 1936, Suruhanjaya Peel mencadangkan Palestin dibahagikan kepada negara untuk orang Yahudi dan negara untuk orang Arab. Negara-negara Arab dan rakyat Palestin tidak bersetuju dan menentang usaha jahat barat dan Yahudi, Namun saat itu negara Arab dan umat Islam tidak punyai kekuatan akibat perpecahan.
Hasilnya adalah Resolusi 181 yang membahagikan Palestin di antara orang Yahudi dan Arab. Yahudi menerima 56% kawasan mandat British yang diduduki oleh ramai orang Yahudi sementara Jerusalem akan ditadbir oleh PBB. Pelan ini diterima oleh majoriti masyarakat Yahudi tetapi ditolak oleh masyarakat Arab.

Pada 29 November 1947, pelan ini diundi dalam Perhimpunan Agung PBB. Keputusannya 33 menyokong, 13 menentang dan 10 berkecuali.

Demikianlah kebatilan dibela dan diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh oleh para pendukungnya, Oleh kerana itulah Ali bin Abi Thalib ra pernah menyatakan :

"Al-haq yang tidak diurus dengan baik akan dikalahkan oleh Al-bathil yang terurus dengan baik".

Benarkah begitu? Secara jujur mari kita melihat ealiti umat Islam hari ini? Tidak perlu pergi jauh, kita menilai realiti diri umat, diri kita. Bagaimana dengan kita semua? Masih menyendiri di dalam rumah atau bilik masing-masing dan tidak ambil kisah dengan situasi umat dan Islam masakini?

Atau masih menjadi juara dalam ‘mesyuarat kedai kopi’ dan menjadi pengkritik hebat akan pelbagai isu yang dibangkitkan. Semua orang tak kena dan tak betul…selepas penat minum teh dan kopi, pulang ke rumah tanpa melakukan sebarang usaha pembaikan diri dan umat.

Bagaimana pula khabar institusi surau dan masjid? Masih tercari-cari qariah masjid yang sedia berbakti untuk memakmurkan surau dan masjid. Sedangkan kedua institusi ini amat penting dalam mentarbiyah umat, namun terkadang terkapar dan tidak berfungsi dengan baik kerana ketiadaan individu yang sanggup menawar diri (meluangkan masa) untuk bersama dalam pasukan al haq untuk merancang program dakwah, tarbiyah dan keilmuan di surau dan masjid.

Sedangkan hakikatnya, kerja-kerja dakwah dan men”soleh”kan umat bukan kerja mengisi masa lapang dalam kehidupan kita, tetapi ianya sunnah terbesar yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Rasulullah SAW dan para sahabat RA berdakwah secara sedar dan faham , mereka mencagarkan kehidupan mereka dengan segala pengorbanan yang terbaik dan termampu mereka berikan demi membumikan kalimat tauhid.

Pemuda: Kekuatan Islam atau Agen Bathil?

Keduanya, pro jahiliyah juga menjadikan pemuda sebagai agen pelaksana perancangan jahat mereka. Jahiliyah sedia menghimpun para pemuda mereka yang terbaik untuk mendokong cita-cita mereka. Tahukah kita bahawa gerombolan pemuda dan pemudi Yahudi datang dari barat, timur, utara dan selatan, meninggalkan tanah tumpah darah mereka semata untuk mendirikan negara haram Israel di atas puing-puing bangunan dan darah para syuhada Palestin yang berserakan. Bahkan mereka tidak puas dengan Israel yang kecil itu. Mereka menyeru kepada penubuhan “Israel Raya” iaitu menguasai seluruh daerah sepanjang Sungai Eufrat ke sungai Nil. Anak-anak mereka semenjak kecil diwajibkan mempelajari dan menguasai kitab Thalmud, sumber rujukan mereka yang antara kandungannya mendidik anak –anak dan pemuda mereka bahawa bangsa mereka adalah bangsa terbaik dan bangsa lain adalah binatang dan tunggangan untuk mereka.

Apa khabar pula dengan remaja dan pemuda kita saat ini? Kepada ibu bapa yang memiliki anak remaja dan remaji, saat ini, di mana anak muda mudimu? Sedang menelaah ilmu, mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin masa depan Islam yang berintegriti dan berketerampilan, atau sedang menghabiskan masa entah ke mana sehinggakan kita pun tidak sedar dan ketahui di mana mereka saat ini?

Bagaimana pula penghayatan pemuda dan pemudi kita dengan Al Quran? Di hati atau dalam almari? Menjadi cara hidup atau sekadar penghias dinding rumah?

Sesungguhnya, musuh Islam sedar bahawa Islam juga diperkuatkan oleh para pemuda. Justeru mereka juga telah mengadakan konspirasi dan perancangan terperinci untuk merosakan potensi dan kekuatan para pemuda Islam agar pemuda dan pemudi Islam tidak mampu bersaing dan sekualiti dengan pemuda dan pemudi mereka.

Mereka telah berjaya mempengaruhi para pemuda pemudi Islam dengan pelbagai cara dan pendekatan agar jauh dari sumber kekuatan Islam yang sebenar. Dalam satu khutbah yang disampaikan oleh Dr. Yusof al-Qaradhawi, beliau menyebut:

“Demi Allah, saya terpukul menyaksikan fenomena menyedihkan yang berlaku di kalangan pemuda, baik di kalangan Arab mahupun kaum muslimin. Pemuda Islam menghadapi fenomena lemahnya akhlak dan sukakan kemungkaran. Para pemuda Islam tidak memiliki impian dan cita-cita besar untuk menegakkan risalah dalam hidup mereka. Andai mereka ada cita-cita mulia ini, pastilah mereka tidak akan memikirkan perkara-perkara yang telah menyisihkan jatidiri mereka sebagai muslim.”

Keluhan ulama tersohor ini ada benarnya. Hari ini yang menjadi agen cara hidup barat dan bukan Islam bukan diterajui oleh pemuda barat, tetapi dipimpin dan dibarisi oleh anak muda Islam sendiri. Pemuda barat kini telah menjadi idol dan pujaan anak muda Islam. Anak muda Islam menjadi pengikut setia mereka dan bersedia mempertahankan pegangan dan kefahaman mereka yang semakin jauh dari kebenaran.

Apakah kita ketiadaan pemuda pemudi Islam yang boleh diharapkan? Yakinlah, Islam tidak akan pernah kehilangan pemuda rabbani yang mulia yang sedia mempertahankan kalimah thoiyyibah. Malahan Islam pernah melahirkan pemuda contoh yang luarbiasa untuk kita jadikan teladan dalam kehidupan kita. Saidina Ali bin Abi Talib, pemuda luarbiasa yang semenjak kecil telah bergabung dengan dakwah Rasulullah SAW. Islam dihiasi dengan kewibawaan Mu’sab Bin Umair, pemuda yang pernah diusir dan diharamkan menyentuh kekayaan keluarganya sendiri, yang akhirnya menjadi murabbi dan da’i “special” dikirimkan oleh Rasulullah SAW meneruskan misi dakwah ke Madinah sehingga mencetuskan fenomena baru di Madinah. Dan ramai lagi para pemuda yang bergabung dengan pasukan dakwah Rasulullah SAW. Mereka bersungguh dan serius berhimpun di sekeliling Rasulullah SAW, menanti arahan dengan penuh siap siaga, memimpin umat mendepani dakwah dan berjihad mempertahankan kalimah Allah!

Andai sahaja pemuda pemudi Islam kita ini berfikir dan bertindak seperti Usamah bin Zaid, seusia 18 tahun memimpin pasukan jihad yang dibelakangnya dibarisi oleh sahabat-sahabat terkemuka, atau berfikir dan memiliki kualiti diri seperti Muhammad Bin Al-Qasim Ats-Tsaqafi yang memimpin pasukan Islam untuk membuka India saat beliau berusia 17 tahun, apakah ianya mustahil untuk dilahirkan kembali?

Kita perlu bersama dan bersatu hati, melakukan sinergi melahirkan kembali pemuda pemudi yang sedar dan faham akan tanggungjawab mereka terhadap Islam. Mereka yang sedar dan faham, akan melahirkan pemuda pemudi yang memiliki sahsiah dan peribadi unggul, kekuatan iman dan taqwa yang tinggi dan semangat juang yang tidak kenal penat dan lelah dalam membumikan masa depan adalah milik Islam. Dan kita adalah sebahagian dari pemuda pemudi tersebut, insyaAllah!

Ayuh, persiapkan dirimu!

1 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah