Friday, April 29, 2011

Jom Sokong Freedom Flotilla 2


International Seminar on Peace & Humanitarian Aid For Gaza telahpun melabuh tirainya pada 23 April yang lalu di UIAM. Tahniah kepada urusetia seminar yang bertungkus lumus berusaha mengadakan seminar ini. Sekurang-kurangnya dengan adanya penganjuran seminar ini yang menjemput pelbagai tokoh dan pejuang kemanusiaan dari dalam dan luar Negara, sedikit sebanyak menghangatkan kembali tumpuan peserta yang hadir akan permasalahan sebenar di Palestin, Gaza dan Masjid Al Aqsa.

Permasalahan di Palestin bukanlah isu semasa dan isu warga Arab semata. Sekiranya masih ada umat Islam yang berfikir sedemikian ternyata mereka masih tidak faham akan sejarah Palestin dan Masjid Al Aqsa. Suatu saat dulu, Sultan Abdul Hamid II, Khilafah terakhir yang menerajui daulah Islam yang berpaksi di Turki pernah mengungkapkan:

“Aku tidak akan melepaskan walaupun sejengkal tanah ini (Palestin), kerana ia bukan milikku. Tanah itu adalah hak umat Islam. Umat Islam telah berjihad demi kepentingan tanah ini dan mereka telah menyiraminya dengan darah mereka. Yahudi silakan menyimpan harta mereka. Jika Khilafah Utsmaniyah dimusnahkan pada suatu hari, maka mereka boleh mengambil Palestin tanpa membayar harganya. Akan tetapi, sementara aku masih hidup, aku lebih rela menusukkan pedang ke tubuhku daripada melihat Tanah Palestin dikhianati dan dipisahkan dari Khilafah Islamiyah. Perpisahan adalah sesuatu yang tidak akan terjadi. Aku tidak akan memulai pemisahan tubuh kami selagi kami masih hidup.”

Palestin Adalah Urusan Umat Kini
Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid II untuk tidak mengizinkan Yahudi bermukim di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat riwayatnya.

Sultan Abdul Hamid II menulis dalam salah satu suratnya kepada salah seorang gurunya Syeikh Mahmud Abu Shamad yang berbunyi:

“…Saya meninggalkan kekhalifahan bukan kerana suatu sebab tertentu, melainkan kerana tipu daya dengan pelbagai tekanan dan ancaman dari para tokoh Organisasi Persatuan yang dikenal dengan sebutan Cun Turk (Jeune Turk), sehingga dengan berat hati dan terpaksa saya meninggalkan kekhalifahan itu. Sebelumnya, organisasi ini telah mendesak saya berulang-ulang agar menyetujui dibentuknya sebuah negara nasional bagi bangsa Yahudi di Palestin. Saya tetap tidak menyetujui permohonan tersebut yang datang bertubi-tubi tanpa ada rasa malu. Akhirnya mereka menjanjikan wang sebesar 150 juta pounsterling emas.

Saya tetap dengan tegas menolak tawaran itu. Saya menjawab dengan mengatakan, “Seandainya kalian membayar dengan seluruh isi bumi ini, aku tidak akan menerima tawaran itu. Tiga puluh tahun lebih aku hidup mengabdi kepada kaum Muslimin dan kepada Islam itu sendiri. Aku tidak akan mencoreng lembaran sejarah Islam yang telah dirintis oleh nenek moyangku, para Sultan dan Khalifah Uthmaniah. Sekali lagi aku tidak akan menerima tawaran kalian.”

Setelah mendengar dan mengetahui sikap dari jawaban saya itu, mereka dengan kekuatan gerakan rahsianya memaksa saya meninggalkan kekhalifahan, dan mengancam akan mengasingkan saya di Salonika. Maka terpaksa saya menerima keputusan itu daripada menyetujui permintaan mereka.

Saya banyak bersyukur kepada Allah, kerana saya menolak untuk mencoreng Daulah Uthmaniah, dan dunia Islam pada umumnya dengan noda abadi yang diakibatkan oleh berdirinya negeri Yahudi di tanah Palestin. Biarlah semua berlalu. Saya tidak bosan-bosan mengulang rasa syukur kepada Allah Ta’ala, yang telah menyelamatkan kita dari aib besar itu.

Saya rasa cukup di sini apa yang perlu saya sampaikan dan sudilah Anda dan segenap ikhwan menerima salam hormat saya. Guruku yang mulia. mungkin sudah terlalu banyak yang saya sampaikan. Harapan saya, semoga Anda beserta jama’ah yang anda dapat memaklumi semua itu.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

22 September 1909

Pelayan Kaum Muslimin
(Abdul Hamid bin Abdul Majid)

Begitulah ketegasan pemimpin Khilafah Islam terakhir mempertahankan Palestin dari dijajah Yahudi, sehingga mengakibatkan daulah Islam terkorban.

Apa Sumbangan Anda Untuk Palestin?
Ketika sahabat penulis, Dzikrullah Wisnu Pramudya salah seorang pembentang dalam International Seminar on Peace & Humanitarian Aid For Gaza, membicarakan apakah peranan umat Islam untuk membantu Palestin, beliau terlebih dahulu membentangkan fakta-fakta bagaimana komuniti yahudi samada di Israel mahupun di luar Negara, memberikan sumbangan mereka kepada perjuangan Yahudi Israel dengan begitu tersusun dan terancang. Para peserta seminar terkejut dan menggeleng-gelengkan kepala. Persoalannya, bagaimana sumbangan kita dan NGO Islam, sudah semaksima mana pelaksanaan strategi kita membantu Palestin, sudah setinggi mana kesatuan hati kita membantu Palestin atau masih berlumba-lumba menunjukkan “keheroan” masing-masing untuk menunjukkan NGO masing-masinglah pejuang sebenar isu Palestin di Malaysia!

Tugas kita amat berat. Situasi di Palestin semakin getir! Syeikh Yusuf Jum’ah Salamah, salah seorang ulama Masjid Al-Aqsa menegaskan bahawa bangsa Arab dan Umat Islam perlu segera menyelesaikan pertikaian dan perpecahan yang terjadi di kalangan masyarakat Islam dan ianya merupakan satu-satunya jalan untuk mengembalikan kota-kota suci, memerdekakannya dan membersihkannya dari najis Yahudi pencinta kezaliman, terutama masjid Al-Aqsa yang suci. Beliau menyeru kepada para ulama umat Islam agar berperanan dalam menjelaskan hakikat pertikaian dan perseteruan yang sebenarnya antara Arab dan Zionis, bahawa hal tersebut merupakan perang agama bukan perang politik belaka, dan memberikan peringatan bahawa perancangan dan konspirasi busuk Zionis hampir mencapai kesempurnaan untuk menyahudikan Al-Quds, yang mana pada akhirnya akan memberi kesan yang amat buruk kepada masa depan Masjid Al Aqsa. Beliau juga menjelaskan bahawa hubungan umat Islam dengan masjid Al-Aqsa adalah hubungan keyakinan dan aqidah. Ini kerana perjalanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw. dalam peristiwa Isra dan Mi’raj merupakan mukjizat yang juga merupakan sebahagian dari aqidah dan keyakinan, selain itu Masjid al-Aqsa menjadi saksi akan perjuangan besar penegakkan agama Tauhid di kalangan para nabi dan rasul. Masjid Al Aqsa juga menjadi petunjuk kepada kita semua bahawa Islam memimpin semua umat tatkala Nabi saw. menjadi imam kepada semua para Nabi dan Rasul.

Tetap Istiqamah Membantu Palestin
Sumbangan kita masih jauh. Kehangatan boikot, kepanasan demonstrasi, semuanya sudah surut. Itu semua bermusim. Tetapi Israel menyerang tanah Palestin tanpa musim-musim tertentu. Tinggal mendapat perhatian atau tidak sahaja. Pejuang-pejuang mujahidin mempertahankan tanah suci itu juga tanpa musim, hari-harian ada sahaja yang syahid. Malulah kita dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu bahawa mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel. Malanglah, jika mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keenakan tidur, kesedapan makanan, kemewahan wang ringgit, kemeriahan perabot antik, miliki ilmu sampai PhD, namun hanya mampu membisu seribu bahasa. Sabda Rasulullah SAW.

“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)

Marilah kita bersatu untuk Palestin. Firman ALLAH SWT:

“Maha suci ALLAH yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [Al-Israk: 1].
Tidak rugi kita bersatu hati membantu Palestin. Marilah kita tekad bersama membanting tulang membantu Palestin dengan apa sahaja kekuatan dan keupayaan yang kita miliki. Perjuangan ini adalah perjuangan mulia. Dalam satu hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekelompok dari umatKu akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari ALLAH dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya RasululLAH?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” [HR At Tabrani].
Mari kita menyokong sepenuhnya usaha pelayaran Freedom Flotilla II, kali ini akan melibatkan lebih banyak Negara dan aktivis bersatu untuk memasuki Palestin melalui perairan antarabangsa. Projek bahtera kemanusiaan ini adalah simbolik protes masyarakat dunia terhadap sekatan kejam Israel terhadap Palestin, khususnya di Gaza. Apakah Israel sekali lagi akan bertindak kejam menyerang operasi kemanusiaan ini? Apakah masyarakat dunia akan terus tunduk dengan kekejaman nyata Israel, bukan sahaja kepada warga Palestin tetapi kepada aktivis kemanusiaan dan pencinta kedamaian? Bagi kita di Malaysia, mari kita bersatu hati menyokong usaha Freedom Flotilla II ini. (http://www.lifeline4gaza.org)


Ya Allah! Satukan Hati Kami
Semoga Allah SWT mengilhami kaum Muslimin agar cenderung kepada kesatuan hati dan sangat merindukan agar hal ini terjadi. Semoga Allah mengarahkan umat Islam untuk teguh menghindari perpecahan. Semoga Allah menjadikan umat ini berjuang siang dan malam dengan kecintaan dan semangat besar demi kesatuan umat. Semoga Allah memberi balasan kepada saudara-saudara Palestin kita dengan gelaran syahid. Semoga Allah menjadikan mereka memasuki Akhirat sebagai syuhada. Semoga Allah menyembuhkan yang sakit. Semoga Allah memberi mereka kesabaran, keteguhan dan keberanian. Semoga Allah menjadikan kezaliman orang-orang zalim berbalik menimpa diri-diri mereka sendiri dan menggagalkan mereka dengan mengaburkan penglihatan mereka, mengaburkan perkiraan mereka, mengaburkan pemikiran mereka, mengaburkan hati mereka, membelenggu hati mereka dan membelenggu lidah mereka. Semoga Allah menghapuskan kezaliman Zionis. Semoga Allah menganugerahkan kesatuan buat umat ini, kesatuan dan ukhuwah kepada seluruh dunia Muslimin dan menjadikan mereka hidup bersama dalam kedamaian. Semoga Allah tidak pernah menjadikan kita menyimpang dari jalan Rasulullah SAW. Semoga Allah tidak pernah menjadikan kita menyimpang dari nilai-nilai ajaran Al Quran. Semoga Allah menganugerahkan keberlimpahan, kedamaian, keberanian, sikap tidak berlebihan, keteguhan dan pantang menyerah di hadapan penderitaan serta akhlak mulia sejati kepada seluruh kaum Muslim, insya Allah. Bersatu Untuk Palestin!

*Petikan tulisan penulis di web langitilahi.com

1 comments:

  1. Jalan Perubahan Tanpa Pilihanraya Demokrasi Sekular Warisan Penjajah Kafir Laknatullah Lord Reid ke Jalan Khilafah Ala Minhaj An Nubuwwah.

    Ar Rayah World News
    http://ibnuyassir.blogspot.com/

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah