Salam sejahtera beserta rahmat dan keberkatan dari Allah,
Istimewa buat puteri-puteri Islam sejati!
Di mana jua kalian berada, di merata pelusuk tanahair tercinta maupun di perantauan yang jauh... dengan sukacita ibu menziarahi hati kalian beserta ukhuwah dan mahabbah kerana Allah semata-mata. Dengan harapan kita semua menepati maksud firman Allah dalam surah Al-Asr ayat 1-3: “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman an engerjakan ebaikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran”.
Justru itu puteri-puteri harapan;
Ibu memohon limpah rahmat Allah untuk ibu mampu berkongsi sedikit bekalan bersama-sama kalian alam memenuhi keperluan hati nurani di sepanjang hayat yang Allah tentukan. Semoga dengannya kita beroleh pedoman ke jalan kebenaran.
Buat pertama kalinya di kesempatan ini ibu mulakan dengan;
Bekalan 1: Taqwa Sebaik-baik Bekalan
Baru saja kita meninggalkan bulan Ramadhan yang penuh barakah. Kini kita bergembira merayakan Syawal yang dihadiahkan untuk orang-orang beriman yang telah berpuasa sebulan. Berpuasa genap sebulan dengan diseratai solat-solat sunat, tadarus juga sedekah dan mengeluarkan zakat fitrah memberi kesan mendalam kepada jiwa kita. Bagi memastikan suasana beribadah sedemikian berterusan di bulan-bulan yang lain, marilah kita hayati tujuan mengapa puasa itu diperintahkan kepada orang-orang yang beriman; “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”. (Surah Al-Baqarah: 183)
Melalui berpuasa sebulan, orang-orang beriman telah berjaya membina daya tahan yang tinggi terhadap berbagai rupa kesusahan. Sepanjang sebulan itu jugalah setiap mukmin membiasakan diri beribadah dengan penuh sabar dan khusyuk. Kesibukan malam hari yang diisi dengan zikir dan iktikaf dapat mengurangkan diri mukmin dari terlalu memikirkan kesibukan duniawi. Secara langsung keadaan sedemikian juga dapat meningkatkan pergantungan dan ketaatan kepada Allah. Dari sinilah setiap mukmin beroleh bekalan taqwa yang akan mencergaskan jiwa untuk menghadapi berbagai suasana sepanjang sebelas bulan mendatang sementara tiba Ramadhan berikutnya.
Puteri-puteri harapan!
Sedarilah taqwa itu sendiri telah mendapat pengiktirafan mutlak dan tinggi dari Allah s.w.t; “... Maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”. (Al-Baqarah: 197)
Darjat manusia selaku hamba Allah turut tertingkat sekiranya taqwa memenuhi jiwa; “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa”. (Al-Hujuraat:13)
Dengan taqwa juga kalian akan beroleh perisai paling kebal dan petunjuk paling jelas bagi menangkis berbagai godaan dan bisikan syaitan bertepatan maksud firman Allah; “Sesungguhnya orang yang bertaqwa itu apabila ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”. (Al-A’raaf:201)
Juga perhatikan dengan teliti maksud firman Allah dalam surah Al-Hadidayat 28; “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNya supaya Dia memberi kepadamu dua kali ganda dari rahmatNya dan memberikan kepadamu cahaya yang kamu perlukan untuk berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Begitulah puteri-puteriku yang ibu kasihi dengan kasih sayang Islam;
Pada setiap perintah Allah ke atas kita pasti mengandungi hikmah yang sungguh besar dan sangat kita hajatkan di sepanjang hayat kita di dunia. Malahan akan menentukan pula tempat kembali kita di akhirat kelak. Begitu juga dengan taqwa yang sedang kita teliti, merupakan bekalan utama yang dapat memastikan kelancaran perjalanan hidup kita pada landasan kebenaran. Justru itu, marilah sama-sama kita dalami hakikat taqwa yang dijelaskan oleh para sahabat dan ulamak;
- Taqwa adalah buah (natijah/hasil) dari keimanan yang kukuh/mendalam yang dipupuk dengan rasa pengawasan Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
- Taqwa menghindarkan setiap mukmin dari melakukan larangan Allah, juga mendorong terlaksananya segala perintah yang dituntut.
- Taqwa dapat mencegah diri mukmin dari azab Allah dengan sentiasa berbuat amal soleh. Juga khuatir terhadap kemurkaan Allah, disamping sentiasa mengharap rahmat dan keredhaanNya.
Seterusnya yang lebih penting dalam persoalan taqwa adalah bagaimana dapat kita bina taqwa dalam diri secara praktik?
Bagi memastikan taqwa berjaya terbina di dalam diri setiap mukmin, perlulah diwujudkan beberapa keadaan berikut:
1. Mu’ahadah - mengingati perjanjian. (Q. S. 16:9)
Seseorang mukmin perlu selalu berkhalwat (menyendiri/hanya antara dia dan Allah,) untuk menyedari hakikat diri sebagai hamba Allah. Ingatlah setiap hari paling minima kita berjanji sebanyak 17 kali dalam solat-solat fardhu sebanyak lima waktu; “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah”.
2. Muraqabatullah - merasakan pengawasan Allah. (Q. S. 26: 218-219)
Merasakan Allah sentiasa bersama, melihat dan mengawasi setiap pergerakan hamba-hambaNya dalam sembunyi maupun terang-terangan.Oleh itu, setiap kali seorang mukmin ingin melakukan apa jua perkara mestilah dipastikan samaada perlakuan itu semata-mata kerana Allah, atau sebaliknya kerana kepentingan pribadi dan memperoleh pujian manusia.
3. Muhasabah - koreksi diri. (Q. S. 59:18)
Setiap mukmin hendaklah menghisab/menghitung selepas selesai mengerjakan apa jua amal perbuatan, samada perlakuannya semata-mata untuk beroleh redha Allah atau dikuasai rasa riya’dan takabbur.
4. Mu’aqabah - menebus dan membersihkan kesalahan. (Q. S. 2:197)
Setiap kali diri mukmin tergelincir melakukan kesalahan, bersegeralah pula memperbaiki diri dan menebus kesilapan. Usah dibiarkan bertompoknya kesalahan demi kesalahan hingga terperangkap dalam dosa yang menyukarkannya membersihkan maruah diri.
5. Mujahadah - bersungguh-sungguh berjihad untuk beroleh keredhaan Allah, terutama melawan hawa nafsu sendiri. (Q. S. 29:69)
Bilamana seseorang mukmin dikuasai kemalasan, suka istirehat, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan tanggungjawab dan perintah Allah tepat pada waktunya, mestilah memaksa diri melakukan segala bentuk amalan lebih banyak dari sebelumnya.
Puteri-puteriku yang gigih membina taqwa!
Yakinlah janji-janji Allah pasti benar. Hakikat taqwa sebagai sebaik-baik bekalan Allah tambahkan pula dengan ganjaran istimewa khusus bagi barisan muttaqin…
• Diberikan furqon (petunjuk yang membezakan antara yang hak dan bathil) dan diampuni dosa-dosa.
• Diberikan rahmat dan hidayah.
• Diberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
• Dimudahkan oleh Allah segala urusan.
• Ditutupi Allah segala kesalahannya dan dilipatgandakan pahala.
• Sentiasa beroleh barakah.
Puteri-puteriku;
Sebagai kesimpulan, sematkan di hati kalian kata-kata hikmah dari Khalifah Umar Abdul Aziz; “Bukanlah taqwa itu sekadar melakukan solat sunnat di malam hari dan berpuasa sepanjang siang hari. Atau melakukan kedua-duanya sekali. Tetapi taqwa ialah melaksanakan segala yang difardhukan serentak dengan meninggalkan laranganNya. Jika diiringi amal-amal soleh yang lain..., maka ia akan menjadi kebaikan di atas kebaikan.”
Akhirnya kita tangguhkan dahulu bicara kali ini dengan memohon keampunan dari Allah s.w.t; “Maha Suci Engkau ya Allah, dan segala puji bagiMu. Aku bersaksi tiada tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat padaMu”.
Wassalam.
UmmuAnas.
Ibu yang mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam.
0 comments:
Post a Comment