Sunday, September 13, 2009

TAZKIRAH 7: BEKALAN RUHANI DARIPADA RAMADHAN YANG TERSISA


Kini kita berada di ambang 10 hari terakhir daripada bulan Ramadhan. Pada 10 hari terakhir ini terdapat fadhilat yang cukup besar lantaran salah satu daripada malamnya merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu malam Al-Qadr (Lailatul-Qadr). Siapa yang mendirikan (qiyam) malam agung ini dengan penuh iman serta mengharapkan keampunan dan rahmat daripada Allah swt diampunkan dosa-dosanya (dosa kecil) yang terdahulu. Justeru itu Rasulullah saw amat mengambil berat dan memberi keutamaan kepada ibadah i’tikaf pada 10 hari terakhir ini.

I’tikaf adalah sunnah Rasulillah saw. Sayyidatuna A’ishah diriwayatkan pernah berkata,

“Adalah Rasulullah saw beri’tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat, kemudian isteri-isteri baginda terus beri’tikaf selepas ketiadaan baginda.”

Iltizamnya baginda saw melaksanakan sunnah i’tikaf ini sehingga baginda wafat menunjukkan betapa besarnya keutamaan dan kelebihan beri’tikaf pada 10 hari terakhir ini.
NAS-NAS BERHUBUNG I’TIKAF RASULILLAH SAW
Keutamaan I’tikaf dalam syari’at Islam ialah pada hari-hari yang khusus dalam bulan puasa iaitu pada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadhan. Tiada riwayat yang menunjukkan bahawa Rasulullah saw beri’tikaf tanpa berpuasa pada siang harinya. Sayyidina A’ishah pernah berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Tidak ada i’tikaf melainkan dengan puasa.”
(Riwayat Abu Dawud, AdDarqutni dan AlBaihaqi).

Pada setiap tahun Rasulullah saw beri’tikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Baginda tidak pernah meninggalkan ibadah i’tikaf ini kecuali pada satu tahun, dan baginda mengqadha’nya pada bulan Syawal. Diriwayatkan juga bahawa pada Ramadhan yang terakhir sebelum kewafatan baginda, Rasulullah saw beri’tikaf pada 20 hari terakhir daripada bulan tersebut.

Apabila Rasulullah saw bermaksud untuk beri’tikaf baginda memasuki tempat I’tikaf yang berupa khemah kecil yang didirikan di dalam Masjid Nabawi untuk baginda berkhalwah.

Semasa i’tikaf Nabi saw tidak memasuki rumah baginda melainkan untuk qodha’ hajat. Sekiranya ada dari kalangan ummahatul-mukminin yang ingin menziarahi baginda mereka boleh pergi menemui Nabi di dalam masjid. Kemudian Nabi akan menemani mereka pulang ke rumah mereka. Baginda tidak pulang bergaul dengan isteri-isteri baginda pada malam baginda beri’tikaf. Sekiranya baginda masuk ke rumah untuk qodha’ hajat baginda tidak menyibukkan diri dengan sesiapa pun. Ada ketikanya semasa pulang sebentar untuk qodha’ hajat, anggota isi rumah baginda sedang sakit namun baginda tidak mendekatinya dan tidak bertanya khabar tentang keadaannya kerana tidak mahu membatalkan i’tikaf.


I’TIKAF DARIPADA SEGI HUKUM SYARA’

I’tikaf pada istilah syara’ ialah menetap di rumah Allah dengan niat beribadah. Oleh itu i’tikaf disyaratkan supaya dilaksanakan di masjid.
Firman Allah swt:

وَأنتم عاكفون في المساجد (البقرة: 187)

Maksudnya, “Dan kamu beri’tikaf di masjid-masjid”

Para fuqoha’ berbeza pendapat tentang jenis masjid yang dibolehkan beri’tikaf seperti pandangan-pandangan berikut:

1) I’tikaf hanya dikhususkan kepada 3 masjid sahaja iaitu Masjid AlHaram, Masjid Nabawi dan Masjid AlAqsa. Pendapat ini bersandarkan kepada athar daripada pada Said bin AlMusayyab yang berkata: “لا تشد الرحال الا الى ثلاثة مساجد ...” yang bermaksud, “Jangan kamu bersusah payah berpergian melainkan kepada 3 masjid……”

2) Imam Malik dalam satu pendapatnya menyebut tiada i’tikaf melainkan di masjid yang mana solah berjama’ah diadakan. Pandangan ini berdasarkan kepada kata-kata Ibn Masud r.a.

3) Jumhur ulama’ berpandangan bahawa harus beri’tikaf di mana-mana masjid kerana umumnya lafaz “وَأنتم عاكفون في المساجد (البقرة: 187)”. Dr. Ali AsSobuni, dengan merujuk kepada AlQurtubi, AlAlusi, AlKasyaf dan ArRazi, berkata pendapat ini lebih tepat kerana kandungan ayat ini tidak mengkhususkan mana-mana masjid sebaliknya hanya menyebut masjid-masjid secara umum, maka kekal lafaz ayat ini dengan sifat umumnya.Sehubungan dengan ini beliau memetik kata-kata Abu Bakr AlJassos dalam kitabnya ‘Ahkam Al-Quran’ sebagai berikut:

Para salaf telah bersepakat bahawa syarat untuk beri’tikaf mestilah di masjid. Cuma mereka berbeza pendapat daripada segi umum atau khususnya lafaz ‘almasajid’ (masjid-masjid). Namun zahir ayat di atas mengharuskan beri’tikaf di semua masjid berdasarkan umumnya lafaz.

BERAPA LAMA MASA I’TIKAF?

Para fuqoha’ berbeza pendapat dalam hal berapa lama jangka waktu minima yang diperlukan bagi sesuatu sesi i’tikaf. Di sana ada 3 pendapat:
1. Mazhab Hanafi: Sekurang-kurangnya sehari semalam.
2. Imam Malik: Sekurang-kurangnya 10 hari.
3. Mazhab Shafi’ee: Sebentar waktu dan tidak ada had maksima.

ADAKAH DISYARATKAN BERPUASA?
Imam Shafi’ee dan Imam Ahmad berpendapat harus i’tikaf tanpa perlu berpuasa.
Jumhur ulama’ {Abu Hanifah, Malik dan Ahmad (pendapat kedua)} berkata, “Tidak sah i’tikaf melainkan dengan berpuasa.” Mereka berhujjah dengan riwayat yang bersumberkan daripadapada A’ishah bahawa Rasulullah saw bersabda, “لا اعتكاف الا بصيام“ yang bermaksud, “Tidak ada i’tikaf melainkan dengan puasa.”

Berkata imam AlFakhr yang bermazhab Shafi’ee, “Harus beri’tikaf tanpa puasa namun adalah afdhal jika berpuasa.”

I’TIKAF MUSLIMAH

Menurut Sheikh Masud Sobri, pembahas syar’iee laman web Islam Online, adalah harus bagi Muslimah beri’tikaf di masjid dengan syarat tempat i’tikaf (معتكف) kaum wanita diletakkan berjauhan daripada tempat i’tikaf lelaki. Disamping itu seorang isteri disyaratkan juga mendapat keizinan suaminya. Fuqoha’ Mazhab Hanafi berpendapat bahawa Muslimah boleh juga beri’tikaf di ‘masjid’ rumahnya. Menurut Dr. Majdee AlHilali, ukht Muslimah boleh beri’tikaf di kamar atau bahagian di dalam rumahnya yang dikhususkan sebagai mihrab ibadah anggota keluarga perempuan.

Dasar syari’at dalam Islam adalah sama antara lelaki dan wanita melainkan dalam perkara-perkara yang ada nas syara’ yang membezakan peraturan atau hukum bagi lelaki dan wanita. Sheikh Masud Sobri memetik sabda Rasulullah saw,

لا تمنعوا اماء الله مساجد الله وبيوتهن خير لهن

yang bermaksud, “ Jangan kamu halang wanita Muslimah daripada masjid-masjid Allah, dan pada masa yang sama rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.”

Oleh kerana hukum wanita pergi ke masjid adalah harus maka beri’tikaf di masjid juga harus bagi wanita tetapi dengan menepati syarat-syarat yang disebut di atas.
Wanita, seperti mana juga lelaki, perlu memperbaharui hubungannya dengan Allah dan memutuskan tumpuan hatinya kepada kesibukan duniawi yang tak kunjung habis. Dalam realiti kehidupan hari ini wanita diberikan hak-hak siyasah, sosial dan ekonomi maka hak untuk mereka berkhalwah meningkatkan hubungan hati dengan Allah adalah tidak kurang pentingnya, bahkan lebih aula.

ASPEK RUHI DALAM I’TIKAF
Berkata Ibn Rojab, “فحقيقة الاعتكاف قطع العلائق عن الخلائق للاتصال بخدمة الخالق” yang bermaksud, “Ada pun hakikat i’tikaf ialah terputusnya semua ikatan dengan makhluk untuk khidmat kepada Khaliq.” Justeru jiwa seorang yang sedang beri’tikaf atau ‘aakif (عاكف) sentiasa tajarrud daripadapada keasyikan, keselesaan, kesibukan dan kerunsingan dunia. Dia mengusir keluar semua kerunsingan duniawi daripada pemikiran dan hatinya. Pengasingan dirinya dengan mengasingkan pemikiran dan perasaannya daripada apa sahaja yang ada di luar masjid. Fokus dirinya ialah kepada Allah swt. Dia memberi sepenuh perhatian untuk beribadah kepada Rabb dan Ilahnya dalam solat, zikir, tasbih, tilawah dan qiyam.

Dengan ini segmen i’tikaf dalam kehidupan seorang ‘aakif keseluruhannya digunakan untuk mempersembahkan ketaatan sempurna kepada Allah ‘Azza wa Jalla ketika kalbunya sibuk mengharap ridha Tuhannya. Dia meninggalkan semua urusan dunia. Inilah gambaran kehidupan malaikat yang tidak pernah engkar kepada Allah malah sentiasa dalam keadaan beribadah kepada Allah.

KESAN I’TIKAF TERHADAP KEHIDUPAN
I’tikaf menjadikan seorang Muslim terikat dengan masjid. Di hatinya terukir rasa bergantung paut dengan masjid. Ini memungkinkan dia termasuk ke dalam salah satu daripada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan Allah pada Hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah (ورجل قلبه معلق بالمساجد).

Taqarrub seorang hamba kepada Allah dengan pelbagai ibadah semasa i’tikaf boleh mendorong seorang Muslim ke arah darjat para auliya’Allah. Lantas dia menjadi seorang hamba Rabbani yang mustajab do’anya kepada Allah.

Ibadah i’tikaf juga menyemai ke dalam hati seorang Muslim matlamat yang satu iaitu matlamat Akhirat. Maka pagi petang dalam kehidupannya tidak putus-putus dipenuhi dengan amalan-amalan mentaati Allah. Arah pemikirannya hanyalah untuk menyempurnakan ubudiyahnya kepada Allah swt. Duniawi yang telah ditinggalkan di belakangnya semasa i’tikaf datang merendah diri kepadanya, namun dia memandang remeh kepada dunia berbanding dengan Akhirat yang didamkannya.

Hasil yang paling agung daripadapada ibadah i’tikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ialah peluang menjejaki Lailatul-Qadr. Baginya ganjaran pahala ibadah Lailatul-Qadrnya yang menyamai ibadah selama 83 tahun, serta keampunan daripada Allah. Demikianlah, seorang Muslim yang keluar daripada i’tikafnya akan dibersihkan daripada dosanya seumpama bersihnya seorang bayi yang baru dilahirkan ke dunia oleh ibunya.

Justeru itu, ikhwani fillah, ayuh kita prihatin terhadap ibadah ini demi mencontohi Rasulullah saw, mencari Lailatul-Qadr untuk mengislah hati-hati kita serta menuntut ganjaran daripada sisi Allah dan keridhaanNya.



Disemakbaca oleh AlFadhil Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zin
Mudir Ma’ahad Tarbiyah Islamiah (MATRI)
Perlis.



0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah