Sunday, September 06, 2009

Dakwah: Antara Kekeliruan dan Keengganan


Ramai orang mengetahui bahawa tugas berdakwah adalah wajib ke atas setiap individu. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak mahu melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah disebabkan oleh beberapa kekeliruan. Antara kekeliruan yang sering timbul adalah menanti kesempurnaan diri sebelum memulakan dakwah. Hal ini menyebabkan sebahagian daripada umat Islam tidak mahu mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kerana merasakan amalannya belum cukup mantap dan dirinya masih diselimuti dengan banyak kelemahan.

Berhubung dengan isu ini, Imam Said bin Jubair berkata: "Jika seseorang tidak mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran sehingga keadaan dirinya sempurna, maka tidak akan ada seorang pun yang akan mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran." Iman Malik amat bersetuju dengan kenyataan Imam Said bin Jubair ini dan sebagai tanda sokongannya, beliau menambah: “Dan siapakah antara kita yang lengkap dan sempurna?"

Sebahagian umat Islam tidak mahu berdakwah kerana merasakan dirinya belum mengamalkan segala ilmu yang sudah diketahui. Mereka juga khuatir tidak dapat melaksanakan perkara yang diseru. Berhubung dengan ini, Imam al-Hasan berkata: "Siapakah antara kita yang telah melaksanakan segala yang diserukannya? Syaitan amat menyukai jika manusia terpedaya dengan sikap ini sehingga akhirnya tidak ada sesiapa pun yang mahu mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran."
Secara dasar, kewajipan berdakwah dituntut ke atas setiap individu yang mukalaf dan berdaya. Syarat berdaya atau mampu perlu difahami dengan betul. Hakikatnya, Islam mengakui tahap kemampuan setiap individu adalah berbeza. Justeru nabi bersabda:

"Barang siapa antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dicegah dengan tangannya. Jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan kata-katanya dan jika tidak berdaya hendaklah dicegah dengan hatinya dan mencegah dengan hati adalah tanda selemah- lemah iman." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Berhubung dengan mencegah kemungkaran, kadar minimum yang dituntut adalah mengingkarinya dengan hati. Di dalam kitab Dalil al-Falihin disebutkan:

"Mencegah kemungkaran dengan hati bermaksud membencinya dengan hati disertai dengan azam untuk mencegahnya dengan lisan ataupun perbuatan apabila dia mampu. Membenci maksiat dengan hati hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu dan sesiapa yang menyetujui suatu kemungkaran bererti dia bersekongkol dengannya." Iman memerlukan bukti dan salah satu buktinya adalah membenci maksiat. Tanpanya, iman akan berkecai dalam hati seseorang. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda nabi berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:

"(Jika hati seseorang tidak membenci kemungkaran), tidak ada selepas itu iman walaupun sebesar biji sawi."

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Mas'ud pernah menegaskan:

"Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya."

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:

"Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya."

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang salih yang mengabaikan dakwah.Ayat ini disokong oleh beberapa hadis nabi yang antaranya diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

"Zainab binti Jahsy bertanya kepada nabi, ?adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada di kalangan kita?" Nabi menjawab,"ya, apabila kekejian berleluasa."

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, nabi bersabda:

"Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seorang yang zalim dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua."

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud:

"Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada pada bahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang pada bahagian bawah berkata, "alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas." Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan akan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat."

Persiapan Pendakwah Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu-ilmu teras fardu ain wajib pelajari oleh setiap individu yang hendak berdakwah dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk itu kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Di dalam surah al-Mukminun ayat 3 Allah berfirman:

"Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya adalah mereka menjauhi perbuatan dan perkataan yang lagha."

Istilah lagha mempunyai maksud tertentu. Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai,

"segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan."

Membuang masa pada perkara tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini. Hal ini disebut oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya 'Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam'. Beliau berkata: "Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Andai kata mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah ini. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan tentang sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit... Hasil penemuan kaum Muslimin sama ada dari sudut kuantiti ataupun kualitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi."

Apabila umat menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah, kewajipan penting terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya adalah kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi umat Islam memfokuskan pada ilmu-ilmu penting demi masa depan umat yang gilang-gemilang. Di dalam al-Quran terdapat beberapa gelaran yang diberikan Allah kepada golongan berilmu sebagai lambang kemuliaan. Antara gelaran itu adalah rabbani. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah ali-Imran ayat 79:

"Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmat dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia: "Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan menyembah Allah". Akan tetapi (dia berkata): "Hendaklah kamu menjadi golongan rabbani kerana kamu selalu mengajar al-Kitab dan disebabkan kamu terus mempelajarinya" .

Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata: "Ayat ini merupakan dalil bahawa golongan rabbani adalah golongan yang amat mentaati Allah dengan cara menguasai ilmu dan menyebarkannya. Cukuplah dalil ini sebagai bukti kehebatan mereka yang mampu mengekang nafsunya bagi menguasai ilmu kemudian disusuli dengan amal." Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Di dalam kitab lhya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib dituntut oleh setiap hamba Allah yang berakal lagi baligh tanpa pengecualian. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah atau tauhid bertujuan
memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan hati serta akhlak dan fikah bagi mengetahui perkara yang diwajibkan dan diharamkan. Ilmu fardu kifayah adalah Ilmu yang wajib dikuasai umat Islam dalam bidang-bidang yang amat diperlukan masyarakat.

Namun, tidak semua individu Muslim dan Muslimah perlu menceburi dalam bidang-bidang ini apabila sebahagian daripada umat Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan bebanan. Islam juga menuntut umatnya mempersiapkan diri dengan segala teknologi yang perlu bagi menghadapi musuh dan persiapan ini termasuk dalam tuntutan fardu kifayah yang disebutkan sebelum ini. Allah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 60:

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggup dan dan kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh."

Umat Islam terdahulu benar-benar memahami dan menghayati ayat ini. Contohnya, pada zaman khalifah Uthman, pada tahun 28 H bersamaan dengan 648 M, khalifah mengeluarkan arahan kepada Muawiyah supaya memberikan tumpuan pada kekuatan laut yang ketika itu dikuasai oleh Rom. Bermula dari tahun itu, pakar-pakar dan tenaga mahir Islam dihimpunkan sehingga berjaya membina sebuah armada yang kuat. Pada saat kemuncaknya pada tahun 31 H (652 M), armada Islam mempunyai 1,700 buah kapal dan bermula dari tahun itu panglima armada

Islam digelar sebagai Amirul Bahri dan daripada gelaran inilah lahiriya kalimat Admiral kemudiannya. Kekuatan armada Rom menjadi lumpuh selepas armada Islam mengalahkannya dalam peperangan Mount Phoenix pada tahun 652 M.

Di samping itu, Islam juga menuntut umatnya mengenali jahiliah pada zaman mereka supaya tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengannya. Khalifah Omar al-Khattab mengingatkan umat Islam berhubung dengan perkara ini melalui ucapan beliau yang bermaksud:

"Sesungguhnya ikatan Islam akan terungkai satu demi satu dari diri seseorang jika dia tidak mengenali jahiliah."

Manifestasi jahiliah pada hari ini wujud dalam setiap bidang kehidupan manusia termasuk dalam adat resam dan budaya bangsa Melayu. Sebahagian daripada adat resam dan budaya yang diamalkan pada hari ini mengandungi khurafat dan tahayul. Khurafat dan tahayul adalah kepercayaan yang tidak bersandarkan al-Quran dan Sunnah serta tidak dapat diterima akal yang waras. Ia adalah sebahagian daripada kepercayaan yang mungkar lagi sesat. Kepercayaan ini menjadi pegangan segelintir umat Islam kesan daripada pengaruh budaya yang dibawa oleh penganut ajaran agama lain. Antara bentuk khurafat dan tahayul yang dipegang adalah percaya kepada konsep sial majal seperti sialnya bunyi burung hantu pada waktu siang, sialnya nombor 13 dan seumpamanya.
Di samping ilmu, pendakwah juga tidak boleh memperkecilkan keikhlasan, ibadah dan akhlak mulia kerana tanpanya dakwah akan gagal. Di dalam buku Alaamat Duiyyah Ala Thariq ad-Dakwah, Dr. Muhammad Jamil Ghazi menukilkan perkataan Imam Sufyan at-Thauri berhubung dengan perkara ini yang bermaksud:

"Janganlah seseorang mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaranmelainkan jika ada padanya tiga ciri:

1. Berlemah lembut dengan apa yang diseru dan dicegah.
2. Adil dengan apa yang diseru dan dicegah.
3. Berilmu berhubung apa yang diseru dan dicegah."

Perkara yang sama juga ditekankan oleh Imam Abul Laith As-Samarqandi di dalam kitab Tanbihul Ghafilin. Beliau membahagikan persiapan umum pendakwah kepada lima:

1: Ilmu.
2: Keikhlasan.
3: Kasih sayang dan kelembutan.
4: Kesabaran.
5: Mengamalkan apa yang disampaikan.

Pendakwah yang asyik mengutuk dan mencanangkan kesalahan orang lain dan melupakan diri sendiri merupakan pendakwah yang terbabas danipada obor al-Quran dan Sunnah.

Benarlah As-Syeikh Fathi Yakan semasa beliau berkata di dalam bukunya yang bertajuk Musykilat ad-Dakwah Wa ad-Daaiyah yang bermaksud:

"Seseorang pendakwah akan berada di dalam keadaan baik jika dia bersih dari keaiban dan penyakit diri sendiri walaupun musuhnya mempunyai kekuatan yang hebat."

Sebenarnya, kenyataan seumpama ini pernah diucapkan oleh khalifah Omar al-Khattab suatu masa dahulu semasa beliau menyampaikan amanat kepada tentera-tentera Islam.

Beliau berkata:

"Hendaklah kamu berwaspada terhadap perbuatan-perbuatan maksiat daripada kewaspadaan terhadap musuh. Sesungguhnya aku lebih bimbang dengan dosa yang dilakukan oleh tentera-tentera Islam berbanding kebimbanganku terhadap musuh. Sesungguhnya umat Islam mendapat pertolongan daripada Allah lantaran kemungkaran yang dilakukan oleh pihak musuh.... Oleh itu janganlah kamu melakukan perkara yang dimurkai Allah ketika sedang berjihad di jalan Allah."

Hukum Berdakwah
Rasul-rasul tidak diamanahkan melainkan dengan tugas-tugas mulia dan Allah mengamanahkan mereka supaya melaksanakan dakwah. Di dalam surah an-Nahl ayat 36, Allah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami utus bagi setiap umat seorang Rasul yang menyeru, "sembahlah Allah dan jauhilah taghut"."

Sesiapa yang melaksanakan tugas dakwah mendapat pujian daripada Allah berdasarkan firman-Nya dalam surah Fussilat ayat 33, yang bermaksud:

"Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru manusia ke jalan Allah, serta beramal salih seraya berkata, "aku adalah dari kalangan orang-orang Muslim"."

Berhubung dengan ayat ini as-Syeikh Said Hawa di dalam al-Asas fit Tafsir berkata:

"Termasuk di dalam golongan ini adalah semua penyeru dan pendakwah di jalan Allah... Dan mengikut Imam Ibn Kathir, orang yang tidak mengerjakan yang makruf tidak termasuk dalam golongan yang mengajak kepada yang makruf dan juga tidak termasuk dalam golongan mereka yang mencegah kemungkaran mereka yang melakukan kemungkaran." Oleh kerana dakwah adalah tugas yang mulia lagi penting, Allah mengarahkan umat Islam melaksanakannya. Berhubung dengan ini, dalam surah ali-Imran ayat 110, Allah berfirman:

"Kamu adalah sebaik baik umat yang dikeluarkan bagi manusia, kamu mengajak kepada makruf dan kamu mencegah kemungkaran."

Di dalam kitab Usul ad-Dakwah, Dr. Abdul Karim Zaidan berpendapat ayat ini mempunyai dua penekanan. Pertama, Allah menjelaskan kebaikan umat ini dan kedua, kebaikan umat ini berkait rapat dengan pelaksanaan amar makruf dan nahi mungkar. Berkaitan dengan ayat yang sama di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan: "Barang siapa menepati sifat-sifat yang disebutkan dalam ayat ini, dia tergolong dalam golongan umat terbaik."

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf serta nahi mungkar. Makruf bermaksud perkara yang baik mengikut pandangan syarak dan akal, manakala mungkar bermaksud perkara yang berlawanan dengan segala yang makruf sebagai contoh, meninggalkan amalan fardu ataupun melakukan perbuatan haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun dosa besar. Salah satu golongan yang mendapat kutukan daripada Allah kerana gagal melaksanakan dakwah adalah golongan Bani Israel. Dalam surah al-Maidah ayat 78 dan 79, Allah berfirman:

"Telah dilaknat golongan kafir dan kalangan Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Hal ini disebabkan mereka menderhaka kepada Allah dan selalu melampaui batas. Mereka tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka. Sesungguhnya buruk sekali apa yang telah mereka lakukan." Berhubung dengan ayat ini nabi bersabda:

"Sesungguhnya kecacatan paling awal yang menimpa ke atas Bani Israel ialah, apabila seseorang lelaki bertemu dengan lelaki yang lain (yang melakukan kemungkaran) dia akan berkata, "wahai pulan, tinggalkanlah apa yang sedang kamu lakukan kerana ianya tidak halal bagimu". Kemudian pada keesokan harinya dia tidak lagi mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh rakannya, sebaliknya dia reda untuk duduk sambil makan dan minum dengan rakannya itu. Apabila hal ini berlaku, Allah bolak-balikkan hati-hati mereka. (Kemudian Nabi pun membaca ayat-ayat dan surah al-Maidah)." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dan Abu Daud.

Secara dasarnya, hukum berdakwah dengan lisan dan tangan adalah wajib kecuali dalam situasi tertentu. Di dalam kitab Dalilul Falihin disebutkan:

"Apabila dikhuatiri harta benda dan diri seseorang akan ditimpa kebinasaan, harus bagi seseorang itu sekadar melawan dengan hatinya sahaja.
Jika kekhuatiran ini tidak wujud, dia diwajibkan berdakwah, walaupun dia belum mengamalkan apa yang diserukannya ataupun dia menyedari seruannya tidak akan diterima."

1 comments:

  1. Salaam
    Saya amat bersetuju. Tiada atau terlalu kurang "'amar ma'ruf nahyi mungkar" di kalangan umat Islam hari ini. Membayangkan betapa tipisnya iman kita... saya ingin ulangi apa yg disebutkan oleh A'A (Agim) dlm slot hidupkan hatinya bangunlah insan (mungkin tak berapa betul tajuknya) di saluran 106 oasis, "kita lakukan perubahan (hijrah kepada kebaikan) terhadap diri kita mulai sekarang, sedikit-sedikit dan istiqamah" jadi bila diri kita juga sedang dibetulkan, kita boleh betulkan orang lain juga dan pendakwah juga sentiasa perlu mengatakan "saya juga mengingatkan diri saya sendiri"... di akhirnya kita katakan bahawa "yang baik itu semuanya dari Allah dan yg buruk itu adalah dari kelemahan kita" rasanya dengan cari itu akan sedikit sebanyak membantu kita. Allahu 'alam bissawaab.

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah