Saturday, May 29, 2010

Kenapa Tarbiyah...?


Penulis mula mengenali kalimah dakwah saat berada di Universiti pada tahun 1995. Saat itu juga penulis bersegera memulakan langkah belajar memahami Islam dan amali dakwah. Mengajak rakan-rakan satu kelas, satu pengajian, satu hostel dan satu persatuan. Juga mendekati adik-adik ”junior” dan saling mencari peluang untuk bertaaruf. Mencetak risalah-risalah dakwah dan tarbiyah, menganjurkan pelbagai program kesedaran Islam di kampus. Apabila diimbas zaman tersebut, penulis senyum sendirian kerana ada juga pendekatan penulis yang terlalu beremosi dan bersemangat untuk melaksanakan dakwah sehingga terkadang pendekatan atau metodologi yang penulis gunakan tidak sesuai dengan zuruf atau latarbelakang mad’u. Pengalaman adalah guru yang paling dekat dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah, penulis bersyukur kerana semangat penulis untuk menjayakan misi dakwah diimbangi dengan siri program tarbiyah yang penulis lalui di sepanjang berada di Universiti. Dalam halaqah dan program-program menziarahi para duah yang lebih berpengalaman dan berilmu, banyak mendidik dan merawat jiwa penulis. Kerana tanpa jiwa yang hidup mana mungkin dakwah mampu disampaikan dengan jujur. Ya, institusi dakwah perlu berjalan dan dalam masa yang sama, jiwa sang dai’e perlu terus diproses dalam institusi tarbiyah islamiah yang sistematik. Peringatan Allah swt:

”Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) mu sendiri, padahal kamu telah membaca Kitab? Maka tidaklah kamu berpikir? (Al-Baqarah:44)

Ayuh bersegera kita awali langkah diri kita dengan ibda’ binassika. Mulai dari sekarang. Kita hayati pesanan luarbiasa dari Imam Hasan Al Banna, ”Ashlih nafsaka wad’u ghairaka..” perbaikilah dirimu sendiri kemudian serulah orang lain kepada kebaikan.

Institusi tarbiyah amat penting dan mendesak dalam realiti umat hari ini. Institusi ini mampu mengeluarkan graduan-graduan seperti graduan-graduan yang lahir dari madrasah tarbiyah Rasulullah s.a.w. Iaitu graduan-graduan yang memikul panji-panji Tauhid, menjadi mahaguru dan qudwah kepada alam sejagat. Seterusnya kita perlu mewarisi kerja-kerja mereka, membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sesama manusia, kepada perhambaan kepada Allah s.w.t semata-mata, meruntuhkan sistem jahiliyyah dan membangunkan sistem Islam dalam semua aspek kehidupan manusia. Sistem jahiliyyah (sistem yang menolak Islam yang lengkap), yang sangat pekat dan berkuasa adalah punca bagi segala penyakit yang menimpa manusia hari ini.

Tarbiyah bukan sekadar hadir program mingguan, duduk berlikar dan mendengar bahan penyampaian. Sebaliknya tarbiyah adalah satu proses mendidik diri kita untuk istiqamah dengan jalan yang telah di bawa oleh Rasulullah. Hatta seorang alumni pondok atau alumni ijazah pengajian Islam dari Timur Tengah sekalipun tidak ada jaminan untuk istiqamah di jalan Allah. Tatkala berhadapan dengan realiti kehidupan yang keras dan melekakan, lama kelamaan orang tersebut meninggalkan dakwah, meninggalkan solat dan meninggalkan jihad. Kuncinya kata para ulama muktabar yang telah dan sedang melalui jalan dakwah dan tarbiyah ialah istiqamah.

Malahan di zaman Rasulullah saw sendiri ada sahabat nabi yang futur dan cicir dalam jalan dakwah kerana tidak upaya istiqamah dan terpedaya dengan pengaruh dunia yang melekakan.

Apabila direnungkan, kehidupan kita amat berisiko kerana kita sama sekali tidak ada jaminan apakah akhir hidup kita itu husnul khatimah. Maka yang terpenting adalah bagaimana kita mampu istiqamah. Firman Allah swt: 102.

”Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Ali Imran:102)

Justeru, kita berhajat dan perlukan kepada proses tarbiyah. Tarbiyah islamiyah bererti proses menyiapkan muslim dengan persiapan yang menyentuh seluruh aspek kehidupan, meliputi ruhiyah, jasmaniah dan akal fikiran. Ianya bersikap integrasi dan komprehensif mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ringkasnya tarbiyah islamiyah adalah proses penyiapan manusia yang soleh dan membentuk peribadi yang ideal, agar terbina keseimbangan dalam potensi, tujuan, ucapan, dan tindakannya secara keseluruhan.

Menurut Dr. Ali Abdul Halim Mahmud, tujuan tarbiah ada 5 iaitu:

1. Ibadah kepada Allah semata sesuai dengan syariat-Nya.

”Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (Adz-Dzariyat:56)


2. Menegakkan khilafah di muka bumi dengan pemakmuran bumi dan pemanfaatan segala sesuatu yang Allah berikan untuk umat manusia.

”Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqarah:30)

”Dan kepada Tsamud (Kami utus) saudara mereka shaleh. Shaleh berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. dia Telah menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah ampunan-Nya, Kemudian bertaubatlah kepada-Nya, Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." (Hud:61)


3. Saling mengenal sesama manusia. Firman Allah swt:

”Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)


4. Tertegaknya kepimpinan dunia di tangan Islam. Firman Allah swt.:

”Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah dirrdhai-Nya untuk mereka, dan dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentiasa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, Maka mereka itulah orang-orang yang fasik. (An-Nur:55)



5. Melaksanakan hukuman dengan syariat-Nya.

Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. dan Sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. (Al-Maidah:49)

Tarbiyah Islamiyah bukan sekadar membentuk seseorang itu menjadi mukmin untuk dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri sahaja. Bahkan ia bertujuan melahirkan mukmin yang sedia berkhidmat, memberi sumbangan kepada Islam dan berjihad pada jalan Allah SWT.

Rasulullah SAW mendidik para sahabatnya sehingga menjadi mujahid yang kukuh iman mereka, sentiasa bersedia untuk berkorban dan berjihad pada jalan Allah. Apabila Islam berhajat kepada kerja dakwah, maka tampillah para da’i yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah Islam melalui lisan dan contoh yang baik. Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah sahabat yang mempunyai harta kekayaan menyerahkan harta benda mereka kepada Rasulullah SAW dengan penuh keredhaan tanpa bakhil, seperti Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Osman Ibn Affan dan Abdul Rahman al-’Auf.

Menurut Al Syeikh Mustafa Masyur bahawa Tarbiyah dan pembersihan jiwa diumpamakan seperti makanan dan siraman bagi pokok yang disemai atau ditanam. Jika pokok tidak dibajai dan disirami sentiasa, maka ia akan layu dan kering. Tatkala hati para da'ie layu dan kering, maka dakwah tidak melebar, apabila jiwa muslim layu dan kering, maka umat dijurang bahaya.

Persoalannya, bagaimana perjalanan tarbiyah anda?

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah