Wednesday, January 05, 2011

Kehidupan Adalah Satu Ujian


Kehidupan kita sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Al Quran yang bermaksud:

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (Al-Mulk:2)

Dalam ayat di atas, hidup dan mati adalah ujian daripada Allah. Bukan hanya keadaan susah sahaja menjadi ujian dalam kehidupan kita, tetapi kesenangan juga adalah ujian kepada manusia.

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (Al-Anbiya’:35)

Allah SWT menguji manusia dengan kesenangan, kemuliaan, kedudukan tinggi dan kekayaan, Allah SWT juga menguji manusia dengan kesempitan, kepayahan, kemiskinan dan kemelaratan, tujuan hanya satu samada manusia akur, ingat dan taat kepada Allah SWT atau sebaliknya. Allah SWT telah merakamkan dalam Al Quran bagaimana situasi umat-umat terdahulu yang tertipu dengan kesenangan kehidupan yang mereka nikmati sehingga mereka enggan mendengar seruan kebenaran yang di bawakan oleh para Nabi:

“Apakah kamu belum memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain, dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah, dan kaum Diraun yang mempunyai pasak-pasaka (tentera-tentera yang ramai) yang berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu, kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada mereka pelbagai azab. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (Al Fajr: 6-14)

Begitulah realitinya bangsa-bangsa terdahulu yang diuji dengan kekuatan, kebijakan, kepandaian, kesenangan dan kemewahan, namun semua itu sudah tidak bererti lagi, sebaliknya menjadi bahana kepada mereka di dunia dan di akhirat akibat kekufuran mereka terhadap Allah SWT.

Hari ini, kehidupan manusia tidak jauh bezanya dengan kaum-kaum yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam ayat-ayat di atas. Negara-negara mundur di dunia sedang bertungkus lumus menuju kepada Negara membangun, Negara-negara membangun seperti Malaysia, sedang berusaha menuju kepada Negara maju, dan Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun sedang berlumba-lumba menjadi Negara “super power”.

Mereka yang beroleh kesenangan dan kemewahan janganlah menyangka bahawa mereka telah mendapat keberkatan dan kemuliaan dalam kehidupan. Manakala mereka yang ditimpa kesusahan, kemiskinan dan kepayahan janganlah pula menyangka bahawa Allah SWT tidak membela kehidupan mereka. Firman Allah SWT:

“Adapun manusia apabila Tuhannya menguji lalu dimuliakanNya dan diberiNya kesenangan, maka dia berkata:Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku.” (Al Fajr: 15 – 16)


Begitulah kesilapan manusia dalam memahami tasawur kehidupan. Allah SWT mengujinya dengan kesenangan, kemuliaan, kekayaan atau kedudukan yang tinggi, tetapi manusia tidak menyedari hakikat ujian yang sedang dilalui, Sebaliknya manusia menganggap apa yang diperolehnya adalah merupakan patanda bahawa dia patut dimuliakan oleh Allah SWT. Manusia sebegini menganggap bahawa kemuliaan pada pandangan Allah diukur dengan banyaknya kesenangan dunia yang diperolehinya.

Allah SWT juga menguji manusia dengan membatasi rezeki mereka, dan manusia sekali lagi menganggap cubaan tersebut sebagai balasan. Dia merasakan bahawa Allah SWT telah menjadikannya miskin untuk menghinakannya.

Sesungguhnya konsep yang diambil oleh manusia di dalam kedua-duanya situasi di atas adalah salah. Menurut Sayyid Qutb, kekayaan dan kemiskinan adalah dua bentuk ujian yang Allah SWT berikan ke atas para hambaNya.

Nilai kita di sisi Allah SWT bukan kerana kesenangan hidup yang Allah berikan kepada kita. Allah berikan rezeki kepada orang yang baik dan juga kepada orang yang engkar kepada Allah SWT. Persoalannya, adakah kita sebagai hamba Allah menggunakan rezeki yang Allah berikan untuk laksanakan tanggungjawab kita di jalan Allah?

“ (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.“
(an Nur : 37)


Ketahuilah bahawa ujian harta dan kesenangan akan mendedahkan manusia samada dia akan merendah diri dan bersyukur kepada Tuhannya atau bersikap angkuh dan sombong. Manakala ujian kesusahan dan kemiskinan menguji kesabarannya di dalam berhadapan dengan ujian tersebut .

“Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).“ (al Furqan : 62)

“ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.“ (Surah al Qasas : 77)

Sekiranya manusia faham akan konsep sebenar ujian kesenangan dan kesusahan dalam kehidupan ini, dia akan menyedari bahawa remehnya kesenangan dunia ini berbanding ganjaran kesenangan yang hakiki yang akan mereka perolehi di akhirat kelak. Seorang muslim yang benar, tidak akan menghiraukan lagi kepalsuan kekayaan dan keperitan sementara atas kemiskinan yang dihadapi, sebaliknya dia akan merasa tenteram terhadap imannya dan kedudukannya di sisi Allah SWT. Begitulah positifnya sikap seorang muslim yang benar, baginya ujian kesenangan dan kesusahan di dunia adalah jalan kepadanya untuk meraih ganjaran yang kekal yang akan diperolehi di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

“Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al Fajr: 27-30)

“(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).“ (Muhammad : 36)

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah