Mengapa Tinggalkan Rasulullah SAW?
Realiti hari ini, manusia menjadi serba boleh tanpa mengira samada halal atau haram. Tatkala membaca akhbar-akhbar tempatan terpampang laporan-laporan pelik kisah kebobrokan masyarakat Islam dengan seribu satu macam penyakit-penyakit hati dan kemaksiatan. Kisah-kisah ini disensasikan dan dipopularkan ketengah masyarakat, tidak pasti samada ianya bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat atau sekadar bahan pelaris jualan. Masalahnya setelah disensasikan kisah-kisah luka dan memalukan umat Islam ini, tidak pula dibentangkan dengan pandangan dan jalan-jalan penyelesaian menurut Islam agar masyarakat dapat mengambil pelajaran.
Di Ambang Kehancuran
Apabila kita kembali ke zaman sebelum kemunculan dakwah Rasulullah SAW, manusia juga berada di ambang kehancuran lantaran kebudayaan yang menyebabkan tertegaknya tamadun ketika itu yang dipenuhi dengan kegelapan tanpa wahyu dari Tuhan.
“Tamadun adalah umpama suatu pohon rendang yang bayang-bayangnya meliputi seluruh dunia; sekarang ia telah terhoyong hayang, dimakan reput hingga ke akar umbinya. Dan di tengah-tengah kerosakan yang sebegitu meluas lahirlah seorang insan yang bakal menyatukan seluruh alam”
Demikian kata J.H Denison dalam bukunya Emotion as the Basic of Civilization. Umat pada saat itu dan pada hari ini diumpamakan seperti sebuah rumah yang telah dilanda gempa bumi yang dahsyat. Semua yang berada di dalamnya menjadi tunggang langgang, menyebabkan barang-barang berselerakan di sana sini. Ketika kemanusiaan sedang berada dalam kesesakan nafas di ambang kegelapan, Allah SWT memilih Muhammad SAW untuk membangkitkan semula dan mengeluarkan manusia seluruhnya daripada kegelapan kepada cahaya. Firman Allah SWT:
(Ini adalah) Kitab yang kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia daripada gelap gelita kepada cahaya terang benderang dengan izin Rabb mereka, (iaitu) menuju jalan Rab yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.(Ibrahim:1)
Rasulullah SAW memecah belenggu-belenggu jahiliyyah dan khurafat dan mengajak manusia kepada pengabdian hanya sanya kepada Allah SWT yang akan membebaskan mereka daripada segala bentuk ikatan lain. Baginda SAW mengembalikan kepada mereka kesenangan hidup yang sebenarnya. Firman Allah SWT:
“(iaitu) orang-orang yang mengikut rasul, nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka daripada mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka.. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al-‘Araf: 157)
Apakah masyarakat Islam hari ini tidak mengetahui akan sirah mulia ini, di mana Rasulullah SAW membawa penyelesaian total yang membersihkan manusia dari kepalitan kegelapan akibat panduan rekacipta manusia kepada cahaya kebenaran dan kebahagiaan berpandukan wahyu Ilahi. Justeru mengapa umat Islam seperti terkapai-kapai mencari penyelesaian permasalahan kerosakan umat. Kuncinya adalah dengan kita mengikuti jalan-jalan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Firman Allah SWT:
"Katakanlah: Jika kamu kasihkan Allah ikutlah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu . Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (’Ali Imran:31)
Umat Melupakan Rasulullah SAW?
Sekarang kita semakin faham, permasalahan umat hari ini adalah kerana tidak menjadikan Rasulullah SAW sebagai pemutus kata dan pemimpin ikutan kita dalam segenap kehidupan. Sebaliknya masyarakat Islam hanya mengambil sebahagian yang mereka sukai yang sesuai dengan kehendak nafsu manusia dan meninggalkan sebahagian yang mereka rasa berat untuk diikuti. Ternyata penyerahan hidup manusia terhadap risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW tidak bulat dan tekad lagi, berbanding dengan sikap generasi pertama yang mendokong risalah Rasul SAW dengan begitu tinggi dan bersungguh-sungguh.
Beriman dengan Rasulullah SAW sebenarnya menuntut kita supaya menyerahkan hidup kita kepada arahan Rasulullah SAW. Iaitu mentaati apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang olehnya dengan senang hati. Ini semua memerlukan tarbiyyah yang betul, sebagaimana Rasulullah SAW telah mentarbiyah generasi pertama sehingga generasi ini menjadi tulang belakang kepada kebangkitan tamadun Islam.
Di zaman Rasulullah SAW kehebatan Islam kelihatan dengan jelas. Manakala zaman kini, masyarakat mengaku Islam, tetapi kehebatan Islam tidak kelihatan. Justeru itu kita mestilah melaksanakan kembali Islam dan meninggalkan jahiliyyah.
Beriman Kepada Rasulullah SAW
Dalam konteks beriman kepada Rasulullah SAW, terdapat bebarapa tuntutan, antaranya:
1.Kita perlu didik hati kita hingga redha dengan Rasulullah SAW. Redha bukan sahaja dari segi perkataan kita tetapi juga dari tindakan seharian kita, dalam setiap tempat dan ketika mengikuti ajaran Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW:
"Bertuahlah orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah melihatku. "
2.Kita menghormati dan mencintai Rasulullah SAW walaupun baginda telah lama meninggalkan kita. Menghormati apa yang ditinggalkan oleh baginda, iaitu Islam yang merupakan ajaran wahyu Allah SWT.
Dalam satu sirah, Tabib bin Qais pernah bercakap dengan suara yang tinggi di hadapan Rasulullah SAW. Turunlah ayat Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi. Dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari." (al Hujurat: 2) .
Mendengar ayat tersebut Tabib bin Qais menangis dan hanya duduk dalam rumah, tidak keluar. Rasulullah SAW menyuruh sahabat-sahabat baginda menziarahinya untuk mengetahui mengapa beliau tidak keluar dari rumah. Apabila tiba di rumah Tabib, dia berkata kepada sahabat yang datang:
"Aku telah mengangkat suaraku lebih daripada suara Rasulullah SAW dan Allah SWT telah menurunkan ayat tersebut. Aku rasa Allah SWT memarahiku dan tentulah aku akan dimasukkan ke dalam neraka. "
Para sahabat menceritakan hal Tabib kepada Rasulullah SAW. Maka baginda bersabda:
"Sesungguhnya dia (Tabib) ialah ahli syurga."
Kemudian, berita itu disampaikan kepada Tabib.
Dalam soal cinta kepada Rasulullah SAW, baginda ada bersabda:
”Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia sanggup menjadikan aku lebih dikasihi daripada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya."
3.Kita perlu mencontohi Rasulullah SAW dalam membentuk ummah atau generasi. Generasi awal yang dididik oleh Rasulullah SAW dikenali sebagai Generasi al-Quran yang Unik. Mereka menerima arahan sepertimana komando menerima arahan daripada ketua, malah lebih daripada itu.
Dalam realiti yang tenat kini, kita perlukan satu generasi yang berdaya dan mampu untuk mendokong Islam. Oleh itu kita amat perlu kepada tarbiyah (pendidikan) Islamiyah yang berterusan. Semoga dengan itu lahir kembali InsyaAllah satu generasi yang mempersiapkan segenap potensi dan kepakaran yang dimilikinya untuk taat kepada Allah SWT dan sanggup memikul tugas yang berat, taklif Rabbani.
"Adalah pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagi sesiapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah dan Hari Akhirat, dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya". (Al Ahzab : 21)
4.Kita perlu sentiasa terikat dengan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Dengan cara ini, InsyaAllah kita akan dapat merasai nikmat Islam seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Para sahabat RA meninggalkan harta ketika berhijrah untuk mengikuti Rasulullah SAW kerana mereka dapat merasai kenikmatan Islam dan Iman.
5.) Kita perlu beribadah kepada Allah SWT seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Dalam satu sirah, Rasulullah SAW ditanya: "Apakah erti Ehsan?" Jawab baginda: "Kamu mengabdikan diri kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu."
Marilah kita menghayati dan mengikuti madrasah Rasulullah SAW, kembali kepada jalan fitrah yang akan membangkitkan kembali kekuatan umat yang sebenar. Dengan kita mengikuti jalan-jalan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW, insyaAllah Allah akan membantu perjuangan kita membela agama-NYA:
“Barangsiapa yang mentaati Rasul itu, sesungguhnya ia telah menta’ati Allah.” (an-Nisaa’ : 80)
0 comments:
Post a Comment