Wednesday, August 31, 2011

Syawal: Apa Yang Barunya?



Detik menanti hari lebaran Aidilfiti cukup di nanti oleh umat Islam, khususnya anak-anak kecil, remaja dan anak-anak muda. Menjelang lebaran, hampir setiap anak merasa gembira dan teruja menjawab pertanyaan “sudah punya baju baru ke belum?” atau “baju barunya berapa pasang?”. Bahkan, ibu bapa pun turut sama menyertai dialog pra Aidilfitri ini. Maka beragamlah jawapannya, ada yang kata cuma punya satu, ada yang dua, bahkan ada yang lebih dari tiga pasang. Ada juga yang menjawab ‘pakai baju raya tahun lepas aje”.

Namun berbeza dengan respon anak sulung saya, Ahmad Ridhwan yang berusia 7 tahun. Ketika pertanyaan yang sama dilontarkan, jawapan yang keluar dari mulut Ridhwan membuatkan kerongkong saya tersekat sejenak. “Bolehke saya beli baju raya dan beraya, puasa saya tahun ini tak cukup sehari abi. Macamana dengan budak-budak yang tak makan tu abi, mereka ada baju raya baru juga ke?” jujurnya Ridhwan ini mengaku sehari tidak berpuasa lantaran sakit. Manakala budak-budak yang tidak makan itu dia maksudkan adalah anak-anak mangsa kebuluran di Somalia. Saya ada menayangkan video keadaan mereka kepada Ridhwan agar dia ingatkan orang yang teramat susah pada saat ini.

Saya rasa bersyukur kerana Ridhwan berfikir untuk orang lain yang memerlukan. Dia juga seolah seperti cuba memahami bahawa Aidilfitri adalah perayaan kemenangan buat yang jujur berpuasa. Ridhwan seperti menolak dibelikan baju baru lantaran dia merasa puasanya tak cukup sehari. Apa yang dikatakan oleh anak saya ini justeru memberi pelajaran berharga kepada saya dan mungkin anda juga bahawa saat di hari-hari terakhir Ramadhan menamatkan perjalanannya, maka ketika itu jua umat dengan hiruk pikuk sibuk mencari dan memilih model baju lebaran untuk dipertontonkan di hari raya nanti.

Baju baru di hari raya seolah menjadi salah satu episod penting di hari lebaran, bahkan terkadang fesyennya menyanggah nilai syarak. Sudah tidak penting lagi apakah ia benar-benar di hari lebaran nanti ia akan mematuhi kriteria taqwa dalam menyambut hari kemenangan?

Hari raya Edul Fitri tidak ubah seperti pesta “fashion show” terbesar di dunia. Rekaannya bermula dari kelas Pasaraya Mydin sehinggalah Milan Italia akan dipersembahkan. Semua orang akan jadi modelnya, dari rumah ke tempat solat Aidilfitri dilaksanakan, sampai kembali ke rumah semula, dan seluruh jalan yang dilalui untuk bersilaturahim bersama sanak saudara. Makin menarik lagi apabila kita bertembung dengan peragawan dan peragawati kalangan anak muda. Masing-masing menampilkan pakaian terbaiknya. Sebahagian orang saling memuji, sebahagian lain menertawai kerana banyak para model yang dianggap salah kostum, warna tidak sesuai dengan warna kulitnya, tidak “up to date” dan macam-macam lagi komennya. Ternyata fesyen itu menjadi prioriti dalam persiapan dan meraikan Eidul Fitri.

Puasa semestinya menjadikan orang-orang yang menjalaninya memiliki peribadi yang baru, bentuk ketaqwaan yang baru hasil usaha melalui tarbiyah Ramadhan selama satu bulan penuh. Jika menjalaninya dengan benar dan bersungguh-sungguh, maka peribadi taqwa akan terlahir sesuai yang diharapkan. Peribadi yang baru dan benar-benar berbeza dari sebelum Ramadhan, jauh lebih baik dari sebelumnya.

Akhir Ramadhan seumpama detik-detik menjelang kelahiran seorang manusia baru di muka bumi. Bolehlah diibaratkan kita ini seperti bayi yang baru lahir ke dunia,
bersih dan kembali kepada fitrah kerana menjadikan Ramadhan sebagai jalan dan pusat pembersihan diri.

Selama sebulan Ramadhan, yang diperbarui adalah keimanannnya, kesolehannya, ketaqwaannya, bukan hanya pakaiannya. Yang dipercantikan adalah peribadinya,
jiwanya, fikirannya, lisannya, perilakunya, bukan hanya penampilan fizikal semata-mata. Sehingga di hari raya, peribadi-peribadi indah dengan jiwa yang mempesona yang akan hadir menghiasi bumi di hari nan fitri. Bukan peribadi-peribadi yang seolah terlihat baru, namun tidak ada yang baru di sebalik pakaian barunya, disebalik dandanan cantiknya, disebalik model rambut barunya, di sebalik perhiasan barunya. Sama sekali tidak ada yang berubah pada peribadinya sebelum dan sesudah Ramadhan, benar-benar yang baru hanyalah pakaiannya dan segala yang nampak dari luar saja. Alangkah rugilah kita. Wallaahu’alam.

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah