Wednesday, June 11, 2008

PENYELESAIAN ISLAM TERHADAP MASALAH GHARIZAH YANG DIHADAPI PEMUDA MUSLIM HARI INI

PENYELESAIAN ISLAM TERHADAP MASALAH GHARIZAH YANG DIHADAPI PEMUDA MUSLIM HARI INI

بسم الله الرحمن الرحيم

اذ أوى الفتية الى الكهف فقالوا ربنا آتنا من لدنك رحمة وهيئ لنا من أمرنا رشدا

” (Ingatlah) tatkala para pemuda itu mencari tempat berlindung (kerana ingin menyelamatkan Iman mereka) ke dalam gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)."

نحن نقص عليك نبأهم بالحق انهم فتية آمنوا بربهم وزدناهم هدى

"Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya.Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk" (al-kahfi:10 dan13)

Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjaga kehidupan manusia agar ia selari dengan fitrah mereka. Ia menyelesaikan semua permasalahan dalam kehidupan mereka tanpa berlaku pengabaian sedikit pun .Dalam persoalan gharizah (naluri keinginan),Islam mempunyai penyelesaian tersendiri yang terbaik untuk pemuda:

PERTAMA:PERKAHWINAN

Apabila seseorang pemuda mempunyai kemampuan untuk berkahwin dan sanggup memikul tugas dan tanggungjawab selepasnya maka hendaklah ia berkahwin kerana beramal dengan berpandukan sabda Rasulullah SAW:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فانه أغض للبصر وأحصن للفرج.....

"Wahai golongan pemuda! Barangsiapa dari antaramu mampu berkahwin, hendaklah dia berkahwin, kerana yang demikian itu amat menundukkan pemandangan dan amat memelihara kehormatan, ...."

dan sabda baginda lagi:

ثلاث حق على الله عونهم المجاهد فى سبيل لله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف

Tiga orang yang menjadi hak Allah untuk menolongnya: pertama ialah orang yang keluar berjihad di jalan Allah,kedua ialah seorang hamba yang berjanji akan menebus dirinya supaya menjadi merdeka dan yang ketiga ialah seorang yang berkahwin dengan maksud untuk menjaga kehormatan diri.

Syeikh Muhammad Al-Ghazali r.h. mengatakan," Aku sukakan kaum muslimin kembali semula kepada tradisi Islam di hari-hari kehidupan generasi terdahulu salafus soleh, mereka memberi kemudahan sepenuhnya kepada seseorang dalam hal perkahwinan dan menghilangkan setiap halangan yang merintangi urusan tersebut."

KEDUA:APABILA SESEORANG ITU TIDAK MEMPUNYAI KEMAMPUAN MAKA:

1 Hendaklah dia berlindung dengan Allah SWT dengan berdoa kepada-Nya dan memohon untuk berada di bawah pemeliharaan dengan-Nya Adalah dianjurkan bagi kita melazimkan membaca doa Rasulullah SAW:

اللهم اني أسألك الهدى والتقى والعفاف والغنى

Ya Allah ya Tuhanku,aku memohon daripadamu petunjuk,ketaqwaan,menjaga kehormatan dan kecukupan

2 Membina iradat(kekuatan untuk mengawal nafsu yang liar dan nalurinya).Di antara cara dan wasilah bagi membina iradat ini ialah :

a) Berpuasa ,kerana ia merupakan faktor utama yang membina iradat,menguatkan jiwa untuk melawan nafsu syahwat,menenangkan kerakusannya serta menjadikan seseorang itu berkuasa ke atas nafsu dan bukan dikuasai olehnya sebagaimana sambungan hadis yang pertama tadi:

و من لم يستطع فعليه بالصوم فانه له وجاء ...

".....tetapi barangsiapa tidak mampu berkahwin, maka hendaklah dia berpuasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya."

Puasa sunat yang boleh dilakukan adalah seperti puasa isnin dan khamis,puasa tiga hari dalam sebulan,puasa hari Arafah, Asyura dan lain-lain.Ini kerana puasa mendidik kita meninggalkan makanan dan minuman yang halal kerana mencari keredhaan Allah SWT , maka dengan ini kita juga akan meninggalkan syahwat yang mengarah kepada yang haram kerana mencari redha Allah SWT.

b) Menjaga solat secara berjemaah kerana ia mendidik jiwa agar melepaskan hati dari kesibukan duniawi dan mengarahkan ia menuju kepada masjid untuk mendirikan solat dalam waktu-waktu tertentu(singkat). maka dengan kemampuan tersebut, kamu akan mampu mendisiplinkan diri dan memgarahkannya kepada perkara yang lebih bermanfaat di samping mendapat banyak keberkatan seperti dihapuskan dosa dengan semata-mata melangkahkan kaki ke masjid serta ditingkatkan darjat dan juga mendapat doa para malaikat dan naungannya serta dijauhkan syaitan darimu. Pergaulan yang baik ini akan membantu kamu dalam mentaati Allah SWT dan mengingatkan kamu jika kamu lupa.Jadi, peliharalah solat berjemaah.

c) Qiamullail. Ia akan mendidik jiwa agar seseorang itu mampu meninggalkan katilnya yang selesa dan sanggup meninggalkan kenikmatan tidurnya untuk menuju kepada suatu yang lebih nikmat dan lebih enak iaitu bersunyi-sunyi(khalwat) dengan Kekasih (Rabb) dan bermunajat dengan-Nya khususnya pada sepertiga malam yang terakhir ketika mana Tuhan berseru:

هل من مستغفر فأغفرله؟ هل من تائب فأتوب عليه؟ هل من سائل فأعطيه؟

Dimanakah orang yang memohon ampun maka akan-Ku ampunkan dosanya ? Dimanakah orang yang bertaubat maka akan-Ku terima taubatnya ?Dimanakah orang yang meminta maka akan-Ku perkenankan permintaannya?

Mengadulah kepada Allah SWT dan dahulukanlah taubatmu maka nantikanlah anugerah yang diharap-harapkan iaitulah mardhatillah,keampunan dosa,doa yang mustajab, cahaya di hati ,keelokkan wajah, kemanisan iman dan rasa cukup dengan sesuatu yang halal.

KETIGA:MENJAUHI PERKARA YANG MEMBANGKITKAN KEINGINAN NAFSU DAN FITNAH

Sesungguhnya deen Islam apabila ia mengharamkan sesuatu maka segala jalan,wasilah atau mukaddimah kepadanya juga diharamkan.Firman Allah SWT

(ولا تقربوا الزنى انه كان فاحشة وساء سبيلا)

dan janganlah kamu menghampiri zina sesungguhnya ia adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat(merosakkan)(al-israk:32)

Maka larangan di sini bukan sahaja terhadap melakukan zina tersebut bahkan juga terhadap mendekatinya seperti firman Allah SWT (ولا تقربوا)jangan menghampiri dan tidak difirmankan (ولا تزنوا) jangan berzina.Sepertimana Islam mengharamkan perbuatan zina maka diharamkan juga setiap perkara yang membangkitkan naluri yang sedang tidur, dan juga yang mempengaruhi ke arah perbuatan zina tersebut serta mendekatinya atau memudahkan jalan ke arahnya.Ini adalah sebagai (سد الذرائع) menutup jalan ke arah perbuatan tersebut dan menolak keburukan daripadanya.

Di antara cara utama yang diguna oleh Islam untuk menjauhi perkara yang membangkitkan keinginan nafsu ialah:

1 Diharamkan kepada seseorang lelaki memandang kepada wanita dengan syahwat dan begitu juga sebaliknya.

Sesungguhnya perkara utama yang diharamkan oleh Islam yang berkait dengan naluri seks ini ialah pandangan yang lama daripada pihak lelaki kepada pihak wanita dan juga daripada pihak wanita kepada pihak lelaki.Ini kerana sesungguhnya mata merupakan kunci bagi hati manakala pandangan pula adalah utusan(mukaddimah) bagi fitnah dan zina.Oleh itu, Allah SWT memerintahkan orang beriman lelaki ataupun perempuan semuanya supaya menundukkan sebahagian daripada pandangan disertai dengan perintah menjaga kemaluan mereka.Firman Allah SWT:

قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم ان الله خبير بما يصنعون وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن

Katakanlah kepada lelaki beriman supaya mereka menundukkan sebahagian pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan .Dan katakanlah kepada wanita beriman supaya menundukkan sebahagian pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka (an-nur:30,31)

Mari kita perhatikan arahan yang terdapat di dalam dua ayat di atas.Ia adalah arahan supaya menundukkan sebahagian daripada pandangan dan bukannya keseluruhan pandangan.Ini berbeza dengan arahan agar memelihara kemaluan dan bukannya sebahagian daripada kemaluan itu sahaja.Sesungguhnya arahan menjaga kemaluan adalah arahan secara total tanpa ada tasamuh(toleransi) padanya adapun pada bahagian pandangan ,maka Allah SWT memberi kelonggaran bagi manusia untuk mengelakkan kesulitan dan menjaga kemaslahatan mereka.Maka menundukkan pandangan bukanlah bermakna memejamkan mata dan menundukkan kepala ke tanah, bukan ini yang dimaksudkan dan ia tidak akan mampu dibuat oleh seseorang.

Sesungguhnya maksud menundukkan sebahagian pandangan ialah memelihara mata daripada berlakunya pandangan bebas yang menelan, apabila ia melihat kepada pihak yang berlainan jenis dengannya tidaklah matanya cepat mengarah kepada kecantikan dan keelokannya serta tidaklah ia memanjangkan masa masa jelingan dan pandangan tadi dengan lama.Dalam hal ini Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a. ‘’Wahai Ali, janganlah pandangan pertama diikuti dengan pandangan yang seterusnya.Sesungguhnya yang pertama itu adalah untukmu dan yang seterusnya bukan lagi untukmu’’

Sesungguhnya Nabi SAW menganggap pandangan yang tamak daripada satu pihak kepada pihak yang berlainan jenis tadi sebagai zina mata.sabda Baginda SAW:

‘’Maka kedua mata itu berzina dan zina keduanya ialah memandang pada yang haram’’

Rasulullah menamakannya sebagai zina kerana ia adalah salah satu daripada bentuk merasai kenikmatan dengan memuaskan nafsu syahwat tanpa mengikut landasan syarak.Pandangan jenis ini bukan sahaja membahayakan sifat iffah(memelihara daripada tunduk kepada syahwat) ,bahkan membahayakan kestabilan akal fikiran dan ketenangan hati yang akan dilanda dengan kecelaruan.

Islam tatkala menyuruh kita menundukkan sebahagian pandangan maka arahan itu menjaga diri manusia itu sendiri.Oleh itu, sesiapa yang meringan-ringankan pandangannya pada perkara yang haram nescaya ia akan memberatkan fikirannya dan sesiapa yang membanyakkan pandangannya pada perkara yang haram nescaya sia-sialah waktunya dan akan berkekalanlah penyesalannya.

Seorang pemuda yang kuat, ketika melawan syahwatnya dan menghadapi kelemahannya maka ia akan menunjukkan kepahlawanannya dan menetapkan kemenangannya serta merasai jauh di dalam jiwanya satu kenikmatan yang besar iaitu nikmat kemenangan ke atas jiwanya….nikmat kemenangan ke atas kelemahannya….nikmat kejayaan dalam mengalahkan syahwatnya yang mana telah banyak memperhambakan orang lain dan merendahkan mereka seterusnya mereka tunduk di bawah tekanan syahwat tersebut natijah daripada kelemahan diri dan kerapuhan azam meraka. Nikmat kemenangan ini telah diungkapkan di dalam hadis qudsi sebagai (حلاوة الايمان) kemanisan iman.

Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dalam hadis qudsi firman Allah SWT :

(النظرة سهم مسموم من سهام ابليس من تركها مخافتى أبدلته ايمانا يجد حلاوته فى قلبه)

Pandangan itu merupakan satu anak panah beracun dari panahan-panahan Iblis, barangsiapa yang meninggalkannya kerana takut kepada-Ku Aku akan gantikannya dengan kemanisan Iman di hatinya

Tatkala Jabir bin Abdullah r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW tentang pandangan yang berlaku secara serta-merta. Baginda bersabda:’’Palingkanlah pandangan kamu’’

Apabila kita mengetahui yang sedemikian maka tidak hairanlah terdapat pemuda yang menang ke atas syahwatnya dan mengalahkan bisikan jahatnya dengan menundukkan pandangan dan tidak hairan juga dia meningkat kepada martabat orang mukmin yang khusyuk hatinya,gementar jiwanya kerana takutkan Allah SWT dan bercucuranlah air matanya serta ia juga berada di tempat para mujahid yang berjuang di perbatasan kerana menjaga keamanan kaum muslimin.Maka telah diriwayatkan daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya:

’’Tiga golongan yang mata mereka tidak akan melihat api neraka :mata yang berjaga malam kerana berjihad fi sabilillah ,kedua ,mata yang menangis kerana takutkan Allah dan ketiga ialah mata yang menahan daripada perkara yang diharamkan oleh Allah.’’

Seakan-akan Baginda Rasulullah SAW dapat melihat di sebalik ghaib keadaan pemuda hari ini di kedai-kedai kopi dan sebagainya ,maka Baginda SAW memberi arahan dengan sabdanya:

اياكم والجلوس فى الطرقات فان أبيتم فأعطوا الطريق حقه قال غض البصر وكف الأذى ورد السلام والأمر بالمعروف والنهي عن المنكر

Jauhilah kamu daripada duduk-duduk di jalan-jalan (laluan orang ramai),jika kamu hendak melakukannya maka berilah hak-haknya .Sabda Baginda lagi:Hak-haknya ialah menundukkan pandangan,membuang gangguan,menjawab salam,menyuruh kepada yang maarof dan mencegah kemungkaran

Di antara perkara yang mesti mendapat perhatian ialah kewajipan menundukkan pandangan daripada melihat aurat.Rasulullah SAW telah melarang daripada melihat kepada aurat walaupun sesama lelaki atau sesama wanita sama ada dengan syahwat ataupun tidak.Maka Rasulullah SAW bersabda:

لا ينظر الرجل الى عورة الرجل ولا المرأة الى عورة المرأة ولايفضى الرجل الى الر جل فى الثوب الواحد ولا المرأة الى المرأة فى الثوب الواحد

Janganlah seseorang lelaki memandang kepada aurat lelaki yang lain dan janganlah wanita memandang kepada aurat wanita yang lain.Dan janganlah seorang lelaki duduk barsama lelaki yang lain dalam satu pakaian dan janganlah seorang wanita duduk bersama wanita yang lain dalam satu pakaian.

Sesungguhnya aurat lelaki yang tidak boleh dilihat ialah terbatas di antara pusat dan lutut sebagaimana yang disebut di dalam hadis.

Di sana terdapat beberapa keadaan yang diharuskan untuk memandang antara lelaki dan wanita ajnabi iaitu ketika dharuri (amat memerlukan kepada pandangan tersebut):

1) Pandangan yang bertujuan untuk meminang.Ini adalah supaya setiap pasangan betul-betul terang dan jelas dalam memilih teman hidup masing-masing.Perkara ini disuruh oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya kepada Mughirah Bin Syu’bah

انظر اليها فانه أحرى أن يؤدم بينكما

Lihatlah kepadanya sesungguhnya ia akan membawa kepada hidup berkekalan antara kamu berdua

Dengan pandangan ini ia lebih mengerat kemesraan dan kasih sayang.Pihak lelaki yang meminang hendaklah menjaga adab-adab di bawah:

a) Pihak lelaki tidak boleh melihat kepada pihak perempuan selain daripada muka dan tapak tangannya sahaja setelah betul-betul berazam untuk mengahwininya.

b) Pandangan yang berulang kali diharuskan jika perlu sehingga terbit perasaan kasih di hati.

c) Diharuskan bagi pihak lelaki dan wanita bercakap-cakap di dalam majlis pertunangan serta memandangnya.

d) Tidak dibenarkan pihak lelaki berjabat tangan dengan tunangnya sehinggalah berlakunya aqad nikah

e) Tidak dibenarkan bagi kedua-duanya bersunyi-sunyian kecuali dengan adanya muhrim bagi pihak wanita.

2) Pandangan yang bertujuan untuk mengajar.Seseorang lelaki diharuskan melihat pada wajah wanita ajnabi tanpa melihat-lihat akan kecantikannya apabila bertujuan untuk mengajar dengan beberapa syarat:

a) Ilmu yang dipelajari oleh mereka itu berguna untuk kemaslahatan di dunia dan di akhirat menurut pandangan syarak

b) Ilmu yang dipelajari itu berdasarkan pengkhususan mereka.

c) Tidak dibimbangi berlakunya fitnah ketika melihat wajahnya.

d) Dalam aktiviti pengajaran tersebut tidak berlaku sebarang khalwat (bersunyi-sunyian)

e) Tidak terdapat guru wanita yang mampu menggantikan tempatnya

Tidak syak lagi sesungguhnya Islam apabila meletakkan peraturan ini ia ingin membentuk sebuah masyarakat yang bersih dan suci agar perkara yang syubhah dan kesamaran tidak berlegar di sekelilingnya dan fitnah tidak muncul sehingga sentiasalah wanita tadi dalam keadaan terpelihara lagi bersih, tidak diganggu oleh tangan yang jahat dan tidak diperhati oleh mata yang liar dan khianat.Benarlah firman Allah SWT:

(ذلك أدنى أن يعرفن فلا يؤذين)

Cara yang sedemikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenali(sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu (al-ahzab:59)

3) Pandangan yang bertujuan untuk mengubat.Diharuskan bagi doktor atau tabib melihat wanita ajnabi sehingga ke bahagian anggota yang dirawat kerana daripada Ummu Salamah r.a. bahawa beliau telah meminta kebenaran Rasulullah SAW untuk berbekam.maka Rasulullah SAW menyuruh Abu Tayyibah r.a. untuk melaksanakan bekam tersebut terhadap Ummu Salamah.

Tabib lelaki tidak dibenarkan merawat pesakit wanita kecuali dengan beberapa syarat:

a) Tabib tersebut merupakan seorang yang bertaqwa(mentaati perintah dan jauhi larangan Allah) ,jujur,amanah,adil dan mempunyai kepakaran dan ilmu.

b) Tidak mendedahkan anggota pesakit kecuali sekadar keperluan apabila telah ditentukan bahagian yang akan dilihat tersebut.

c) Tidak terdapat tabib wanita yang pakar yang mampu menggantikannya dari segi ilmu dan kepakaran

d) Rawatan tersebut dilakukan dengan adanya muhrim atau suami atau wanita yang dipercayai (thiqah) seperti ibunya,saudaranya atau jirannya.

e) Tidak mengambil tabib yang kafir selagi mana masih ada tabib yang muslim.

Apabila telah dipenuhi semua syarat ini, seorang tabib diharuskan melihat atau memegang bahagian aurat pesakit tadi.Ini adalah kerana Islam merupakan deen yang mengangkat kesusahan daripada manusia dan memberi kebaikan dan kemudahan kepada mereka.Prinsip ini telah firmankan oleh Allah SWT:

(و ما جعل عليكم فى الدين من حرج)

Dan Allah tidak tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan kepayahan dalam perkara agama(al-hajj:78)

4) Pandangan yang bertujuan melaksanakan proses perbicaraan dan pengsaksian.Diharuskan bagi hakim dan saksi melihat wanita pada wajah dan dua pergelangan tangannya walaupun dibimbangi berlakunya fitnah. Ini kerana natijah daripada melihat tersebut akan membela kebenaran dan menghapuskan kezaliman. Sesungguhnya harus juga melihat wanita yang memakai niqab jika mereka tidak dikenali oleh hakim dan saksi,jadi mereka haruslah menunjukkan wajah mereka ketika itu supaya dikenali dan tidak berlaku kesamaran serta menjaga hak-hak orang lain. Sesungguhnya Islam adalah agama yang sesuai dengan waqi’ ,realiti dan kehidupan.Ia memberi kebaikan kepada manusia dan memelihara hak-hak mereka.Firman Allah SWT

و من أحسن من الله حكما لقوم يوقنون))

Dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin(al-maidah:50)

2 Menjauhi percampuran bebas dan terbuka di antara dua jenis.

Islam memberi peringatan tentang percampuaran ini sehingga kepada setinggi-tinggi ibadah iaitu solat .Ini adalah dengan menjadikan beberapa saf yang berasingan untuk wanita agar tidak bercampur dengan lelaki ketika mereka menanti di dalam masjid. Maka Baginda Rasulullah SAW bersabda kepada wanita ketika itu:

استأخرن فانه ليس لكن أن ‏ ‏تحققن الطريق عليكن بحافات الطريق

Tunggu sekejap ,janganlah kamu mengambil bahagian tengah jalan, ambillah di sebelah tepi jalan.(Sunan Abu Daud)

Demikian juga ketika mengerjakan ibadah tawaf.Sesungguhnya Saidatina Aisyah r.a.mengerjakan tawaf dengan satu arah yang lain daripada pihak lelaki dan tidak bercampur dengan mereka (berasingan).

Di antara bentuk percampuran yang biasa kita ringan-ringankan ialah percampuran di kalangan sanak-saudara yang bukan muhrim.Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengingatkan dengan sabdanya:

اياكم و الدخول على النساء فقال رجل يا رسول الله أفرأيت الحمو (أقارب الزوج والزوجة) قال الحمو الموت

"Jauhilah kamu daripada berada bersama-sama wanita ajnabi " Maka sahabat bertanya bagaimana pula dengan ipar(adik beradik perempuan isteri atau adik beradik lelaki suami) Sabda Baginda," berada dengannya adalah seperti menempah maut"

Dengan makna percampuran di kalangan mereka (ipar) suatu yang berbahaya yang membawa kepada kecelakaan seperti mana tanda bahaya yang ditulis pada kotak elektrik berkuasa tinggi , Awas Boleh Membawa Maut!

Beberapa salah faham:

1) Janganlah sesekali seseorang itu terpedaya dengan niat yang baik.Sesungguhnya niat pembesar Mesir ,Aziz juga baik ketika ia membeli Saidina Yusuf A.S. seperti yang dirakam dalam Al-Quran:

(عسى أن ينفعنا او نتخذه ولدا)

Semoga ia berguna kepada kita atau kita ambilnya sebagai anak (Yusuf:21)

Akan tetapi niat tersebut tidak dapat menghalang gelora nafsu isterinya seterusnya menggoda seorang pemuda yang dianggap sebagai anaknya yang dipelihara sendiri olehnya.

2) Kerapkali sebahagian pelajar di universiti-universiti dan sekolah-sekolah yang di dalamnya berlaku percampuran bebas mengatakan:"Kami tidak bercampur dengan duduk berdua-duaan tapi bercampur secara berkelompok untuk berkawan.Kami bergaul pun hanya sekadar kawan,bertukar-tukar nota,muhadarah(penyampaian pensyarah) dan mengulangkaji bersama-sama"

Ini adalah satu langkah beransur-ansur yang mengakibatkan munculnya hubungan berpasang-pasangan,masalah perasaan dan naluri seksual yang banyak.Ini diakui sendiri dengan terus terang oleh ramai pelajar di kalangan kawan-kawan mereka. Bagaimana mungkin kamu terjun ke dalam laut sedang kamu tidak basah, wahai pemuda!

Sesungguhnya Islam membenarkan wanita belajar dan keluar memenuhi keperluannya tetapi dengan beberapa syarat dan adab yang wajib beriltizam dengannya.Apabila ditentukan ke atas kita untuk bercampur dalam melaksanakan sesuatu perkara atau lain-lain, kita hendaklah cuba mengelak daripada percampuran tersebut dan memelihara diri daripada akibat-akibatnya.

Jadikanlah kisah Nabi Musa A.S.bersama dua orang gadis yang solehah(anak Nabi Syuaib A.S.) sebagai contoh teladan ketika bergaul dalam suasana yang bercampur.Kisah ini adalah di mana dua orang gadis tadi keluar kerana keperluan yang bersangatan iaitu memberi minum kepada binatang ternakan sedangkan mereka berdua tidak mempunyai saudara lelaki bagi membawa ternakan tadi.Kedua-dua gadis ini begitu beriltizam (menjaga) dengan adab-adab seperti ketika bercakap dan berjalan sebagaimana firman Allah SWT:

(فجاءت احداهما تمشي على استحياء قالت ان أبي يدعوك ليجزيك أجر ما سقيت لنا)

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya (Musa) dengan berjalan dalam keadaan malu sambil berkata,"Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum ternakan kami" (al-qasas:25)

Begitu juga mereka tidak menghampiri dan mendekati lelaki-lelaki pengembala tadi sebagaimana firman Allah SWT

(قالتا لا نسقي حتى يصدر الرعاء )

Mereka menjawab,"Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik ternakan mereka" (al-qasas:23)

Demikian juga sikap Nabi Musa A.S. terhadap kedua-dua gadis tadi merupakan suatu contoh teladan yang tinggi dalam bersifat dengan iffah(menjaga kehormatan) dan pemurah(suka membantu).

Oleh itu,wahai saudaraku para pemuda, berlumba-lumbalah untuk menjadi seperti sedemikian! Marilah kita mengurangkan kesan-kesan percampuran ini dengan kemampuan yang ada pada kita sama ada di tempat umum,dalam kenderaan dan di jalan-jalan.Jikalau percampuran ini mempunyai tujuan persaudaraan atau bertukar-tukar sesuatu yang bermanfaat,maka hendaklah ada batasan tertentu di antara kedua-dua jenis tadi.

3 Ajakan kepada pemakaian hijab yang betul dan memerangi tabarruj.

Di antara perkara yang membangkitkan naluri dan nafsu yang diadukan tentangnya oleh para pemuda dan sangat perlu dijaga ialah perbuatan tabarruj dan berpakaian mencolok mata.Dengan maksud ,mendedahkan anggota melebihi muka dan pergelangan tangan atau berpakaian nipis dan jarang serta bersolek,berwangi-wangian,berlebih-lebihan dalam memperaga pakaian dan menarik perhatian orang lelaki.Di antara perbuatan ini juga ialah menunjuk-nunjuk dan berlagak serta melembutkan suara ketika bercakap.Perbuatan ini dilarang oleh Allah dengan firman-Nya:

(فلا تخضغن بالقول فيطمع الذي فى قلبه مرض )

Oleh itu, janganlah kamu (wahai isteri-isteri nabi) berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki ajnabi (asing)kerana ia boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) (al-ahzab:32)

Ia memberi peluang dan lampu hijau kepada orang yang ingin melakukan sebarang hubungan yang tidak elok.

Sesungguhnya perasaan malu bukanlan masalah adat tradisi yang boleh diambil dan ditolak tetapi ia merupakan arahan Ilahi yang wajib dan menjadi fitrah manusia seluruhnya. Sabda Rasulullah SAW:

والحياء شعبة من الايمان

Malu merupakan satu cabang daripada iman

dan juga sabda Baginda SAW:

ان مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى اذا لم تستح فاصنع ما شئت

"Di antara sabda para Nabi yang terdahulu yang masih dipakai untuk orang ramai ( sehingga kini ) ialah : Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu"

Sesungguhnya Yahudilah yang merupakan tuan-tuan kepada gedung-gedung pakaian hari ini di peringkat antarabangsa dan mereka juga adalah tuan-tuan kepada kilang-kilang yang menghasilkan barangan kecantikan hari ini.Merekalah yang memperkenalkan fesyen pakaian mencolok mata,amalan berhias-hias dan gaya bersolek.Mereka berdiri di sebalik pakaian-pakaian tadi dengan dakyah mereka yang menganggap bahawa ini adalah kemajuan,bertamadun dan moden bahkan mereka menggambarkan amalan pemakaian hijab sebagai kolot, mundur ke belakang dan ketinggalan zaman.

Ada juga sebahagian para pemudi dan ibu-ibu mereka mempunyai sangkaan bahawa pemakaian hijab akan menutup pintu peminangan terhadap wanita atau melambatkannya.Sebenarnya sangkaan ini merupakan sangkaan yang datang daripada syaitan ,wal'iyazubillah.Ini kerana kewajipan melaksanakan arahan Ilahi tidak boleh diikat dengan perkahwinan atau lainnya.Sepertimana pemuda, walau bagaimana sekalipun peribadinya ia tetap akan lebih memilih ikatan dengan pemudi yang beragama.Apabila salah seorang di kalangan pemuda tadi telah tercemar fitrahnya maka dia akan memilih perempuan yang jalang dan yang mendedahkan aurat seterusnya lelaki tadi merasa bangga dengannya.Oleh itu janganlah berpaling mencari mereka, wahai wanita muslimah! kerana lelaki itu tidak layak menjadi suami bagimu.

Sesungguhnya pakaian wanita muslimah wajib menutup seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan, ini pada satu pendapat ulamak.Ia juga mestilah luas dan tidak sempit, labuh dan tidak nipis(jarang),tidak menjadi fitnah kepada dirinya dengan warna yang terlampau terang dan tidak terdiri di antara pakaian yang dikhususkan bagi kaum lelaki atau yang dikhususkan bagi wanita yang kafir.Sesungguhnya Nabi SAW mengingatkan para wanita daripada menyalahi perintah ini dan menerangkan akibatnya yang membinasakan sebagaimana sabdanya.

قال صنفان من أهل النار لم أرهما قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مائلات مميلات رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة لايدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وان ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا(رواه مسلم)

“Ada dua golongan dari penduduk neraka yang keduanya belum pernah aku lihat, pertama: satu kaum yang memiliki cemeti-cemeti seperti ekor lembu yang dengannya mereka memukul manusia. Kedua: para wanita yang berpakaian tapi telanjang, mereka menyimpang lagi menyelewengkan orang dari kebenaran. Kepala-kepala mereka seperti bonggol unta yang miring. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal baunya dapat dicium dari jarak perjalanan sejauh ini dan itu.”


Makna
(كَاسِيَاتٌ َعَارِيَاتٌ) ialah menutup sebahagian anggota dan mendedahkan sebahagian yang lain dan menutup tubuhnya dengan pakaian yang tidak dianggap sebagai penutup.demikian itu kerana sempit dan nipis.Makna ( مَائِلاَتٌ ) ialah berjalan dengan lenggang-lenggok atau bermakna menyimpang jauh dari mentaati Allah SWT.Makna ( مُمِيْلاَتٌ ).ialah menghebahkan kepada orang lain tentang keadaan mereka dan menyebarkan fitnah.Dan makna( رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنَمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ) ialah mereka mendandan rambut dan membentuknya seperti bonggol unta yang miring.

Hukuman ini sangat berat lantaran dosanya bersambung-sambung.Oleh itu sesiapa yang berpelakuan sedemikian dia telah membuat kesalahan terhadap dirinya,kesalahan kerana memjadi fitnah kepada golongan lelaki dan membangkitkan nafsu mereka dan kesalahan kerana menyebarkan perangai tadi dan diikuti oleh orang lain.

Sesungguhnya hijab bukanlah semata-mata penutup secara zahir sahaja bagi tubuh bahkan sebelum itu ia merupakan sifat iffah dan malu dalam diri yang mengzahirkan kesan-kesannya pada luaran dan kelakuan.

Sesungguhnya sebahagian pemuda juga kadang-kadang menjadi fitnah kepada wanita dengan cara mereka berpakaian yang menunjuk-nunjuk,gaya rambut dan cermin mata dan juga berlagak dan bermegah dengan kenderaan,telefon bimbit dan lain-lain.Kepada mereka kita ingatkan bahawa setiap ini semua menunjukkan kepada sikap berfoya-foya,terpedaya dan takabbur atau kadang-kadang ia menghiris perasaan orang lain yang tidak berkemampuan seperti mereka ataupun ia memberi kesan ke atas pemudi-pemudi yang tertarik dengan pandangan tadi.

4 Diharamkan bersunyi-sunyian(khalwat) dengan wanita yang ajnabi.

Maka Islam mengharamkan seorang lelaki bersunyi-sunyian dengan seorang wanita ajnabi(luar) iaitu yang bukan isterinya atau salah seorang daripada sanak-saudaranya yang diharamkan berkahwin dengannya secara muabbad(kekal) seperti ibu,saudara perempuan dan emak saudara.Daripada Amir bin Rabiah Rasulullah SAW bersabda:

لا يخلون رجل بامرأة لا تحل له فان ثالثهما الشيطان الا محرم

Janganlah sekali-kali seoarang lelaki bersunyi-sunyian dengan wanuta yang tidak halal baginya kerana pihak ketiga yang bersama mereka ialah syaitan kecuali dengan muhrim.

Ini bukanlah bermakna hilangnya kepercayaan kepada kedua-duanya tetapi sebagai langkah penjagaan bagi mereka dari bisikan syaitan.Dalam menafsirkan firman Allah tentang keadaan isteri-isteri Nabi SAW:

(واذا سألتموهن متاعا فاسئلوهن من وراء حجاب ذلكم أطهر لقلوبكم وقلوبهن )

Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri nabi, maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir .Cara sedemikian itu lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. (al-ahzab:53)

Imam Qurtubi mengatakan:maksudnya ialah fikiran-fikiran yang membawa jatuh ke hati yang khayalkan oleh lelaki tentang hal wanita dan yang dikhayalkan oleh wanita tentang hal lelaki.Dengan arahan ini ia akan menolak keraguan dan lebih menjaga diri seseorang.

5 Diharamkan beberapa saluran hiburan yang merosakkan dalam apa jua bentuknya.

Sesungguhnya terdapat banyak rancangan dan adegan yang meruntuhkan nilai di dalam televisyen hari ini.Ia menjadi lebih berbahaya kerana ia merupakan saluran yang paling hampir dengan kita dan boleh mempengaruhi fikiran dan tingkah laku kita.Di dalamnya ada ditayangkan adegan yang tidak senonoh,menari,berfoya-foya,drama-drama dan filem-filem percintaan bahkan aksi antara suami isteri atau pasangan kekasih ditayangkan dengan terang di hadapan penonton.Adegan ini akan membangkitkan nafsu mereka dan akan dijadikan ikutan oleh mereka.Tidak syak lagi ini merupakan suatu kecelakaan besar baik di dunia mahupun di akhirat.Adapun di dunia,mereka akan dilanda kelesuan jiwa dan jasad disebabkan pengaruh tayangan tersebut manakala di akhirat kelak akan dihitung segala waktu dan tayangan batil mereka itu dengan perhitungan yang terperinci.

Satu Fahaman Yang Salah:

Sesetengah orang mengatakan:"Kami cuma menonton tayangan itu hanya untuk berhibur sahaja"

Mereka ini mesti mengetahui bahawa Allah telah menghina Bani Israel kerana mereka

(سماعون للكذب ) mereka suka mendengar perkara-perkara yang dusta

dan Allah tidak berfirman

(قائلون للكذب ) mereka mengatakan perkara-perkara dusta

Maka mendengar suatu yang batil adalah batil dan menyaksikan adegan yang haram maka hukumnya juga adalah haram.Firman Allah SWT:

(ان السمع والبصر والفؤاد كل أولئك كان عنه مسئولا )

Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati semua itu tetap akan disoal tentang apa yang dilakukannya (al-israk:36)

Pancaindera ini merupakan nikmat kurniaan daripada Allah dan suatu hari nanti kita akan disoal tentang semua pancaindera tadi:Kemanakah kamu gunakan nikmat ini?

Bagaimanakah Cara Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah?

Tulisan Ustaz Dr Fathi Yakan

Internet merupakan senjata bermata dua, satu pendekatan yang mempunyai dua wajah yang bertentangan; dalamnya ada unsur peruntuh dan membina, memati dan menghidup, petunjuk hidayah dan godaan. Dan cara bagaimana ia digunakan adalah garis pemisah antara keduannya.

Saya harap tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa internet mempunyai daya tarikan, keberkesanan, mudah dicapai, dilayari dan bersifat interaktif yang menjadikan ia alat terkini dari segi kesan dan ruang cakupan. Ia melitupi bola bumi tanpa sekatan dan tandingan. Ia boleh dijadikan mimbar untuk orang Islam menegakkan hujjah keatas manusia dengan menyebarkan Islam dan menyampaikan dakwahnya kepada seluruh manusia diseluruh pelusuk alam.

Benarlah seperti firman Allah taala :

(لئلا يكون للناس على الله حجة بعد الرسل)

Supaya tidak menjadi hujjah manusia terhadap Allah selepas kedatangan rasul-rasul.

(an Nisa’ 165)

Dan firman-Nya:

(وكذلك جعلناكم أمة وسطا لتكونوا شهداء على الناس ويكون الرسول عليكم سهيدا)

dan begitulah kami jadikan kamu umat pertengahan supaya kamu menjadi saksi kepada manusia dan rasul menjadi saksi keatas kamu.
(al Baqarah 143).

Walaubagaimana pun kita sepatutnya mengetahui bahawa internet dipenuhi dengan segala jenis unsur yang rosak dan merosakkan dan syaitan jin dan manusia memuatkan rangkaian ini dengan berjuta-juta laman yang canggih dan cekap dengan seni mempedaya dan menyesatkan satu perkara yang tidak diterima akal dan sukar digambarkan.

Satu kajian yang disiarkan oleh majalah Time menunjukkan bahawa bilangan laman seks mencecah angka 650 juta laman pada tahun 1998 dan dianggarkan akan sampai 8 bilion pada tahun 2002. Salah satu laman ini memiliki 300,000 gambar lucah dan telah dihantar sebanyak lebih satu bilion kali.

Manakala dari sudut perniagaan, satu kajian menunjukan bahawa sejumlah pembelian bahan lucah melalui internet mencecah 18 bilion dolar. Ini mendorong pengkaji Steve Waters berkata dalam komentarnya terhadap betapa besarnya bencana ini: "biasanya pelayaran internet bermula dengan cuba-cuba, kemudian ia berlarutan menjadi penagihan dan disertai dengan kesudahan yang sangat merbahaya".

Semua itu perlu diletakkan dalam perkiraan apabila berbicara tentang internet, melayarinya dan berintraksi dengannya:

1. Seseorang yang ingin melayari internet wajar membersihkan niat dengan betul dengan menetapkan terlebih dahulu tujuan sebelum memasukinya.

2. Mereka yang melayari internet sebagai alat untuk berhibur akan lupa diri dan tanpa disedari terheret ke pada kematianya dalam keadaan ia tidak menyedarinya.

3. Kemudian duduk dihadapan internet dalam tempoh yang lama akan mensia-siakan pusingan hidup seluruhnya. Mereka akan mengabaikan tugas dan tuntutan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Inilah kerugian yang nyata.

Disamping ia juga akan menyebabkan kehilangan daya tumpuan dan menyebabkan akal bercelaru.

Adapun apabila kita melayari gelombang internet yang ganas dalam laut yang gelap dan dalam keadaan ditemani Allah bererti kita hidup dengan kebersamaan ini dalam setiap suasana, urusan, kondisi dan setiap masa.

Rasa kebersamaan ini bukan suatu yang boleh dipinjam-pinjam atau direka-reka… kerana itu, ia bukan datang dan pergi sebaliknya satu keadaan yang tetap terus berkembang tanpa kurang atau surut.

Merealisasikan kebersamaan ini seseorang perlu mengekang nafsunya daripada hawa dan penyesatannya. Hawa harus ditolak dan nafsu sepatutnya dibimbing untuk menaiki tangga kesempurnaan, meninggalkan kealpaan, mengalahkan waswas dan mengatasi ajakan-ajakan syahwat. Kemudian dengan memelihara keberterusan "muraqabah" dan "muhasabah" serta mengekang nafsu dengan keazaman dan dipaksa dengan pekerti dan akhlak yang mulia, apa lagi di zaman yang penuh dengan fitnah dan keajaiban ini.

Seperti yang pernah diberi amaran dan ingatan oleh Rasulullah s.a.w secara khusus mengenai zaman tersebut di mana orang yang siuman menjadi bingun, perkara makruf menjadi mungkar dan mungkar menjadi makruf sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

Apabila dunia hampir kiamat akan berlaku fitnah seperti potongan malam yang gelap, fitnah seperti kepulan asap, dalam situasi itu hati manusia akan mati seperti matinya tubuh badan mereka, mereka beriman pada pagi hari dan kufur pada waktu petang, beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi antara mereka ada puak yang menjual akhlak dan agama mereka dengan habuan dunia.
(hadis riwayat Ahmad)

Kita berdoa kepada Allah supaya memberikan kita kesihatan dan berterusan dalam keadaan afiat serta bersyukur dengan afiat tersebut. Kita mohon dari Allah kebaikan masa dan kebaikan mereka yang hidup pada zaman ini. Kita berlindung kepada Allah dari kejahatan zaman dan kejahatan mereka yang hidup pada zaman ini. Allah maafkanlah kami, ampunkanlah kami, perelokkan kesudahan kami dan pastikan pada waktu kematian kami, kami sedang melakukan kebaikan dan amal soleh.

Amin ya rabba al alamin.

Di antara bentuk hiburan yang wajib dijauhi demi kebaikan di dunia dan di akhirat ialah majalah-majalah picisan yang memfokuskan wanita ,seks,nyanyian,artis dan juga sesetengah majalah sukan.Topik perbincangan dalam majalah dan akhbar ini banyak berkisar tentang kisah-kisah cabul,lucah, mendedahkan satu persatu perkara maksiat tersebut dengan nada ingin mengajak pembaca supaya mengikutinya dan membangkitkan nafsu mereka.Bahkan imej wanita yang mencolok mata menjadi bahan pelaris kepada majalah dan akhbar hiburan tadi.

Di antara bahan yang tersebar di kalangan sebahagian pemuda ialah gambar asmara di antara artis.Kita akan dapati gambar tersebut terdapat di dalam bilik,beg,buku pelajaran dan di atas meja mereka.Semua ini merupakan pemandangan kepada yang haram, membangkitkan nafsu syahwat dan menggalakkan suatu perbuatan yang jijik.Bahaya gambar-gambar ini juga antaranya ialah membawa fitnah,khayalan cinta,angan-angan dan kekalahan jiwa.Rasulullah SAW telah bersabda:

المرء مع من أحب

Seseorang itu akan dihimpunkan pada hari kiamat kelak bersama-sama dengan orang yang dicintainya

Di antara bahan hiburan yang berbahaya juga ialah novel-novel cinta dan buku-buku cabul.Penulis-penulisnya yang mendapat habuan lumayan hasil perniagaan tersebut telah menjerat diri kamu dengan memindahkan kamu ke alam khayalan,angan-angan dan kisah-kisah yang meruntun nafsu.Mereka menyibukkan masa lapang dan perasaan kamu supaya kamu sentiasa mengikut arus fitnah dan tenggelam lemas dalam hawa nafsu.

Dan di antara salurannya yang berbahaya juga ialah nyanyian dan muzik yang mana tajuk nyanyian yang berkisar tidak lain hanya satu iaitu percintaan dan asmara.Nyanyian ini telah menjadikan cinta itu kehidupan dan kehidupan itulah cinta.Ia menggambarkan secara terperinci kehangatan pertemuan,keperitan perpisahan,keluhan dan rintihan yang mengganggu ketenangan hati serta merangsang perasaan hawa nafsu.Hal inilah yang menambahkan lagi pengharamannya.

Ada pertanyaan daripada beberapa orang:"Sesungguhnya telah tertutup kepada kami semua saluran hiburan,maka apa yang boleh kami buat?"

Sesungguhnya Islam tidak akan menutup satu pintu masuk kepada perkara yang haram melainkan ia membuka pula sebagai ganti satu pintu masuk kepada perkara yang halal.Islam adalah agama fitrah yang mengetahui bahawa kita semua berhajat kepada kerehatan jiwa dan akal fikiran .Kita juga berhajat kepada hiburan untuk berseronok tetapi dengan mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan oleh Islam.

Alhamdulillah telah muncul sebagai ganti kepada nyanyian-nyanyian yang melalaikan tadi beberapa nyanyian dan nasyid yang baik ,berguna,membina dan mengingatkan kita kepada Allah tetapi berhajat kepada sokongan,dorongan dan waktu untuk berkembang. Demikian juga di sana ada perkara-perkara lain yang diharuskan kita untuk bergiat di dalamnya.

Adalah adil jika dikatakan bahawa di sana terdapat beberapa saluran hiburan dan rancangan yang boleh kita ikuti tetapi malangnya ia amat sedikit jika di bandingkan dengan arus rancangan-rancangan yang melalaikan dan mempengaruhi hawa nafsu.

Percintaan antara lelaki dan wanita :haram ataupun halal?

Seorang ulamak pernah ditanya dengan satu soalan :Adakah bercinta itu halal ataupun haram?

Maka beliau dengan lembut menjawab :"Percintaan yang halal hukumnya adalah halal dan percintaan yang haram hukumnya adalah haram.Di antara percintaan yang halal ialah seseorang lelaki mencintai isterinya dan seseorang wanita mencintai suaminya atau seseorang lelaki mencintai tunang wanitanya dan seseorang wanita mencintai tunang lelakinya.Manakala di antara percintaan yang haram pula ialah seseorang lelaki mencintai wanita yang bukan isterinya dan seseorang wanita mencintai lelaki yang bukan suaminya."

Sesungguhnya kecenderungan hati semata-mata di antara seorang pemuda dan seorang pemudi yang tidak ada sebarang ikatan adalah tidak mengapa asalkan kecenderungan itu tanpa ada sebarang perbuatan yang mengikutnya.tetapi Kedua-dua pihak wajiblah menjaga diri daripada melakukan perkara yang haram,bersabar,berusaha menolak kecenderungan tadi dan menghadapinya dengan langkah-langkah yang telah disebut sebelum ini sehingga ia tidak menarik kita jatuh kepada perkara yang makruh ataupun haram.Adapun apabila kecenderungan hati ini diikuti sepenuhnya dengan pandangan-pandangan,berutus surat , bercakap-cakap, perjumpaan-perjumpaan sehingga ke akhirnya maka ini adalah haram tidak patut dilakukan.Pengharaman tersebut semakin bertambah jika perbuatan-perbuatan tadi membawa kepada bersunyi-sunyian(khalwat),bersentuhan,bercium atau perbuatan yang lebih teruk daripada itu, wal'iyazubillah(kita berlindung dengan Allah daripada berlaku perkara sedemikian) atau mengarah kepada perbuatan haram yang lain pula seperti berseronok-seronok dan lain-lain.

Tidak boleh seseorang memberi alasan bahawa tekanan naluri dan syahwatnya telah melebihi kemampuannya dan ia tidak kuat untuk menghadapinya atau mengatakan,"cinta itu berkait dengan hati dan Allahlah pemilik hati ini bukannya kita,Allah tidak akan membebankan seseorang kecuali sekadar kemampuannya dan cinta ini tak dapat dielak.Ia di luar kemampuan kita."

Sesungguhnya seseorang itu tidak akan dibalas kerana adanya kecenderungan hati atau wujudnya perasaan cinta dihatinya tapi ia akan dibalas tatkala ia tidak mengambil sebab-sebab untuk menjaga dirinya dan menjauhkan dirinya daripada bahaya atau tatkala ia berada di dalam susana fitnah dan membangkitkan perasaan dan nafsunya lalu dia mengatakan"Aku tidak mampu melawan" sedangkan sudah diketahui bahawa setiap perkara yang membawa kepada yang haram maka ia adalah haram.

Insan yang mempunyai himmah(kehendak) yang tinggi

Para pemuda mestilah faham bahawa sikap bebas dalam semua perkara tanpa ada ikatan atau sempadan akan menghasilkan buah yang amat pahit.Manakala sikap istiqamah dan menundukkan hawa nafsu kedua-duanya merupakan tanda kekuatan dan simbol kepahlawanan.benarlah sabda Rasulullah SAW:

حفت الجنة بالمكاره وحفت النار بالشهوات

Jalan ke Syurga itu dihampari dengan perkara yang di benci hawa nafsu dan jalan ke Neraka pula dihampari dengan perkara yang diinginkan nafsu

Berlakunya penyimpangan merupakan suatu perkara yang mudah dan senang berbeza dengan mengawal jiwa dan menguasai hawa nafsu serta berpegang teguh pada tali Allah , sifat yang membolehkan para pemuda duduk di bawah naungan Arasy pada hari yang tidak ada naungan melainkan naungan-Nya.

Apabila nafsumu menguasai dirimu, kemudian kamu terjatuh ke dalam perbuatan dosa dan kesalahan maka bersegeralah melaksanakan taubat nasuha,mohonlah ampun terhadap dosa-dosamu, bersegeralah mengerjakan amalan yang soleh dan gantikanlah amalan yang buruk itu dengan amalan yang baik nescaya ia akan menghapuskan yang buruk itu. Ketahuilah, mengharapkan keampunan Allah SWT sedangkan masih tetap melakukan dosa akan membawa kepada kelalaian.Maka hendaklah ia menjadikan nafsu sebagai pengikut kepada Deennya, Seterusnya jadilah kamu di kalangan orang yang dipelihara oleh Allah SWT dengan firman-Nya:

(الذين اذا فعلوا فاحشة او ظلموا أنفسهم ذكروا الله فاستغفروا لذنوبهم و من يغفر الذنوب الا الله ولم يصروا على ما فعلوا وهم يعلمون أولئك جزاءهم مغفرة من ربهم و جنات تجري من تحتها الأنهار خالدين فيها ونعم أجر العاملين)

Dan orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tidak ada yang boleh mengampunkan dosa melaiankan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang lalu sedang mereka mengetahui(kesalahan dan akibatnya), Mereka itu akan mendapat keampunan dari Tuhan mereka dan juga syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya.Demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal. (Ali Imran:135,136)

والله أعلم بالصواب

Sumber rujukan:

1) Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam oleh Ustaz Dr Abdullah Nasih Ulwan

2) Pemuda ,Cinta Dan Naluri Menurut Pandangan Islam oleh Ustaz Nabil Hamid

3) Musykilat Asy-Syabab oleh Ustaz Ahmad Hanafi Al-Maaz

4) Bagaiman Melayari Internet Dengan Kebersamaan Allah SWT oleh Ustaz Dr Fathi Yakan(Laman Web HALUAN)

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah