Monday, February 06, 2012

LangitIlahi.Com: Kemuliaan CINTA



Bagaimana kita memaknai cinta? Cinta punya pelbagai telahan dan tafsiran. Walaupun sudah pelbagai buku terbit bicara akan cinta, maknanya masih tetap luas seluas pemilik cinta itu; Allah SWT. Malahan Imam Ibnul Qayyim sendiri pernah berkata sukar untuk mendefinasikan cinta itu. Ibnul Qayyim berkata, terkadang cinta membawa maksud al luft (kelembutan). Terkadang cinta satu makna dengan rahmah atau kasih sayang. Kadang cinta bermakna thadiyah atau pengorbanan. Kadang cinta dekat dengan itsar iaitu mendahului orang lain walaupun dirinya amat memerlukan.

Pengaruh Cinta

Begitu dalamnya makna cinta ( Al Mahabah) sampai-sampai ada yang mengeluarkan pendapat tentang makna cinta seperti “Hati yang buta untuk melihat selain orang yang dicinta, tuli untuk mendengar selain yang dicinta”. Seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith:

“Kecintaanmu terhadap sesuatu mampu membuat buta dan tuli” (HR. Ahmad).

Menurut Imam Ibnu Jauzi pula, cinta adalah kecondongan jiwa yang sangat kuat kepada satu bentuk yang sesuai dengan tabiatnya, maka jika pemikiran jiwa itu kuat mengarah kesana, ia akan selalu mengharapkannya. Oleh kerana itu pula, biasanya penyakit baru akan selalu muncul bagi orang yang sedang jatuh cinta, demikian huraian beliau dalam kitab Dzammul Hawa. Demikianlah impak cinta, pengaruhnya boleh menjadi positif bahkan mampu mengheret kita kepada negatif.

Abu Umar az-Zajaji pula berkata, aku pernah bertanya kepada al-Junaid, tentang definasi cinta, lalu ia berkata, “Cinta adalah anda mencintai semua yang dicintai Allah pada hamba-hamba-Nya dan membenci semua yang dibenci Allah pada hamba-hamba-Nya.” Inilah benchmark kalau mahu bercinta. Kayu pengukur samada cinta kita itu benar atau tidak, ianya merujuk kepada matlamat cinta itu. Apakah ia selari dengan kehendak Allah SAT atau sebaliknya.

Cinta berbeza dengan syahwat. Cinta itu mesti baik, suci, bersih dan mendapat redha Allah. Sedangkan syahwat adalah cinta yang ternoda. Cinta yang ternoda akan membawa kita kepada kehancuran, kelalaian dan terhalang dari menerima petunjuk Allah SWT. Namun cinta syahwatlah yang menjadi arus cinta anak muda hari ini. Apabila bicara cinta sahaja, kita akan melihat anak-anak muda terpesona dengan keindahannya sehingga melupakan kebesaran Allah SWT. Apabila cinta kita mengenepikan kebesaran Allah SWT kita akan kehilangan keindahan yang paling besar, iaitu keindahan syurga. Justeru kalau kita terlepas keindahan syurga, ke mana kita akan pergi nanti di akhirat?

Kemuliaan Kita Bermula Dengan Keimanan

Kemuliaan cinta yang bersih kerana Allah akan membawa kemuliaan buat diri kita di akhirat dengan meraih syurga. Dalam sahih al-Bukhari, Rasulullah SAW menjelaskan kemuliaan cinta yang melayakkan seseorang meraih syurga Allah SWT. Ada seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah SAW. “Ya Rasulullah, bilakah hari kiamat?” Kemudian Rasulullah bertanya, “Apakah yang telah kamu persiapkan untuk menghadapinya.” Lalu arab badwi itu menjawab. “Aku tidak menyiapkan sesuatu untuk menghadapi kiamat, kecuali hanya cinta Allah dan Rasul-Nya.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Fainnaka ma’a man ahbabta, sesungguhnya engkau kelak di hari kiamat berada bersama dengan apa yang engkau cintai.”

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda; “Demi Zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai”. HR Muslim.

Dalam hadith di atas, persiapan keimanan menjadi asas kepada pembinaan cinta sesama manusia. Bermakna, proses pembinaan iman adalah yang paling asasi sebelum membina cinta yang Allah redha. Tanpa keimanan yang benar, maka manusia akan terjebak dengan cinta syahwat. Inilah permasalahan kita, kita mahu merasai keindahan dan kebahagiaan cinta, tetapi kita tidak bersedia menyiapkan diri kita untuk beriman dengan Allah SWT dengan sebenar-benar iman sehingga melahirkan perasaan cinta berpaksikan wahyu. Hari ini ada yang rela melanggar syariat demi cinta, mengapa? Kerana hatinya tidak disiapkan dengan iman.

Kalau begitu, dalam Islam susahlah nak bercinta? Ada pula yang merasakan cinta sesama manusia (antara lelaki dan wanita) itu haram atau tidak digalakan dalam Islam. Ini pandangan yang salah. Allah menuntut kita sebagai muslim saling mencintai kerana Allah. Namun, Allah membimbing kita agar membina cinta berasaskan iman bukan nafsu. Lihatlah di Barat hari ini, mereka memperjuangkan kebebasan dalam berhubungan baik antara sesama jantina mahupun berlainan jantina, Akhirnya hari ini mereka menghadapi masalah kelahiran anak luar nikah dan berkesedudukan antara lelaki perempuan sehingga merosakan insitusi kekeluargaan mereka. Makin parah mereka menghalalkan perkahwinan sesama jantina atas dasar kebebasan individu. Situasi ini akan melahirkan generasi masa depan yang celaru dan hilang makna kemanusiaan sebenar. Di negara kita juga saat ini kelahiran anak luar nikah semakin berkembang, penceraian rumahtangga kalangan yang baru berkahwin semakin meningkat. Bahkan ribuah perkahwinan dibina atas asas syahwat justeru berlaku porak peranda dalam institusi kekeluargaan. Apakah hal ini kita sedari?

Jalan Meraih Cinta Allah

Islam tidak pernah menghalang cinta. Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW;
“Barangsiapa ingin memperoleh kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana Allah SWT.

Luarbiasa, Islam telah mendepani garis panduan dalam persoalan cinta kerana Allah amat memahami akan naluri manusia. Islam tidak pernah memisahkan persoalan cinta dengan persoalan iman. Masalahnya kita yang memisahkannya kerana kelemahan jiwa kita yang tidak diisi dengan keimanan. Atau kita tidak membesar dengan biah (suasana) keimanan.

Mencintai seseorang kerana Allah merupakan sebahagian dari proses meraih kenikmatan iman. Justeru siapa kata Islam melarang cinta, bercintalah kerana Allah kerana ianya akan menyuburkan iman.

Dalam hadith Qudsi Allah berfirman; “CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling mencintai keranaKu, CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang saling berkorban keranaKu, dan CintaKu harus Kuberikan kepada orang-orang yang menyambung hubungan keranaKu”.

Indahnya bila cinta kita berpaksikan iman. Hanya kerana mencintai seseorang kerana Allah, maka Allah akan mencintainya pula. Subhanallah. Inilah rahsia kenapa para sahabat Muhajirin dan Ansar diiktiraf sebagai sebaik umat. Mereka membina cinta sesama mereka kerana Allah. Mereka meletakkan iman mereka kepada Allah dan Rasulullah SAW di hadapan dalam membina kecintaan. Mereka bahagia dalam cinta yang hakiki. Kehidupan mereka penuh dengan kasih sayang dan kecintaan pada yang satu, Allah SWT.

Hiduplah di bawah naungan cinta dan saling mencintailah kerana keagunganNya, nescaya akan mendapatkan naungan Allah, yang pada hari itu tidak ada naungan selain naunganNya.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda; “Pada hari kiamat Allah berfirman: Dimanakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Pada hari yang tiada naungan selain naunganKu ini, Aku menaungi mereka dengan naunganKu”. (HR Muslim)

Mari kita membina cinta yang membangkitkan prestasi terbaik kita di akhirat kelak. Kita meletakkan aspirasi cinta agung kita kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW kemudian untuk orang-orang soleh, untuk keluarga kita, untuk sahabat-sahabat kita yang ikhlas bersahabat dengan kita, dan kita cinta akan diri kita. Jangan sampai cinta yang bersih yang seharusnya dapat menghantarkan kita ke syurga, dikotori dengan tindakan kenistaan kita akibat gejolak hawa nafsu. Dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman pada hari kiamat, “Di mana orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku, pada hari ini aku akan lindungi mereka pada hari tidak ada perlindungan kecuali perlindungan-Ku.”

Energi Cinta Yang Mendasyatkan Peribadi

Mari kita arahkan energi cinta kita untuk berprestasi sebagai hamba Allah. Mari menjadi hamba Allah kerana kita cinta kepada Allah, insyaAllah kita akan mudah berprestasi sebagai hamba-Nya yang baik di dunia. Mengapa para sahabat RA memiliki prestasi yang luarbiasa sehingga memberi implikasi besar kepada sejarah ketamadunan manusia? Kerana cinta mereka yang begitu besar kepada Allah SWT. Lantas mereka dicintai oleh Allah, Rasul, para malaikat dan seluruh penduduk bumi.

Dalam sahih Bukhari dan Muslim diriwayatkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahwa Rasulullah SAW bersabda;

“Kalau Allah sudah mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibrail dan berkata, ‘Aku mencintai fulan, cintailah dia.’ Jibrail pun mencintainya, kemudian Jibrail pun berseru di tengah penduduk langit, ‘Diumumkan bahawa Allah mencintai si fulan, kerana itu cintailah dia.’ Maka seluruh penduduk langit mencintainya. Lalu disampaikan kepada penduduk bumi, dan seluruh penduduk bumi mencintainya.”

Inilah penangan cinta hakiki, mendasyatkan peribadinya di sisi Allah dan makhluk-Nya. Tidak teringinkah kita membina cinta kita atas paksi ini, samada kita membina cinta sesama manusia apatah lagi cinta kepada suami, isteri dan anak-anak. Jom meraih cinta yang mendasyatkan di sisi sang pemilik cinta…Allah SWT.!

Petikan tulisan penulis di langitilahi.com http://langitilahi.com/7107
This entry was posted in :

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah