Friday, September 21, 2012

LangitIlahiCom: Itsar Itu Ada Pada Kita?


Itsar, saya mula mengenali kalimah ini ketika berada dalam halaqah tarbiyah sekitar tahun 1995. Ketika itu murabbi saya, akhi Dr. Nik Ramli berbicara kepada kami tentang ukhwah dan kualiti ukhwah yang paling mulia dan tinggi ialah Itsar iaitu mengutamakan orang lain berbanding diri sendiri. Saya tidak pasti apakah wujud sikap itsar dalam masyarakat hari ini, tetapi Alhamdulillah saya pelajari dan merasai qudwah itsar dalam kehidupan saya.
“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Al Hasyr:9)

Asas Itsar
Ayat ini sudah menjadikan motivasi dan dorongan kepada kita untuk menanam benih  itsar dalam diri. Bahkan para sahabat RA telah ditarbiyah oleh Rasulullah SAW dengan peribadi dan kualiti itsar yang asasnya adalah kecintaan kepada Allah SWT.
Ya! Itulah asas itsar, cinta kepada Allah, kerana Allah dan di jalan Allah. Apabila cinta kepada Allah menjadi prioriti dan fokus dalam kehidupan, maka akhlak itsar kan menyinar dalam berukhwah dan kehidupan.

Itsar tidak lahir tanpa proses keimanan yang benar, tanpa cinta yang kuat, yakin dan kukuh pada Allah SWT dan janji-Nya. Sahabat-sahabat di Madinah yakin akan janji Allah SWT, maka mereka berlaku itsar pada ahli hijrah dari Mekah. Semuanya bermula dari kerana cinta mereka kepada Allah, lalu melimpahlah cinta itu kepada sahabat-sahabat mereka dari Mekah. Itsar pun terbit pada diri mereka.

Itsar Di Hujung Nyawa
Kisah itsar luarbiasa saya belajar dari perajurit di medan Yarmouk yang satu persatu gugur kerana sikap itsar mereka. Semua syahid. Tapi semua hidup. Kerana memang semua syuhada tidak mati di mata Allah. Mereka ada disana, disisi Allah menikmati limpahan kurnia-Nya. Bahkan mereka syahid justeru kerana mereka ingin memberi kesempatan kepada saudaranya yang lain untuk hidup.  Dalam peperangan Yarmouk yang melibatkan hampir 40,000 tentera itu terdapatnya Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahl, Iyash bin Abi Rabiah. Saat usai peperangan,ketiganya cedera yang sangat parah sehingga mereka tersandar tidak berdaya. Walaupun begitu tidak ada satupun ungkapan sedih atau rungutan lisan atas luka yang mereka alamai. Ketika petugas membawa air minuman menghampiri Harits, beliau mengisyaratkan tangannya agar petugas itu segera membawa air minum kepadanya. Datanglah petugas tersebut dengan  bekalan berisi air minuman namun belum sampai ke mulutnya, kedengaran suatu suara meminta air.

Harits melihat saudaranya, Ikrimah dalam keadaan yang parah juga. maka dia membatalkan niatnya untuk meneguk air tersebut seraya menunjuk kepada Ikrimah. Petugas bersegera membawa bekalan air itu kepada Ikrimah. Hampir saja Ikrimah meminumnya, tetapi tiba-tiba dia mendengar satu suara rintihan kesakitan berhampirannya,  matanya melihat saudaranya, Iyash, yang dalam pandangannya lebih memerlukan air minuman. Maka ia pun menangguhkan hasratnya untuk minum dan meminta agar petugas bersegera ke tempat Iyash. Petugas membawa bekalan air tersebut kepada Iyyash dengan tergesa-gesa. Belum sempat Iyyash meneguk air tersebut, malaikat maut lebih dahulu menjemputnya sehingga ia syahid.

Petugas kembali mendatangi Ikrimah, beliau juga telah syahid. Kemudian petugas pun mendatangi tempat Harits, ternyata Harits pun mengalami keadaan yang sama dengan dua sahabatnya yang syahid. Allahu Akbar, alangkah indahnya persahabatan diantara mereka. Merekalah yang menjadikan itsar tidak hanya terbatas pada waktu lapang, tapi juga ketika saat sempit bahkan ketika maut menjemput.

Hebat! Luarbiasa akhlak dan ukhwah para sahabat RA. Mengesankan jiwa. Bagaimana dengan itsar kita bersama keluarga, adik beradik, kawan-kawan sekampus, seasrama dan serumah. Bagaimana itsar kita dalam organisasi atau persatuan. Anda biasa dengar rungutan segala kerja dalam persatuan orang yang sama melakukan, ahli yang lain… ? Terkadang sesama ahli kelompok Islam mereka saling melemahkan sahabat mereka dengan sindiran dan sangkaan buruk. Sesama organisasi Islam pun ada yang saling melontar racun, menyakiti dan konspirasi.

Itsar Untuk Dakwah Islam
Namun tidak bagi sikap para salafus soleh terhadap saudaranya. Mereka lebih mendahulukan saudaranya dalam urusan dunia daripada dirinya sendiri. Bila saja mereka melihat kesempatan untuk berbuat itsar, mereka akan segera mendahulukan orang lain atas dirinya sendiri. Mereka  rela menahan lapar agar orang lain kenyang, menahan haus agar orang lain dapat minum dengan puas. Bahkan, mereka rela untuk mati demi menyelamatkan nyawa orang lain. Mereka lebih mengutamakan hajat organisasi Islam berbanding hajat diri sendiri.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang aneh atau asing bagi seorang muslim yang ruhnya kenyang dengan makna-makna kesempurnaan, jiwanya terbentuk dengan tarbiyah yang mengesankan dan cinta utamanya pada Allah, kerana Allah dan di jalan Allah. Itulah shibghah (celupan) Allah, dan siapakah yang lebih baik daripada shibghah Allah?

Benar…acuan dan celupan dari tarbiyah keimanan kepada Allah. Ali bin Abi Thalib RA turut menempa sejarah sebagai generasi paling muda yang mencontohkan seharusnya bagaimana aksi itsar. Di Daar An Nadwah, tokoh-tokoh Quraisy menerima pendapat Abu Marrah yang mengusulkan agar Rasulullah SAW dibunuh di rumahnya baginda. Rasulullah SAW mengetahui konspirasi tersebut. Ketika baginda telah mendapatkan izin untuk hijrah ke Madinah, maka baginda bertekad untuk hijrah, dan mencari seseorang yang mahu tidur di kamarnya pada malam hari untuk menghelah orang-orang Quraisy yang ingin membunuh baginda. Kemudian baginda akan meninggalkan rumah, dan membiarkan orang -orang Quraisy menunggu sehingga baginda bangun dari tidur. Rasulullah SAW memilih Ali bin Abu Thalib. Dan Ali bin Abu Thalib tanpa ragu sedikit pun memberikan nyawanya untuk Rasulullah SAW. Kemudian Ali bin Abu Thalib  tidur di dalam rumah Rasulullah SAW tanpa mengetahui bilakah tangan-tangan jahat akan menyerbu, menangkap dan membunuhnya kerana musuh sangat menginginkan nyawa Rasulullah. Ali bin Abu Thalib tidur, dan itsar kepada Rasulullah SAW dengan kehidupannya. Ia mencontohkan kepada kita tentang pengorbanan dengan nyawa dengan usia yang amat muda belia. Memberikan dirinya untuk organisasi dakwah dan kepimpinan dakwah pada saat meruncing.

Luarbiasa jika hari ini dapat dilahirkan lebih ramai pemuda yang mahu itsar dan bekerja sepenuh jiwa raga kepada organisasi dan institusi dakwah dan tarbiyah walaupun menerima pulangan wang ringgit yang kecil. Sering kita dengar sekolah agama rakyat ketiadaan guru muda, yang ada guru-guru pencen yang umur dilarut usia tetapi tetap setia memberi khidmat. Mengapa terjadi sedemikian? Mungkin kerana kurangnya itsar pada institusi islam yang tidak menjanjikan pulangan lumayan.

Itsar Itu Allah Hargai
Terkadang kita tersalah faham. Merasa untuk bersikap itsar apabila kita rasa ada kemampuan dan lebihan rezeki. Namun, sejarah para sahabat telah meletakkan ‘benchmark’ yang luarbiasa bersikap itsar pada saudaranya. Imam Al Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasul SAW menerima kehadiran tamu, namun keluarganya tidak memiliki makanan sedikitpun, lantas salah seorang dari kaum Ansar menemui baginda, meminta izin untuk membawa tetamu tersebut ke rumahnya sedangkan dia tahu di rumah hanya ada makanan secukupnya untuk keluarganya sahaja.
Setiba di rumah, sahabat dari kaum Ansar tersebut menyediakan hidangan untuk tetamunya, dan menyuruh isterinya mematikan lampu. Dia menggerak-gerakkan tangannya seperti orang makan, padahal ia tidak makan sedikitpun, hingga tetamunya  menghabiskan makanan hidangannya. Pada saat itu sahabat Ansar tersebut berbuat itsar kepada tetamunya berbanding pada dirinya sendiri, dan keluarganya. Keesokan harinya, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat dari kaum Ansar tersebut,

“Sungguh Allah sangat takjub dengan penghormatanmu kepada tetamumu malam tadi”.

Lalu, ayat berikutpun turun,

“Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Al Hasyr: 9)

Allahuakbar! Nota lengkap itsar dari teladan-teladan yang menghidupkan imannya dengan kecintaan kepada Allah benar-benar menyentuh hati kita. Apakah sejarah ini kan berulang. Apakah watak-watak itsar luarbiasa ini kan muncul dalam komuniti kita. Justeru Imam Hasan Al Banna berusaha menghidupkan kembali watak-watak ini. Beliau telah merumuskan institusi ukhuwah kalangan angkatan dakwahnya dengan indah sebagaimana berikut.:

 “Yang saya maksud dengan ukhuwah adalah terikatnya hati dan ruhani dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah sekokoh-kokoh ikatan dan semulia-mulianya. Ukhuwah adalah saudaranya keimanan, sedangkan perpecahan adalah saudara kembarnya kekufuran. Kekuatan yang pertama adalah kekuatan kesatuan; tidak ada kesatuan tanpa cinta kasih; minima cinta kasih adalah kelapangan dada dan maksimanya adalah itsar (mengutamakan orang lain dari diri sendiri).”

Apabila Murabbi Saya Berlaku Itsar
Suatu saat semester saya berakhir. Saya mengambil keputusan untuk menziarahi murabbi saya di Kangar yang telah mentarbiyah saya di kampus  sebelum pulang ke kampung. Di rumahnya, saya diraikan dan kami berbual mesra. Ketika itu beliau menjaga anak-anaknya yang masih kecil kerana isterinya masih bertugas. Setelah selesai berbicara dan berukhwah, saya meminta izin pulang kerana tiket saya jam 8.00 malam ke Seremban dengan menaiki bas dari Alor Star. Beliau bertanya dari Kangar ke Alor Star naik apa? Saya menjawab dengan bas juga.

Kemudian beliau bangkit, bersiap dan kemudian menuju ke rumah jiran di hadapan rumahnya. Beliau berbincang sesuatu dengan jirannya.

“Ok, jom kita ke Alor Star, ana hantarkan.” Saya terkesima seketika.

“Tak perlulah akhi, ana boleh naik bas dari Kangar aje, tak perlu susah-susah.” Respon saya padanya.

“Takde yang susah-susah pun. Anak-anak ana jiran boleh tengokkan.” Jawabnya dengan senyuman.

Subhanallah, dia bersusah payah untuk menghantar saya ke Alor Star, perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam dari rumahnya, sedangkan dia perlu bersama dengan anak-anaknya. Dan saya sedar, ini bukanlah peristiwa pertama beliau berlaku itsar pada saya. Syukur, saya sempat merasai nikmat berukhwah dan belajar mentarbiyah diri dari generasi baru yang benar-benar berusaha menjelmakan dalam diri mereka dengan akhlak yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA.

Saya selami siapakah murabbi kepada murabbi saya ini. Subhanallah murabbi beliau ketika beliau mula ikut tarbiyah dahulu di zaman kampusnya ialah Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim, majikan saya sekarang. Dan anda tahukah siapa murabbi yang mentarbiyah Dr. Abdullah Sudin. Ya, dengan bangga dan merendah diri, murabbi beliau ialah al marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Murabbi akhi Hilal Asyraf, Abu Umar, Bro Hamzah dan kami semua di LangitIlahi,Com. Luarbiasa! Ayuh kita miliki Itsar dalam kehidupan, agar umat ini menang kembali.

Link:  http://langitilahi.com/9981

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah