Saturday, November 24, 2012

Gencatan Senjata, Yahudi Israel Kibar Bendera Putih, Ayuh Tingkatkan Sumbangan Untuk Gaza





Termeterai sudah perjanjian gencatan senjata buat sekian kalinya. Setelah lapan hari Yahudi Israel membedil dan membuktikan tradisi mereka sebagai pembunuh kemanusiaan, mereka akhirnya mengibar bendera putih. Memalukan buat ketenteraan Yahudi Israel apabila sebelum ini mereka dengan angkuh menyebutkan ribuan tentera darat, laut dan udara mereka sedia melenyapkan bumi Gaza. Akhirnya mereka sendiri yang ketakutan lari. Gencatan senjata adalah helah mereka setiap kali mereka ditimpa kehampaan dan kekalahan. Ternyata kecanggihan persenjataan berteknologi moden tidak mampu menewaskan senjata doa mukmin dan pertolongan dari yang Maha Berkuasa, Allah SWT.

Gencatan senjata kali ini bagi Palestin adalah hari kemenangan. Tahniah kepada kerajaan Mesir, Turki dan Qatar, khususnya Presiden Mesir, Dr. Muhammad Mursi yang menjadi penggerak utama kepada sesi gencatan senjata kali ini.

Menurut Perdana Menteri Palestin di Gaza, Ismail Haniyah menegaskan dirinya merasa puas dengan kesepakatan gencatan senjata yang dicapai dan beliau menyebut ianya sebagai kemenangan bagi rakyat Palestin.

Gencatan senjata telah dicapai antara fraksi-fraksi Palestin dan penjajah Yahudi Israel di Kaherah pada petang Rabu (21/11) yang lalu. Kesepakatan ini menetapkan Israel agar menghentikan segala bentuk serangannya ke Gaza samada dari darat, laut dan udara yang telah berlanjutan selama lapan hari berturut-turut. Penjajah Yahudi Israel harus menghentikan operasi pembunuhan terhadap para aktivis pejuang Palestin. Selepas 24 jam tempoh genjatan senjata berjalan, pihak Israel harus membuka semua pintu sempadan dan membenarkan pergerakan penduduk Gaza dan barang keperluan keluar dan masuk Gaza. Manakala pihak Hamas pula perlu menghentikan serangan roket ke atas Israel dan juga serangan di sempadan.

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa Israel telah menerima perjanjian gencatan senjata setelah berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebelum memberikan persetujuan untuk memberi peluang kepada cadangan Mesir bagi gencatan senjata dan dengan itu memberi peluang untuk penstabilan keadaan dan menenangkan situasi tegang. Alasan Benjamin ini sebenarnya tidak mampu menutup kekalahan besar Yahudi Israel terhadap serangan mereka ke atas Gaza. Jutaan masyarakat dunia tahu dan celik mata bahawa sebenarnya yang menjadi pengganas adalah Yahudi Israel, bukannya HAMAS. Kenyataan Benjamin ini juga jelas menunjukkan Amerika dan Yahudi Israel ada sekutu rapat yang menjadi pengganas sebenar di bumi Palestin. Namun pemimpin dunia yang lain hanya mampu menonton gelagat sumbang mereka.

Di Gaza, masyarakat menyambut dengan penuh kegembiraan dan mengistiharkan sebagai hari kemenangan. Haniyah mengatakan, “Kami ucapkan selamat dan tahniah kepada rakyat atas kemenangan ini. Yang membuktikan rakyat Palestin dan pejuangnya memiliki kemampuan tinggi untuk berjuang, kreatif, kesabaran dan umat Islam sedunia menunjukkan keberpihakannya pada rakyat Palestin dan bahawa mereka tidak sendirian. Kami tegaskan bahawa kami puas dengan kesepakatan gencatan terhormat ini.”

Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan bahawa serangan Yahudi Israel menewaskan sekitar 160 orang, lebih dari setengahnya adalah warga awam dan wartawan, termasuk 37 orang kanak-kanak. Ratusan orang lainnya di Gaza mengalami kecederaan.

Sementara itu, sebanyak lima orang terbunuh di Israel dalam serangan roket Gaza, dan mencederai sekitar 240 orang.

Kementerian Wakaf dan Urusan Agama di Gaza pula melaporkan bahawa Zionis Israel telah menembak peluru berpandu mereka ke arah dua buah masjid sehingga rata dengan tanah. Dengan itu sudah 34 buah masjid yang dihancurkan Israel dan 6 tapak perkuburan. Enam tapak perkuburan yang diserang oleh Zionis itu berada ditempat yang terpisah-pisah di Gaza, diserang secara langsung sehingga menyebabkan jasad dari mayat syuhada itu tercerai berai.

Buat umat Islam, tugas kita belum selesai dalam membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza. Ribuan saudara kita telah kehilangan tempat tinggal dan kekurangan bekalan makanan yang kritikal. Hospital di Gaza mengalami kekurangan bekalan ubatan yang mendesak. Puluhan masjid rosak, puluhan bangunan kerajaan seperti sekolah dan pejabat musnah. Justeru sumbangan dari umat Islam untuk membina kembali Gaza amat dinantikan. Teruskan menyumbang kepada tabung Palestin yang ada sebagai tanda kecintaan kita kepada saudara-saudara kita di Palestin. Teruskan memboikot produk dari syarikat-syarikat yang memberi keuntungan mereka kepada Yahudi Israel. Dan ketengahkan juga produk-produk Islam yang boleh menjadi alternatif buat para pengguna Islam.

Jihad belum terhenti. Allah SWT berfirman:

Dan tidak akan sekali-kali redha ke atas kamu yahudi dan nasara, sehinggalah kamu mengikuti ajaran mereka” Al-Baqarah ayat 120.

Maka bangkitlah ummah dengan membumikan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 132 dan 133 yang ertinya;

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa. (Iaitu) Orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (QS: Ali Imron: 133-134).

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai  seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. dan Allah Maha luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: 160)

Rasulullah SAW ada bersabda:

“Ubatilah orang yang sakit di antara kalian dengan sedekah.” (Shohihul Jami’)

Rasulullah SAW bersabda lagi :

“Barangsiapa bersedekah meskipun seharga kurma, namun dari hasil yang baik dan Allah tidak akan menerima sesuatu kecuali yang baik, sesungguhnya Allah akan menerima sedekah kurma dengan tangan kanan-Nya. Kemudian Dia akan menggandakannya untuk orang yang bersedekah, sebagaimana salah seorang di antara kalian memelihara anak kuda, sehingga sedekah kurma tersebut menjadi sebesar gunung.” (Hadits Riwayat : Al-Bukhori) 

Teruskan berjuang wahai ummat!

Link:  http://langitilahi.com/11011

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah