Wednesday, March 16, 2011

Fahami Islam Yang Sebenar


Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut Deen Islam tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah SAW semata-mata. Al Qur’an merupakan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.

Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.

Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir ‘Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha’una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam .Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.

Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT,:

“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya.“ (Surah ali ‘Imran ayat 19)

Islam adalah deen (peraturan hidup) yang ditentukan Allah SWT. Allah SWT yang menjaga kepentingan Islam. Manusia yang menerima Islam bererti mengambil Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Dia tidak mempunyai pilihan lain melainkan mesti melahirkan Islam dalam praktik kehidupan meliputi semua lapangan hidup

Manusia yang menolak Islam bererti menolak Allah SWT sebagai Ilah. Bermakna, dia telah memindahkan Ilahnya daripada Allah SWT kepada yang lain, berkemungkinan hawa nafsu atau pemikiran atau perasaan atau syaitan serta kuncu-kuncunya.

Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah SAW pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.

Tugas kita saat ini adalah besar dan penting. Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain.

Siapakah Yang Akan Menyambut Seruan Kesedaran?

Manusia yang menerima Islam mestilah menyesuaikan diri dengan Islam. Adalah suatu kesilapan bagi orang yang menyesuaikan Islam dengan kehendak dirinya. Atau dia mengambil Islam sebagai tempelan-tempelan sahaja dan tidak mengambil Islam sebagai suatu cara hidup yang syamil dan kamil.

Hati yang sedar dan insaf mula mencari hati-hati yang turut merasai hakikat yang sama. Mereka akan berhubung dan berkumpul untuk membentuk suatu kehidupan yang diredhai Allah SWT. Inilah tindakan hati-hati yang beriman. Allah SWT mengetahui segala rahsia hati. Mereka berkumpul semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Mereka gugurkan segala tujuan yang lain. Seperti perhimpunan rahsia di rumah Arqam Bin Abi Arqam.

InsyaAllah, kita yakin, di sana sini masih ada insan yang ikhlas dan merasai keperluan untuk bertindak segera. Mereka perlu dikumpulkan dan dibimbing agar keikhlasan mereka berada di bawah telunjuk syara’. Begitu juga kembali kepada Allah SWT mestilah mengikut cara yang betul dan diredhaiNya. Kembali menjadi hamba kepada Allah SWT.

Justeru itu mari kita melayakkan diri kita menjadi salah seorang duta dan da’i agama ini. Kita perlu keluar mencari jiwa-jiwa yang merasai kehilangan Rahmat Allah SWT dan yang mencari serta ingin menyahut seruan Allah SWT Fitrah Insaniah untuk kembali kepada fungsi tauhid sebenar sememangnya ada. Ada yang sanggup melalui proses, ada yang sedang melalui proses dan ada yang telah melalui proses. Ada juga yang lambat melaui proses. Proses apa? Proses tarbiyah islamiyyah.

Juga ditegaskan bahawa da’i perlu mencari dan mengumpulkan hati-hati yang merasai kehilangan Rahmat Allah SWT. Hati-hati yang merasai kehilangan neraca syara’ dalam praktik hidup umat sekarang. Hati-hati yang ingin kembali kepada hakikat hidup yang memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT dalam setiap bidang.

Al Marhum Datok Kaya Bakti Ustaz Dahlan Md Zain, seorang murabbi, da'i, pemimpin dakwah Islam di Malaysia ada berkata,: ”Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari kehilangan Islam sebagai ad-Deen. Umat Islam bukanlah kehilangan ekonomi Islam, politik Islam atau pembangunan Islam sahaja. Umat juga bukan kehilangan masjid dan rumah-rumah ibadat. Umat sebenarnya kehilangan pokok, bukan ranting-ranting. Umat kehilangan rumah, bukan bahagian-bahagian rumah. Juga, umat bukan kehilangan kuantiti tetapi kehilangan kualiti yang ingin mengambil Islam sebagai ad-Deen.”

Kata al marhum lagi,; ”Hati-hati ini perlu diasuh agar memahami bahawa penyakit sedang menyerang umat dan merosakkan ‘aqidah umat. Tauhid pada hati-hati umat semakin futur atau tidak berfungsi dengan betul. Hati-hati ini perlu diasuh agar menyedari bahawa segala tindakan berpunca dari permasalahan aqidah yang mesti dirongkai terlebih dahulu. Juga, memahami makna dan fungsi Iman sebenar agar tindakan yang lahir selaras dengan tuntutan Iman. Iman kepada Allah SWT adalah pemancar. Dari pemancar ini lahirlah kerja-kerja Islam. Da’i atau murabbi perlu memahami bahawa `mukmin’ adalah natijah yang lahir daripada tarbiyah yang menekankan keimanan kepada Allah SWT. Terdapat perbezaan antara tarbiyah dan natijah tarbiyah.”

Wajib mengikuti jalan Rasulullah SAW

Bagaimana kita hendak bermula? Islam tidak akan lahir semula melainkan dengan mengikuti jalan yang asal. Jalan yang asal ialah jalan yang telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang dibimbing oleh Allah SWT. Kita mesti faham dan yakin kepada jalan Rabbani ini. Ia dirancang oleh Pencipta Deen itu sendiri. Kita tidak berhak untuk membuat sebarang pindaan terhadap cara (uslub)nya. Kita hanya wajib untuk mematuhi dan mengikut jalan-jalan yang telah dianjurkan itu.

Kita mestilah bermula dengan langkah yang telah di mulakan oleh Rasulullah SAW. Jalan tarbiyyah yang kita perlu ikuti ialah jalan tarbiyyah Rasulullah SAW. Tarbiyyah Islamiyyah memerlukan hati-hati yang menyerah sepenuhnya untuk dididik. Hati-hati yang tidak diserahkan sepenuhnya kepada tarbiyyah Islamiyyah tidak akan berkesan dengan sempurna. Ini kerana hati-hati itu sedang mengalami penyakit-penyakit hati seperti sombong, takabbur, riya’ dan sebagainya.

Begitu juga, Islam sebagai deen bukanlah boleh diwujudkan dalam praktik hidup secara kebetulan tetapi ia adalah satu natijah (hasilan) daripada tarbiyyah (pendidikan). Tarbiyyah yang dirancang, direncana dan disusun dengan rapi serta berhati-hati dan melalui ransangan-ransangan serta bimbingan-bimbingan yang bertujuan untuk melahirkan manusia yang Islam dalam pemikiran, aqidah, akhlaq, jiwanya dan segala tindakan.

Sesungguhnya setiap sistem memerlukan rijal-rijal (pejuang-pejuang). Marilah kita menyahut panggilan untuk menjadi pejuang-pejuang Deen Islam, bukan pejuang-pejuang taghut (menolak sistem Islam). Allah SWT akan membantu orang yang membantu Deen-Nya, insyaAllah.

Artikel di atas adalah merupakan petikan tulisan penulis di web: langitilahi.com

5 comments:

  1. subhanallah..
    lengkap, padat dan bermakna,
    terima kasih pakcik atas artikel yg dicoret ini,
    moga Allah terus memberi kekuatan kpd pakcik agar terus kuat membawa hati2 manusia ke jln yg diredhaiNya.

    yg sentiasa mengharapkan redhaNya,
    ~ MQ ~

    ReplyDelete
  2. jazakallahi khairan kasir..semoga coretan pkcik dpt mnyuntik smangat kpd hamba2 Allah yg masih bertatih dlm menerima islam scara kuliyyah..

    ReplyDelete
  3. satu penjelasan yg bermakna. Syukran. kadang2 fahaman Islam kita bercapur baur dgn fahaman majoriti masyarakat kini menyebabkn kita hilang arah sebentar. Tidak dapat tidak perkara yg sama atau tunjang asas perlu diulang agar perasaan @ mind setting terarah ke arah yg betul.....

    ReplyDelete
  4. penulisan yang betul-betul menyentuh jiwa ini... jazakallah akhi..

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah