Wednesday, October 06, 2010

Taubat Dan Pembersihan Jiwa


Ada satu kiriman email dari seseorang, bertanyakan kepada penulis bagaimanakah dia perlu bertaubat kerana dia telah melakukan satu kesalahan besar dalam hidupnya. Alhamdulillah, semoga yang bertanya diberkati dan diampuni dosa-dosanya oleh Allah swt. Dalam satu hadith Rasulullah saw. :

Daripada Anas bin Malik ra. telah berkata : Aku mendengar Rassulullah saw. bersabda : Sesungguhnya Allah berfirman (maksud) : Wahai anak Adam! Apabila engkau memohon dan mengharapkan pertolonganKu maka Aku akan mengampunimu dan Aku tidak menganggap bahawa ia suatu yang bebanan. Wahai anak Adam! Sekalipun dosa kamu seperti awan meliputi langit kemudian kamu memohon keampunanKu, nescaya Aku akan mengampuninya. Wahai anak Adam! Jika kamu menemuiku (selepas mati) dengan kesalahan sebesar bumi, kemudiannya kamu menemuiKu dalam keadaan tidak syirik kepadaKu dengan sesuatu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan pengampunan terhadap dosa sebesar bumi itu. (Riwayat Imam Tarmizi dan kata beliau ia adalah hadis Hasan Sahih)

Soalan dari pengirim email tersebut agak berat untuk penulis memberikan nasihat, namun penulis gugahkan jiwa dan menjawabnya bukan untuk yang mengirimkan email tersebut, tetapi untuk diri penulis sendiri yang serba dhaif, semoga Allah permudahkan.. Penulis berusaha meneliti beberapa buah kitab karangan ulama muktabar dan tulisan berkenaan taubat, semoga catatan di bawah dapat memberi manfaat dan peringatan kepada penulis dan pembaca sekalian.

Taubat merupakan satu ibadah dan amalan yang dihukumkan wajib bagi mereka yang terjebak dengan dosa dan sunat bagi yang tidak melakukan dosa.

Sesungguhnya wajib taubat bagi seseorang yang mengerjakan dosa dan bersegera atas tiap-tiap orang yang mukallaf iaitu menyesal daripada pekerjaan dosa yang telah dilakukan dan dia berusaha meninggalkan jejak langkah dosanya dengan sepenuh ikhtiarnya dan berazam dia tidak akan kembali mengulangi perkara tersebut selama-lama. Seseorang itu juga merasa benci atas apa yang telah dia lakukan serta dia membanyakkan mengucap istighfar. Sekiranya dosanya itu adalah meninggalkan sesuatu perkara fardhu seperti solat, maka hendaklah dia bersegera mengqadhakannya.

Sekiranya dosanya itu ada bersangkutan dengan hak manusia lain maka hendaklah dia kembalikan kepada empunyanya. Jika mengambil harta orang lain atau ia mengumpat orang lain maka hendaklah dia meminta halal daripada orang tersebut atau minta dimaafkan.

Orang yang beriman apabila melakukan dosa dan maksiat rasa berdosa dan bersalah akan terus wujud kerana sekurang-kurang nafsu orang beriman ialah nafsu lawwamah, iaitu nafsu yang mencela dirinya sendiri apabila melakukan dosa dan maksiat. Orang yang beriman sentiasa menyesal setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Ini adalah kerana wujudnya iman dalam hatinya. Mungkin kerana imannya walaupun wujud tetapi masih lemah, maka dia masih terjerumus dalam dosa dan maksiat. Tetapi bezanya dengan orang yang tidak punya iman ialah dia merasa berat untuk bertaubat dan enggan bertaubat. Penyesalan ini amat penting kerana ianya akan membawa orang tersebut kepada kesempurnaan taubatnya. Dalam riwayat dinyatakan bahawa Junjungan nabi saw. bersabda bahawa “Taubat itu adalah penyesalan“, dan dalam riwayat lain dinyatakan bahawa “Setiap anak Adam itu melakukan dosa, dan sebaik-baik pelaku dosa adalah yang bertaubat dari dosanya.” Tetapi kerana kurangnya kesedaran ilmu, maka sekarang orang melakukan maksiat tanpa rasa berdosa kerana dia tidak beranggapan ianya dosa.

Menangguh-nangguhkan taubat merupakan satu lagi dosa yang memerlukan kepada taubat yang lain pula. Oleh itu setiap kali kita terjerumus dalam dosa dan maksiat, maka teruslah bertaubat kepada Allah. Di sinilah peranan dan pentingnya ilmu yang memberi panduan mengenai dosa dan maksiat, kerana berapa ramai orang yang melakukan dosa dan maksiat tidak bertaubat atau tidak merasa berdosa kerana dia tidak tahu apa yang dilakukannya itu sebagai satu dosa dan maksiat kepada Allah.

Bagi seseorang yang mahu bertaubat maka dia perlu meninggalkan dosa dan maksiatnya itu dengan ikhtiarnya sendiri, yakni dengan pilihannya sendiri. Di sini terdapat 2 perkara pokok yang perlu difahami, (i) meninggalkan dosa; dan (ii) dengan ikhtiarnya. Bukan dinamakan orang bertaubat yang sewaktu bertaubat masih melakukan dosa yang ditaubatnya. Dan begitu juga orang yang meninggalkan maksiat kerana terpaksa, bukan kerana pilihannya sendiri demi menjunjung perintah Ilahi tidaklah dianggap sebagai sempurna taubatnya.

Sekarang kita lihat, ada segelintir manusia yang masih berselera dengan dosa dan maksiat, bahkan berbangga-bangga dengan dosa dan maksiat, cuma oleh kerana sudah uzur atau sudah tua, maka maksiat tersebut ditinggalkannya. Maka jadilah dia meninggalkan dosa dan maksiat kerana faktor tersebut, bukan kerana menjunjungan perintah Allah, dia meninggalkan dosa bukan kerana keinsafan dan pilihannya sendiri, tetapi meninggalkan dosa kerana tak larat lagi nak buat dosa tersebut sedangkan hatinya masih suka dengan dosa tersebut, maka hal taubat sebegini menurut ulama tidak sempurna dan dikhuatiri tak sah di sisi Allah s.w.t.

Demikian juga orang yang dipaksa bertaubat, lalu dia pun bertaubat kerana takut dihukum manusia, maka taubatnya itu hanya sah di mata manusia sedangkan di sisi Allah ta`ala, tidak dinamakan taubat. Ketahuilah dengan sebaiknya, agar kita faham bahawa kesempurnaan taubat itu hendaklah datang dari pilihan dan kesedaran kita sendiri setelah disuluh cahaya hidayah dan taufiq daripada Allah swt.

Akhir sekali, pesanan kepada diri ini dan para pembaca sekalian, sekiranya kita ada melakukan dosa maka angkatlah tanganmu dan berdoalah. Janganlah engkau berdoa dengan lidahmu, sementara hatimu berpaling daripada Allah al-Haq. Pada hari akhirat kelak, semua manusia akan teringat akan apa yang telah dilakukannya di dunia, sama ada kebaikan atau keburukannya. Penyesalan ketika itu tiada bermanfaat sama sekali.

Jika kematian datang kepadamu, maka engkau akan terjaga (sedar akan segala perbuatan dan tindakan yang dilakukan selama hidup di dunia). Bagaimanapun terjaga pada waktu itu tidak berguna lagi bagimu.

“Ya Allah..! Bangkitkanlah kami daripada ketiduran orang-orang yang terlupa terhadap-Mu dan orang-orang yang tidak mengerti tentang Engkau…”

Malulah kita kepada Allah dengan sebenar-sebenar malu. Janganlah lagi kita melalaikan masa-masa yang ada, janganlah lagi kita menyia-nyiakannya, janganlah kita menyibukkan diri kita dengan mengumpulkan sesuatu yang tidak dapat kita makan, mengangan-angankan sesuatu yang tidak akan dapat kita capai, membangun sesuatu yang tidak mungkin kita diami. Kerana semuanya itu akan menghalangi kita daripada redha Allah.

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, niscaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (An-Nisa: 110)

Sebuah sajak yang ditulis oleh Syaikh Muhammad Ahmad Al Rasyid dalam kitabnya Nahwal Ma'ali,

Kuatkan ikatan tekad
angkat tinggi-tinggi bendera harapan
berjalanlah menuju Allah
dengan sungguh-sungguh, tanpa lelah
jika rasa lemah menyerangmu
isi jiwamu dengan kekuatan Al-Quran
libas nafsumu, jangan kasi ampun
nafsu selalu mengajakmu menuju kebinasaan

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah