Wednesday, July 06, 2011

Belajar Dari Remaja Palestin




“Ayah, tolong Aku! Jangan biarkan mereka membawa Aku!” teriak Ahmed Siyam, remaja berusia 12 tahun, ketika sekitar 50 orang tentera dan polis Israel bersenjata lengkap mengheretnya.

Hari baru pukul 4 pagi ketika segerombolan askar dan polis Zionis yang dipimpin oleh para perisik Shin Bet merempuh masuk ke rumah Ahmed Siyam, mengejutnya dari tempat tidurnya, mengikat kedua tangan dan menutup matanya, lalu mengheretnya keluar. Di sepanjang perjalanan, Ahmed dibelasah di dalam kenderaan tersebut, dan akibat kekejaman Zionis itu telah mematahkan tangan kanan Ahmed.


Bercermin Dari Remaja Palestin

Mel Frykberg menulis dalam Inter Press Service bahawa Ahmed kemudian dibawa ke balai polis di Kawasan Russia di Al-Quds (Yerusalem) Barat dengan tuduhan melemparkan batu ke arah para askar Zionis dalam satu pertembungan di Silwan, Al-Quds Timur.

Silwan kini menjadi kawasan yang paling sering menyaksikan kekerasan para askar Zionis saat berusaha menindas demonstrasi-demonstrasi aman dari kalangan para pemuda Palestin.

Sudah ratusan warga Palestin yang diusir dari rumah-rumah mereka di Al-Quds Timur kerana pemerintahan Zionis mahu membangunkan pemukiman haram bagi orang-orang Yahudi. Banyak di antara rumah-rumah warga Palestin yang dihancurkan sama sekali, tanpa ganti rugi apa pun, dan bahkan mereka harus membayar ‘biaya penghancuran.’

Ketika para askar itu tiba di rumah keluarga Siyam, awalnya Daud, ayah Ahmed, enggan membukakan pintu dan menuntut agar polis-polis Zionis itu menunjukkan bukti perintah penangkapan anaknya.

“Tapi mereka mengancam akan merobohkan pintu kalau saya tidak bukakan. Mereka tanya, di mana Ahmed, lalu saya tanya, mahu apa kamu mencari dia. Mereka menyuruh saya tutup mulut malahan menyerang saya,” tutur Daud.

“Kemudian mereka masuk ke kamar Ahmed dan mengheret dia keluar dan membawanya masuk ke kenderaan polis. Mereka tidak mahu memberitahu, ke mana mereka membawa Ahmed dan melarangku menemani anakku.”

“Keesokan paginya, baru saya tahu bahawa Ahmed ditahan di Kawasan Russia. Sewaktu saya sampai di sana, mereka melarang saya menemui anak saya bahkan memaklumkan bahawa anak saya tiada di sana. Akhirnya, sesudah minta bantuan seorang peguam, saya berhasil menemui Ahmed beberapa jam kemudian. Anak saya tampak sangat trauma dan menangis tanpa henti,” ujar Daud.

Ahmed kemudian menceritakan, “Aku takut sekali. Aku tidak tahu dibawa kemana dan kedua tanganku diikat kuat sekali ke belakang. Di pejabat polis, mereka enggan memberiku minum ketika aku meminta air. Waktu Aku minta ke bilik air, mereka menendang Aku. Mereka menyoal Aku berjam-jam dan menuduh Aku melemparkan batu.”

Dua minggu yang lalu, sepupu Ahmed, Ali Siyam yang baru berusia tujuh tahun, juga ditahan dan diperlakukan dengan keadaan yang sama buruknya dan dengan tuduhan yang sama. Ketika ayah Ali, Muhammad, cuba melindungi anaknya, para tentera itu memukul kepala Muhamaad dengan senjata sehingga menyebabkan dia harus dirawat di hospital.

Ibu saudara Ali juga ditembak di bahagian kakinya dengan peluru logam bersalut karet pada saat cuba melindungi Ali. Ayah dan ibu Ali dilarang menghantar Ali ke balai polis.

Sementara itu, Ahmed dikenakan tahanan rumah selama sebulan dan dilarang bersekolah selama pemeriksaan polis masih berjalan. Manakala sepupu Ahmed, Ali Ali akan dibawa ke mahkamah pada bulan hadapan dengan tuduhan melemparkan batu.

Derita Remaja Palestin, Siapa Yang Ambil Berat?
Menurut sebuah Pertubuhan perlindungan hak kanak-kanak, Defense International for Children (DCI) – Palestine Chapter, polis Zionis telah mengheret 1267 remaja Palestin ke tahanan dan ke mahkamah kerana melempar batu di Al-Quds Timur antara November 2009 sehingga Oktober 2010. Seramai 31 remaja berasal dari Silwan, demikian laporan B’tselem, sebuah organisasi hak asasi manusia.

“Sejumlah 50 peratus dari semua remaja kecil itu disoalsiasat tanpa kehadiran orangtua mereka atau peguam mereka, dan ramai di antara mereka yang diancam dan disakiti,” demikian Gerard Horton, seorang peguam dari DCI menceritakan.

“Ramai di antara anak-anak itu yang dimaki-maki, ditempeleng, dipaksa mengaku, ditendang dan dipukul dengan kuat selama soal siasat dijalankan dan dipaksa membuat pernyataan-pernyataan yang tidak patut dipertanggungjawabkan kepada mereka.” ujar Horton.

“Anak-anak ini diculik dari rumah-rumah mereka pada tengah malam, diikat, ditutup matanya, lalu disoalsiasat dalam keadaan trauma dan tekanan…”

Begitulah getir dan hebatnya ujian dan cabaran yang dilalui oleh anak-anak remaja Palestin seusia dini. Saat berumur 6 – 12 tahun sudah diuji keimanan mereka dengan siksaan dan kekejaman polis dan tentera Israel. Saat seusia muda begitu mereka dihadapkan ke mahkamah Israel atas dakwaan melemparkan batu kepada penjajah durjana Israel. Luarbiasa mereka! Luarbiasa keimanan dan kekentalan jiwa mereka dibandingkan anak-anak kita seusia begitu masih menangis merengek kerana tidak dapat menonton cerita kartun kegemaran mereka. Anak-anak kita dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan-kesalahan jenayah yang menakutkan!

Apakah Yang Membentuk Jatidiri Anak-Anak
Penulis terfikir bagaimanakah bentuk pendidikan yang telah kita asuh dan tanam pada anak-anak kita. Anak sulung penulis kini berumur 7 tahun dan bersekolah di sebuah sekolah rendah agama yang dikendalikan oleh HALUAN Kelantan. Namun tidak cukup sekadar menghantar anak ke sekolah agama sekiranya penulis dan isteri tidak menjadikan rumah kami sebagai madrasah utama tarbiyah imaniyah untuk anak-anak kami. Murabbi penulis, Hj Rosdi Baharom sering memperingatkan kami akan kepentingan tarbiyatul aulad, bermula dari kesolehan ibu bapa dan keimarahan rumahtangga sebagai mihrab ubudiyyah kepada Allah SWT. Inilah kunci melahirkan generasi pewaris dakwah Ilallah.

Kisah anak-anak Palestin ini juga menyedarkan penulis akan satu perkara, walaupun mereka tertekan, sakit, derita, susah, hak asasi mereka sebagai jiwa merdeka dinafikan oleh Israel, tetapi mereka kental, tegar dan tidak pernah mengalah. Mereka masih di sana, di bumi Palestin, tempat beradanya Masjid Al Aqsa, kiblat yang pertama, bumi barakah. Mereka dan anak-anak mereka seusia kecil sudah kenal siapa musuh mereka dan mereka bersungguh melawan musuh mereka.

Berkawan Dengan Musuh?
Apakah kita dan anak-anak kita kenal siapa musuh mereka di sini? Bahkan sudah berapa ramai anak-anak kita berkawan dan termakan dengan umpan musuh-musuh Islam. Manakan tidak saat ini kita mengajak musuh-musuh Islam ini masuk ke rumah kita. Dengan ketagihan rokok, rancangan hiburan realiti yang berlambak, lawak tanpa batas, promosi pergaulan bebas memuncak, filem dan drama cinta yang mengasyikkan dan seribu satu macam serangan musuh berada dalam rumah kita melalui media massa dan media baru. Hari ini kita menangis melihat kelesuan dan kerosakan anak- anak kecil dan anak-anak muda kita. Seusia 6-10 tahun mereka sudah merokok, menonton video porno, melakukan seks dan sebagainya. Bagaimana pulak aksi abang dan kakak mereka. Anda nilailah sendiri…

“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (ar-Rum (30):41).

Roh Perjuangan
Pengajaran seterusnya yang penulis belajar dari kisah di atas, saudara-saudara kita berada dalam keadaan derita dan dianiaya. Sedangkan kita menerima seribu satu nikmat yang melimpah ruah. Apakah sudah habis ikhtiar kita untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Walau apa pun alasan dan pandangan kita, kita tidak boleh menafikan akan kisah perjuangan awal dakwah besar yang dibawa oleh Rasulullah SAW saat melakukan hijrah bersama para sahabat RA. Allah SWT berfirman:



“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajipan sedikitpun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepadamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Anfaal : 72)

Ternyata dakwah ini bangkit dari ikatan ukhwah yang tulus antara mukmin. Saling mengambil berat dan mencintai kerana Allah SWT. Inilah roh perjuangan yang sepatutnya membentuk cara kita berfikir terhadap permasalahan Palestin.

Palestin Adalah Perjuangan Aqidah
Dengan roh aqidah inilah kita membantu saudara kita. Ini bukan sekadar isu kemanusiaan di Palestin sana. Tetapi ini adalah isu aqidah dan ukhwah dan watan ummat. Bumi wakafan ini adalah milik umat. Hari ini bumi yang pernah dibebaskan oleh Umar al Khattab dan Salehuddin Al Ayubi telah dirampas oleh Zionis dan sekutunya. Penulis memetik kata-kata semangat oleh Dr. Muhammad Badie’, Mursyid Am Ikhwan Muslimin:

“Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa adalah kiblat pertama Umat Islam, masjid suci ketiga dan tempat Isra’ Rasulullah saw. Dari sini tempat baginda Mi’raj (naik) ke langit tertinggi. Palestin adalah peninggalan Nabi Muhammad kepada kita, amanah Umar di dalam tanggungan kita, perjanjian Islam di bahu kita. Justeru Palestin dan Al-Quds adalah sebahagian dari akidah umat Islam. Pengabaian dalam hal ini bererti pengabaian dalam mendokong kitab Allah, warisan Rasulullah dan para nabi lainnya, tamadun umat dan akidahnya. Melepaskan sebahagian tanahnya kepada Yahudi atau kepada lainnya, atau setidak-tidaknya mengakui hak selain orang Islam ke atasnya, maka hal itu adalah haram sama sekali kerana tanahnya bukan milik individu, kelompok atau negara tertentu setelah Palestin ditakluki oleh kaum muslimin dan Allah menetapkannya untuk kita. Untuk itu, kewajiban setiap Muslim – sama ada Arab atau selainnya – adalah berjihad dengan kemampuannya untuk membebaskan api penjajahan di sana, merampasnya dari tangan pengganas Yahudi dan mengembalikan kepada rakyatnya yang terusir, dan membebaskan para pejuangnya yang terdiri daripada lelaki dan wanita yang ditahan di penjara Israel. Jika kita tidak melakukannya, maka kaum Muslimin semuanya beroleh dosa dan menanggung kerugian. Bahkan mereka akan mengalami nasib yang sama seperti yang dialami saudara mereka di Palestin.

Dari Mana Kita Bermula?
Siapakah yang mahu menyahut seruan Dr. Muhammad Badie’? Berjihad dengan kemampuannya, mampu menyumbang wang ringgit, teruskan. Mampu menganjurkan program kesedaran masyarakat akan permasalahan Palestin, teruskan. Mampu mengikuti rombongan kemanusiaan ke Palestin, teruskan. Mampu berceramah, teruskan, mampu berdoa, teruskan. Mampu menulis cerpen untuk Palestin, mampu meletakkan banner Palestin di web dan blog masing-masing, teruskan.. teruskan…teruskan…teruskan.. Kita bersatu dan berukhwah untuk membela bumi wakafan ini. Sedarkah kita bahawa musuh Allah ini tidak bekerja bersendirian tetapi mereka saling bersekutu untuk menidakkan ketuanan Islam. Firman Allah SWT:

“Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian meraka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Al-Anfaal : 73)

Dan mungkinkah juga kerana banyak kewajipan yang telah Allah perintahkan ke atas kita yang belum lagi ummat ini laksanakan menjadikan kita saat ini tidak mampu membela saudara kita dan bumi wakafan ummat ini? Sehingga ummat kelihatan longlai dan berpecah belah? Mari kita muhasabah bersama.

Sebagai catatan terakhir, penulis pernah bertanya kepada seorang tokoh pejuang Palestin dari Rabitah Ulama Palestin, bagaimana kita mahu bermula untuk membantu Palestin, katanya:

Menangkanlah Allah SWT di dalam jiwa-jiwa kita dengan beriltizam dengan manhaj Allah SWT serta mendirikan kewajipan dan syiar-syiar Islam di dalam diri, rumah, dan biah yang diduduki (suasana sekeliling). Demikian juga kita perlu berusaha untuk sentiasa berzikir mengingati Allah SWT, menajdikan Al-Quran sebagai karib yang setia dan menghadirkan Allah SWT dalam setiap urusan. Firman Allah SWT :

“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.” (Al-Anfaal : 45).

Juga di dalam firmanNya :

“Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Anfaal : 46)

Mari kita mulai sekarang, bermula dari dalam diri kita…jangan berlengah lagi..!

*Petikan tulisan penulis di langitilahi.com. ruangan PEMUDA

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah