Mengambil Pelajaran Dari Madrasah Ramadhan (2)
Kedua, tetapkan tujuan dan haluan. Kita merasa mudah jemu dan kurang bermotivasi kerana kita tidak memiliki tujuan dan haluan. Pakej Ramadhan dengan jelas mendidik kita memiliki tujuan dan haluan dalam berpuasa dan beramal iaitu dengan memperoleh keberkatan, keampunan dan pembebasan dari azab api neraka. Misinya menamatkan latihan dengan memperoleh ketaqwaan. Ini yang akan mendorong dan membakar semangat kita. Apa lagi yang lebis bermakna dalam kehidupan ini selain dari beroleh keampunan dan dibebaskan dari azab api neraka. Azab api di duniapun kita tidak tertahan. Jelas bukan halatuju latihan “real” 30 hari di sepanjang Ramadhan. Namun pelik juga kerana ramai yang tidak pandang dan endah dengan tujuan dan matlamat mereka berpuasa dan beramal dalam bulan Ramadhan. Sebab itu Rasulullah ada memaklumkan kepada kita akan golongan yang hanya beroleh lapar dan dahaga semata.
Berbalik kepada kehidupan pasca Ramadhan kita. Set dan tetapkan tujuan dan haluan hidup kita. Kalau sebagai pelajar, apa yang hendak kita capai tahun ini, lima tahun lagi dan sepuluh tahun lagi. Kalau bekerja, apa yang hendak kita peroleh dalam pekerjaan kita. Saya kongsikan sedikit kisah “real” yang saya belajar dari Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Saya belajar dari pengalamannya bagaimana menetapkan tujuan dan haluan, kemudian bergerak ke hadapan menujunya. Beliau berkongsi pengalaman membangunkan KTD yang bermula dari kerugian lebih dari RM3 juta dari pengurusan lama. Apa tujuan beliau mengambil alih KTD?
Beliau berhasrat untuk menjadikan KTD sebagai kolej kebajikan, kolej yang mengutamakan akademik tanpa mengabaikan pendidikan akhlak dan HDA. Kolej yang dapat melahirkan kepimpinan masa depan Islam untuk membina negara, dunia dan agama berasaskan keimanan kepada Allah SWT. Beliau tidak sebutkan pun untuk mendapat keuntungan syarikat berlipat kali ganda. Sedangkan beliau mengambil alih sebuah kolej yang bermasalah dan rugi! Berkat kejelasan matlamat, tujuan dan haluan visi dan misi beliau, KTD kini sudah menjadi sebuah kolej antarabangsa, bebas dari kerugian dan mampu berdikari sendiri. Keputusan peperiksaan pelajarnya juga luarbiasa! Jelas bukan bagaimana tujuan dan haluan yang jelas akan memandu manusia kepada kejayaan. Beliau sendiri tidak pernah mengambil cuti kecuali cuti sakit. Saban minggu beliau di pejabat atau “outstation” menjayakan dakwahnya, berkongsi aspirasi dan haluan yang jelas dalam kehidupan kepada umat. Beliau tidak pernah mengenal erti penat, jemu dan bosan. Begitulah hidup insan yang memiliki tujuan dan haluan yang jelas. Tetap bersemangat dan istiqamah.
Percayalah, tatkala anda mempunyai tujuan dan haluan yang besar, ianya akan memecah tujuan kecil menjadi mudah dicapai. Hal ini membantu kita tetap semangat kerana kita akan terus-menerus mencapai tujuan yang telah diset kerana untuk mencapai tujuan dan haluan yang besar, maka tujuan dan haluan yang kecil perlu diuruskan dahulu. Anda boleh melihat hasil kerja keras anda kelak!
Ketiga, belajarlah untuk lebih bertanggungjawab. Pakej Ramadhan mendidik kita untuk bertanggungjawab terhadap masa depan akhirat kita sendiri. Untuk mendapat keampunan Allah dan pembebasan dari azab api neraka, kita perlu bertanggungjawab sendiri untuk berusaha mencapainya. Orang yang sedar dan faham tanggungjawabnya sebagai hamba Allah, dan masa depan akhiratnya, dia akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan benar dan jujur. Tidak mempersia-siakan peluang yang ada.
Ada orang yang lalai dan lari dari tanggungjawab. Maka orang seperti ini mudah bosan dan cepat jemu dengan apa yang dibuatnya. Cuba anda berfikir sejenak. Kenapa sepasang couple yang bukan muhrim, tetap melaksanakan “tanggungjawab”nya sebagai pasangan couple dengan sering berjumpa dan berkasih sayang tanpa lesen sah? Kerana mereka faham inilah tanggungjawab mereka sebagai pasangan yang setia, kononnyalah! Tetapi mereka lupa sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah, tanggungjawabnya sebenar mereka adalah memberikan kesetiaannya hanya kepada Allah. Ternyata pasangan kekasih ini tersilap menetapkan tanggungjawabnya. Sudah berapa ramai manusia yang sudah silap dalam meletakkan tanggungjawabnya.
Jika anda seorang pelajar, tanggungjawab anda adalah belajar, bukan bercinta. Maka laksanakan tanggungjawanb itu, jangan menyandang tanggungjawab lain yang akan memesongkan matlamat belajar kita, misalnya bercinta tanpa lesen sah. Jika anda sebagai pekerka, maka tanggungjawab anda adalah bekerja dengan itqan, profesional dan beretika (berakhlak). Jangan alihkan tanggungjawab ini kepada orang lain pula.
Jika anda mendapati bahawa sukar untuk menjaga diri bertanggungjawab, jangan takut untuk meminta bantuan. Anda boleh mendapatkan “check up” dari orang lain untuk anda untuk memastikan anda tetap pada tugas anda. Cuba anda perhatikan pada saat Ramadhan, malaikat Jibrail akan hadir bertemu Rasulullah SAW melakukan “check up” Al Quran untuk Rasulullah SAW. Baginda merasa bahagia, gembira dan bersemangat. Pengajarannya, carilah mentor atau kawan yang dapat menbina sikap pertanggungjawaban kita. Orang yang lari dari melaksanakan tanggungjawabnya adalah seorang yang pengecut dan berjiwa kerdil.
Keempat, membuat perubahan. Jika anda berfikir anda sudah mencuba segalanya dan anda masih tidak termotivasi dan masih merasa bosan, maka anda harus mempertimbangkan untuk mengubah hidup anda. Mulakan dengan perubahan dalam diri iaitu dengan mendidik hati. Bukankah Allah SWT telah menyatakan dengan jelas dalam Al Quran bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang itu jika orang itu tidak mahu mengubah dirinya sendiri. Ramadhan adalah bulan perubahan. Ramadhan adalah institusi tarbiyah dan latihan yang “real” selama 30 hari. Biasa kita mendengar mereka yang hadir kursus motivasi selama 3 hari 2 malam merungut hanya dapat bertahan seminggu dua sahaja untuk melakukan perubahan dalam diri. Tetapi Ramadhan modulnya luarbiasa, dari Allah dan telah dicontohkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Saban tahun begitulah fungsi Ramadhan, mengubah jiwa dan peribadi menjadi lebih bertaqwa. Ianya dapat dilaksanakan melalui penguasaan terhadap nafsu yang dijinakkan dengan mujahadah dan penyucian jiwa disepanjang 30 hari latihan.
Percayalah, makin bermasalahnya jiwa dan hati kita, dan makin jauhnya dari Allah SWT, maka rasa kebosanan dan jemu akan menguasai kita kerana ianya datang dari nafsu yang tidak terdidik. Makan didiklah nafsu kita, bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Proses mentarbiah hati perlu dilakukan dan dipadu dengan latihan dan usaha bersungguh-sungguh sehingga menjadikan manusia yang mampu melentur dan menguasai dirinya. Dan dengan kekuatan inilah dirinya akan mampu melakukan perubahan yang sebenar.
Sesungguhnya perubahan jiwa, akhlak dan peribadi bukan sekadar angan-angan dan cita-cita belaka, namun merupakan kerja keras dan niat yang bersih serta tindakan yang benar. Dan bulan Ramadhan yang mulia merupakan kesempatan yang sejati untuk melakukan perubahan, ia merupakan program nyata untuk melakukan perbaikan jiwa dan hati. Sudahkah anda merasai perubahannya pada diri anda?
Justeru itu wajib dari setiap Muslim dan Muslimah untuk mengenal Tuhannya, dan memperbaiki dirinya sendiri, dan mengajak orang lain pada kebaikan ini.
Bulan Ramadan yang dengan sentuhan-sentuhannya selama sebulan, membawa semua makna perubahan, dan semua aspek pembangunan jiwa mulai dari pembersihan dari dosa dan maksiat, dan sehingga dapat mencapai tingkat tertinggi dari tazkiyatunnafs.
Semoga Ramadhan pada tahun ini memberi makna kepada kehidupan kita. Semoga kita tidak hanya sekadar mendapat lapar dan dahaga sahaja, lantas pasca Ramadhan kita kembali menjadi hamba dunia dan melupakan tugas dan tanggungjawab kita yang sebenarnya. Firman Allah SWT;
“Dan Barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, Maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, Padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, Maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamupun dilupakan”. (Thaha:124-126)
0 comments:
Post a Comment