Friday, March 23, 2012

Remaja: Jom Baiki Diri dan Ajak Kawan-Kawan Yang Lain


Salam sejahtera, diiringi limpah kasih Ilahi
Istimewa untuk seluruh puteri-puteri Islam sejati!

Di mana jua kalian berada, di seluruh pelusuk bumi tercinta... ibu ziarahi hati kalian,
dengan membawa bingkisan ubudiyah sepanjang hayat.

Moga tautan hati-hati kita ini akan mempersaksikan sepenuhnya tanggungjawab menyebarkan kebenaran deen Allah.

Ingatlah selalu sebuah hakikat keistimewaan;
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah” (QS Ali-Imran:110)

Allah juga berfirman yang bermaksud;
“Dan demikianlah pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan, agar kamu menjadi saksi (atas perbuatan) manusia dan agar Rasulullah SAW menjadi saksi (atas perbuatan kamu)”. (QS Al-Baqarah:143)

Puteri-puteri serikandi!
Fahamilah sesungguhnya Allah telah menjadikan umat Islam sebagai umat istimewa dengan diberi peranan kepimpinan. Selaku guru (murabbi) dan hakim kepada seluruh manusia di dunia. Ini juga merupakan kesinambungan dari tugas dakwah Rasulullah SAW. Semua ini merupakan tugas agong, mulia, tinggi darjat serta disediakan ganjaran yang besar di sisi Allah. Dengan melaksanakan tugas sedemikian kita akan sarat dengan bekalan taqwa serta beroleh jaminan dari Allah SWT;

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal saleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri”. (QS Fussilat: 33).

Puteri-puteri Islam sejati!

Usaha-usaha dakwah Rasulullah SAW dimulakan dengan menerapkan nilai Islam ke dalam diri sendiri. Serentak dengan itu mengajak dan mengumpul keluarga dan sahabat terdekat. Mengajak dan mengumpul diiringi pula dengan usaha membentuk. Dengan kata lain, mengumpul dan membentuk mesti berlaku serentak. Nilai yang diterapkan mestilah nilai Islam yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW.

Dalam usaha besar ini kita perlu mengambil satu kaedah yang tepat:

‘PERBAIKI DIRI KAMU DAN SERULAH ORANG LAIN’.

dan

‘TEGAKKANLAH DAULAH ISLAM DI HATIMU, NESCAYA ISLAM AKAN TERTEGAK DI ATAS MUKA BUMI’.

Para penyeru kebenaran (da’i) dan pendidik kebenaran (murabbi) adalah ibarat bintang-bintang yang menerangi kegelapan malam. Mereka juga merupakan pemimpin yang membawa petunjuk kepada umat manusia yang teraba-raba mencari jalan kebenaran.

Tanpa da’i dan murabbi, manusia seluruhnya akan tenggelam dalam kegelapan kejahilan dan menjadi mangsa syaitan dan hawa nafsu. Oleh itu barisan duat (pendakwah) dengan berbekalkan iman dan taqwa, menyeru manusia kepada kebenaran Islam melalui;

Lisan yang jujur.
Hati yang tabah.
Akhlak yang mulia.

Manusia seluruhnya terlebih dahulu menilai kualiti syakhsiyah pada diri penyeru dan penyampai sebelum mendengari ucapan dan ajakan. Dakwah (seruan) dan syakhsiyah sentiasa bertaut rapat, umpama ruh dan jasad. Tingkah laku dan amalan penyeru dan pendidik adalah cermin kepada seruan mereka. Oleh itu mestilah didahului membina;
QUDWAH HASANAH (CONTOH YANG BAIK)

Yakinlah puteri-puteriku,
Seruan kebenaran yang disertai contoh tingkah laku yang baik, akan menyebabkan manusia tertarik untuk mempercayai dan mengikutinya. Sentiasalah meletakkan diri kalian di dalam situasi;

Beramal soleh, supaya tidak menjadi ‘alim yang berbuat maksiat.
Berilmu, supaya tidak menjadi ahli ibadah yang jahil.

Dari itu praktikkanlah langkah-langkah untuk melahirkan qudwah hasanah;

Sentiasa berhubung dengan Allah dan memohon pertolonganNya. Dengan pertolongan Allah jua da’i diberi hidayah untuk beramal sesuai dengan seruannya. Juga melalui usaha-usaha da’i, Allah izin terbuka hati manusia lain menerima kebenaran Islam.
Khuatirkan kemurkaan Allah SWT. Da’i tidak wajar memperkatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. Tidak sepatutnya memberi nasihat, tetapi tidak menerima nasihat orang lain. Jika demikian da’i akan dimurkai Allah.
Benar dan jujur terhadap diri sendiri. Da’i mestilah bersikap siddiq dan istiqamah. Amalannya selari dengan percakapannya.
Sentiasa bermuhasabah dalam segala urusan dan gerak-gerinya. Bahkan di dalam diamnya dia menilai segala kekurangan amal dan kesalahannya kerana takutkan kemurkaan Allah.

Sentiasa menghisab dan menilai diri sendiri;

Apakah yang telah dilihat oleh matanya, didengar oleh telinga dan diperbuat oleh tangan.
Ke mana kakinya telah melangkah dan apa yang telah masuk ke dalam perutnya?
Adakah dia menjaga perasaannya agar tidak larut dalam angan-angan yang panjang?

Puteri-puterku yang gigih menyeru kepada kebenaran; semuanya ini mestilah ikhlas untuk semata-mata beroleh keredhaan Allah.

Di samping itu, seperkara lagi yang juga penting dalam setiap usaha dakwah seorang da’i ialah; cara bertutur-kata dan penampilan diri.

Pada dasarnya jiwa manusia mudah cenderung dan tertarik dengan penampilan yang menarik. Dalam pengurusan perniagaan,biasanya pesoliti pemasaran yang dipilih dari orang yang punya penampilan menarik seiring dengan produk bekualiti. Seruan dakwah juga merupakan satu tawaran ke arah memilih sebuah sistem hidup berkualiti. Justru itu perlu dipamerkan akhlak, kepribadian dan penampilan terpuji dan menarik. Dengannya setiap diri cuba didekati akan terpaut hati oleh kelembutan jiwa dan pantulan wajah ikhlas serta penampilan simpatik.

Perkara ini bukanlah hanya teori, malahan memang telah Rasulullah SAW perlihatkan dan praktikkan di kalangan sahabat-sahabat baginda.

Sewaktu baginda SAW mengutus perwakilan menemui Heraklius, penguasa Romawi; sahabat baginda Dahyah al-Kahbi dilantik menjadi ketua rombongan. Dia mempunyai tubuh yang segak dan wajah yang tampan. Selain beliau, turut sering terpilih sebagai perwakilan dakwah ialah Mus’ab bin Umair r.a dan Ja’far bin Abu Thalib r.a. Telah terbukti dalam sejarah kegemilangan Islam, sahabat-sahabat tersebut mampu melaksanakan peranan yang diberi berbekalkan penampilan yang menyejukkan pandangan.

Puteri-puteri Islam Harapan!
Ketahuilah, penampilan peribadi terpuji akan mendorong orang yang memandang dan memerhati jadi ‘jatuh hati’. Dalam medan kehidupan ini, terdapat juga sebahagian orang yang mempercayai tafsiran pandangan matanya. Sehubungan dengan itu fahami maksud sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa memandang saudaranya dengan kasih –sayang, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya”.

Pandangan yang dimaksudkan di sini ialah pandangan dari hati yang mengajak berbicara dengan lemah-lembut. Pandanagn sedemikian hanya wujud dari perasaan tulus yang penuh kasih-sayang kerana Allah. Kemudiannya akan terpantul pada wajah dan airmuka. Bilamana mata terpandang kemesraan pada wajah, hati dengan pantas rela menerima ajakan dan cadangan.

Senyuman juga adalah gambaran isi hati yang menggerakkan perasaan dan memancar pada wajah seperti kilatan cahaya. Seakan-akan memanggil sehingga hati yang mendengar akan terpikat. Senyuman yang dibuat-buat tidaklah sama dengan senyuman yang tulus ikhlas. Ianya ibarat bunga yang mekar ditangkainya , indah dipandang mata. Harum pula baunya hingga jiwa terpesona dan hati lantas terpaut. Ini dapat dijelaskan melalui maksud hadis RasulullahSAW;
“Kamu tidak dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia”.

Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian
.

2 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah