Saturday, March 24, 2012

Remaja: Pelajari Tentang CINTA

Maksud ‘Bercinta’ Sebelum Nikah.

Sebelum menjelaskan soalan-soalan ini, eloklah kita bincangkan sedikit maksud ‘bercinta’ dalam perbincangan ini. Boleh jadi, maksudnya pelbagai dalam fikiran kita semua. Perbezaan maksud ini lumrah berdasarkan maksud yang difahami oleh masyarakat setempat, pengalaman, realiti, pendapat, fikiran dan latar belakang yang berbeza-beza.

Biasanya, tulisan ilmiah lebih menekankan penggunaan bahasa Melayu tinggi. Segala makna akan dirujuk di dalam kamus.

Manakala tulisan dakwah, lebih selesa menggunakan bahasa yang dekat dengan masyarakat sebagai sasaran dakwah. Di sini, kadang kala timbul dilema. Para ulama mempunyai manhaj yang istimewa dalam menangani dilema ini.

Kamus Dewan, edisi keempat (2007) memberi definisi ‘bercinta’ itu ialah:

1. menaruh rasa cinta atau berahi

2. berasa rindu.

Begitu juga Kamus Lisaanul Arab.

Masyarakat kita pula rata-rata memahaminya sebagai komitmen sepasang kekasih. Lebih terperinci, masyarakat akan menamakan seseorang ini sedang ‘bercinta’ apabila:

· Terlalu kerap sms pasangannya walaupun tiada keperluan.

· Selalu bergayut di telefon meskipun tiada urusan.

· Selalu mengatur ‘dating’ walaupun tiada mahram.

· Berpegangan tangan.

· Membonceng motor bersama.

· Menaiki kereta berdua-duaan kecuali teksi.

· Keluar tengok wayang bersama-sama.

· Keluar menyanyi dan menari.

Kamus Dewan mengistilahkan perbuatan berkasih-kasihan, bercengkerama dan bercumbu-cumbuan sebagai ‘bercinta-cintaan’. Istilah ini jarang disebut oleh masyarakat kita. Mereka lebih senang menyebutnya sebagai ‘bercinta’. Setuju tak?

Manakala perbuatan menjalin hubungan cinta kasih dengan teman lelaki dan wanita diistilahkan oleh Kamus Dewan sebagai ‘berpacaran’. Istilah ini juga kurang popular disebut dalam perbualan harian masyarakat umum di Malaysia. Dalam lagu adalah. Istilah ‘berpacaran’ lebih popular di kalangan masyarakat Indonesia. Orang Malaysia lebih suka menyebutnya sebagai ‘bercinta.’

Jadi apa sebenarnya makna ‘bercinta’?

Mengikut ‘manhaj’ para ulama yang bijaksana, makna sebenar suatu pengungkapan bukan pada namanya tapi berdasarkan hakikat atau intipati benda yang dinamakan itu. Kaedah menyebut, “Al-Ibrah bilmusammayaat laisat bil asma’.”Maksudnya, kita mengambil kira hakikat di sebalik nama, bukannya nama.

Para ulama tidak mudah terpedaya dengan maksud lafaz andai masyarakat memahami dan menterjemahkannya secara berlainan.

Contohnya, andai sesuatu perkara itu lafaznya buruk seperti ‘hotdog’. Tapi hakikatnya baik iaitu daging yang enak. Maka ‘hotdog’ dikira baik sebab hakikatnya baik.

Contoh yang lain, andai sesuatu perkara itu lafaznya baik seperti ‘bunga’ atau ‘faedah’. Tapi hakikatnya buruk iaitu riba. Maka ‘bunga’ atau ‘faedah’ dikira buruk sebab hakikatnya buruk.

Manakala, andai sesuatu perkara itu lafaznya meragukan seperti ‘bercinta’. Hakikatnya ditentukan oleh kefahaman kumpulan sasaran. Berdasarkan pengamatan kasar penulis, rata-rata di Malaysia, orang menyebut lafaz ‘bercinta’ itu dengan memahami hakikatnya sebagai ‘berpacaran’.

Maka, ‘bercinta’ yang dibincangkan di sini, bukan sekadar memiliki perasaan cinta. Itu fitrah. Jika tidak diuruskan dengan panduan wahyu, ia sekelip mata boleh bertukar menjadi fitnah.

‘Bercinta’ yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah intipati atau hakikat bagaimana cara masyarakat menguruskan cinta mereka. Bukankah secara umumnya, lebih menghampiri fitnah?

Al-Imam Hassan al-Banna apabila ditanya tentang hukum ‘bercinta’, beliau memberikan jawapan yang bijaksana. Mengambil kira kefahaman masyarakat yang pelbagai ini. Kata beliau,

“Bercinta secara halal itu halal. Bercinta secara haram itu haram.”

Sudah tentu, bercinta secara syubhah itu syubhah. Syubhah ialah perkara yang meragukan antara halal dan haram.

Fikrah Pertengahan

Islam agama yang memahami fitrah. Islam menolak sistem yang cuba menghapuskan terus fitrah cinta seperti merahibkan diri.

Islam juga mengutuk fitrah cinta yang disalur dengan menghampiri zina. Inilah yang sering diajar oleh kebanyakan media (tidak semua). Islam lebih-lebih lagi mengutuk fitrah cinta yang diumbar dengan nafsu syahwat seperti mana yang berlaku di Barat. Akibatnya, kecelaruan nasab begitu parah di sana.

Islam menawarkan solusi iaitu pernikahan untuk menyalurkan fitrah menjadi barakah. Bercinta selepas nikah memang seronok. Usung ke hulu ke hilirpun, tiada siapa nak marah.

Pernahkah kita merujuk apa kata ulama muktabar tentang ‘bercinta’ sebelum nikah?

Prof. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi yang terkenal dengan dakwah menyeru kepada pandangan moderat menerangkan manhajnya,

“Menjadi kewajipan ke atas kita agar beriltizam dengan petunjuk terbaik iaitu petunjuk yang dibawa oleh Muhammad SAW, para khulafa’ rashidun serta para sahabat baginda yang memperolehi hidayah, yang telah diarahkan oleh baginda SAW agar mengikuti sunnah mereka dan memegangnya dengan kukuh, jauh dari cara Barat yang terlalu bebas dan cara Timur yang terlalu ketat.”

Tidak Bercampur Kecuali Atas Dasar Urusan

Mari kita teliti poin-poin penting yang boleh kita amalkan dalam buku Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, spesifiknya berkaitan isu percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

1. Tidak bercampur dengan lelaki/wanita asing (bukan mahram) kecuali kerana keperluan yang mendesak, kemaslahatan yang dibenarkan, dengan kadar yang mencukupi. Contohnya, solat di masjid, menuntut ilmu dan bantu-membantu atas dasar kebaikan serta ketakwaan.

2. Wanita tidak dihalang dari menyertai untuk berkhidmat kepada masyarakatnya. Di samping itu, tidak mengabaikan batas-batas syarak dalam pertemuan dengan lelaki.

3. Merendahkan pandangan serta menjaga kemuliaan dan kesucian. (Syeikh memberi panduan boleh memandang atas dasar urusan tetapi tidak berlama-lama ketika memandang).

4. Merasa malu dan menutup pakaian serta perhiasan tetapi tidak dalam bentuk yang menyukarkan.

5. Tidak menampakkan perhiasan wanita yang tersembunyi seperti rambut, leher, tengkuk, dua lengan dan dua betis kecuali kepada suaminya dan lelaki mahram.

6. Berhati-hati semasa mengatur langkah dan pertuturan.

7. Menjauhkan semua perkara yang boleh merangsang.

8. Mengelakkan diri daripada khalwat.

Pesanan Pengerusi Majlis Ulama Sedunia Tentang ‘Bercinta’

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti global, berkata,

1. Saya ingin tegaskan apa yang selalu saya katakan, bahawa saya tidak memuji apa yang dikatakan oleh sebahagian orang tentang pentingnya bercinta sebelum menikah, kerana cara seperti ini dikhuatirkan berbahaya dan syubhat. (Beliau lebih memilih perkataan 'tidak memuji' berbanding meletakkan 'hukum' samada 'haram' atau 'makruh' dsb boleh jadi kerana beliau meraikan pendapat orang yang pelbagai terhadap maksud 'bercinta'.)

2. Ramai orang yang memulai cara bercinta ini dengan cara yang tidak benar dan adil, seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan pembicaraan yang tidak jelas dan seringkali dilakukan oleh anak muda ketika mengalami waktu kosong atau bosan.

3. Pacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh sebahagian remaja puteri, dan ini biasanya sering terjadi dalam keluarga, tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik oleh remaja putera mahupun remaja puteri.

4. Awalnya memang cuba-cuba tapi kemudian ketagihan. Awalnya bergurau tapi akhirnya serius.

5. Banyak situasi seperti ini berdampak kepada hal-hal yang tidak terpuji. Apatah lagi apabila dilakukan di tempat-tempat gelap, didalangi perasaan dan hawa nafsu, ditambah dengan godaan syaitan.

6. Dalam keadaan seperti ini, remaja putera dan remaja puteri boleh terjerumus dalam kesalahan dan kenistaan, sebab keduanya bukanlah malaikat yang suci, dan juga bukan para Nabi yang maksum.

7. Lebih dari itu, kadang-kadang pacaran dilakukan oleh dua pihak yang tidak serasi dalam status sosial dan pendidikannya, sehingga keduanya dipisahkan oleh dinding pemisah dan tentangan yang menghalangnya tanpa berakhir dengan pernikahan. Dalam keadaan seperti ini, hati akan hancur berkeping-keping dan jiwa tertekan.

8. Saya melihat cara terbaik untuk menikah adalah cara yang dilakukan oleh masyarakat Muslim Arab sebelum Barat memerangi kita. Iaitu memilih calon pasangan hidupnya dengan tenang setelah merisik keperibadian calon masing-masing.

9. Perkara yang sesuai dirisik ialah: adakah sesuai antara keduanya dan kemungkinan akan berhasil menikah jika dilihat dari kemampuannya secara psikologi, kematangan akal, kemampuannya secara ekonomi, dan keadaan sosialnya, serta tidak ada penghalang yang akan menghambat pernikahannya dari salah satu pihak, atau keluarganya atau adat tradisi masyarakatnya, atau undang-undang negaranya dan lain sebagainya.

10. Jika sudah merisik, seorang pemuda hendaklah dengan berani (gentlemen) datang mengetuk pintu rumah calonnya untuk menemui keluarganya. Si pemuda melihat calonnya dan wanita itu melihatnya tanpa mengetahui bahawa pemuda itu berminat kepadanya. Hal ini tidak lain untuk menjaga perasaannya, jika pemuda itu tidak tertarik kepadanya dan dia belum mendapat tempat di hatinya.

11. Apabila kapak telah menancap di kepala, pada saat itu keluarga hendaklah melihatnya dengan bijaksana dan penuh hikmah dan tidak semena-mena dengan pendapat mereka dan menolak orang yang melamarnya tanpa sebab.

12. Keluarga atau walinya hendaklah mengamatinya dengan baik, sebagaimana yang dianjurkan oleh hadis Nabi, “Tiada yang lebih patut kepada dua orang yang saling menyintai kecuali pernikahan.” (HR Ibnu Majah dan al-Hakim). Atau nikah adalah cara yang paling tepat untuk mengatasi hubungan cinta kasih ini, yang berhujung pada asmara dan kerinduan antara hati lelaki dan perempuan.

13. Yang paling diperhatikan dalam Islam dari pihak suami atau orang yang melamarnya adalah agama dan akhlak, dan keduanya merupakan faktor terpenting dalam keperibadian seseorang muslimah. (Fatawa Mua’sirah, ibid, juz. 2, hal. 348-349).

Kesimpulan

Subhanallah! Luasnya skop kupasan oleh Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkenaan isu ‘bercinta’. Tidak terkurung dari kaca mata hukum fekah semata-mata. (Hukum fekah adalah soal batas minimum yang tetap ada kepentingannya). Bahkan memberi panduan terhadap aspek perlaksanaan hukum secara ideal. Ini yang seringkali kabur di mata masyarakat.

Kupasan sebegini lebih membumikan kita kepada amal dan perlaksanaan dalam realiti hari ini. Tidak lagi tersepit dalam kekeliruan antara hukum dan perlaksanaan hukum. Perlaksanaan hukum mestilah mengambil kira hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia unLinktuk mendapat impak yang lebih hebat, di dunia dan di akhirat.

Lebih istimewa, Pengerusi Majlis Ulama Sedunia ini memberikan pandangan yang pertengahan antara golongan yang memberat-beratkan dengan golongan yang bermudah-mudah.

Batasan pergaulan yang Islam gariskan banyak kebaikannya. Ia bukan sahaja memelihara kehormatan bahkan juga melindungi daripada punca-punca keruntuhan, keretakan dan kebimbangan. Lebih jauh daripada itu, batasan ini memelihara masyarakat daripada kebinasaan.

Petikan tulisan dari blog Ukhti Fatimah Syarha Noordin (http://sebarkanbahagia.blogspot.com)

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah