Sunday, April 08, 2012

LangitIlahi.Com: Berusaha dan Berfikir Kunci Yang Sering Dihilangkan

Suatu ketika saat di zaman sekolah menengah, ada pelajaran besar saya peroleh dari ibu saya. Pelajaran itu amat berharga dan mendewasakan diri saya. Saya dibesarkan dalam sebuah keluar yang berpendapatan secukupnya, namun biasanya tidak mencukupi.

^ ^

Saat bersekolah, saya menerima duit belanja sekolah dari abah antara RM0.20 sen ke RM0.30 sen. RM0.50 sen adalah duit saku yang paling tinggi pernah saya terima dari abah. Kadang-kadang satu sen pun tak dapat saat abah “keputusan kewangan”.

Idea Penyapu Lidi

Suatu hari saya pulang ke rumah membawa satu harapan. Cikgu saya berkali-kali bertanyakan kepada saya bilakah hendak membeli buku kerja sekolah. Dah dua bulan saya belajar tanpa rujukan buku tersebut dan terpaksa berkongsi dengan kawan. Harganya tidak mahal, sekadar RM3.50 sahaja. Namun bagi sebuah keluarga seperti keluarga saya, nilainya tinggi.

Saya berkeras pada petang itu untuk menyatakan hajat saya pada ibu yang saya memerlukan RM3.50 untuk membeli buku kerja tersebut. Berat hati saya untuk memberitahu ibu, tidak mahu menyusahkan ibu dan membebankan jiwanya. Sebaik berkesempatan bertemu ibu di ruang dapur, sayapun memaklumkan kepada ibu hajat saya. Ibu tersenyum, kemudian mengajak saya menemaninya petang nanti untuk ke satu tempat.

Selepas Asar, kami mula bergerak meninggalkan rumah, sambil membawa pisau kecil, berjalan kaki menuju ke sebuah ladang sawit yang luas terbentang berhampiran rumah, cumanya ladang sawit itu bukan milik kami. Ianya milik “orang” yang berbesar hati mengizinkan penduduk kampung “berrekreasi” di ladang itu asalkan tidak merosakkan ladangnya.

Pada mulanya saya tidak faham, mengapa ibu saya mengajak saya ke ladang sawit. Sebaik berada dalam ladang sawit, saya terbayang sesuatu, penyapu lidi. Saat itu adalah bulan memotong dahan kelapa sawit. Berlambaklah dahan kelapa sawit di bawahnya. Dan biasanya akan adalah para ibu yang beraktiviti mericih daun kelapa sawit untuk dibuat penyapu lidi.

“Apa tunggu lagi, tariklah dahan tu ke sini, kita ricih buat lidi.” Seru ibu saya yang dari tadi memerhatikan saya yang beraksi macam mandur ladang. “Baik boss.” Balas saya sambil bergurau dengan ibu. Petang itu saya bersemangat sekali mericih daun kelapa sawit walaupun sebenarnya tidak pandai mericih. ^^

Setelah hampir sejam mericih daun kelapa sawit, kami berjaya menyiapkan 20 unit penyapu lidi. Ibu menyuruh saya ke kedai, jualkan kepada beberapa buah kedai runcit di pekan Lenggeng dengan harga RM0.50 seunit. Alhamdulillah, misi berjaya, saya pulang membawa hasil RM10.00.

Keesokannya saya hadir ke sekolah dengan senyuman. Pagi itu juga saya membeli buku kerja baru. Makin semangat nak belajar.

Tutorial Dengan Ibu: Berfikir Positif, Kreatif dan Berusaha

“Tutorial” bersama Ibu telah mengajarkan saya satu ilmu yang amat besar nilainya. Jika mahukan sesuatu maka berusaha dan berdikarilah. Jangan mengharap sesuatu tanpa berusaha dan jangan pernah putus asa dari berusaha kerana Allah SWT akan memberikan pertolongan buat hamba-Nya yang berusaha. Tinggal lagi pada diri kita, sudah memulakan langkah atau tidak untuk berusaha. Kepuasan terletak pada usaha, bukan pada hasil. Berusaha dengan keras adalah kemenangan yang berpada. Hasil yang diperolehi adalah bonus dalam kehidupan yang pasti akan menggembirakan hati dan perasaan. Setelah berusaha dan mengharap ‘campurtangan” Allah SWT, maka bertawakal dengan-Nya, yakinlah apa yang kita peroleh adalah yang terbaik buat kita, kerana InsyaAllah kalau kita bersyukur maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita.

Tidak rugipun kalau kita berusaha sedikit, apatah lagi jika bersungguh. Dari Abu Hurairah RA, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh, seandainya salah seorang di antara kamu mencari kayu api dan memikul ikatan kayu itu, maka itu lebih baik, daripada ia meminta-minta kepada seseorang, baik orang itu memberinya ataupun tidak.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Kemudian Nabi SAW bersabda lagi, “Tiada makanan yang dimakan seseorang yang lebih baik daripada makanan yang merupakan usaha tangannya sendiri, kerana Nabi Allah Daud, makan daripada hasil usaha tangannya sendiri”.

Keduanya, berfikir positif dan kreatif. Saya sering mengamati cara ibu saya bertindak, beliau seorang yang positif dan kreatif dalam membantu abah mengurus beban rumahtangga. Ibu saya sekadar bersekolah sehingga darjah satu dan buta huruf. Namun dia mampu mengajar saya berfikir dengan positif dan kreatif. Melihat sesuatu permasalahan dari kacamata positif. Kemudian kreatif berfikir bagaimana harus menghadapinya. Kisah di atas adalah salah satu dari kecekapannya ibu berfikir menyelesaikan masalah saya. Beliau positif saat menerima keluhan dan permintaan saya yang memerlukan duit untuk membeli buku kerja. Dan beliau berfikir kreatif menyelesaikan masalah tersebut pada kadar yang beliau mampu. Itu yang saya teruja. Berusaha pada kadar yang kita mampu, bukan pada tahap ala kadar dan biasa-biasa. Kemahuan berfikir itu penting kerana ia adalah titik mula untuk kita memperoleh kejayaan. Pada pandangan saya manusia yang enggan dan malas berfikir bagaikan peribahasa hidup segan mati tak mau. Tidak tahu harus melangkahkan kaki ke arah mana? Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang paling sempurna di antara makhluk yang lain, yang diantaranya adalah memiliki akal untuk berfikir yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Jadi, berfikir itu amat dituntut. Dalam Al Quran, banyak ayat-ayat Allah yang memerintahkan kita berfikir, antaranya;

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (Al-Baqarah: 164)

Firman Allah SWT lagi;

“Sesungguhnya perumpamaan kehidupan duniawi itu, adalah seperti air (hujan) yang Kami turunkan dari langit, lalu tumbuhlah dengan suburnya kerana air itu tanam-tanaman bumi, diantaranya ada yang dimakan manusia dan binatang ternak. hingga apabila bumi itu telah sempurna keindahannya, dan memakai (pula) perhiasannya, dan pemilik-pemiliknya mengira bahawa mereka pasti menguasainya, tiba-tiba datanglah kepadanya azab Kami di waktu malam atau siang, lalu Kami jadikan (tanaman-tanamannya) laksana tanam-tanaman yang sudah disabit, seakan-akan belum pernah tumbuh kelmarin. Demikianlah Kami menjelaskan tanda-tanda kekuasaan (Kami) kepada orang-orang yang berfikir.” (Yunus: 24)

Justeru apabila kita berfikir, bermakna kita sedang melakukan salah satu dari tuntutan Allah SWT, iaitu semangat berfikir. Hari ini, apakah generasi muda kita sering berfikir atau malas hendak berfikir. Apatah lagi berfikir akan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Malas berfikir bererti mewarisi kepapaan. Ramai manusia hendakkan sesuatu dengan jalan yang mudah. Kalau boleh nak duduk sahaja di bilik asrama atau rumah sewa, dengan harapan akhir semester dapat keputusan cemerlang. Kalau boleh rilek-rilek di warung, menonton televisyen dan leka bermain “game”, dengan harapan duit simpanan dalam akaun bank akan bertambah. Sebenarnya kalau kita melatih diri kita untuk sentiasa berfikir, apatah lagi berfikir bagaimana harus mengurus kehidupan agar diredhai Allah SWT., kehidupan kita akan lebih bermakna dan bahagia.

Sebenarnya, ramai dari kita memang orang yang sentiasa berfikir, tapi berfikir yang negatif. Cuma sedikit dari kita yang berfikir dan bertindak positif. Orang yang lebih kepada tindakan positif memiliki sifat optimis, iaitu yakin apa yang dia usahakan semakin memberi kesan sedikit demi sedikit. Semakin efektif tindakan, semakin baik kesan yang akan muncul (result). Saya sudah melalui dan melaksanakan formula di atas dalam secebis kisah yang saya kongsikan dan dalam banyak kehidupan saya amalkannya. InsyaAllah kita akan merasai kehidupan yang semakin baik dan semakin dekat dengan Allah SWT.

Kemuliaan Bonda Dalam Hati Kita

Ketiganya, setiap kita ada seorang ibu. Dalam setiap kejayaan yang kita perolehi, ada seorang wanita mulia yang tidak pernah berhenti mendoakan kita. Bertahun ibu mendidik dan membesarkan kita. Sudah sejauh mana kita mengutip ilmu dan ibrah dari didikan beliau kepada kita, samada kita sedar atau tidak sedar? Pengalaman bersama ibu sebenarnya adalah pengalaman langsung kita belajar untuk menjadi dewasa. Namun sering kita abaikan niat dan hajat seorang ibu. Sering juga kita lukai dan menghiris perasaannya setelah kita semakin bijak di universiti. Kita semakin banyak bercakap dari meminta dan mendengar nasihat dari Ibu. Kembalikanlah semula senyuman kasih buat sang ibu pada anak-anaknya dengan kembalinya kita ke rumah sebagai anak yang soleh dan solehah, membawa berita gembira dan membahagiakan hatinya yang merindui belaian kita.

Akhir bicara, kadang kadang kita berfikir tidak boleh memiliki apa yang kita sayangi dan hajati. Ini bukan bermakna hidup kita akan tamat begitu sahaja. Formulanya kita perlu berfikir positif, kreatif, bangun mulakan langkah pertama dan berusahalah untuk meneruskan hidup ini.

Kadang-kadang kita sering mengambil mudah dengan kasih sayang kita pada ibu, sehinggakan ibu rasa ketandusan belaian kasih dari anak-anaknya. Ketika kita dilahirkan, ibulah yang pertama menimang dan melempar senyum cintanya pada kita. Jom kita pulang membalas kembali senyum cinta itu yang mungkin sudah pudar. Masih belum terlambat buat yang masih memiliki seorang ibu.

Terima kasih ibu buat jutaan ilmu yang dikau telah curahkan pada anakanda mu ini! Syukur pada-Mu Ya Allah kerana diri ini ada seorang ibu yang tidak pernah padam kasih sayangnya mendoakanku!

*Nukilan khas ini dari Abu Ridhwan buat Ibu tercinta, Rabimah Osman. Selamat menyambut hari lahir, semoga usiamu diberkahi Allah dengan selautan barakah dan pahala tanpa batas. ^^

Petikan tulisan penulis di http://langitilahi.com/8064

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah