Wednesday, December 24, 2008

Islam sebagai satu-satunya cara hidup


Kita mestilah meyakini dan mensyukuri Islam sebagai satu-satunya cara hidup (Deen) yang diredhai dan diterima oleh Allah swt .Deen-deen yang lain semuanya tidak diterima dan sia sia di sisi Allah swt.



“Sesungguhnya Deen (cara hidup) di sisi Allah ialah Islam….” (Ali Imran:19)

Hanya mereka yang memilih Islam yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Sekiranya kita memilih selain dari Islam sebagai jalan hidup kita, maka kita akan termasuk orang-orang yang rugi.

“Sesiapa yang mencari selain Islam sebagai ad Deen (cara hidupnya), maka ia sekali-kali tidak akan diterima dan dia di Akhirat nanti termasuk orang-orang yang rugi.” Ali Imran:85
Dan mereka yang rugi di Akhirat ialah orang yang rugi sebenar-benarnya sebagaimana firman Allah dalam surah Az Zumar:

“Maka sembahlah olehmu (hai orang-orang yang syirik)apa yang kamu kehendaki selainNya. Katakanlah “Sesungguhnya orang yang rugi ialah orang yang merugikan diri mereka dan ahli keluarga mereka pada hari Qiamat”. Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata. Bagi mereka lapisan-lapisan dari api neraka di atas mereka dan di bawah merekapun lapisan-lapisan (dari api). Demikianlah Allah mempertakuti hamba-hambaNya dengan azab itu. Maka bertaqwalah kepada Ku hai hamba-hamba Ku.” Az Zumar: 15-16

Ber’ubudiyyah kepada Allah
Kita perlu bertindak dari sekarang untuk melahirkan semula kesejahteraan yang hakiki. Jika diteliti, kerja-kerja ini amat berat. Ia memerlukan keikhlasan dan kesungguhan yang berterusan. Kesungguhan seperti ini hanya akan ada pada mereka yang jelas dan terang jalan dan matlamat yang hendak dituju.

Justeru itu, kita perlu meneliti dan mengikuti semula Islam sepertimana yang Allah SWT kehendaki. Hanya dengan jalan ini kita akan menemui matlamat yang jelas itu. Sebenarnya penjelasan telah pun Allah SWT berikan kepada manusia. Firman Allah SWT:

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah kepada-Ku” Surah az-Zariyat: ayat 56.

Berhubung dengan ayat ini, Sayyid Qutb menjelaskan dalam kitab Fi Dzilal al-Quran,

“ Di sana ada matlamat yang tertentu tentang penciptaan jin dan manusia. Ini jelas dapat dilihat melalui tugas yang perlu dilaksanakan oleh setiap jin dan manusia. Sebenarnya, jin dan manusia diciptakan untuk ber’ubudiyyah semata-mata kepada Allah SWT. Sesiapa yang cuai, maka ia sendiri telah memesongkan hakikat sebenar ia dijadikan. Kalau tidak bermatlamatkan ‘ubudiyyah, maka tidak berfungsilah jin dan manusia itu. Tanpa matlamat ini hidup akan kosong, walaupun seluruh tenaga, masa, wang ringgit dan fikiran dicurahkan”.


‘Ubudiyyah yang berterusan

Ubudiyyah hendaklah berlaku di mana-mana sahaja dan dalam apa suasana sekalipun. Inilah apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Allah SWT. Tetapi majoriti masyarakat masih tidak mengetahuinya.

Untuk melahirkan ubudiyyah pada setiap ketika bukanlah perkara yang mudah. Tetapi ia bukan mustahil. Keikhlasan yang dimiliki hendaklah dibajai dengan kesungguhan dan kesungguhan itu digunakan pula untuk beramal dengan Islam. Bersungguh-sungguh untuk beramal dengan semua yang Allah SWT perintahkan dan meninggalkan semua yang dilarang. Dan kita dalam hal ini tidak ada pilihan.


“Dan tidaklah patut bagi mukmin yang lelaki atau mukmin yang perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu ketetapan maka ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul Nya maka sungguhlah dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.”

Al Ahzab: 36


Penyertaan Allah

Perlulah kita yakin bahawa tiada suatu benda yang dapat wujud tanpa kekuasaan Allah SWT. Tiada sebarang perlakuan yang kita lakukan terkeluar daripada pengetahuan Allah SWT. Tiada secebis rahsia pun yang Allah SWT tidak ketahui. Kita perlu sedar bahawa setiap perjuangan untuk mencapai dan menegakkan Islam, akan disertai Allah SWT.

Setiap apa yang disertai atau diredhai Allah SWT sudah tentu mempunyai kekuatan yang tidak dapat diruntuhkan. Hal ini jelas terbukti dalam perjuangan generasi awal dahulu (Generasi al-Quran). Lihatlah apa yang telah berlaku pada Sumayyah. Dalam usaha mempertahankan aqidahnya, wanita itu tidak tunduk kepada kehendak jahiliyyah. Ini kerana beliau memahami dan jelas apakah matlamat hidupnya itu. Beliau sanggup menghadapi musuh-musuh Allah SWT dan mempertahan imannya walaupun disula.


Keteguhan yang berterusan

Berpegang teguh kepada Islam apabila menghadapi kufur merupakan salah satu syarat untuk berjaya dalam menegakkan Islam. Keteguhan yang berterusan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Ia perlu melalui pendidikan (tarbiyah) hari demi hari. Pendidikan bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah, sirah para sahabat dan perjuangan ulamak-ulamak muktabar .


0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah