Kewajiban Beramal (2)
Jalan perubahan
Jalan menuju pembebasan wilayah-wilayah Islam ialah dengan berusaha untuk mendirikan Khilafah Islamiyah yang menjadi pelindung, pembela dan pemelihara umat. Oleh itu berusaha untuk mendirikan Khilafah Islamiyah ini menjadi kewajipan bagi setiap muslim, dan tidak dapat digugurkan kewajipan ini sehingga Khilafah Islamiyah tertegak, bangunannya kuat dan mampu mengembalikan wilayah-wilayah Islam yang telah dirampas oleh musuh.
Jalan menuju Khilafah Islamiyah pula dimulai dengan membina generasi muslim.
1. Pembinaan generasi muslim
Pembinaan generasi muslim dimulai dengan pemilihan peribadi-peribadi. Mereka dibentuk dan dipersiapkan dengan persiapan Islam dengan menggunakan sumber-sumber yang muktabar. Mereka saling lengkap melengkapi untuk melaksanakan ‘amal Islami. Generasi ini menjadi asas bagi masyarakat Islam yang dicita-citakan. Peribadi-peribadi muslim adalah asas atau dasar bagi bangunan Islam yang kuat.
Beginilah da'wah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di Mekah. Selama tiga belas tahun baginda telah mengumpulkan peribadi-peribadi yang berjumlah tidak sampai 200 orang, yang menjadi benih dan asas yang kukuh bagi pembinaan masyarakat Islam.
Umat Islam tidak akan baik kecuali dianggotai oleh peribadi-peribadi yang baik. Peribadi yang baik pula tidak akan lahir kecuali dengan tarbiyah dan takwin yang lengkap dan seimbang.
Tujuan tarbiyah ialah untuk melahirkan peribadi muslim yang beribadah kepada Allah, takut hanya kepada Allah, iltizam hanya kepada hukum Allah, tidak bermusuhan kecuali kerana Allah, merasa mulia dengan din Allah, membersihkan tauhidnya hanya kepada Allah, menghormati syi'ar-syi'ar Allah, menjauhi larangan Allah, hati merasa kaya dan puas dengan beriman kepada Allah, bersifat qana'ah, tidak merasa gembira apabila mendapat dunia, tidak merasa sedih apabila kehilangan dunia, bertawakal kepada Allah, redha dengan ketentuan Allah, mengutamakan maslahat din, berterus terang dengan kebenaran dan mengikat diri serta konsisten dengan kebenaran.
Seterusnya, tidak berangan-angan panjang, bermuhasabah terhadap diri, berburuk sangka terhadap nafsu, mengambil yang halal, menjauhi yang syubhat, berakhlak baik, lemah lembut, memelihara kebersihan, menunaikan amanah, menepati janji, tidak berdusta, tawadhu', tidak hasad terhadap sesama muslim dan bersaudara serta mementingkan saudaranya.
Seterusnya lagi, memahami Islam dari sumber yang muktabar, mendahulukan yang wajib daripada yang sunat, hati tahan dan sabar, memperelokkan amal, meningkatkan kemahiran, berda'wah kepada Allah dan bukan kepada peribadinya, berharapkan Allah, mencegah kemungkaran bermula pada dirinya serta keluarganya, mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahhu'alaihiwasallam dan banyak bertaubat serta mengucapkan istighfar.
Tujuan tarbiyah sebegini memerlukan sistem tarbiyah yang mantap dan ditegakkan oleh orang-orang berkemahuan kuat untuk membina diri mereka sendiri.
Hasan Al Banna menyedari hal ini, lalu beliau membangunkan manhaj usrah sebagai manhaj pendidikan yang membentuk peribadi yang lengkap dan seimbang.
Hasan Al Banna menyatakan, "Tujuan Ikhwan adalah membentuk generasi umat Islam yang baru dengan ajaran Islam yang haq dan berusaha untuk memberikan warna (rupabentuk) bagi umat ini dengan warna (rupabentuk) Islam yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata'ala:
"Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah."
(Al Baqarah (2): 138)
Cara mereka adalah dengan merubah adat kebiasaan umum dan mendidik para pendakwah dengan ajaran Islam sehingga mereka menjadi contoh kepada manusia lain dalam keiltizaman, keinginan menjadi contoh dan melaksanakan hukum-hukum Islam."
0 comments:
Post a Comment