Sunday, December 13, 2009

Kewajiban Beramal (1)


Realiti umat Islam kini

Musuh-musuh Islam telah melakukan pelbagai konspirasi untuk melemahkan umat Islam. Pada tahun 1924 musuh-musuh Islam telah berjaya meruntuhkan khilafah Islamiyah yang menjadi wadah penyatuan umat meski pun pada masa itu khilafah Islamiyah telah lemah. Maka umat Islam pun berpecah-belah dan bercerai-berai. Negara Islam dibahagi-bahagikan kepada negara-negara yang kecil.

Musuh Islam mengangkat para pemimpin di negara-negara Islam dari kalangan umat Islam sendiri, tetapi menjadi boneka musuh. Musuh telah membuka jalan kepada bonekanya untuk menguasai kekayaan umat Islam.

Setelah musuh berjaya memecah-belahkan umat, maka musuh terus menyerang aqidah umat. Aqidah umat Islam dihakis dan nilai-nilai iman dipesongkan atau dihapuskan. Tarikat-tarikat sufi yang menyeleweng disokong dan disuburkan sehingga sebahagian umat mempercayai kemampuan luar biasa sheikh-sheikh yang mereka anggap sebagai wali. Ada di kalangan umat yang berbuat bid’ah di makam-makam tertentu yang mereka percaya boleh menyembuh penyakit dan meluaskan rezeki.

Musuh juga membuka pintu kepada ajaran komunisma, sekularisma dan ‘freemasonary’ agar terus menaburkan racun kepada din Islam.

Akibat dari kerja-kerja musuh itu lahirlah generasi umat Islam yang lemah aqidah dan jahil kefahaman terhadap Islam. Pemikiran mereka telah dijajah dan hati mereka telah mengilahkan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Namun, bukan setakat itu, musuh Islam meneruskan usaha menghancurkan umat Islam dengan memusnahkan nilai-nilai kebaikan yang masih tersisa di dalam hati-hati umat. Mereka menenggelamkan umat ke dalam lautan syahwat. Mereka mengarahkan perhatian umat kepada filem-filem, isu-isu sensasi, gambar-gambar yang menjolok mata, pertandingan sukan dan pelbagai aktiviti yang sia-sia serta merosakkan. Mereka pergunakan sepenuhnya media masa yang mereka kuasai untuk menghancurkan umat.

Wilayah-wilayah Islam pula sedikit demi sedikit dimusnahkan. Dulu Andalus, sekarang Palestin, Kashmir, Bosnia, Afghanistan, Chechen dan Iraq.

Musuh utama Islam, iaitu gerakan zionisme antarabangsa, telah mengumpulkan seluruh bangsa di bumi ini untuk menghancurkan umat Islam. Mereka dengan licik membuat penipuan dan rancangan untuk menyerang negara-negara Islam dari pelbagai penjuru. Pada setiap hari dunia dihidangkan dengan berita penghinaan, kezaliman dan pembunuhan terhadap umat. Umat Islam telah menjadi lebih terlantar daripada anak yatim yang terbiar.



Wajib melakukan perubahan

Realiti pahit yang dialami oleh umat Islam mewajibkan setiap muslim untuk melakukan perubahan. Setiap muslim yang menghadap Allah Subhanahuwata’ala, tetapi beliau tidak menolong din Nya akan berdosa. Kita merasa malu untuk berhadapan dengan Allah Subhanahuwata’ala jika kita tidak berbuat sesuatu untuk meninggikan kalimah Nya dan membebaskan negara-negara Islam daripada penguasaan musuh-musuh Nya.

Seandainya kita tidak bergerak dan berjuang mulai sekarang, maka hendaklah kita takut akan ancaman Allah Subhanahuwata’ala:


“Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu,”
(Al Anfal (8): 25)



Dalil-dalil wajib berkerja untuk menegakkan Islam

Dalil-dalil yang mewajibkan muslim untuk berkerja melakukan perubahan dan menegakkan Islam ialah:

1. Jihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala merupakan fardhu ‘ain bagi muslim apabila tanahnya dirampas oleh musuh. Apabila dia tidak mampu untuk membebaskannya, maka hukumnya wajib bagi mereka yang hampir, dan bagitulah seterusnya. Kewajipan ini tidak gugur kecuali dengan berkerja untuk membebaskan tanah-tanah yang telah dirampas itu. Hukum ini telah disepakati oleh para fuqaha’.

Kita semua telah masuk ke dalam kerangka wajib berjihad yang menjadi fardhu a’in.

2. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifatkan umat Islam sebagai sebagai umat yang terbaik disebabkan mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar. Firman Allah Subhanahuwata’ala:


“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar, dan beriman kepada Allah.”
(Ali ‘Imran (3) : 110)

Mungkar yang paling besar yang berlaku pada umat ialah hilangnya syari’at dan hukum Allah yang syumul dalam sistem kehidupan umat.

Manakala ma’ruf yang paling besar ialah meninggikan kalimah Allah Subhanahuwata’ala, melaksanakan syari’at Nya dan mengembalikan umat kepada sistem kehidupan Islam yang syumul.

Amar ma’ruf dan nahi mungkar adalah tugas wajib bagi setiap muslim. Orang yang berilmu tidak boleh meninggalkan da’wah (amar ma’ruf dan nahi mungkar) di atas alasan masih belum beramal dengan ilmunya. Bahkan, dia wajib berusaha untuk beramal dengan ilmunya dan menegakkan da’wah Islamiyah. Orang yang kurang ilmu pula tidak boleh meninggalkan da’wah di atas alasan kekurangan ilmunya. Bahkan dia wajib menuntut ilmu, berusaha beramal dengan ilmunya dan menegakkan da’wah sesuai dengan kemampuannya.

Said bin Jubair menyatakan, “Seandainya seseorang tidak menyuruh kepada ma’ruf dan tidak mencegah daripada mungkar (kerana merasakan belum berilmu atau belum beramal dengan ilmunya), maka nescaya tidak akan ada seorang pun yang menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar (kerana setiap manusia akan merasakan dia belum sempurna).”

Justeru itu muslim perlu menghayati panduan yang dinyatakan oleh Mustafa Masyhur:


“Perbaikilah dirimu dan serulah manusia lain (kepada Islam)”

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah