Kunci Kejayaan Dakwah Rasulullah saw
Kita semua tahu bahawa Muhammad Ibnu Abdullah , Rasul akhir zaman dilahirkan di Makkah. Bermulanya Islam juga di Makkah. Juga kita tahu para sahabat pertama kali mereka diazab di Makkah. Demi mempertahankan Islam , mereka sanggup disiksa dalam semua bentuk.
Rasulullah S.A.W berjuang di Makkah hinggalah berhijrah ke Yathrib (Madinah). Sebelum berhijrah, baginda telah memerintahkan sahabat-sahabat baginda berhijrah ke Habsyah (Ethopia), tetapi di sana bukan tempat yang soleh untuk tertegaknya Daulah Islamiyah.
Wasilah yang sesuai perlu dicari. Untuk itu baginda telah menghalakan hijrah ke Madinah bagi menegakkan Daulah Islamiyyah. Melalui enam orang yang datang dari
Makkah , Islam telah dilancarkan di Madinah. Pada tahun keduanya , seramai 13 orang penduduk Madinah telah datang menemui Rasulullah S.A.W termasuk dua orang wanita.
‘Abdullah ibnu Maktum telah dihantar untuk mengajar Al -Quran Al-Karim kepada penduduk Madinah. Manakala Mus’ab bin ‘Umair mengajar Fiqh di sana. Tahun
hadapannya seramai 73 orang termasuk 9 wanita telah datang ke Madinah menemui Rasulullah S.A.W. Mulai dari saat itu Islam terpancar luas di Madinah dan di muka
bumi ini.
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah meletakkan asas kukuh untuk Islam dapat berkembang di Madinah. Asas yang dimaksudkan itu adalah ,
1. Ukhuwwah Islamiyah
Persaudaraan Islam yang kukuh dari nasab Muhajirin dan Ansar. Mereka berkorban dengan seluruh tenaga mereka. Imam Bukhari telah melaporkan gambaran persaudaraan
mereka dengan membawa kisah ‘Abdur Rahman bin ‘Auf (Muhajir) dan Sa’ad bin Ar-Rabi’ (Ansar). Dua orang mereka ini telah dipersaudarakan oleh Rasulullah S.A.W
. Sa’ad telah berkata kepada saudaranya itu ;
‘Ini harta ku . Aku akan bahagi dua , untuk aku kebahagian dan engkau sebahagian. Aku ada dua isteri. Engkau pilih yang mana engkau suka , akan aku ceraikan. Habis iddahnya engkau kahwinilah dia.’
Realiti ini merupakan kenyataan yang paling jelas dalam sejarah Islam . Kemudian kita lihat sikap dan suara hati ‘Abdur Rahman dalam menerima tawaran sahabatnya itu. Sebagai insan yang sudah melalui latihan Al Quran, ‘Abdur Rahman bin ‘Auf berkata ;
‘Saudaraku ! Pinjamkanlah aku modal dan tunjukkan aku di mana pasar Madinah’
Dengan usaha gigihnya itu , beliau telah muncul sebagai insan yang terkaya sekali di Madinah pada masa itu. Suatu ketika beliau telah menemui Rasulullah S.A.W , lalu beliau ditegur baginda ;
‘Bagaimanakah engkau dapat ini semua wahai ‘Abdur Rahman ?”
Jawab ‘Abdur Rahman;
‘Aku telah berkahwin dengan wanita Ansar dan maharnya adalah ketul-ketul emas ya Nabi Allah ‘
Rasulullah bersabda ;
‘Buatlah sedikit majlis walimah untuk pasangan mu itu,wahai ‘Abdur Rahman’
Begitulah sikap muslim sejati dalam menegakkan Islam yang dianutinya.
2. Mahabbah
Berkasih sayang ialah asas kedua ke arah pembentukan Daulah Islamiyah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Asas ini dilahirkan dengan segala fungsi yang ada yang lahir dalam bentuk amali dalam masyarakat. Hasilnya dapat dilihat insan yang
mengutamakan sahabat seiman lebih dari diri sendiri. Ikatan mahabbah ini terpadu dalam ummah yang dibentuk atas asas iman kepada Allah S.W.T. Gambaran ini telah diterjemahkan dalam suatu peristiwa peperangan di zaman Rasulullah S.A.W.
Perwira-perwira Islam yang luka parah,yang dahaga dan berhajat kepada air , telah diberikan sebekas air kepada salah seorang daripadanya. Sebaik hendak
diminum , terdengar sahabat di sebelah meminta air, lalu air itu diberikan kepadanya. Sebaik hendak diminum , terdengar pula sahabatnya di sebelah lagi meminta air. Air tadi diberikan pula kepada sahabat berkenaan . Demikianlah ianya berlalu sehingga sahabat
yang keempat belas. Sebaik air itu hendak diminum , sahabat yang ketiga belas pula meminta air. Keadaan ini menyebabkan air itu kembali kepada sahabat yang
pertama , manakala sahabat yang selebihnya telah kembali menemui Ilahi. Akhirnya semuanya kembali ke rahmatullah.
3. Keadilan dan Keseimbangan
Keadilan dan Keseimbangan merupakan faktor ketiga dalam proses pembinaan Daulah Islamiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W di Madinah. Gambaran ini dapatlah kita lihat dalam peristiwa pengutusan Sa’ad bin Waqqas ke Medan Al-Qadisiyyah
dahulu. ‘Umar Al- Khattab selaku Amirul Mukminin telah berpesan kepada Sa’ad ;
‘Sa’ad . Janganlah engkau tertipu dengan kedudukan engkau sebagai bapa saudara Rasulullah S.A.W dari sebelah ibu. Berlaku adil hendaklah menjadi pegangan
kamu dalam setiap masa.
Sesungguhnya seerah telah melakarkan tentang betapa hebatnya kerja-kerja Rasulullah S.A.W mengikis habis saki baki karat-karat jahiliyyah dalam masyarakat muslim mukmin pada zaman baginda. Dan ianya terkesan sehingga ke zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin. Dengarlah apa pandangan ‘Uthman bin ‘Affan dalam kata-kata beliau iaitu ;
‘ Muslim itu sebenarnya tidak ada tinggi dan tidak ada rendah , tiada hitam atau putih. Mereka seperti gigi sikat. Mereka itu semuanya sama belaka’
Kini marilah kita lihat ke dalam realiti masyarakat muslimin seluruhnya. Bolehkah kita mendapat pertolongan Allah S.W.T ? Jika diteliti ke dalam masyarakat yang dibentuk oleh Rasulullah , kita dapati mereka melakukan ajaran Islam satu persatu. Sedangkan
kita pula terlalu cuai dalam urusan Deenul Islam. Kita utamakan nilai kaum , bangsa , puak dan persatuan. Oleh itu kita rugi dan sering bersengketa dalam seluruh persoalan.Jika ini berterusan kita akan rugi selamanya.
Islam itu sama. Islam inilah yang wujud di zaman Rasulullah S.A.W . Al Quran yang ada di tangan kita itu adalah sama yang diterima oleh generasi sahabat dahulu. As Sunnah rasul yang menjadi ikutan dan pegangan generasi sahabat dahulu itu masih kedapatan
dan terus kita warisi dalam bentuk dokumentasi yang cantik serta tersusun. Jika demikian kenapakah kita masih bercakaran lagi?
Tidak hairan lagi kenapa kita dirobek serta dilanyak-lanyak oleh musuh-musuh Islam dewasa ini. Kita kini laksana buih , bukan arus yang membentuk gelombang.
Sedarlah bahwa ketiga-tiga asas yang dibentangkan di atas itu perlu diusahakan agar kembali wujud dan berfungsi dalam masyarakat muslimin hari ini. Jika ini dapat kita kotakan insyaAllah pertolongan Allah S.W.T akan kita perolehi , sama sepertimana generasi Islam yang telah mengecapi kemanisan iman dalam hidup mereka.
(Petikan dan terjemahan bebas dari ucapan Sayyid Muhammad Al-Wakil , Pensyarah Tarikh Islamiy dari Universiti Islam Al Madinah AlMunawwarah pada 29 Oktober 1979)
0 comments:
Post a Comment