Friday, December 24, 2010

Rahsia Kecemerlangan: Belajar Dari ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy


Anda bercita-cita untuk menjadi cemerlang? Siapa model yang kita jadikannya sebagai teladan dalam kehidupan. Islam tidak pernah kurang dalam melahirkan suri teladan yang luar biasa dalam perjalanan risalahnya. Rasulullah SAW yang merupakan suri teladan terbaik di sepanjang kehidupan umat ini telah membentuk dan membina generasi contoh dan ikutan yang luarbiasa untuk kita jejaki dan teladani.

Pada pandangan anda, apakah kecemerlangan yang akan dapat kita contohi daripada seorang pemuda yang hanya bekerja sebagai pengembala kambing? Inilah luarbiasanya tarbiyah Rasulullah SAW, baginda mampu melakukan anjakan paradigma ke dalam hati dan jiwa seorang pemuda pengembala kambing sehingga akhirnya pemuda itu pernah diangkat menjadi Gabenor Mesir.

Ayuh kita menjejaki pemuda luarbiasa yang hebat dan cemerlang, ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy.

Sayangkan Kambing
‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy adalah di antara 12 orang pemuda yang memeluk Islam dan tinggal jauh dari kota Madinah untuk mengembala kambing di kawasan perkampungan. Setelah memeluk Islam di Kota Madinah, beliau dan sahabat-sahabatnya terpaksa berangkat ke pendalaman kampung untuk meneruskan kerja asasi mereka, mengembala kambing.

Suatu hari mereka berbincang dan berpandangan: “Tiada gunanya jika kita tidak bertemu Rasulullah SAW setiap hari untuk memahami agama dan mendengar wahyu dari langit. Apa kata setiap hari seorang kalangan kita bergilir-gilir pergi ke Yathrib. TInggalkan kambingnya dan mereka yang tidak ikut serta kalangan kita akan menjaganya.

Pada pandangan anda, apakah respon ‘Uqbah?

‘Uqbah telah berkata:

“Kamu semua pergilah bergilir-gilir bertemu Rasulullah SAW. Biar saya sahaja yang menjaga kambing kamu semua. Kerana saya sangat kasihan kepada kambing saya untuk ditinggalkan kepada orang lain.”

Pelik jawapan ‘Uqbah kan? Dia lebih sayangkan kambingnya daripada bertemu dengan Rasulullah SAW. Terkadang kita juga begitu, kita lebih sayangkan sesuatu sehingga tidak sanggup untuk melepaskannya atau meninggalkannya berbanding daripada melakukan perubahan dan anjakan paradigma untuk menuju kecemerlangan yang lebih besar dan hakiki. Kita sering berfikiran negatif dan tidak yakin untuk melakukan perubahan yang terbaik.

Tetapi kisah ‘Uqbah ini insyaAllah akan mengubah persepsi kita tentang kehidupan. Setelah saban hari sahabat-sahabat ‘Uqbah bergilir-gilir keluar mengunjungi Rasulullah SAW, ,mereka pulang membawa pelbagai ilmu dan ayat-ayat Allah SWT.

‘Uqbah berkata:

“Apabila mereka pulang, saya mengambil apa yang mereka dengar. Saya belajar apa yang mereka fahami. Namun setelah beberapa ketika, saya memuhasabah diri saya. Saya sudah buat kesilapan. Adakah disebabkan beberapa ekor kambing yang tidak menggemuk dan mengkayakan, saya sanggup mempersia-siakan diri saya daripada bersahabat dengan Rasulullah SAW. Saya juga merugi kerana idak mengambil kefahaman agama daripada mulut baginda SAW sendiri tanpa perantaraan. Kemudian saya meninggalkan kambing-kambing saya dan pergi ke Madinah untuk tinggal di masjid dekat dengan Rasulullah SAW. “

Muhasabah dan Bertindaklah
Inilah ciri pertama jika anda mahu cemerlang dan berjaya, muhasabah, kenali kelemahan dan kesilapan diri. Lakukan analisis SWOT pada diri sendiri (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman). Kemudian lakukan perubahan dengan berhijrah, meninggalkan sikap, pemikiran dan cita-cita kerdil kepada sikap, pemikiran dan cita-cita yang lebih tinggi dan besar manfaatnya pada diri kita sendiri.
Untuk lakukan penghijrahan dan anjakan paradigma memerlukan keberanian diri. ‘Uqbah mengajar kita untuk berani membuat keputusan, bertindak lakukan perubahan, yakin dengan keputusan dan berserah kepada Allah SWT semata. Beliau tidak pernah menyangka bahawa natijah dari hijrah dan keputusan besar yang telah beliau lakukan, dengan izin Allah SWT, beliau akhirnya menjadi seorang ulama sahabat yang tersohor, syeikh qurra (mahir dengan bacaan Al Quran, ilmuwan profesional, panglima terkemuka yang membuka negeri Islam dan gabenor yang terbilang.

Beliau tidak terbayang ketika membuat keputusan meninggalkan kambingnya dan bergerak menuju Allah dan Rasul-NYA, beliau akan diletakkan di barisan hadapan tentera ketika membuka pusat dunia, Damsyik. Beliau akhirnya Allah izin memampukan beliau membina sebuah rumahdi kebun yang menghijau yang terletak di Bab Tuma (salah sebuah pintu masuk ke kota lama Damsyik).

‘Uqbah juga tidak tergambar bahawa satu hari kelak, beliau menajdi salah seorang panglima yang membuka ‘Zamrud Hijau Dunia’, Mesir. Bahkan menjadi gabenor di sana.

Asas Kecemerlangan Ialah KEIMANAN
Subhanallah, luarbiasa! Inilah kunci kejayaan yang sebenar. Lakukan perubahan , penghijrahan dan anjakan paradigma kerana dan demi memenuhi tuntutan Allah dan Rasul. InsyaAllah, Allah akan membantu dan bersama-sama dengan kita. Allah akan memuliakan kita disisinya di dunia, dan pasti di akhirat.
Bukanlah bermakna mengembala kambing itu kerja yang tidak mulia, jangan salah faham, sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah mengembala kambing. Sebaliknya mesej dalam kisah ‘Uqbah ini cuba untuk mentarbiyah kita bahawa kita boleh berjaya untuk melakukan apa sahaja yang kita ingini, menjadi doktor pakar, usahawan berjaya, penternak kambing berjaya, guru terbilang, atau apa sahaja yang diimpikan, namun titik tolak dan muntalaqnya mestilah berpaksikan mencari keredhaan Allah SWT semata dan meneruskan perjuangan risalah dakwah Rasulullah SAW.

Mungkin selama ini kita berusaha untuk cemerlang dan berjaya, tetapi asasnya hanya kerana kepentingan diri sendiri, dan kemewahan dunia semata, tidak dikaitkan langsung dengan hakikat penghambaan kepada Allah dan kebersamaan dalam perjuangan dakwah Rasulullah SAW. Terlalu kerdil aspirasi kehidupan kita di sisi Allah. Dan kalau kita berjaya pundengan aspirasi kerdil tersebut, kejayaan itu adalah palsu, kerana di akhirat kelak, kejayaan itu tidak dapat menyertai kita sebagai bukti amal yang sebenarnya. Bimbang-bimbang ianya menjadi beban kepada kita saat penghisaban di hadapan Allah SWT.

‘Uqbah telah mengajar kita sesuatu yang bermakna dalam kehidupan ini. Daripada sekadar menjadi pemuda kerdil kepada pemimpin umat. Rahsianya, mulakan dengan ‘bedah siasat’ terhadap diri kita dengan jujur. Luruskan kembali cita-cita dan matlamat kehidupan kita. Kepada yang masih tercari-cari momentum kejayaan, lakukan analisis SWOT dan muhasabah. Hijrahlah dari kelalaian, kealpaan dan cita-cita kerdil kepada keseriusan, kesungguhan dan cita-cita yang tinggi, juruskan niat dan tujuan kerana Allah dan Rasul, buktikan dengan tindakan usaha tanpa kenal penat dan lelah, akhirnya bulatkan keyakinan sepenuhnya kepada janji Allah, insyaAllah anda bakal menjadi pemuda Islam yang didambakan ummat.

Nantikan ibrah yang seterusnya dari pengalaman kehidupan ‘Uqbah bin ‘Amir al Juhaniy. InsyaAllah akan membangkitkan lagi motivasi jiwa dan iman anda untuk melakukan anjakan paradigma daripada pemuda biasa-biasa kepada pemuda yang luar dari biasa!

1 comments:

  1. Artikel penuh dengan mesej mengajak saya berubah. Terima kasih. :)

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah