Wednesday, December 15, 2010

Apa Yang Kita Perjuangkan?


Beberapa orang tentera Yahudi Israel melepaskan berdas-das tembakan ke udara dengan penuh kegembiraan setelah mereka berjaya membunuh dua orang pemuda yang dikehendaki. Kedua pemuda tersebut merupakan komandan batalion ‘Izzudin Al Qassam”. Mereka berdua ialah ‘Imaad Aql berusia 24 tahun dan Khalid Zeir berusia 26 tahun pada saat kesyahidan mereka.

Berapa umur anda saat ini? Apa pekerjaan dan aktiviti anda saat ini? Apakah selari dengan peribadi dan perjuangan kedua mujahid di atas? Atau anda sendiri tidak pernah mengenal identiti mereka?

Mencontohi Amal ‘Imaad Aql

‘Imaad Aql lahir pada 9/6/1971. Namanya ‘Imaad di pilih oleh keluarganya sempena nama panglima Islam yang menentang tentera salib, 'Imaduddin Zanky.

Masjid An Nur adalah medan terbiah keduanya selepas rumahnya sendiri. Tidak sukar mendidik kanak-kanak sepertinya yang terkenal dengan kepintaran dalam pelajaran. Dalam usia seawal 12 tahun, 'Imad sudah didedahkan dengan perjuangan Ikhwanul Muslimin. Apabila tercetusnya Intifadhah (1987), dia mula melibatkan diri terjun ke medan perjuangan bersama rakan-rakannya melastik dan melontarkan batu kearah pasukan tentera Israel yang lengkap bersenjata. Usia muda tidak menjadikannya gerun melihat kedatangan tentera pengganas berkenaan.

Setelah tamat pengajian di peringkat menengah, 'Imad memohon untuk belajar di Maahad Al Amal dalam bidang perubatan. Namun cita-citanya tidak kesampaian kerana beliau ditangkap pada 23/9/1988. Abangnya 'Adil turut ditahan. Makhamah tentera yang membicarakannya menjatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan kerana 'kesalahan' terlibat dengan gerakan Hamas menentang rejim Israel. Beliau kemudiannya dibebaskan pada bulan Mac 1990. Tetapi tidak lama. Beberapa ketika selepas itu beliau ditahan lagi kerana dituduh merekrut seorang pemuda untuk menjadi mujahid. Selepas dibebaskan, 'Imad menjadi lebih bersemangat. Dengan siapa saja dia berbual, pasti perbincangannya tidak akan lari dari topik jihad dan syahid. Kisah-kisah Khalid Al Walid, Saifuddin Qutuz, Salahuddin Al-Ayyubi dan Abu Ubaidah Al-Jarrah sentiasa bermain di bibirnya.

Pada Rabu 24 November 1993 di perkampungan Syaja’yyah sebelah utara Gaza, sekitar 200 pasukan tentera Israel lengkap dengan senjata canggih dan kostum anti peluru, diiringi beberapa helicopter tentera dikerahkan unruk mengepung seorang pemuda bernama ‘Imaad ‘Aql. Beliau di”hendaki” Israel kerana telah berjaya membunuh 11 orang tentera Yahudi di samping terlibat dengan usaha menjatuhkan kerajaan haram Israel.

Situasi semakin kritikal. Kedudukan ‘Imaad terancam. Namun beliau tidak gentar. Beliau sempat berbicara kepada 2 orang temannya:

“Inilah saat yang paling tepat untuk menyumbangkan seluruh kemampuan jiwa dan ragaku di jalan jihad, sebuah jalan yang telah aku lalui selama bertahun-tahun, jalan kemuliaan yang menjadi pilihanku sejak kecil. Kematian di jalan ini insyaAllah akan mengantarku ke pintu syurga.”

Ternyata Allah SWT mengabulkan impiannya. Dengan deretan 60 buah kenderaan tentera Israel dan deruan sejumlah helikopter tentera yahudi mengepung beliau, pesta pembantaian oleh musuh-musuh Allah ini tercetus. Mereka begitu dendan dan hasad atas keperwiraan dan keberanian ‘Imaad ‘Aql.

‘Imaad ‘Aql akhirnya syahid. Sekitar 70 peluru bersarang di tubuh badannya, termasuk di bahagian kepala dan wajahnya. Ternyata tenteta-tentera kera itu tidak pernah puas membantai ‘Imaad ‘Aql, mereka merobek dan menghancurkan sisa tubuh perindu syurga Allah itu dengan keji. Bumi Gaza untuk sekian kalinya bermandiakan darah syuhada dan menyaksikan kehebatan, keberanian dan ketinggian iman pahlawan yang bernama ‘Imaad ‘Aql.

Ibunda ‘Imaad ‘Aql mengatakan bahawa beliau tidak mampu mengenali anaknya yang sudah hancur berkeping-keping. Dia hanya mampu memeluk bahagian kaki anaknya sebagai perpisahan terakhir. Lebih dari 5000 pemuda Palestin mengiringi jenazah ‘Imaad ‘Aql saat menuju ke tanah perkuburan al-Manazhir. Kesyahidan ‘Imaad ‘Aql membangkitkan perasaan kemarahan penduduk Palestin. Mereka bangkit melawan pasukan Yahudi sehingga merebak ke seluruh bandar Gaza.

Firman Allah SWT:

“Golongan terdahulu dan awal di kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lama. Itulah kemenangan yang besar.” (at-Taubah: 100)

Apa Yang Kita Perjuangkan?

Inilah secebis kisah perjuangan ‘Imaad ‘Aql. Beliau sekadar mengulangi sejarah kesyahidan para sahabat Rasulullah SAW sebelumnya. Beliau mengajarkan kepada kita di era moden ini, kehidupan bukan sekadar bersukaria , duduk bersantai-santai dan bersenang lenang sambil berbicara yang remeh temeh sebagaimana yang dinikmati oleh pemuda Islam hari ini. 'Imaad 'Aql mencontohkan kepada kita karektor jiwa pemuda yang berjiwa besar dan mencintai akhirat. Inilah kebahagiaan sebenar dalam kehidupan. Kehidupan bagi seorang pemuda muslim yang sebenar adalah sama sebagaimana apa yang telah Rasulullah SAW dan para sahabat RA teladankan kepada kita, mempertahankan kesucian Islam. Para pemuda di zaman Rasulullah SAW mempersiapkan diri mereka dengan iman dan taqwa dan segala kekuatan yang dimiliki untuk memperkuatkan Islam.

Peranan dan fungsi kita di era moden ini juga adalah sama sebagaimana yang telah dicontohkan oleh para sahabat Rasulullah SAW, apatah lagi setelah umat kehilangan khilafah Islam pada tahun 1924. Malangnya umat seperti kehilangan jatiditi dan nilai perjuangan. Nilai perjuangan mereka hari ini berkisar sekadar memenuhi keperluan peribadi semata. Sudah ribuan dan jutaan graduan muslim menamatkan pengajian mereka, sudah ribuan ulama, teknokrat dan profesional dilahirkan, namun umat Islam seperti kelemasan dan kehilangan tiang penguatnya. Ke mana perginya mereka ini semua?

Hari ini kita melihat kehidupan kita dan tuntutan Islam terpisah seolah-olah kehidupan kita berada di satu lembah manakala tuntutan perjuangan dakwah dan mempertahankan Islam berada di satu lembah yang lain, Islam berada di suatu lembah manakala umat Islam berada di suatu lembah yang lain. Kesannya, Islam dan umat Islam menjadi sasaran musuh. Ustaz Sa’id Hawwa ada menyatakan:

“Kita dapati Islam dan kaum Muslimin menjadi sasaran musuh luar dan dalam...”

Begitulah berjayanya musuh-musuh Islam khususnya mempengaruhi generasi muda, mengasingkan jiwa umat dengan perjuangan dan tugas asasi kita. Semua ini berpunca dari kelemahan umat memelihara kebersihan Aqidah mereka. Aqidah umat Islam tidak lagi berfungsi akibat pengaruh sistem kehidupan bukan Islam yang mengarah kepada kecintaan dunia semata. Sedangkan da’wah Rasulullah SAW mengajak kepada aqidah yang soheh, hidup dan berfungsi. Aqidah yang menerima Allah SWT sebagai Ilah dan Rabb. Menerima HakimiyyahNya. Menerima Deen-Nya serta mendaulat dan mempertahankannya di sepanjang hayat.

Umat kelihatan seperti telah meninggalkan sebahagian dari tuntutan Al Quran dan mengambil hanya yang disukai oleh hawa nafsu. Firman Allah SWT:

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian al-Kitab dan ingkar dengan sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripada kamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan di Hari Akhirat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah daripada apa yang kamu perbuat.” (al-Baqarah: 85)

Sedangkan hakikatnya kita perlu menghayati dan melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam kehidupan dan tiada pengasingan atau pemisahan dalam mana-mana aspek kehidupan. Firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan syaitan.” (al-Baqarah: 208)

Proses Kembali Matlamat Kehidupan

Mari kita proses kembali matlamat kehidupan kita dengan melaksanakan tarbiyah (didikan) Islamiyah yang benar untuk melahirkan muslim yang serasi dan komited dengan Islam. Muslim yang berkerja untuk Islam sepanjang hayat. Muslim yang memiliki sifat-sifat mahmudah seperti yang dimiliki para sahabat Rasulullah SAW. Muslim yang menjadi rijal dan mujahid yang mukhlis. Muslim yang terikat dengan akhirat. Muslim yang merasai Ukhuwwah Fillah.

Didikan (Tarbiyah) yang dijalankan di atas asas Iman akan melahirkan kesungguhan di dalam kerja-kerja da’wah. Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna r.a. menyatakan:

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan dan memasukkan da’wah di hati sahabat-sahabatnya Generasi Awal ialah menyeru mereka supaya beriman dan beramal. Kemudian dihimpun hati mereka dengan penuh kasih sayang dan persaudaraan, mereka berhimpun di atas kekuatan aqidah dan kekuatan kesatuan, maka jadilah mereka jamaah contoh yang semestinya terjulang kalimah dan da’wahnya, memperolehi kemenangan walaupun ahli-ahli bumi seluruhnya tidak menyetujui dan menentang mereka.”

Ini barisan muslimin yang bangkit sebagai du’at. Mereka berda’wah kepada keluarga dan masyarakat agar kembali kepada Islam sebagai Deen Allah yang bersifat Kamil dan Mutakamil. Inilah model kita, inilah perjuangan dan halatuju kita, inikah standard dan petunjuk aras (KPI) kita.

Menegakkan kembali Deen Allah SWT adalah amanah Qubra (besar) dan taklif Rabbani. Generasi pemuda yang memilih jalan dakwah dan perjuagan Islam, andalah yang harus memikul amanah dan taklif ini kerana pemuda biasa yang telah menjadikan dunia untuk dicintainya, tidak mampu memikul tugas besar ini. Kehadiran pemuda yang mencintai jalan dakwah ini akan emenguatkan umat kerana kita adalah salah seorang daripada pejuang aqidah yang bertanggungjawab menjaga antara ribuan penjuru-penjuru Islam yang perlu dikawal dan dipertahankan agar musuh tidak dapat menceroboh.

Bersama-samalah kita memikul tugas yang mulia ini. Mengajak masyarakat ke jalan Allah SWT secara jama’i, dengan penuh rasa Ukhuwwah dan dengan mempersaksikan Qudwah Hasanah demi pengabdian kepada Allah SWT.

Medan da’wah dan berkerja untuk Islam (du’at) adalah medan yang Allah SWT muliakan. Begitu juga du’at menjadi mulia di atas medan ini. Du’at hidup dan mati di atasnya. Du’at beristiqamah di atasnya hingga kembali bertemu Allah SWT dalam keadaan mendapat kasih-Nya dan terselamat daripada kemurkaan-Nya.

Ya, kita mengakui kualiti amal dan iman kita masih rendah berbanding dengan ‘Imaad Aql, apatah lagi jika dibandingkan dengan kualiti amal dan iman para sahabat RA. Justeru kita perlu sedar bahawa banyak perkara, kerja dan persiapan yang perlu kita usahakan. Jangan berlemah lagi, jawatan du'at sedia menanti buat para pemuda pemudi rabbani. Ayuh kita langkahkan tapak-tapak suci, lepaskan semua beban dalam diri, raih kemenangan yang hakiki, gapai syurga yang pasti.

Wallahu’alam.

2 comments:

  1. Alfatihah utk para mujahid. Malunyer aku pd diri sendiri. Anak2ku, anak2 bangsaku....Bangkitlah dari selimut tidurmu,dari lalai mimpi mayamu. Takbir.

    ReplyDelete
  2. salam..

    adkh 'mengajak' itu memerlukn kpd kata2?
    klau qudwah je, camne??

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah