Tuesday, March 08, 2011

Berguru Bersama Ali Bin Abi Talib RA


Hari ini mari kita berguru bersama Ali bin Abi Thalib RA, kita meneladani beliau untuk menjadi pemuda muslim yang luarbiasa di sisi Allah SWT. Manakan tidak, beliau dikenali sebagai orang yang alim dan bijaksana, penghafal Quran, seorang sasterawan dan ahli pidato,seorang pahlawan perang dan negarawan. Dia seorang yang berilmu dan cintakan ilmu. Ali juga adalah pelopor ilmu tauhid, ilmu mantiq, fiqih, ilmu nahu dengan penulisan bahasa Arab.

Segera Menyahut Seruan Dakwah
Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian Rasulullah SAW. Beliau adalah remaja paling kecil dari saudara-saudaranya, dan dididik di rumah Nabi SAW, dan saat wahyu diturunkan kepada Rasulullah SAW, baginda SAW mengajak Ali bin Abi Thalib untuk beriman kepada Allah yang Maha Esa, maka segeralah Ali menerima da’wah tersebut dan memeluk agama Allah (Islam), sehingga Ali dianggap sebagai orang pertama yang masuk Islam dari golongan anak-anak. Saat Rasulullah SAW memulakan dakwah kepada sanak saudaranya, Rasulullah SAW telah mengundang sekalian sanak saudaranya pada satu jamuan di rumahnya. Setelah mereka datang maka Rasulullah SAW pun menerangkan kepada mereka itu tentang agama Islam yang dibawanya itu. Maka Abu Lahab memutuskan pembicaraannya serta menyuruh hadirin yang lain supaya meninggalkan jamuan makan itu. Pada keesokan harinya Rasulullah SAW mengadakan pula jamuan makan, dan setelah selesai bensantap, maka bersabdalah Rasul SAW.:

"Saya rasa tidak ada seorang yang membawa sesuatu yang lebih mulia daripada yang ku bawa sekarang. Maka siapakah di antara kalian yang akan menolongku? Tatkala mendengarkan rayuan Rasul itu mereka semua marah lalu bangkit untuk meninggalkan rumah itu. Tetapi Ali yang masih lagi belum baligh ketika itu lantas bangun seraya berkata, "Hai Rasulullah, akulah yang akan menolongmu. Aku akan memerangi sesiapa sahaja yang akan memerangimu, lalu disambut oleh hadirin dengan tertawa sambil melihat-lihat Abu Talib dan anaknya itu. Kemudian mereka meninggalkan rumah Rasul itu sambil mengejek-ejek. Begitulah sikap Ali yang optimis dan segera menyahut seruan dakwah Ilallah.

Saat bapa Ali bin Abi Thalib melihatnya solat bersama Rasulullah SAW, ayahnya berkata kepadanya : “Wahai anakku, agama apakah yang engkau anut ini?” Ali berkata : “Wahai Abi, saya beriman kepada Allah, dan percaya dengan apa yang dibawa oleh Muhammad, saya solat bersamanya dan mengikutinya”. Lantas bapanya berkata : “Ketahuilah bahawa dia (Nabi) tidak akan mengajak kamu kecuali dalam kebaikan, maka ikutilah dia”. Ali amat akrab dengan Rasulullah SAW. sehingga beliau pernah berkata:

"Nabi membesarkan aku dengan suapannya sendiri. Aku menyertai beliau kemanapun beliau pergi, seperti anak unta yang mengikuti induknya. Tiap hari aku dapatkan suatu hal baru dari karakternya yang mulia dan aku menerima serta mengikutinya sebagai suatu perintah".

Rasulullah SAW sangat mencintai Ali dan selalu memujinya, pernah baginda bersabda kepadanya : “Engkau adalah sebahagian dariku, dan Aku adalah sebahagian darimu”. (Al-Bukhari)

Pemuda Yang Berani
Rasulullah SAW ada bersabda: "Tiada pemuda sehebat Alî". Ali bin Abi Thalib mengajar kita erti keberanian, ketaatan dan kepatuhan dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah dan jihad. Saat Rasulullah SAW akan melakukan hijrah ke Madinah, baginda memerintahkan kepada Ali bin Abi Thalib untuk tidur diatas dipannya, dan disaat malam mulai gelap sekelompok kafir Mekah melakukan pengepungan dimana setiap orang diantara mereka menggenggam pedang yang menghunus tajam, mereka berdiri di depan pintu rumah Rasulullah SAW menunggu keluar untuk menunaikan solat fajar agar mereka dapat memenggal baginda sekaligus, namun Allah SWT telah membongkarkan konspirasi tersebut dan menyuruh baginda untuk keluar dari hadapan mereka. Lalu Nabipun keluar dari rumahnya sedangkan Allah SWT telah membutakan penglihatan orang-orang musyrik, dan nabi menaburkan debu diatas kepala mereka sambil membacakan firman Allah SWT :

“Dan kami jadikan penghalang dihadapan mereka dan dibelakang mereka, dan kami butakan mereka hingga mereka tidak dapat melihat”. (Yasin : 9)

Kemudian saat matahari mulai terbit; orang-orang musyrik baru sedar lalu masuk ke rumah Nabi sambil menghunuskan pedang mereka untuk membunuh orang yang sedang tidur, namun mereka tidak menemukan Rasulullah SAW disana kecuali menemukan Ali bin Abi Thalib, yang segera bangkit dari tidurnya sambil berhadapan dengan mereka dengan gagah berani.

Setelah Rasulullah SAW hijrah ke Madinah, Ali tinggal di Mekah selama beberapa saat untuk menunaikan tugasan yang diwasiatkan kepadanya seperti yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Dan setelah Ali hijrah ke Madinah Rasulullah SAW telah mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar, lalu beliau berkata kepada baginda :
“Wahai Rasulullah, engkau telah mempersaudarakan antara para sahabatmu, tapi saya belum engkau persaudarakan dengan siapapun?.” Lalu baginda bersabda kepadanya : “Engkau adalah saudaraku di dunia dan di Akhirat”. (ibnu Abdil Bar)

Pemuda Syurga
Ali bin Abi Thalib adalah pemuda syurga. Tidak rugi kita menjejaki kehidupan beliau. Suatu hari Rasulullah SAW telah memberikan khabar gembira kepada Ali bin Abi Thalib dengan syurga, beliau adalah salah seorang calon penghuni syurga yang tidak akan dihisab terlebih dahulu.

Kita juga boleh belajar kehidupan cinta dan kasih sayang dari Ali bin Abi Thalib terhadap wanita pilihannya. Rasulullah SAW telah mengahwinkan beliau dengan salah seorang puterinya, Fatimah. Ali telah memberikan mahar dengan wang dari harga baju besi yang dihadiahkan oleh Rasulullah SAW kepadanya, lalu beliau menjualnya dan memberikan wang tersebut kepada wanita yang paling mulia di dunia dan puterinya Rasulullah SAW.

Ali menjalani kehidupan keluarganya bersama isterinya dengan aman, tenteram dan penuh kasih sayang, dan keluarga beliau dikurniakan anak kembar Hasan dan Husain.

Suatu hari Rasulullah SAW pergi ke rumah Ali namun baginda tidak menemui Ali di sana, lalu baginda bertanya kepada isterinya : “Dimana suamimu berada ?” Fatimah menjawab : “Di masjid” lalu Rasulullah SAW pun pergi ke sana, dan baginda mendapati baju Ali bin Abi Thalib terjatuh dari pundaknya dan terkena debu, lalu bagindapun membersihkannya, dan berkata : “Duduklah wahai pemuka debu… duduklah wahai pemuka debu”. (Al-Bukhari)

Pahlawan Perkasa
Ali bin Abi Thalib adalah seorang pahlawan yang hebat. Ali telah mengikuti seluruh peperangan, beliau terkenal dengan keberanian dan kepahlawanannya. Ketika berlaku Perang Badar, yang merupakan perang pertama yang terpaksa diharungi oleh kaum muslimin menghadapi musuh yang jauh lebih besar jumlahnya, untuk pertama kalinya panji perang Rasulullah SAW berkibar di medan pertempuran. Orang yang diberi kepercayaan memegang panji yang melambangkan tekad perjuangan menegakkan agama Allah SWT itu ialah Ali bin Abi Thalib.

Dalam perang Badar itu pasukan muslimin tidak sedikit yang menerjang musuh hanya dengan senjata-senjata tajam yang sangat sederhana. Sedangkan musuh yang dilawan mempunyai senjata lengkap dengan kuda-kuda tunggangan dan unta-unta. Tetapi sebenarnya kaum muslimin mempunyai senjata yang lebih ampuh berbanding lawannya, iaitu kepimpinan Rasulullah SAW dan kepercayaan kuat bahawa Allah pasti akan memberikan pertolongan-Nya. Allahu Akbar.

Ketika peperangan mula berkobar, Ali bin Abi Talib RA bersama Hamzah bin Abdul Mutalib RA dan beberapa orang lainnya, berada di barisan hadapan. Pada tangan Ali RA berkibar panji perang Rasulullah SAW. Beliau terjun ke medan perang menerjang pasukan musuh yang jauh lebih besar dan kuat. Dalam perang ini untuk pertama kalinya kalimah Allahu Akbar berkumandang menyuburkan tekad pasukan muslimin. Saat itu terdengar suara musuh menentang, Wahai Muhammad, suruhlah orang-orang yang berwibawa yang berasal dari Quraisy supaya tampil!

Mendengar cabaran itu, laksana singa lapar, Ali Bin Abi Talib RA meloncat mara ke depan mendekati suara yang mencabar itu. Terjadilah perang satu lawan satu antara beliau dengan Al Walid bin Utbah, saudara Hindun isteri Abu Sufyan. Dalam pertempuran yang sengit itu, Al Walid mati di hujung pedang Ali Bin Abi Talib RA.
Pada saat terjadi perang Khaibar, Nabi SAW bersabda : “Besok saya akan memberikan bendera kepada seseorang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya (atau dia berkata : orang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya), semoga Allah membukakan tangannya (memberkahinya)”. (Al-Bukhari)

Lalu para sahabatpun berharap mendapatkan apa yang telah Rasulullah SAW sabdakan menjadi pemegang bendera, lalu setelah hari menjelang pagi, Nabi bertanya keadaan Ali, dikatakan kepadanya : “Sesungguhnya mata beliau sedang sakit wahai Rasulullah”. Nabi bersabda : “Utuslah salah seorang dari kalian kepadanya dan datangkanlah dia kepadaku”

Setelah Ali menghadap Rasulullah SAW, baginda membasuh matanya dan mendoakannya, maka setelah itu mata Ali sembuh seakan tidak pernah mengalami sakit apapun, kemudian Ali berkata kepadanya : “Wahai Rasulullah, saya akan memerangi mereka sampai menjadi seperti kami. Nabi bersabda :

“Lakukanlah dengan mengutus delegasi hingga dapat mengetahui keadaan mereka, kemudian serukanlah kepada mereka akan Islam, dan khabarkanlah tentang kewajiban dari hak Allah di dalamnya, demi Allah, jika seorang diantara mereka mendapatkan hidayah melaluimu lebih baik bagimu dari unta merah” (Al-Bukhari) kemudian Allah memberikan kemenangan melalui tangannya.

Ilmuwan Terbilang, Tekun Beribadah
Ali bin Abi Thalib juga seorang cendikiawan. Beliau banyak menguasai ilmu pengetahuan, saat Aisyah RA ditanya tentang sesuatu dia menjawab : “Tanyakanlah kepada Ali. Sebagaimana Umar juga berkata demikian. Sedangkan Ali pernah berkata : “Tanyakanlah kepada saya , demi Allah tidak ada pertanyaan yang kalian tanyakan kepada saya kecuali akan saya khabarkan kepada kalian, tanyakanlah kepada saya tentang Al-Qur an, kerana demi Allah tidak satu ayatpun yang turun kecuali saya mengetahui waktu malam atau siang turun ayat tersebut, di daratan ataupun dipergunungan.

Ali bin Abi Thalib juga seorang ahli ibadah. Beliau sangat tekun beribadah, sentiasa melakukan qiyamul lail dan memanjangkan solatnya, dan beliau berkata : “Apa urusan saya dengan dunia, wahai dunia yang menyimpangkanku dari selainku”.

Wasiat Terakhir
Allah SWT mentakdirkan Ali Bin Abi Talib RA meninggal dunia pada 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah. Ketika beliau sedang berjalan menuju ke masjid untuk sembahyang Subuh, tiba-tiba muncul Abdul Rahman bin Muljam dengan pedang terhunus. Pedang itu telah mencederakan Ali Bin Abi Talib RA dengan parah hingga beliau rebah.

Ali Bin Abi Talib RA kemudiannya telah diusung pulang ke rumahnya oleh Sahabat. Ketika itu ramai yang ingin membalas dendam tetapi Ali Bin Abi Talib RA sendiri dengan lapang dada dan ikhlas langsung tidak menyebut tentang balas dendam. Umat Islam merasa sedih melihat keadaan Ali Bin Abi Talib RA yang semakin lemah.
Ali Bin Abi Talib RA tahu bahawa sudah hampir masanya untuk beliau menyusuli Rasulullah SAW dan tiga orang Khalifah baginda sebelum ini.

Dalam keadaan sangat yang sungguh berat itu, Ali Bin Abi Talib RA sempat berwasiat:

"Ku wasiatkan kepada kamu supaya tetap bertaqwa kepada Allah. Janganlah kamu mengejar-ngejar dunia walau dunia mengejar kamu dan janganlah menyesal jika ada sebahagian dunia itu terlepas darimu. Hendaklah kamu mengatur baik-baik urusan kamu dan jagalah hubungan persaudaraan antara kalian. Ketahuilah, pertengkaran itu merosakkan agama dan ingatlah bahawa tidak ada kekuatan apa pun selain atas perkenan Allah. Perhatikan anak-anak yatim agar jangan sampai mereka kelaparan dan jangan sampai kehilangan hak. Perhatikan Al Quran, jangan sampai kamu mendahulukan orang lain dalam mengamalkannya. Perhatikan tetangga kamu sebab mereka adalah wasiat Nabi kamu."

1 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah