Tuesday, March 15, 2011

Tsunami Jepun vs Tsunami Acheh


’’ Katakanlah: Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas sebahagian yang lain.Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya”. (Surah Al An’aam: 65).

Ketika Acheh dilanda gempa bumi dan tsunami pada akhir Disember 2004, ribuan mangsa terkorban. Penulis sempat menyertai pasukan misi pertama bantuan kemanusiaan HALUAN ke Acheh seminggu selepas kejadian tersebut. Penulis dapat melihat sendiri kerosakan dan kemusnahan yang sangat dashyat. Malahan saat kami melalui kawasan perkampungan yang telah berubah menjadi padang jarak padang terkukur, kaki penulis ketar, hati penulis berdebar, penulis menahan air mata dari mengalir di pipi, gentar melihat alunan ombak yang indah pada pandangan mata tetapi mampu berubah menjadi “ganas” membadai bumi. Di Acheh, Allah SWT memperlihatkan sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran-NYA. Acheh digelar serambi Mekah, majoriti penduduknya adalah Islam dan berusaha melaksanakan undang-undang syariah di negeri mereka. Sebelum tsunami, umat Islam di sana bergolak dan berhadapan dengan palbagai ancaman dan permasalahan. Tsunami telah merubah mereka, bukan sekadar landskap geografi negeri mereka, tetapi turut memberi impak perubahan kepada landskap politik, keimanan dan kehidupan mereka. Tsunami telah mengajar mereka erti dan hakikat kehidupan! Memahamkan mereka makna kesatuan umat dan kebesaran Tuhan! Mengajar mereka kepada siapa manusia patut berharap dan berserah diri? Dan pengajaran besarnya, Allah SWT memperingatkan manusia bahawa Dia-lah pemilik alam ini dan seluruhnya. Bukan sekadar mereka yang di Acheh sahaja yang boleh mengambil ibrah, tetapi kita juga yang di sini.

Tsunami Membadai Jepun
Terkini, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami, ribuan juga dijangkakan terkorban. Takziah buat masyarakat Jepun. Jepun adalah ikon Negara paling maju, memiliki sistem pertahanan dan teknologi yang jauh ke hadapan berbanding Acheh. Mereka memiliki kepakaran dan perancangan untuk berhadapan dengan sebarang kejadian alam seperti gempa bumi dan tsunami. Jepun telah lebih awal melakukan persiapan berbanding Acheh dalam berhadapan dengan gempa bumi dan tsunami, sehingga jumlah yang terkorban lebih sedikit dibandingkan Acheh. Di Acheh mencapai angka 120 ribu nyawa terkorban akibat tsunami, di Jepun dijangka 10 ribu yang terkorban pada saat ini. Sedangkan kerosakan fizikal yang berlaku di Jepun lebih teruk berbanding Acheh. Hal ini disebabkan kerana Jepun memiliki sistem amaran awal gempa dan alat pengesan gempa dan tsunami yang berfungsi dengan baik. Ianya berjaya mengelakan lebih ramai rakyat Jepun terkorban akibat tsunami. Tetapi kecepatan pergerakan manusia masih kalah berbanding dengan kecepatan air bah yang dihasilkan oleh tsunami. Sehingga kematian tetap berlaku. Saat ini Jepun masih “dikejutkan” dengan ujian tsunami. Hampir 2 juta kehilangan tempat tinggal, entah berapa billion kerugian yang mereka hadapi. 1 juta mangsa menghadapi krisis air bersih.Tsunami Jepun juga dilaporkan mampu mencetuskan tsunami ekonomi dunia. Tsunami pada kali ini berbeza daripada tsunami di Acheh. Kesan tsunami Jepun turut akan melanda Negara-negara lain melalui tsunami ekonomi.

Islam di Jepun

Masjid Kobe Jepun, di bina pada tahun 1090

Acheh dan Jepun, 2 buah Negara yang berbeza iklim politik, agama, kekayaan, budaya, ekonomi dan kefahaman mereka tentang kehidupan. Jepun telah dikenali sebagai sebuah Negara paling maju dan kuasa besar dalam ekonomi. Jepun berusaha mengekalkan ‘kejepunan’ (japaneseness) mereka dalam proses membina kemajuan. Nilai-nilai masyarakat Jepun yang baik cuba dikekalkan. Banyak nilai-nilai mulia dan tinggi dalam masyarakat Jepun. ‘Japanese values’ ini sebahagian besarnya seiras dengan tuntutan Islam. Masyarakat Jepun terkenal dengan nilai-nilai mulia seperti bersih, menepati waktu, santun, kuat bekerja dan hubungan kekeluargaan. Sebenarnya, nilai-nilai mulia ini adalah nilai yang dipegang oleh masyarakat Jepun sebagai adat dan budaya. Ia bukan kerana asas agama. Masyarakat Jepun mempunyai pelbagai agama. Bahkan agama tidak mempunyai peranan besar dalam kehidupan mereka. Dalam sebahagian kajian menunjukkan kebanyakan masyarakat Jepun tidak berpegang kepada apa-apa agama. Nilai-nilai agama juga tidak ditonjolkan di khalayak awam. Sementara nilai-nilai mulia bangsa itu dipatuhi dan diwarisi dari generasi ke generasi.

Jika budaya dan adat yang tidak menjanjikan syurga dan neraka, tidak berpaksikan konsep ketuhanan atau tauhid mampu membentuk kualiti masyarakat Jepun, bagaimana dengan kita umat Islam, jika agama yang kita anuti gagal berperanan dalam membangunkan kualiti masyarakat kita. Sepatutnya Islam yang bersumberkan wahyu, arahan dari Allah patut memberi lebih impak dalam masyarakat kita melebihi masyarakat Jepun.

Islam di Jepun masih baru. Menurut Professor Kosugi Yasushi, pengarah Center for Islamic Area Studies, muslim pertama di Jepun adalah pada tahun 1891. Orang Jepun pertama pergi haji pada tahun 1909. Masjid pertama di Jepun ialah di Kobe, pada tahun 1934. Kemudian Masjid Tokyo pada tahun 1938. Ertinya, Islam masih baru di Jepun. Hanya sekitar 100 tahun. Ada beberapa krisis Dunia yang menyebabkan timbul minat masyarakat Jepun ingin mengenali Islam, antaranya krisis minyak pada tahun 1973, Revolusi Iran 1979 dan tragedi 11 September 2001. Hari ini dianggarkan 10,000 rakyat Jepun yang menganut Islam. Perkahwinan dengan muslim salah satu faktor kemasukan rakyat Jepun ke dalam Islam.

Bangsa Jepun adalah bangsa yang maju. Penulis yakin mereka akan cepat belajar daripada kejadian Tsunami yang paling dashyat melanda mereka pada kali ini. Mereka akan berusaha mempertingkatkan lagi kecanggihan teknologi mereka untuk berhadapan dengan bencana mendatang. Persoalannya apakah cukup sekadar bergantung kepada ketinggian intelektual dan kecanggihan teknologi? Firman Allah SWT:

” Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu;dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggemparkan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi;dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”. (Al-'Ankabut:4).

Kejadian tsunami di Jepun memberi peluang kepada umat Islam dari seluruh dunia, khsuusnya NGO Islam dan pertubuhan kebajikan Islam unttk turun padang memberi khidmat dan bakti kepada mangsa tsunami di Jepun. Sebagaimana missionari Barat berbondong-bondong memasuki Acheh saat di landa tsunami. IHH, sebuah badan kebajikan dan kemasyarakatan Islam yang bertaraf antarabangsa dari Turki telah pun menghantar pasukan pertama mereka ke Jepun, NGO Islam dari Malaysia bila lagi? Benar Jepun negara maju dan mereka tidak perlu bantuan luar. Yakinlah dakwah tidak akan bergerak ke mana sekiranya alasan demi alasan kita longgokkan di hadapan kita untuk tidak ke sana. Peluang ini hanya datang sekali, semoga banyak lagi NGO Islam dan pertubuhan Islam mengikuti jejak langkah pertubuhan IHH. Dengan hadirnya kita di sana akan mendekatkan lagi peribadi, sahsiah dan keindahan Islam kepada mereka. Inilah masanya mereka melihat bahawa Islam adalah merentasi sempadan dan Islam mengambil berat permasalahan mereka.

Belajar Dari Tsunami
Sebagai muslim, setiap kejadian musibah pasti ada hikmah dan pengajarannya. Wujud pandangan yang menyatakan gempa bumi dan tsunami adalah perancangan Allah untuk menyucikan dosa umat manusia. Namun, sejauh manakah kita mampu akur dengan kenyataan ini, jika masing-masing masih mempertikaikannya. Jika benar musabab ini yang sedang ditunjukkan Allah, maka sewajarnya semua pihak bermuhasabah diri, terutama terhadap tanggungjawab dan amanah kepada-Nya.

Sesungguhnya, Allah mampu menurunkan ujian yang lebih perit dan hebat daripada apa yang kita dapat pada hari ini. Bahkan Allah SWT mampu turunkan bala dan ujian samada di Negara miskin mahupun di Negara termaju. Samada di Indonesia, Jepun, Amerika, Sudan, Palestin, Mesir, mahupun Malaysia.

Dalam Al-Quran Surat 11 (Huud) ayat 3 dan 11, Allah SWT berfirman yang ertinya:

“dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. (Jika kamu mengerjakan yang demikian), niscaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus menerus) kepadamu sampai kepada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada tiap-tiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa siksa hari kiamat.” (Huud ayat 3)

“kecuali orang-orang yang sabar (terhadap bencana), dan mengerjakan amal-amal soleh; mereka itu beroleh ampunan dan pahala yang besar.” (Huud ayat 11)


Allah SWT berfirman:

"Dan biasanya kami tidak menurunkan tanda-tanda itu melainkan untuk menjadi amaran" (Al Israa: 59).


Maknanya, Allah SWT menimbulkan rasa takut dalam jiwa hamba-hamba-Nya dengan tanda-tanda yang agung itu. Berkata Qatadah rahimahullah:

"Sesungguhnya AllahSWT menakutkan manusia dengan tanda-tanda kekuasaan yang Dia hendaki, agar mereka mengambil pengajaran, ingat bahawa mereka akan kembali kepada Allah SWT".

Maka sebagai seorang mukmin itu, perlulah kita bina rasa takut kepada azab Allah SWT, merenung dan mengambil pengajaran dari setiap ujian yang diturunkan-Nya kepada kita. Wallahu’alam.

2 comments:

  1. asslamualaikum.

    Betul kata ustaz, melihat setiap kejadian dengan mengambil pengajaran darinya. Semoga kita diberi hidayah untuk lebih insaf diri, hari ini mungkin disana , entah-entah besok ia disini pula.Mungkin dalam bentuk yang berbeza tetapi bila Allah datangkan bala,semua sekali akan terkena samaada yang taat atau yang derhaka cuma yang akan berbeza adalah diakhirat sana

    ReplyDelete
  2. saya setuju..sama-sama ambil tahu dari hikmah ni

    ReplyDelete

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah