Tuesday, May 24, 2011

Kemboja: Muhasabah Dari Sungai Mekong (1)







Musafir selama 5 hari ke Kemboja bersama rombongan Ziarah Dakwah dan Khidmat Masyarakat anjuran HALUAN Kelantan dan Kolej Terknologi Darulnaim dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan dan Pejabat Mufti Kemboja meninggalkan kesan yang besar kepada penulis dan semua yang terlibat. Besar manfaatnya bagi jiwa kami yang dapat menyertai ziarah dakwah ini, benarlah firman Allah melalui surah al-Hajj, ayat 46, yang bermaksud;

"Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada."

Sejak disesi taklimat lagi di LCCT, kami diperingatkan akan matlamat misi kami. Yang dikasihi Hj Mohd Nasir Saat (YDP HALUAN Kelantan) mengingatkan kami agar memperbetulkan matlamat yang sahih iaitu hanya sanya untuk mencari redha Allah SWT semata, menjadikan titik tolak perjalanan ziarah tarbawi ini unik dan Islami. Apalah maknanya sesebuah rombongan pelancongan jika ianya tidak disertai dengan matlamat yang betul dan benar. Satu ‘sen’ pahala pun tidak diperolehi! Apatah lagi keredhaan Allah SWT.

Buat pertama kali, penulis menjejak kami ke bumi Kemboja. Bumi Kemboja merupakan sebuah negara di Asia Tenggara dan bersempadankan Thailand di barat, Laos di timur, Vietnam di timur dan Teluk Siam di selatan. Negara yang mempunyai jumlah penduduk 13 juta ini beribu negara di Phnom Penh. Kemboja merupakan negara pengganti Kerajaan Khmer yang mengalami zaman kegemilangannya pada adab- ke-11 hingga abad ke-14. Pada zaman keemasannya, Khmer berjaya menguasai seluruh Semenanjung Indochina. Agama utama yang diamalkan di Kemboja ialah agama Buddha Thevarada. Agama lain termasuklah Islam (penduduk Cham) serta animisme di kalangan kaum peribumi. Antara sumber air yang terkenal di Kemboja ialah Sungai Mekong dan Tasik Tonlé Sap yang merupakan sumber makanan serta pendapatan yang penting bagi penduduknya.

Kemboja pernah derita di bawah pemerintahan Pol Pot. Sepanjang penguasaan "Regime of Democratic Kampuchea (DK) (1975-1979) yang dipimpin oleh Pol Pot dan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Kampuchea telah meninggalkan kesan sejarah kezaliman manusia yang besar. Dimana dalam tempoh 3 tahun 8 bulan 20 hari pemerintahannya seramai lebih 1 juta orang terkorban. Bahkan terdapat catatan yang mengatakan hampir 3 juta orang yang terkorban diseluruh Negara Kemboja. Manakala 6 juta lagi penduduk Kemboja yang terselamat dihantui oleh trauma yang berpanjangan, di samping mewariskan kemiskinan, menjadikan Negara Kemboja ketinggalan 30 tahun dibelakang pembangunan kebanyakan negara-negara lain di rantau ini.

Mangsa pembunuhan kejam Pol Pot yang paling menonjol ialah kumpulan etnik Cham. Sebelum Khmer Rouge menguasai Kemboja, dianggarkan orang-orang Islam Cham meliputi 10peratus (700,000) dari 7 juta jumlah penduduk Kemboja ketika itu (1975). Tetapi selepas kejatuhan Khmer Rouge pada tahun 1979 terdapat hanya 200,000 etnik Cham yang masih hidup. Dengan itu dari sejumlah 2 juta rakyat kemboja yang terbunuh, 400,000 hingga 500,000 daripadanya ialah dari etnik Cham.

Diantara sasaran utama kekejaman Khmer Rouge ialah umat Islam dari etnik Cham. Untuk menyegerakan polisi "menghapuskan kepercayaan beragama", mereka telah memaksa orang-orang Islam Cham meninggalkan amalan beragama. Mana-mana pemimpin Islam yang kelihatan mempunyai pengaruh dikalangan masyarakatnya akan dibunuh. Sembahyang, berpuasa, zakat dan perayaan Islam dilarang sama sekali. Bahkan Al-Quraan, kitab-kitab agama, dan peralatan ibadah, seperti kain sarung, kain telekong solah bagi perempuan dirampas dan dibakar. Mereka juga dipaksa memakan daging babi dan wanita Islam dilarang bertudung.



ParTi Komunis Khmer Rouge sebenarnya bukan hanya memusuhi Islam, bahkan sebarang kepercayaan beragama. Namun oleh kerana masyarakat Islam yang paling menonjol dan komited dengan ajaran dan amalan beragama, maka sasaran utama Khmer rouge dihalakan kearah orang-orang Islam lebih daripada penganut agama-agama lain.

Begitulah dashyatnya kekejaman Pol Pot. Saat penulis di bawa menziarahi kawasan tragedi yang disebut sebagai “killing field”, berpuluh puluh peninggalan lubang besar masih kelihatan. Lubang-lubang ini menjadi pusat pembunuhan beramai-ramai rakyat Kemboja. Ramai tokoh politik, ahli cerdik pandai, ahli agama, tokoh masyarakat dan mahasiswa/pelajar di bunuh di sini termasuk bayi yang tidak berdosa dan kaum wanita.

Penulis bertanya pada diri sendiri, apakah yang Pol Pot cuba tunjukan kepada manusia? Apa yang beliau cari dalam kehidupan? Kekuasaan? Kekayaan? Populariti? Dari mana sikap kebinatangan dan kebuasan telah beliau warisi?

Kisah kekejaman sang manusia adalah kisah yang berulang-ulang di setiap zaman. Pol Pot adalah antara firaun kecil yang mewarisi kekejaman sang manusia yang tidak pernah mahu kenal akan hakikat penciptaannya. Dalam Al Quran sendiri telah dikisahkan pemerintahan Firaun yang kejam dan sombong. Mengaku dirinya Tuhan dan berkuasa. Semua manusia kena ikut telunjuknya. Tatkala mendengar akan kehadiran seorang bayi lelaki yang bakal menggugat kedudukan, maka dikerahkan agar di bunuh setiap bayi lelaki yang lahir. Beliau tidak sedar bahawa beliau berdepan dengan manusia pilihan Allah, Nabi Musa AS. Nabi Musa dan pengikutnya di buru Firaun. Allah menyelamatkan Nabi Musa AS dan pengikutnya dari kekejaman Firaun dan tentera-tenteranya serta menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keingkaran dan keangkuhannya.

Apa kesudahan Pol Pot? Beliau sudah mati. Beliau meninggalkan kisah sejarah hitam buat dirinya sendiri. Pol Pot tidak mati dalam kesenangan tetapi mati dalam keadaan kemiskinan dan derita kesakitan. Kuasa Pol Pot tidak ke mana. Kuasa siapa yang sebenarnya tetap utuh dan tidak pernah tergugat, samada saat Firaun berkuasa, mahupun Pol Pot di Kemboja? Firman Allah SWT:

“Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk)Nya, tidak mengantuk dan tidak pula tidur. MilikNya segala apa yang ada di langit dan di bumi. Tiada yang dapat memberi syafa’at di sisi Allah tanpa seizinNya. Allah Mengetahui apa-apa yang ada di hadapan dan di belakang mereka. Sedangkan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendakiNya. Kursi Allah luasnya meliputi langit dan bumi. Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan adalah Allah Maha Tinggi lagi Maha Agung”. (Al-Baqarah: 255)
Inilah hakikatnya yang sebenar. Kita hanya menumpang di bumi Allah SWT sahaja. Tapi berapa ramai penumpang-penumpang ini menjadi sombong dan lupa daratan. Mereka tidak menemui dan mengenal empunya kerajaan besar ini yakni Allah SWT. Mereka tertipu dengan nafsu dan kejahilan diri sendiri.

Kekejaman Pol Pot sebenarnya membuatkan penulis menghargai nikmat Islam dan nikmat Iman. Islam tidak pernah mengajar kita berlaku zalim dan khianat. Islam mengajar kita erti berkasih sayang. Islam mengajar kita erti kedamaian dan kebahagiaan. Iman mendorong kita menjadi muslim yang baik dan jujur. Iman mendorong kita untuk tidak khianat pada mas’uliyyah (tanggungjawab) yang telah Allah berikan kepada kita, sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Bangkitlah wahai umat Islam Kemboja. Islam yang masih ada rasai mampu membangkitkan anda menjadi umat terhebat kembali. Tunasnya sudah ada. Pewarisnya sudah tumbuh mekar. Bersabar dan istiqamahlah dengan Islam. Ayuh bangkit atas darah-darah umat Islam yang pernah mengalir di atas bumi Kemboja, yang pernah mengalir di dasar sungai Mekong. Saatnya sudah tiba… Belajarlah dari sejarah kehidupan, kerana ianya adalah sebahagian dari tarbiyah Allah SWT kepada kita semua, firman Allah SWT:

“Dan katakanlah, "Segala puji bagi Allah, dia akan memperlihatkan kepadamu tanda-tanda kebesaran-Nya, maka kamu akan mengetahuinya. Dan Tuhanmu tiada lalai dari apa yang kamu kerjakan." (An-Naml: 93)
Bersambung….

2 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah