Monday, June 20, 2011

Langkah Baru di KTD


Ketika sesi pendaftaran kemasukan pelajar baru di KTD, penulis menemui seorang pelajar baru yang duduk seorang diri dalam serba keresahan. Penulis menegurnya lantas memulakan bicara dengan bertanya khabar. Anak muda ini merasa bimbang adakah dia mampu belajar. Keputusan SPM beliau sekadar cukup makan melayakkan beliau menyambung diploma di KTD. Penulis bertanya apakah yang meresahkan diri beliau. Katanya, “Cikgu, saya telah mengecewakan ibu bapa saya. Sebelum ini mereka mengharap saya berjaya dengan baik semasa di tingkatan 5. Tapi keputusan SPM saya tidak seberapa. Mereka kini tidak yakin dengan saya lagi. Hari inipun saya datang seorang diri tanpa kehadiran mereka. Saya takut, apakah saya boleh berjaya. Saya takut saya akan gagal lagi dan akan mengecewakan ibu bapa saya lagi.”

Penulis merenung wajahnya. seraya berkata dengan lembut,

“Keputusan SPM bukanlah penentu kegagalan kita selamanya. Sekiranya kita memiliki hati yang sedar dan berjiwa besar, kita mampu melakar sejarah baru dalam kehidupan kita. Tidak ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya gagal. Belajarlah dari pengalaman kehidupan anda sendiri. Kehidupan ini adalah ibarat sebuah perjalanan panjang. Dalam perjalanan itu adakalanya kita ditimpa duka, musibah dan kegagalan. Adakalanya kita berjaya, bahagia dan cemerlang. Terpulanglah kepada hati dan semangat kita, bagaimana kita mahu melakar sejarah kehidupan kita. Jangan risaukan kegagalan yang lalu, tapi risaukan apakah kita sudah bersedia bangkit dari kegagalan tersebut. Allah masih sayangkan anda, lalu Allah memilih anda menjadi keluarga baru KTD, pasti ada hikmahnya.”

Pelajar itu memandang penuh minat. Penulis kemudian berkongsi lagi dengan beliau satu kisah simulasi kehidupan. Suatu ketika, ada dua orang sahabat telah mengembara dengan melintasi padang pasir yang luas. Sepanjang mata memandang, hanya tampak garis pasir yang terbentang. Sesekali debu pasir menerpa tubuh, dan membuat mereka berjalan merunduk agar terhindar dari angin yang membawa debu itu.

Tiba-tiba ada badai besar yang datang, hembusannya sangat kuat. Membuat tubuh mereka bergoyang, merekapun saling berpegangan, agar dapat bertahan dari badai itu. Namun ada musibah lainnya yang menimpa mereka, bekal minuman mereka telah di terbangkan badai, dan di dalam fikiran kedua sahabat tadi, mereka akan mati kehausan di tengah padang pasir yang luas.

Akhirnya, keduanyapun duduk termenung, menyesali atas kelalaian mereka sehingga menyebabkan kantung bekalan minuman mereka hilang di tiup badai. Mereka kini tidak yakin samada mampu atau tidak lagi mengharung padang pasir yang masih luas terbentang tanpa bekalan minuman. Lalu seorang dari mereka, menulis sesuatu di atas pasir dengan hujung jarinya. Goresan yang ditulisnya adalah,

“Kami sedih, kami telah kehilangan bekal minuman kami di tempat ini”.

Melihat tulisan itu, sahabat seorang lagi kelihatan kebingungan sambil melihat wajah sahabatnya. Tidak lama kemudian, setelah badai berlalu pergi, keduanya membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan mereka walaupun tanpa bekalan minuman. Mereka membuat keputusan tersebut kerana bagi mereka perjalanan ini perlu diteruskan. Mungkin dihadapan sana ada sesuatu yang boleh membantu perjalanan mereka.

Setelah lama menyusuri padang pasir, mereka melihat sebuah oasis dari kejauhan.”Wah kita selamat kawan! Lihat, ada air disana! Mudah-mudahan ini bukan fatamorgana”, seru seorang sahabat. Setelah berlari menuju ke arah oasis itu, ternyata memang ada sebuah kolam kecil dengan air yang cukup banyak. Keduanyapun segera minum sepuas-puasnya dan mengambil sisanya untuk bekal meneruskan perjalanan.

Sambil beristirehat, seorang dari sahabat itu mulai menulis sesuatu. Pisau yang digenggamnya digunakan untuk memahat di atas sebuah batu,

“Kami sangat bahagia saat ini, kami dapat meneruskan perjalanan, kerana menemukan tempat ini”.

Merasa bingung dengan tingkah sahabatnya itu, sahabat yang seorang lagi bertanya kepada temannya, “Sahabat, mengapa kini engkau menulis di atas batu, sementara tadi engkau hanya menulis di atas pasir saat kita kehilangan bekal minuman?!”.

Mendengar pertanyaan sahabatnya, beliau menjawab,

“Teman, saat kita mendapatkan kesusahan, tulislah semuanya itu di atas pasir. Biarkan angin keikhlasan akan membawanya jauh dari ingatan. Biarkan catatan itu akan hilang bersama menyebarnya pasir ketulusan. Biarkan semuanya hilang, lenyap, dan pupus. Namun ingatlah, saat kita mendapatkan kebahagiaan, pahatlah kemuliaan itu di atas batu. Agar tetap terkenang, dan membuat kita bahagia. Torehlah kenangan kesenangan itu dalam kerasnya batu, agar tidak ada sesuatu yang dapat menghapusnya. Biarkan catatan kebahagiaan itu tetap ada, biarkan semuanya tersimpan”.

Akhirnya, kedua sahabat itupun tersenyum. Bekal minuman mereka telah cukup, dan merekapun kembali meneruskan perjalanan mereka.

Penulis bertanyakan, apakah dia dapat belajar sesuatu dari kisah kedua sahabat tadi. Beliau tersenyum puas. Sebelum meninggalkan pelajar tadi, penulis melakarkan senyuman kepada beliau sambil berpesan,

“InsyaAllah, di KTD anda tidak akan berseorangan. Kita ada tempat mengadu yakni Allah SWT. Bergantung, berharap dan sentiasalah memohon kekuatan dari Allah. DI KTD anda akan ada ramai sahabat yang soleh yang akan bersama anda melakar kejayaan dan kebahagiaan. InsyaAllah, di KTD lakukanlah perubahan baru dalam hidup anda. Kita akan bersama membongkar potensi anda untuk berjaya, bersiap sedialah menjadi mahasiswa luarbiasa, bangkitkanlah diri anda dengan mutiara besar di KTD:

“Mengaji biar pandai (sehingga menjadi seorang profesional Islam), perangai biar jjuruh (berakhlak mulia sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita) dan hidup biar boleh tumpang (kejayaan kita adalah untuk kedua ibu bapa kita, untuk umat, dan untuk Islam).”

Jom kita pahat kejayaan dan kecemerlangan di KTD. Selamat berjaya mahasiswa baru KTD!

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah