Wednesday, June 08, 2011

Inspirasi Kesibukan Dari Insan Luar Biasa: Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman




Sepanjang bulan April – Julai, jadual kerja penulis amat sibuk dengan urusan KTD. Justeru penulis tidak berkesempatan untuk mengemaskinikan blog penulis usrahkeluarga, penulisan di langitilahi.com. hatta FB pun jarang-jarang update. Namun apabila penulis muhasabah kembali, ternyata penulis masih belum bijak mengurus masa penulis dengan baik sekali. Sebenarnya masih ada ruang dan masa lagi yang boleh dimanfaatkan, yang kurang adalah kesungguhan dan pengurusan masa yang efektif. Justeru, penulis bertanya kepada diri penulis, benarkah penulis sibuk?

Semua orang pernah sibuk dan sentiasa sibuk. Ada juga yang tidak sibuk, tapi nampak seperti sibuk. Kepada yang sentiasa sibuk, sibuk bagaimana yang kita bina selama ini.

Sibuk Berkerjaya
Mungkin anda pernah melihat (atau termasuk Anda?) orang yang begitu sibuk bekerja. Keluar awal pagi sekali, pulang sampai lewat malam, hari Sabtu dan Minggu juga sibuk bekerja. Saat ditanya, kenapa sibuk, jawapannya ialah tugasannya sangat banyak di pejabat dan selalu outstation. Dan pelbagai alasan lain yang diberikan. Tetapi ibadahnya tidak stabil, apa lagi kerja dakwahnya.

Sibuk Berdakwah
Di pihak lain pula, ada orang yang begitu semangat berdakwah. Hampir setiap hari keluar rumah untuk berdakwah. Mulai dari ceramah, mengisi pengajian, mengurus organisasi dakwah, mengisi khutbah Juma’at, menulis artikel, menulis buku, dan pelbagai kegiatan dakwah lainnya. Namun, kehidupan ekonominya lemah sekali, untuk menampung kos dakwahnya masih bergantung kepada orang lain dan mengharap ihsan orang lain.

Sibuk Beribadah
Ada juga orang yang siang malam selalu di Masjid. Solat berjamaah sentiasa hadir, membaca al Quran hampir setiap waktu, mengkaji kitab berjam-jam setiap harinya. Jika tidak maka mulutnya tidak lepas dari zikir. Tetapi kehidupan anak isterinya bergantung kepada saudaranya sendiri. Terkadang peribadi anak-anak dan isterinya jauh dari unsur masjid dan al Quran.

Manakah yang Anda pilih?
Saya mengenali seseorang yang ternyata amat sibuk dalam setiap hal di atas. Dia seorang profesional sekaligus seorang usahawan. Dia juga begitu aktif berdakwah, mengajar di masjid, memberi ceramah dan berforum, membentang kertas kerja di pelbagai seminar peringkat nasional dan antarabangsa, mengurus organisasi dakwahnya yang semakin dikenali masyarakat, dakwahnya melebar di peringkat tempatan sehinggalah antarabangsa, mengurus sebuah kolej sehingga kini menjadi pilihan ibu bapa dan pelajar lepasan SPM. Beliau juga masih sempat menghadiri halaqah tarbiyah mingguannya. Kesemua anak-anaknya juga berjaya dalam pendidikan dan memiliki peribadi mulia. Itulah pekerjaan sehariannya. Tentu saja ibadah-ibadah hariannya juga tidak ketinggalan. Beliau sentiasa solat berjamaah di masjid dan surau, kuat hafalan Qurannya, sentiasa memelihara solat sunat. Kehidupan keluarganya pula tetap harmoni dan bahagia.

Beliau yang penulis maksudkan ialah Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dan Presiden HALUAN Malaysia, Dr. Hj. Abdullah Sudin Ab Rahman. Beliau menjadi isnpirasi kepada penulis untuk berusaha semaksima mungkin mengefektifkan masa yang diberikan Allah SWT agar menjadi lebih bermakna.

Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman benar-benar memahami kata-kata Al Imam Hassan Al Banna bahawa “Kewajiban dakwah kita lebih banyak dari waktu yang kita ada”.

Masakan tidak, setiap saat masa beliau penuh dengan kegiatan yang bermanfaat. Hatta saat kami bersembang-sembang dengan beliau di warung makan, beliau jadikan pertemuan tersebut sebagai medan menasihati dan membimbing kami. Malahan beliau masih ada masa menjemput kami makan malam di rumahnya dan mendengar taujih-taujih pembakar iman buat kami agar sentiasa memelihara keikhlasan dalam bekerja. Kami juga teruja dengan cita-cita besar beliau, mengangkat KTD menjadi seperti Universiti Al Azhar. Menjadikan KTD sebagai pusat pendidikan, kebajikan dan melahirkan kepimpinan masa depan Islam.

Ada kata-kata hikmahnya yang sering beliau ingatkan kepada kami. Katanya, dalam kehidupan, semua orang mahukan duit. Namun apa makna duit itu samada sedikit atau banyak sekiranya ianya tidak boleh ditranformasikan menjadi pahala. Duit itu akan menjadi beban kelak di akhirat sekiranya kita menjadi hamba duit. Sedangkan duit yang dikawal dengan nilai Akhirat, akan membawa kebaikan di dunia dan di akhirat.

Beginilah insan luar biasa mengurus dan memandang kehidupan. Kacamatanya adalah kacamata akhirat. Mindsetnya juga mindset akhirat. Beruntungnya kami menjadi anak didik beliau. Semoga beliau terus thabat dan istiqamah memimpin kami. Kami amat mencintai dan menyayangi beliau sebagai seorang bapa, ketua dan murabbi. Semoga langkah beliau kami mampu turuti dan contohi.

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah