Miliki Iltizam Yang Tinggi! (2)
Akhlak yang terpuji harus dimiliki oleh seorang muslim yang beriltizam. Dan akhlak maknawiyah yang dimaksud tentu saja akhlak yang Islami dan Qurani.
Sesungguhnya Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia dan dipuji Allah sebagai orang yang berbudi pekerti agung.
"Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung." (Al Qalam:4)
Aisyah RA mengatakan bahawa akhlak baginda SAW adalah Al-Quran. Ertinya jika ingin melihat bagaimana Al-Quran dibumikan secara konkrit dalam sikap, perilaku, dan tindak tanduk di segala aspek kehidupan, lihatlah diri Rasulullah. Rasulullah boleh dikatakan “the living quran” atau Al-Quran yang hidup. Bila seorang da’i memiliki akhlak yang Islami ia akan mendapat manfaat besar. InsyaAllah dengan akhlah kita berdakwah dan dengan akhlak kita menjadi teladan.
Akhlak terpuji itu akan menjadi daya tarikan dakwah dan dirinya juga akan selalu terhindar dari fitnah. Rasulullah SAW misalnya pernah dikatakan seorang tukang sihir, gila dan sebagainya, tetapi akhirnya fitnah-fitnah itu terlepas dengan sendirinya melihat keutamaan peribadi Rasulullah.
Kekuatan akhlak lahir melalui proses panjang yang memerlukan kesediaan untuk sentiasa memberi komitmen dengan nilai-nilai Islam. Seorang ulama menjelaskan thariqah (jalan) untuk membina akhlak islami adalah dengan kemahuan untuk melaksanakan latihan (tadribat) dan pendidikan (tarbiyah). Setiap muslim memiliki kesempatan yang sama untuk menjadi baik atau buruk, masalahnya adalah sejauh mana usaha kita untuk mendisiplinkan diri dengan nilai-nilai dan amalan Islam bagi melahirkan muslim yang berakhlak ampuh. Malangnya keampuhan akhlak inilah yang sering dilupakan. Malah kian rapuh sehingga hilangnya jatidiri muslim hakiki. Justeru menjadi punca lunturnya sinar Islam pada penghujung zaman. Gejala keruntuhan akhlak yang berlegar di sekeliling kita seperti zina hati, mata, lisan dan seumpamanya meruntun jiwa kita selaku pendokong agama. Keruntuhan yang tidak dikawal pada satu tahap yang minima membawa insan kepada bertuhankan nafsu, lantas melupakan terus Pencipta Yang Maha Esa.
Rasulullah SAW pernah ditanya: "Apa itu agama? Baginda menjawab: Kemuliaan akhlak (Husnul Khulq). Bila ditanya tentang kejahatan, baginda menjawab: Akhlak yang buruk (Su’ul khalq).
Akhlak yang buruk dan iman tidak boleh hidup bersama. Ini kerana iman akan menyuburkan akhlak yang baik. Orang yang benar-benar beriman tidak akan melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan tatasusila kerana sistem akhlak dalam Islam tertegakkan melalui balasan sama ada hukuman atau ganjaran. Hukuman atau ganjaran boleh dikenakan di dunia atau di akhirat. Keyakinan terhadap sistem balasan ini banyak bergantung kepada iman seseorang.
Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan, pada asasnya akhlak seseorang boleh dibentuk dan diubah. Allah SWT telah memerintahkan manusia agar menjauhi akhlak yang buruk dan berusaha memiliki akhlak yang baik. Perintah Allah ini membuktikan bahawa manusia mampu memilih sama ada untuk berakhlak baik atau buruk. Hal ini bertepatan pula dengan kaedah fiqh iaitu taklif hanya menurut kemampuan dan tidak ditaklifkan suatu yang mustahil.
Akhlak mulia merupakan amal paling berat yang diletakkan dalam neraca hamba pada hari kiamat. Sesiapa yang rosak akhlaknya dan buruk amalannya tidak akan dipercepatkan hisabnya. Rasulullah SAW bersabda (antara lain, bermaksud):
“Tidak ada sesuatu yang lebih berat di atas neraca timbangan seorang hamba di hari kiamat selain dari akhlak yang baik” (Hadith Riwayat Abu Daud dan Tarmizi )
Dalam Islam, akhlak adalah merupakan intipati bagi segala ibadah. Tanpa akhlak ibadah hanyalah merupakan adat resam dan gerak laku yang tidak mempunyai nilai dan faedah. Contohnya dalam urusan solat, sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang sembahyang (tetapi) tidak dapat mencegah dirinya dari berbuat keji dan mungkar, ia akan bertambah jauh dari Allah” (Hadith Riwayat Thabrani)
Dalam urusan puasa, Rasulullah SAW ada bersabda:
“Apabila seseorang berpuasa, janganlah ia melakukan rafas (mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan rasa berahi, lucah atau bersetubuh) dan bertengkar. Jika ia dicerca atau diperangi maka katakana lah; saya ini sedang berpuasa.” (Muttafqun ‘alaih)
Assalamualaikum .. mohon share dan copy :) syukran jazilan :)
ReplyDelete