Sunday, March 25, 2012

Soal Jawab: Tarbiyah Tidak Melahirkan Amal?


Respon dari sebuah pertanyaan…:

Abi(rasa mesra) macamana pula andai kita sering kali mendengar sumber-sumber kekuatan seperti halaqah tarbawi dan juga liqo' tarbiyah, namun kita sering kali juga mengulangi dosa yang sama setiap hari..seperti gagal bangun subuh berjemaah di masjid atau tidur selepas subuh...mohon penjelasan dan taujihat dari Abi...:) .. (Akram Solihin)

Alhamdulillah, persoalan yang baik, ternyata anda amat peduli dengan sikap dan hubungan anda terhadap Allah SWT. Maka syukuri kerana dalam diri anda masih ada cahaya iman yang sensitif dengan dosa dan maksiat. Justeru tugas anda dan kita semua adalah mengaktifkan dinamika iman dan proses memperkukuhkan iman sehingga ia benar-benar menunjam ke dalam akar hati. Iman yang hidup akan membina satu perasaan positifnya kepada Allah, ingat sentiasa kepada Allah, lalu ia tunduk dengan penuh kekerdilan memohon keampunan kepada Allah. Firman Allah SWT:

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Dalam ayat di atas, hati yang tertarbiyah dengan keimanan akan memberi reaksi negatif terhadap perbuatan dosa-dosanya yang lalu. Kenapa? Kerana dia telah sedar akan akibat dari dosanya iaitu azab yang pedih di akhirat kelak, hatta di dunia lagi kita akan merasa azabnya seperti kehilangan ketenangan dalam jiwa.

Jangan pernah rasa lelah untuk bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah dan jangan pernah rasa selesa saat beramal kerana merasakan diri kita sudah soleh. Berterusanlah kita memohon keampunan sebagaimana Rasulullah SAW telah contohkan kepada kita. Baginda sendiri tidak pernah berhenti beristigfar memohon keampunan dari Allah. Keampunan Allah SWT memang menanti buat kita seluas langit dan bumi, sabda Nabi SAW;

“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka, mind set utama buat kita ialah, jangan pernah berhenti merayu keampunan dari Allah SWT, samada saat “mood” untuk beramal kita tinggi apatah lagi ketika iman kita lemah dan longlai untuk beramal.

Kita harus faham bahawa, lamanya berada dalam proses tarbiyah belum menjamin keberhasilan amal yang qawwi jika prosesnya hanya terhenti setakat di halaqah dan program-program semata. Ada satu perumpamaan menarik yang boleh kita gambarkan akan kesuburan tarbiyah seseorang dalam medan halaqah tarbawiyah samada akan melahirkan amal dan tindakan yang qawwi atau tidak.

“Bayangkan kita menanam sebuah tunas pohon di dua tempat. Jenis pohonnya sama, pemberian bajanya sama, kedalaman cangkulnya sama dan kualiti tunasnya juga sama. Namun ternyata kedua tunas itu tumbuh secara berbeza. Pohon yang satu begitu cepat tumbuh dan segera berdaun rimbun serta berbuah lebat, sedangkan pohon yang lainnya tumbuh juga tetapi begitu lambat, daunnya tidak begitu rimbun dan buahnya pun hanya muncul satu dua. Mengapa boleh terjadi sedemikian? Ianya kerana kualiti tanahnya memang berbeza. Tanah yang satu subur hingga mudah menumbuhkan dan menyuburkan tanaman, sedangkan yang lain gersang hingga tidak menumbuhkannya dengan baik.”

Justeru, kita harus muhasabah hati kita, apakah telah kita sediakan tapak semaian yang baik agar ketika melalui proses tarbiyah, benih iman itu akan subur di atas tapak semaian kita atau sebaliknya. Kerana itulah proses tarbiyah memberi fokus kepada perbinaan hati.

Persoalan seterusnya ialah bagaimana untuk mendorong jiwa kita agar bersemangat untuk melakukan amal-amal ibadah setelah jiwa kita tertarbiyah dengan IMAN? Saya cuba mengupas secara ringkas, selebihnya anda bertanyakan juga kepada para alim ulama dan para murabbi yang ikhlas.

Pertamanya saat melakukan amal, maka berdikit-dikitlah kita dalam beramal. Teruslah istiqamah dalam memproses jiwa. Lemah amal kerana jiwa kita yang lemah. Iman itu belum meresap sepenuh pada jiwa kita. InsyaAllah kebiasaan beramal yang sedikit tapi istiqamah akan melahirkan kebiasaan untuk meningkatkan lagi amal kita. Ya, kuncinya adalah istiqamah, walaupun sedikit. Kata ulama, sifat utama yang menghiasi jiwa mukmin adalah berusaha untuk istiqamah, :

-Istiqamah dalam hidayah.
-Istiqamah dalam keikhlasan.
-Istiqamah dalam kesabaran.

Inilah perkara yang terberat bagi setiap mukmin dan bahkan juga para Nabi.
Ayat Al Quran yang membuatkan Nabi Muhammad saw beruban rambutnya adalah perintah untuk istiqamah.

“Maka istiqamahlah (kamu) sebagaimana yang Aku perintahkan…” (QS Hud : 112)

Manakala inti dari istiqamah adalah kesabaran.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru RabbNya di pagi dan senja hari, dengan mengharap keredhaanNya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (QS Al Kahfi : 28)

Kedua, binalah keikhlasan dalam beramal. Amal yang ikhlas walaupun sedikit akan memberi kesan yang besar kepada jiwa dan amalan. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang mahu meningkatkan kualiti amalnya hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Sebagai contoh, ketika hadir halaqah tarbiyah atau siri program tarbiyah, jagalah keikhlasan bahawa kita hadir untuk meraih redha allah dan mencari hidayah, inayah dan petunjuk Allah. Pada ketika kita melalukan taubat kita kepada Allah, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Justeru dia juga akan menanam tekad untuk mengukuhkan amalan ibadah yang wajib dan memperkayakan amalam-amalan yang sunat demi untuk meraih redha Allah yang berpanjangan, bukan mengharap pujian dari manusia.

Ketiganya, sentiasalah berdoa dan memohon kekuatan kepada Allah tanpa jemu agar Allah terus memberikan kekuatan kepada kita untuk meningkatkan amal kita sehingga aksi amal fardhu dan sunat itu akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita seperti solat berjamaah pada setiap waktu, membaca al Quran dan sebagainya.

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Selamat beramal dan semoga Allah berkahi kita semua dengan cahaya iman-Nya.

1 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah