Abah dan arwah emak dalam kepayahan hidup sentiasa berkorban dan berusaha untuk mendidik kami adik beradik. Pilu mengingatkan bagaimana abah yang hanya berpendapatan kecil, berkebun dan memancing selepas pulang dari kerja demi menampung perbelanjaan harian. Arwah ibu bangun seawal 3 pagi untuk membuat kuih jualan. Ibu juga mengambil tempahan menjahit baju.
Rumah kami dulu juga tidak banyak perabot. Apa yang ada, hanya keperluan asas. Abah sering mengingatkan arwah emak supaya tidak membazir duit dan sentiasa mendahulukan pendidikan anak-anak.
Pengorbanan dan semangat tinggi ibu bapa saya mungkin juga dapat dirasakan oleh pembaca. Kita mesti sentiasa menghargai jasa ibu bapa. Siapalah kita tanpa pengorbanan besar mereka.
Sebagai orang Islam, konsep pengorbanan banyak diajar kepada kita, terutama dalam kisah Nabi Ibrahim dan Siti Hajar sebagai ibu bapa serta Nabi Ismail sebagai anak yang patuh dan taat pada Allah.
Setiap ibu bapa mesti gembira apabila mendapat rezeki berupa anak. Allah menceritakan dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan seorang anak lelaki, baginda menyatakan kegembiraannya dengan mengucapkan selamat sejahtera. Hal ini seperti firman Allah bermaksud:
"Dan sesungguhnya telah datang utusan Kami kepada (Nabi) Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka berkata: "Selamatlah!" Dia menjawab: "Selamat!"
(Surah Hud, ayat 69)
Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha untuk menjadi ibu bapa yang berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat keredaan Allah. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah dan ia menuntut pengorbanan besar.
Rasulullah saw pernah bersabda bermaksud:
"Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi,
Nasrani atau Majusi." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara pengorbanan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu keibubapaan, tidak kira pada peringkat mana umur anak-anak. Ilmu sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga. Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap usia mereka. Ia juga kaedah paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak-anak. Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit.
Sejak dalam kandungan, ibu bapa banyak berkorban dengan menjaga akhlak. Ibu mendapat makanan berkhasiat serta sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dalam kandungan sihat dan menjadi anak soleh. Ayat suci al-Quran dibaca supaya mereka sentiasa mendengar kalimah Allah sejak dalam kandungan lagi.
Proses kelahiran dan menyusukan adalah pengorbanan yang tidak terhingga oleh seorang ibu.
Ibu bapa berkewajipan memenuhi keperluan anak, baik berupa kebendaan mahupun kerohanian. Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini. Dalam hal ini Rasulullah bersabda bermaksud:
"Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang yang menjadi tanggungan makan minumnya." (Hadis riwayat Abu Daud)
Hari ini selain bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu dilakukan demi mendapat rezeki halal. Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan pendidikan agama dan rohani anak.
Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam mencapai matlamat pendidikan anak-anak. Ibu bapa perlu bijak dalam memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang menitikberatkan agama, terutama solat kerana cara yang paling tepat mendidik anak-anak mengenal Allah adalah dengan melatih mereka mengerjakan sembahyang.
Pentingnya solat sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi Ibrahim memohon kepada Allah agar diri dan keturunannya dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat. Hal ini dirakamkan dalam firman Allah bermaksud:
"Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan (begitu juga) anak
cucuku, wahai tuhan kami, terimalah doaku."(Surah Ibrahim, ayat 40)
Begitu juga, bijaksana Islam terkenal, Luqman Al-Hakim, salah satu wasiat kepada anak seperti disebut dalam al-Quran bermaksud:
"Hai anakku, dirikanlah solat..." (Surah Luqman, ayat 17)
Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama untuk mendidik anak berakidah tauhid. Mereka mestilah terlebih dulu mendirikan solat dan sentiasa berbincang serta meneruskan kesinambungan pentarbiahan anak di rumah. Mereka tidak seharusnya menyerahkan tugas ini seratus peratus kepada pengasuh atau guru saja.
Anak hendaklah dilayan dengan penuh kasih sayang. Untuk itu, ibu bapa mesti terlebih dulu membaiki akhlak supaya anak sentiasa dilihatkan dengan pekerti mulia. Insya-Allah mereka akan terdorong untuk mencontohi ibu bapa berakhlak mulia.
Rasulullah bersabda bermaksud:
"Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya." (Hadis riwayat Abu Shaikh)
Dalam hal ini, Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anak mereka. Firman Allah bermaksud:
"Dan orang yang menahan marah serta memaafkan orang lain dan Allah mencintai orang yang berlaku baik." (Surah Ali Imran, ayat 134)
Proses pentarbiahan anak mengambil masa panjang dan tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa juga bentuk pengorbanan yang dilakukan, di samping terus berdoa untuk kesejahteraan mereka.
Firman Allah bermaksud:
"Wahai tuhan kami, anugerahkan kepada kami daripada isteri dan keturunan kami perkara yang menyenangkan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa."
(Surah al-Furqan, ayat 74)
Setiap pengorbanan juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi contoh kepada anak. Ia adalah kunci kejayaan dalam melahirkan anak yang soleh wa musleh.
0 comments:
Post a Comment