Sunday, January 25, 2009

Pendekatan Asas Dalam Dakwah Fardiah

Baru-baru ini penulis diziarahi oleh seorang penggerak dakwah kampus dan bertanyakan apakahkah kaedah dan cara terbaik bagi seorang da’i menjayakan misi dakwah, khususnya dakwah fardiah memandangkan terlalu banyak hambatan dan cabaran yang sedang melanda generasi muda hari ini.

Penulis lebih suka memberikan tumpuan kepada persediaan, kefahaman dan kesungguhan kepada para da’i dalam bagi melaksanakan tugas dan tanggujawab dakwah yang cukup berat ini. Dalam mentarbiyah manusia kita perlu menguasai kaedah yang bijak dan hikmah agar dakwahnya dapat diterima oleh sesiapa sahaja yang didekatinya. Ada beberapa pendekatan dan kaedah terbaik yang perlu kita adaptasikan dalam dakwah yang boleh kita pelajari dari baginda Rasulullah saw., antaranya :


1. Ar-Rifq, iaitu kelemah lembutan, sebagaimana firman Allah SWT dalam surat al-Imran : 159 yang bermaksud:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu…”


Dan firman Allah swt lagi yang bermaksud:

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan mauidzoh hasanah (pelajaran yang baik) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS. An-Nahl: 125)


Kelemah lembutan adalah asas dalam bermuamalah, seoarang da’i tidak dapat mengambil hati mad’unya, kecuali bila ia mempergaulinya dengan penuh lemah lembut sehingga menjadi mudah untuk menguasai hatinya. Sabda Nabi saw. yang bermaksud:


Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menyukai kelemahlembutan dalam segala urusan.” (HR. Bukhari Muslim).


“Sesungguhnya tidaklah kelemah-lembutan itu ada pada sesuatu melainkan akan menghiasinya. Dan tidaklah kelemah-lembutan itu tercabut dari sesuatu kecuali akan membuatnya menjadi jelek.” (HR. Muslim)


Bersikap lemah lembut dalam dakwah bukan bererti tidak punya pendirian, apalagi bersikap toleran terhadap keburukan. Lemah lembut hanya suatu cara untuk menyampaikan kebenaran dan mendidik orang lain agar tunduk kepada kebenaran. Lemah lembut di dalam berdakwah mempunyai banyak sekali kebaikannya. Salah satu di antaranya adalah dapat menyedarkan orang-orang yang telah terjerumus dalam perbuatan dosa dan maksiat. Allah berfirman yang ertinya,


“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan dia ada permusuhan, seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” (QS. Al-Fushshilat: 34)

Rasulullah saw. adalah suri teladan bagi kita dalam hal akhlaq dan dakwah, apatah lagi dalam hal lemah lembut baginda dalam berdakwah. Alangkah indahnya kisah beliau ketika menasihati seseorang yang hendak berbuat kemaksiatan. Kisah ini dituturkan oleh sahabat beliau, Abu Umamah. Beliau bercerita,


“Sesungguhnya ada seorang pemuda datang kepada Rasulullah lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk berbuat zina’. Lalu ada sekelompok orang yang mendatangi dan menegurnya, ‘Diam… Diam…!!’ Lalu beliau bersabda (kepada para sahabat beliau), ‘Dekatkan ia kepadaku.’ Lalu ia pun mendekati beliau. Setelah ia duduk, beliau bertanya, ‘Apakah kamu se

nang apabila ada orang menzinai ibumu?’ Ia menjawab, ‘Tidak, Demi Allah. Semoga Allah menjadikan aku tebusan bagimu’. Beliau bersabda, ‘Manusia pun tidak senang apabila ada orang menzinai ibunya’. Beliau bertanya lagi, ‘Apakah kamu senang apabila ada orang menzinai puterimu?’ Ia menjawab, ‘Tidak, Demi Allah. Semoga Allah menjadikan aku tebusan bagimu’. Beliau bersabda, ‘Manusia pun tidak senang apabila ada orang menzinai puterinya’. Beliau bertanya lagi, ‘Apakah kamu senang apabila ada orang menzinai saudarimu?’ Ia menjawab, ‘Tidak, Demi Allah. Semoga Allah menjadikan aku tebusan bagimu’. Beliau bersabda, ‘Manusia pun tidak senang apabila ada orang menzinai saudarinya…’ Lalu beliau meletakkan tangannya kepada pemuda tadi sambil berdoa, ‘Ya Allah, ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya dan jagalah ke

maluannya’. Setelah peristiwa itu, pemuda tadi tidak berfikir untuk berbuat zina lagi’. (HR. Ahmad)


2. Al-Ibti’adu anidzdzammi wattaa’aatubi, iaitu menjauhkan sikap agresif yang cenderung mencela, memperlekeh dan mencemuh orang lain. Sesungguhnya dakwah tidak dibangun di atas celaan dan cemuhan, melainkan dengan Tanashuh (menjaga) dan Taghafur (memaafkan) serta Al-Irsyad bil husna (membimbing dengan cara – cara yang baik. Sebagaimana Ibnussamak seorang Ulama yang zuhud – Rahimahullah- ketika seseorang berkata kepaadanya : “Kita bertemu lagi esok dalam rangka saling mencela”, lalau jawab Ibnu Samak : “Bal baini wa bainaka ghodan nataghafar” (Tidak, akan tetapi kita bertemu esok untuk saling memaafkan).


Kombinasi 3 ciri ini iaitu Tanashuh (menjaga) dan Taghafur (memaafkan) serta Al-Irsyad bil husna (membimbing dengan cara – cara yang baik) dimiliki oleh Rasulullah Saw dan diajarkannya kepara sahabatnya. Dalam sebuah riwayat dikisahkan sebagai berikut: Pada suatu hari, datanglah seorang arab badwi kepada Rasulullah saw untuk meminta sesuatu. Beliau memberi apa yang dimintanya sambil bertanya: “ Bukankah aku telah berbuat baik kepadamu?” Orang tersebut menjawab: “ Tidak! Engkau tidak berbuat baik.” Mendengar jawaban tersebut,kaum muslimin yang hadir bangkit hendak memukulnya. Tetapi mereka segera ditegah oleh Rasulullah.

Beliau kemudian berdiri, dan masuk ke dalam rumahnya, lalu memberi tambahan kepada orang badwi tersebut seraya berkata: “Bukankah aku telah berbuat baik kepadamu?” Orang badwi itu menyahut: “ Ya, mudah-mudahan Allah membalas kebaikan anda sekeluarga”. Kepada orang badwi tersebut Rasulullah berkata: “ Engkau tadi telah mengucapkan sesuatu yang membuat para sahabatku merasa tersinggung. Jika engkau mahu, ucapkanlah kembali apa yang engkau katakan kepadaku sekarang ini di hadapan mereka, agar kejengkelan mereka kepada dirimu lenyap dari dadanya.”

Keesokan harinya badwi tersebut datang lagi. Kepada para sahabat baginda berkata, ”Orang Arab badwi ini kelmarin berkata sebagaimana yang telah kalian dengar,kemudian kuberikan kepadanya, dan sekarang ia merasa puas, bukankah demikian hai Arab badwi? “ Orang Arab badwi tersebut menyahut: “Ya benar, mudah-mudahan Allah membalas kebaikan anda sekeluarga.”

Setelah itu, Rasululah menambahkan: “Aku dan dia ibarat seorang yang mempunyai seekor unta yang lepas dan lari bertebaran. Ramai orang mengejarnya, tetapi semakin dikejar, unta itu semakin jauh. Pemilik unta kemudian berteriak-teriak kepada orang-orang yang membantu mengejar untanya: “ Biarkan saja untaku itu! Aku dapat menjinakkan dia kerana aku lebih mengenalnya daripada kalian!” Ia lalu mendekati untanya, diambilnya rumput dari tanah dan diagah-agahkannya kepada unta itu sehingga unta itu kembali. Unta itu disuruh berjongkok, lalu ia duduk di atas punggungnya.

Kemudian baginda berkata kepada para sahabatnya, “Jika kelmarin kalian kubiarkan bertindak terhadap orang badwi itu kerana ia mengucapkan perkataan yang tidak enak didengar, lantas dia kalian bunuh, dia tentu masuk neraka…”

3. At-tarbiyah Tamhid wattasywiq, Tarbiah itu harus dijalankan dengan perlahan bukan dengan paksaan dan tergesa-gesa, hal ini tentu saja memerlukan kesabaran kerana untuk dapat menikmati buahnya terkadang harus menunggu masa yang agak lama. Para da’i jangan isti’jal (tergesa-gesa) Salah satu bahagian dari dakwah manhaj salafus soleh adalah tidak tergesa-gesa dalam berdakwah. Dalam berdakwah tidak boleh serta merta ingin memperoleh hasil dan segera memetik buah dari dakwahnya kerana ini adalah penyakit dalam dakwah.

Mengapa dakwah Rasulullah saw. di Mekah tidak ditempuh dua tahun atau lima tahun saja? Beliau berdakwah di Mekah selama 13 tahun, dan hanya menperoleh pengikut 45 orang sahabat sahaja, namun beliau tetap bersabar dan terus mendidik dan mentarbiyah sahabatnya, walaupun dalam keadaan tertindas dan terasing ditengah-tengah masyarakat Mekah saat itu. Setelah 13 tahun kemudian, beliaupun berhijrah ke Madinah. Beberapa tahun setelah hijrah baru terjadi Fathul-Mekah? Peristiwa ini terjadi pada tahun 8 H. Mengapa tidak dilaksanakan pada tahun 5 H atau jauh sebelumnya? Dan tidak ada pembukaan daerah kekuasaan kaum muslimin secara luas kecuali setelah baginda wafat. Hal ini menunjukkan bahawasanya dakwah dan perjuangan Islam ini dilakukan tidak dengan tergesa-gesa. Ini adalah buah kesabaran Rasulullah saw. dalam mentarbiyah para sahabat yang jumlahnya kurang lebih hanya empat puluh lima orang yang kemudian melahirkan orang-orang yang membuka penjuru-penjuru dakwah yang lebih luas bahkan sampai sepertiga belahan dunia, sungguh sangat menakjubkan!.

Oleh kerana itu sebagai seorang da’i, hendaknya tidak tergesa-gesa dalam berdakwah kerana sesungguhnya ia adalah dari syaitan. Sebahagian da’i yang tidak sabar untuk segera melihat hasil dari perjuanganya, ingin cepat mendapatkan pengikut yang ramai sedangkan Nabi dan Rasul dahulu yang berdakwah sekian tahun hanya memiliki beberapa pengikut bahkan ada yang tidak memiliki pengikut seorangpun sebagaimana yang digambarkan dalam hadith Rasulullah saw. bahawa pada hari kiamat nanti ada seorang rasul yang datang dengan seorang pengikut bahkan ada yang tanpa pengikut, apakah mereka dikatakan gagal berdakwah? Mereka adalah manusia pilihan yang diutus oleh Allah Subhaanahu Wa Ta'ala dengan membawa risalah yang bertujuan memperbaiki manusia. Kerana tujuan kita adalah memperbaiki manusia maka hendaknya kita bersabar jangan tergesa-gesa, tergesa-gesa merupakan penyakit yang dapat merosakan bangunan dakwah, oleh itu harus senantiasa bersabar. Demikianlah manhaj Rasulullah saw.

Perhatikan sejarah silam ketika para pemerintah negara Islam menguasai para ulama, seperti Imam Ahmad, dipenjara selama dua tahun empat bulan dan disiksa namun tetap bersabar. Demikian pula dengan Imam Malik, Imam Syafi’i mereka juga mengalami tentangan seperti itu. Syaikul Islam Ibnu Taimiyah dipenjara selama 26 tahun hingga akhirnya meninggal dalam penjara tetapi tidak sampai mengkafirkan penguasa yang memenjarakannya.

4. At-Tasyji’, iaitu motivasi sang da’i Murabbi terhadap mad’unya, berupa “reward”, inspirasi dan penghargaan, untuk menambah semangat dan mendorongnya untuk beramal, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw. kepada sahabat Suhaib bin Sinan Ar-Rumy, yang hijrah ke Madinah dengan meninggalkan seluruh hartanya setelah diambil seluruhnya oleh orang-orang musyrikin, dan dia hanya mampu menyelamatkan agamanya, Rasulullah menyambut kedatangannya seraya berkata : “Rabiha Suhaib” (beruntunglah Suhaib).

Disebutkan juga oleh al-Banna dengan pengertian yang cukup mendalam dan mendasar akan peranan murabbi. Murabbi / da’i adalah umpama seorang ayah yang menjaga anak-anaknya, seorang guru yang mengajarkan murid dan bagaikan seorang sheikh yang mengasuh muridnya.

Oleh kerana itu, penting bagi para murabbi / da’i untuk berusaha semaksima mungkin menjadi peribadi murabbi teladan agar keteladanannya memberi keberkahan bagi perkembangan dakwah dan peningkatan kualiti mahupun kuantiti para mutarabbi yang mereka bina. Justeru itu para murabbi perlu berinteraksi dengan tokoh-tokoh yang tercatat sejarah sebagai murabbi teladan, setidaknya melalui suratun hayawiyyah (gambaran kehidupan mereka), khusunya dalam melakukan aktiviti pentarbiyahan (mendidik mutarabbi).

0 comments:

Post a Comment

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah