Tangan Di atas vs Tangan Di Bawah...
Syaqiq Al-Balkhy – seorang sufi – pergi berdagang mencari rezeki. Sebelum berangkat, ia berjumpa Ibrahim Adham, sahabatnya, kerana perjalanan dagangnya kali ini agak lama dan jauh.
Akan tetapi, beberapa hari sahaja Syaqiq pulang. Apabila dilihat Syaqiq di masjid, Ibrahim hairan dan bertanya: " Apa yang menjadikan kamu begitu cepat pulang?"
"Aku melihat sesuatu keajaiban dalam perjalananku, lalu aku pun pulang.’ Jawab Syaqiq.
Ibrahim bertanya: "Apa yang kau lihat?"
‘Di kala itu, aku duduk disebuah tempat yang sunyi sedang beristirehat. Di situ aku melihat seekor burung yang pincang dan buta matanya. Hatiku tersentuh hairan dan berkata," Bagaimana burung itu boleh hidup di tempat terperosok seperti ini sedangkan ia tidak boleh bergerak dan melihat semua sekali".
Tidak berapa lama kemudian datang seekor burung lain memberikan makanan kepadanya berkali-kali dalam sehari sehingga burung cacat tadi kenyang. Aku pun berkata dalam hati : sesungguhnya Yang memberi rezeki kepada burung itu juga berkuasa memberi rezeki kepadaku. Saat itu juga aku pulang."
Mendengar jawapan itu Ibrahim berkata" Engkau ini sungguh lucu , wahai Syaqiq ! Relakah kau jadikan dirimu sebagai burung yang pincang dan buta, yang hidupnya bergantung kepada orang lain ? Kenapa kau tidak jadikan dirimu sebagai burung yang kedua yang berusaha dengan dirinya dan untuk diri orang lain, yang tidak berupaya seperti orang buta dan cacat yang lain. Tidakkah kau tahu bahawa tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah."
Syaqiq pun bangkit dari tempat duduknya dan mencium tangan Ibrahim dan berkata ; " Engkaulah guruku yang sejati, wahai Abu Ishak (Ibrahim) ".
0 comments:
Post a Comment