Tuesday, October 16, 2012

LangitIlahi: Inspirasi Pengurusan Kesederhanaan Dalam Kehidupan


Sederhana dan bijaksana. inilah gaya hidup Muhammad Ar Rasul SAW. Hidup bersederhana dan bijaksana saya belajar dari Rasulullah SAW, seorang yang bukan hanya nabi, tetapi beliau juga seorang pemimpin tertinggi membangunkan daulah Islamiah. Sejarah hidup Nabi SAW amat luarbiasa. Baginda adalah dari suku bangsa yang amat dihormati oleh bangsa Arab. Keturunan mulia. Malahan boleh saja Baginda SAW memilih untuk hidup bermewahan seperti para bangsawan dan hartawan. Namun apabila kita menyelak sirah kehidupan baginda SAW kita akan tertunduk malu dan terbangun inspirasi.

Nabi SAW amat bijaksana dalam mengatur kehidupan diri, keluarga bahkan masyarakat Islami. Bermula dari  wahyu Ilahi, dibumikan menjadi realiti bahkan membentuk koloni manusia yang memiliki harga diri yang tinggi di sisi Ilahi. Muhammad SAW, pemimpin unggul yang bijaksana namun tetap bersahsiah tinggi. Baginda hidup serba sederhana tanpa mendabik dada. Tidak seperti sesetengah dari kita, yang baru memiliki kekayaan sekangkang kera, gempitanya lagak memiliki dunia dan seisinya.

Inilah Gaya Sederhana Nabi
Saya menangis tetapi tetap teruja ketika membaca sirah Baginda SAW apabila sirah itu menggambarkan betapa sederhananya hidup Baginda sedangkan pada saat itu Baginda boleh sahaja menikmati tampuk kekayaan. Luarbiasa, bijaksana dan sederhana.

Satu ketika, sahabat Nabi SAW, Umar bin Khattab RA berkunjung ke rumah Rasulullah SAW. Ketika beliau memasuki rumah Baginda, dia tersentak seketika melihat isi rumah Baginda SAW, yang ada hanyalah sebuah meja dan alasnya hanyalah sebuah jalinan daun kurma yang kasar, sementara yang tergantung di dinding hanyalah sebuah geriba (tempat air) yang biasa Baginda gunakan untuk berwudhuk. Kehibaan muncul dalam hati Umar RA. Tanpa disedari air matanya berlinang…

Para pembaca sekalian, airmata anda sudah berlinang…? Apa yang anda terbayangkan saat ini? Buat yang bijaksana, sudah berumahtangga dan menjawat jawatan sini dan sana, perhatikan benchmark kehidupan Baginda SAW.

Ini keluhan hati saya, “Ya Rasulullah..air mataku juga menitis wahai Nabi. Tiap kali saya membaca sirah ini, saya tidak pernah gagal menitiskan air mata..kerana saya malu dengan apa yang saya miliki di rumah saya. Aku menyertaimu Umar… rasa hiba….!”

Setelah Rasulullah SAW melihat reaksi Umar, maka kemudian Rasulullah SAW menyapanya. “Gerangan apakah yang membuatmu menangis?” Umar pun menjawabnya, “Bagaimana aku tidak menangis ya Rasulullah? Hanya seperti ini keadaan yang kudapati di rumah tuan. Tidak ada perkakas dan tidak ada kekayaan kecuali sebuah meja dan sebuah geriba, padahal di tangan Tuan telah tergenggam kunci dunia Timur dan dunia Barat, dan kemakmuran telah melimpah.”

Lalu Baginda menjawab “Wahai Umar, aku ini adalah Rasul Allah, Aku bukan seorang Kaisar dari Romawi dan bukan pula seorang Kisra dari Parsi. Mereka hanya mengejar duniawi, sedangkan aku mengutamakan ukhrawi.

Begitulah Nabi SAW mengajar kita erti kesederhanaan. Benchmark kehidupan!

“Sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji” (An Naba’ :7).

Bercita-cita Tinggi Dalam Kesederhanaan
Ramai yang bijaksana tetapi tidak bersederhana. Maka yang lahir, manusia yang sibuk mengejar cita-cita sehingga dunia menjadi tujuan lantas  alpa membina masa depan di syurga. Lalu sejarah kemanusiaan dalam membina ketamadunan manusia dengan gaya kesederhanaan diukir kembali oleh seorang lelaki yang luarbiasa. Orangnya amat bijaksana dan pernah mengecap kemewahan kehidupan. Namun, dalam pencarian kehidupan, dia memilih kesederhanaan sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Bukan calang-calang orangnya, seorang khalifah umat, Umar bin Abdul Aziz.

Sebelum menjawat jawatan sebagai Khalifah, beliau adalah Gabenor Madinah. Saat itu beliau seorang yang bergaya. Bila berjalan, harum wangiannya akan tertinggal jauh di belakang langkah-langkahnya. Namun beliau semakin menapaki jalan kemuliaan. Diceritakan oleh pembantu setianya Raja’ bin Haiwah, bagaimana Umar bin Abdul Aziz memilih kesederhanaan di saat kebijakan beliau amat disegani umat. Raja’ bercerita;

“Dulu aku menemani Umar bin Abdul Aziz sewaktu ia menjadi Gabenor Madinah. Beliau menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju mahal dengan harga lima ratus dirham. Ketika ia melihat dan berkata, “Baju ini bagus, Cuma harganya terlalu murah.”

Namun, ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah, ia pernah menyuruhku membeli baju. Maka aku belikan baju berharga lima dirham. Sang Khalifah melihat baju itu dan berkata, “Baju ini bagus, namun harganya mahal.”

Maka Aku menangis. Lantas Umar bin Abdul Aziz bertanya, ‘Kenapa kamu menangis’. Aku menjawab, ‘Kerana aku ingat beberapa tahun lalu bagaimana engkau menilai sebuah baju.’ Maka Umar bin Abdul Aziz mengatakan, ‘Sesungguhnya aku punya jiwa yang berkemampuan kuat. Tidaklah sebuah kemahuan itu tercapai, kecuali aku akan punya kemahuan yang lebih tinggi lagi. Jiwaku pernah menginginkan untuk menikahi Fatimah, anak saudaraku Abdul Malik yang seorang Khalifah, maka aku menikahinya. Lalu jiwaku ingin sekali menjadi Gabenor, aku telah mendapatkannya. Jiwaku kemudian ingin menjadi Khalifah, aku pun mendapatkannya. Sekarang wahai Raja’, jiwaku punya keinginan kuat untuk masuk syurga, dan aku sangat berharap agar menjadi penghuninya.’

Begitulah nyanyian jiwa seorang hamba Allah yang luarbiasa dalam menyikapi dirinya atas segala kurniaan yang telah Allah berikan kepadanya. Memilih dari kemuliaan di dunia, menuju kepada kemuliaan Ilahi. Kita selami kehidupan gaya sederhana Umar Bin Abdul Aziz lagi.

Satu saat ketika Khalifah Umar sakit, pakaian yang dipakainya telah kotor. Muslimah Abdul Aziz kakak Fatimah isteri Khalifah datang menemui adiknya dan melihat Khalifah yang sedang sakit. “Fatimah, basuhlah pakaian Khalifah itu. Sekejap lagi orang ramai akan masuk menemuinya”, tegur Muslimah. “Demi Allah, beliau tidak punya pakaian lagi kecuali yang dipakai itu”, jawab Fatimah.

Seorang perempuan Mesir telah datang ke Damsyik kerana ingin bertemu dengan Amirul Mukminin Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Dia bertanya-tanya di mana istana Khalifah dan orang ramai menunjukkannya. Sampai saja di rumah yang dimaksudkan, perempuan Mesir itu bertemu dengan seorang perempuan yang memakai pakaian yang sudah lusuh dan buruk dan seorang lelaki sedang bergelumang dengan tanah kerana memperbaiki rumahnya.

Perempuan itu bertanya lagi dan apabila mengetahui bahawa perempuan yang ditanya adalah Fatimah isteri Khalifah, dia terkejut luar biasa. Kerana mana ada seorang permaisuri raja yang layak memakai baju buruk seperti itu. Dia merasa takut dan kagum. Akan tetapi Fatimah pandai melayan, sehingga tetamu itu berasa suka dan tenang hatinya.

“Mengapa puan tidak menutup diri daripada lelaki tukang bancuh pasir itu?” tanya perempuan Mesir itu. “Tukang bancuh pasir itulah Amirul Mukminin” jawab Fatimah sambil tersenyum. Sekali lagi tetamu itu terkejut dan beristighfar.

Luarbiasa teladan Umar bin Abdul Aziz kepada kita. Begitu juga sang isteri Khalifah, redha dan setia bersama suami tercinta. Kedua mereka tokoh yang hebat, bijaksana dan serba bersederhana. Benarlah kata Syeikh Amru bin Murrah Al-Jamani RA, seorang tabi’in di Kufah tahun 118Hijrah;

“Barangsiapa yang mencari akhirat, dia akan mengorbankan dunianya, dan barangsiapa yang mencari dunia, dia akan mengorbankan akhiratnya, maka korbankanlah yang fana untuk yang kekal selamanya.”

Tips Sederhana Dalam Kehidupan
Benar, setiap saat, kita berusaha memenuhi hajat kehidupan. Hajat manusia tidak pernah mengecil. Sentiasa mahu dan mahu lagi. Maka tidak hairanlah tatkala Nabi SAW pernah bersimulasi bahawa manusia ini sekiranya dapat memiliki seluruh kekayaan bumi ini, akan bertanya lagi, apakah ada bumi lain yang boleh mereka kerumuni. Inilah manusia. Maka datanglah agama mulia ini, lantas dicontohkan oleh baginda kita Rasulullah SAW dengan mengajar kita “pengurusan kesederhanaan” dalam kehidupan.

Imam Al Ghazali ada  memberikan kita tips pengurusan kesederhanaan, agar kita memiliki sifat bersederhana dalam kehidupan. Mari kita selidiki dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin.

Tips pertama, kesederhanaan dalam penghidupan dan perbelanjaan.
Kesederhaan tidak hanya tercermin dalam gaya hidup saja, tetapi juga dalam pola berfikir membina penghidupan. Seorang yang berfikiran sederhana, tentunya tidak akan sampai melebihi batas keperluan hidup. Tuntutan dan keinginan akan selalu disesuaikan dengan kemampuan. Sehingga tidak ada rasa ingin menguasai dan memiliki hak orang lain di luar haknya.

Sebaliknya, latihlah diri dalam pengurusan kewangan kehidupan, samada individu dan keluarga, perlu ada strategi kewangan yang efektif yang berakar pada penghambaan pada Ilahi, kemudian barulah ia akan mengurus tuntutan nafsu berbelanja dan membeli. Kita harus kembali belajar memilih antara perkara yang harus dibeli, yang boleh dibeli, dan yang tidak perlu dibeli. Secara rasionalnya ramai yang faham perbezaan yang primer dan sekunder, akan tetapi rayuan nafsu yang mengikat diri mengalahkan rasional untuk memilih satu diantara dua. Oleh kerana itulah, kesederhanaan mempunyai hubungan yang erat dengan permasalahan hati, nafsu dan hubungannya dengan Allah SWT.

Tips kedua, pendek angan-angan. Lawannya panjang angan-angan. Maksud “panjang angan-angan” di sini ialah menaruh anggapan bahawa maut masih lambat menimpa diri, sehingga terlupa kepada saat kematian yang akan berlaku bila-bila masa sahaja”.

Penyakit ini adalah satu daripada penyakit-penyakit hati yang kronik. Mangsa penyakit ini akan hanyut dengan cita-cita (angan-angan) yang panjang di lautan khayalan dalam melayari kehidupan duniawi di dunia yang fana ini, sehingga terlupa kepada kematian dan kehidupan ukhrawi di akhirat yang abadi.

Satu saat, Abu Darda’ RA ketika melihat penduduk Himsh beliau berkata:

“Apakah kamu tidak malu membangun apa yang tidak akan kamu tempati selamanya dan angan-angan yang tidak dapat kamu capai dan mengumpulkan apa yang tidak dapat kamu makan. Sesungguhnya orang-orang yang sebelummu telah membangun yang megah-megah dan mengumpulkan sebanyak-banyaknya dan angan-angan yang sejauhnya, akhirnya tempat mereka itu didalam kubur dan angan-angannya merupakan tipu daya dan yang mereka kumpulkan itu hancur lebur.”

Tips ketiga, Imam al Ghazali menyatakan hendaklah ia mengetahui apa yang terkandung di dalam sifat bersederhana iaitu berupa kemuliaan dan terhindar dari sikap meminta-minta serta menghindari kehinaan dan ketamakan. Huraian ini telah kita fahami dari teladan Rasulullah SAW dan Umar bin Abdul Aziz. Bercita-citalah walau setinggi mana, namun semakin tunduklah kita kepada Allah SWT. Maka Allah SWT akan mengukuh dan memuliakan kedudukan kita sebagai hamba-Nya.

Semoga kita mampu membangunkan kebijakan pada diri kita dengan ilmu yang kita pelajari, dan dipagari dengan jiwa yang bersederhana dalam mengurus kehidupan. Rasulullah SAW sendiri mengajar kita agar berhati-hati dalam kehidupan. Dan kesederhanaan menjadi pakaian kehidupan.

Baginda sering berdoa;
Ya Allah, ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari dunia yang menghalang kebajikan untuk akhirat. Aku berlindung kepadaMu lagi dari kehidupan yang menghalang kebajikan untuk mati. Dan aku berlindung kepada-Mu dari cita-cita yang mengganggu kebajikan untuk beramal.

Persoalan akhir buat kita semua, lalu di mana gaya hidup sederhana yang dicontohkan oleh
Rasulullah SAW serta para pengikut setia baginda dalam kisah penghidupan kita?

Tulisan saya di langitlahi.com

1 comments:

Jom Sertai TeenACE Jun 2013

Pautan Tarbawi ♥

There was an error in this gadget

Langitilahi.Com

halaqahmuntijah

HALUANPalestin

Menyumbang Untuk Palestin

Kolej Tarbiyah Dakwah